Top Ad 728x90

CUEPACS Dedah Skim Pinjaman Tanpa Slip Gaji



Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mendedahkan terdapat bank di negara ini yang menawarkan skim pemberian pinjaman tanpa slip gaji kepada penjawat awam.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata skim itu akan menjerumus penjawat awam berdepan masalah bankrap selain timbulnya isu kemiskinan tegar dalam kalangan mereka.

"Melalui skim ini, penjawat awam dibenarkan membuat pinjaman dengan bank dan potongan terus pada akaun di bank akan dibuat...bakal pesara atau yang sudah bersara juga dibenarkan membuat pinjaman dalam tempoh 10 tahun.

"Setakat ini, kita ada menerima aduan di mana pesara hanya menerima pencen RM400 manakala bakinya dipotong oleh pihak bank," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan Perkhidmatan Tadbir dan Awam Pasukan Polis Semenanjung Malaysia (PACSU) di Alor Star.

Majlis itu dirasmikan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, yang turut dihadiri Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Seri Zulkifli Abdullah dan Ketua Polis Kedah Datuk Asri Yusoff.

Justeru, Azih meminta kerajaan dan Bank Negara supaya campur tangan dalam perkara berkenaan bagi mengetahui mengapa pihak bank membenarkan pembiayaan kepada penjawat awam tanpa meminta slip gaji serta melihat kelayakan untuk membuat pinjaman.

"Macam mana mereka (penjawat awam) mahu teruskan kehidupan dalam keadaan ekonomi semakin mencabar ini sekiranya institusi kewangan hanya memikirkan keuntungan, perkara ini seolah-olah seperti meminjam daripada ah long yang tidak bersimpati dengan keadaan penjawat awam," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga akan membawa perkara itu kepada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dalam masa terdekat bagi mendapatkan penjelasan lebih jelas berhubung isu itu.

Sementara itu, Azih menyeru kepada semua penjawat awam supaya jangan mudah terpedaya dan terpengaruh dengan nilai pembiayaan ditawarkan oleh pihak bank bagi mengelak daripada kesusahan pada masa akan datang.

- BERNAMA

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90