Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir berkata, jumlah keseluruhan hutang yang berjaya diselesaikan pelanggan itu bernilai RM407.9 juta.

Katanya, seramai 2,500 pelanggan daripada program PPK itu pula dijangka berjaya menyelesaikan hutang mereka pada hujung tahun ini.

Mereka yang berjaya keluar daripada hutang ini sekurang-kurangnya mempunyai lima jenis hutang antaranya melibatkan kad kredit, pinjaman kenderaan dan pinjaman perumahan.

Tempoh yang diberikan kepada mereka untuk menyelesaikan hutang adalah 10 tahun namun ada berjaya menyelesaikannya sekitar lapan tahun saja selepas mengikuti program PPK, katanya ketika sidang akhbar sempena 10 tahun penubuhan AKPK
.
Menurut Azaddin, kad kredit masih menjadi penyumbang utama kepada masalah hutang golongan berusia antara 30 hinggga 50 tahun.

70 peratus daripada mereka yang mendapat bantuan PPK terdiri daripada mereka yang mempunyai kad kredit manakala selebihnya mereka yang mempunyai pinjaman peribadi.

Berdasarkan rekod kita, mereka yang berpendapatan kurang daripada RM4,000 banyak menerima bantuan PPK disebabkan perbelanjaan yang semakin meningkat.

Tambahnya, melalui kajian yang dijalankan AKPK antara faktor yang menyumbang kepada masalah hutang dan ketidakupayaan membayar balik pinjaman disebabkan perancangan kewangan yang lemah serta tidak hidup mengikut kemampuan kerana tahap displin kewangan yang kurang.

Ada sesetengah pelanggan apabila mereka ada kad kredit, kemudian mereka tambah pula dengan hutang-hutang lain seperti pinjaman kereta, pinjaman peribadi sehingga melebihi kemampuan. Apabila mereka datang ke AKPK, kita akan bantu mereka menyusun jumlah pembayaran yang perlu dibuat sehingga hutang berjaya diselesaikan.

Dalam pada itu, Azaddin memberitahu, sebanyak 20 peratus pelanggan daripada 148,830 yang mengkuti PPK gagal keluar daripada hutang disebabkan faktor luar jangka seperti kehilangan pekerjaan.

- Utusan