Top Ad 728x90

, ,

Usah bebankan bakal suami dengan belanja perkahwinan - Mufti Perlis



Ibu bapa atau waris kepada bakal pengantin perempuan seharusnya tidak membebankan pihak lelaki dalam urusan berkaitan perbelanjaan untuk sesebuah majlis perkahwinan. Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menasihati masyarakat umum mengenai perkara itu yang disifatkan sebagai perbuatan menambah beban bakal suami serta boleh menjurus kepada pembaziran.

Beliau berkata dalam Islam itu sendiri tidak ada istilah belanja kahwin, sebaliknya Islam hanya mewajibkan pemberian mahar atau mas kahwin daripada bakal suami untuk bakal isteri. "Justeru jika ada ibu bapa yang meletakkan belanja kahwin untuk anak perempuan atau jagaan mereka, ini bukan dituntut oleh Islam lebih-lebih lagi sekiranya belanja yang ditetapkan itu pula terlalu tinggi," katanya ketika menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Alwi di Kangar, Perlis.

Mohd Asri berkata sesetengah waris meletakkan belanja tinggi bagi perkahwinan anak perempuan mereka atas alasan ia berbaloi dengan belanja yang telah ditanggung dalam membesarkan anak berkenaan serta sesuai dengan taraf pendidikan bakal pengantin perempuan. Pendapat sedemikian amat tidak berasas kerana perbelanjaan yang dikeluarkan ketika membesarkan anak-anak merupakan amanah dan tanggungjawab yang wajib dipikul bagi mereka yang bergelar ibu bapa," katanya.

Masyarakat umum juga sering mengharapkan wang belanja perkahwinan untuk mengadakan kenduri secara besar-besaran kerana mahu menunjuk kemewahan atau 'berlawan' dengan mana-mana pihak serta malu dilihat sebagai keluarga yang tidak berkemampuan dari segi kewangan. "Seharusnya ibu bapa mengutamakan perkara yang wajib dan dituntut dalam Islam serta memahami tanggungjawab yang bakal ditanggung oleh anak menantu dalam kehidupan baharu di alam perkahwinan," katanya.

Mohd Asri turut mengingatkan umat Islam di negeri ini agar tidak mencemarkan kemuliaan masjid dengan melakukan sebarang perbuatan yang ditegah seperti bergaduh, membuat bising dan bersantai serta menggunakan kawasan di dalam dan luar masjid sebagai tempat menghisap rokok.

- BERNAMA


0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90