Penipuan Pelaburan Rumah Lelong



Polis menahan sepasang suami isteri kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan pelaburan hartanah membabitkan lelongan rumah yang menyebabkan kerugian kira-kira RM400,000, pada Jumaat lepas dan hari ini, Isnin.  

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor ACP Mah Khye Beng berkata lelaki berumur 34 tahun itu ditahan Jumaat lepas manakala isterinya, 36, yang dibebaskan selepas ditahan pada Rabu lepas, ditahan semula pada Isnin.  

"Pasangan itu ditahan di rumah mereka di Paloh dekat Kluang. Polis kini menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan terhadap pasangan berkenaan sebelum kedua-duanya dihadapkan ke mahkamah," katanya menerusi kenyataan.

Mah berkata pihaknya telah membuka enam kertas siasatan berkaitan kes penipuan pelaburan hartanah lelongan rumah itu yang melibatkan perniagaan didaftarkan atas nama Takzim Properties yang berpejabat di bandar raya Johor Bahru.  

Beliau berkata selain pihaknya, tiga kertas siasatan turut dibuka oleh kontinjen polis lain yang melibatkan pendaftaran perniagaan yang sama. 

"Modus operandi penipuan itu adalah memperdayakan mangsa untuk mengeluarkan modal pelaburan dan dijanjikan pulangan keuntungan berserta modal dalam urusan pembelian rumah yang hendak dilelong," katanya.  

Sehubungan itu, Mah menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan sebarang bentuk pelaburan yang menjanjikan keuntungan dengan kadarsegera.  

Orang ramai katanya, dinasihatkan melakukan semakan dengan teliti sebelum membuat sebarang pelaburan manakala semua mangsa yang terlibat dikehendaki tampil membuat laporan polis di balai berhampiran. 

- Bernama

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.