Top Ad 728x90

, ,

Da’i Niezal Juara Pendakwah Nusantara Musim Keempat (2016)

Da’i Niezal Juara Pendakwah Nusantara Musim Keempat (2016)


Peserta Da’i Pendakwah Nusantara musim keempat, Mohd. Sufwan Niezal Sabri atau Da’i Niezal menepati ramalan ramai apabila diumumkan sebagai juara pada pentas akhir Da’i musim keempat selepas 12 minggu bertanding.

Kejayaan Niezal sekali gus menewaskan dua lagi finalis iaitu Mohamad Saiful Marzuki, 18, (Da’i Saiful) dan Muhammad Nasrul Nizam Zamry, 20, (Da’i Nasrul) dalam pertandingan yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam tersebut.

Terkejut dan sama sekali tidak menyangka kemenangan akan berpihak pada dirinya, Niezal berkata, kejuaraan berkenaan adalah rezeki kurniaan Allah buatnya dan berdoa agar masyarakat di luar sana akan menerima kehadirannya sebagai pendakwah muda dengan hati terbuka.

“Syukur ke hadrat Ilahi kerana diberikan peluang untuk merasai nikmat menjadi juara dalam pertandingan Da’i musim keempat. Saya harap ini bukanlah penghujung buat saya tetapi lebih kepada permulaan kepada sebuah perjuangan baharu.

“Pada usia 19 tahun, masih banyak yang perlu dipelajari, namun saya berjanji akan cuba berkongsi sebanyak mana ilmu yang ada dengan mereka yang sudi mendengarnya,” ujar anak yatim piatu kelahiran Terengganu itu ceria.

Pelajar semester satu Diploma Dakwah & Pengurusan di Kolej Universiti Islam Sultan Ahmad Shah, Pahang itu masih belum membuat sebarang perancangan dengan wang hadiah kemenangan dan lebih fokus untuk kembali menyambung pengajian yang tergendala pada Disember depan.

Ketika pentas akhir, Niezal diberikan tajuk Wahai Anakku untuk pusingan tazkirah selama empat minit yang membolehkan dia menarik perhatian juri dengan pengisian mantap dan juga menunjukkan kecekapan menjawab soalan spontan daripada penonton berkenaan soal perkahwinan.

Juara membawa pulang wang tunai RM50,000 sebuah iPad, pakej tajaan umrah untuk dua orang, sebuah trofi penyertaan dan produk penjagaan kesihatan Almas Beauty & Health tajaan sepenuhnya oleh Almas yang bertindak selaku penaja utama program berkenaan.

Dua lagi finalis menerima wang saguhati RM5,000, sebuah iPad serta produk Almas Beauty & Health.

Sementara itu, penerbit program Da’i, Shukri Ibrahim berkata, penglibatan peserta-peserta muda untuk musim kali ini dilihat menjadi daya penarik utama kepada penonton.

Ia juga sebagai satu permulaan positif bagi melahirkan lebih ramai pendakwah berpotensi daripada generasi Gen Y yang menjadikan program Da’i sebagai pencetus inspirasi.

“Meskipun lingkungan usia mereka bermula seawal 18 hingga awal 20-an tetapi impak yang diberikan dalam setiap persembahan mingguan sangat besar dan berkesan di hati masyarakat yang menonton.

“Jumlah penonton bagi setiap mingguan mencecah 1.5 juta meskipun pada masa sama berlangsung acara-acara hiburan lain.

“Catatan tersebut memberi gambaran bahawa masih ada khalayak yang mahukan rancangan intelektual serta islamik seperti ini,” kata Shukri lagi.

Ditanya adakah pemilihan peserta untuk musim akan datang masih mengekalkan konsep sama iaitu mencari anak-anak muda, Shukri tidak menolak kemungkinan tersebut kerana melihat golongan muda lebih senang dibentuk jika dilatih seawal usia belasan tahun.

Menurutnya lagi, masyarakat semakin terbuka untuk menerima pendakwah muda yang hadir dengan idea segar dan semangat yang berkobar-kobar.

“Pentas Da’i hanyalah platform bagi mereka yang sudah mempunyai bakat dan menjadi lebih baik dengan bimbingan tenaga pengajar profesional.

“Jika diberikan peluang dan saluran yang betul, mereka akan menyerlah dan masyarakat akan dapat menikmati manfaat ilmu yang ingin disampaikan,” tutup Shukri.

- Kosmo!

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90