Top Ad 728x90

Gaji Minimum Dinaikkan Julai 2016

Gaji Minimum Dinaikkan Julai 2016



Bermula Julai 2016, gaji minimum akan dinaikkan kepada RM1,000 bagi pekerja di Semenanjung Malaysia manakala RM920 bagi mereka di Sabah, Sarawak dan Labuan sebagaimana yang diumumkan dalam Bajet 2016.

Berucap pada majlis sambutan Hari Pekerja pada Ahad, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan Sistem Insurans Pekerja (SIP) untuk menambah baik perlindungan sosial pekerja dan memudah cara pihak majikan menjalankan perniagaan.

"Gaji minimum yang baharu berkuat kuasa 1 Julai ini adalah peningkatan sebanyak RM100 (11%) untuk pekerja di Semenanjung Malaysia dan RM120 (15%) bagi Sabah, Sarawak dan Labuan," katanya pada majlis sambutan Hari Pekerja Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), di sini Ahad.

Dengan gaji minimum baharu untuk meningkatkan produktiviti, Najib berkata kerajaan dijangka melakukan pengagihan pendapatan lebih saksama antara pemilik modal dan pekerja.

Najib berkata pelaksanaan dasar gaji minimum kebangsaaan pada 2013 sudah memberi manfaat kepada 1.9 juta pekerja sektor swasta yang kemudiannya diperluaskan kepada sektor awam melalui tangga gaji baharu seperti yang diumumkan baru-baru ini.

Mengenai SIP, beliau berkata, ia bertujuan untuk melindungi pekerja dan juga majikan untuk memudahkan mereka menjalankan perniagaan.

Malah, katanya, ia juga dilaksanakan untuk membantu golongan pekerja yang diberhentikan dengan menampung perbelanjaan mereka dalam tempoh mencari pekerjaan selepas diberhentikan, sekaligus mengurangkan kesusahan dan kemiskinan akibat kehilangan pendapatan.

Menurutnya SIP juga menyediakan perkhidmatan kaunseling pekerjaan bagi meningkatkan peluang untuk pekerja yang diberhentikan ini mendapat pekerjaan yang sesuai.

Najib berkata bagi majikan pula, latihan semula yang disediakan melalui SIP dapat meningkatkan kemahiran pekerja serta memudahkan pihak majikan menggaji pekerja yang mempunyai set kemahiran yang sesuai.

"SIP memberi ruang kepada majikan untuk menyesuaikan organisasi mereka dengan sebarang perubahan teknologi dan struktur perniagaan serta mengurangkan tekanan akibat kebankrapan atau pengecilan operasi," katanya.

Menurutnya risiko konflik akibat pemberhentian kerja dapat dikurangkan kerana SIP akan memberi perlindungan kepada pekerja.

Beliau berkata pelaksanaan SIP merupakan antara ciri terpenting dalam mewujudkan dasar pasaran buruh aktif (ALMP) di Malaysia.

"Ketersediaan program perlindungan sosial yang proaktif bagi membantu warga pekerja dan pihak majikan mendepani cabaran ekonomi dunia bukan lagi satu pilihan, tapi satu kemestian," katanya.

- mStar

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90