Top Ad 728x90

, ,

Malaysia Miliki Kepakaran Mengesan dan Menganalisis Agen Saraf VX


Malaysia mempunyai kepakaran dan teknologi untuk mengesan dan menganalisis Agen Saraf VX yang digunakan dalam kes pembunuhan Kim Jong-nam biarpun negara tidak mempunyai pengalaman mengendalikan bahan kimia itu sebelum ini.

Profesor Jabatan Kimia Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Prof Dr Abdul Rahim Yacob berkata kepakaran ahli kimia negara diiktiraf seluruh dunia dan tidak sewajarnya ada pihak meragui analisis dan siasatan yang dibuat berkaitan kes itu.

Berpengalaman dalam bidang sains forensik lebih 20 tahun dan pernah berkhidmat sebagai ahli kimia di Jabatan Kimia Malaysia selama 10 tahun, Abdul Rahim yakin jabatan berkenaan mempunyai kebolehan menjalankan analisis senjata kimia itu.

"Ahli kimia kita wajib berdaftar setiap tahun dengan Institut Kimia Malaysia (IKM). Ini kerana, mereka terikat dengan Akta Ahli Kimia Malaysia iaitu tidak boleh mengesahkan atau mengeluarkan sebarang laporan seperti laporan bedah siasat sekiranya tidak berdaftar.

"Kita juga mempunyai kelengkapan teknologi canggih mengesan racun dan sisa-sisa kimia seperti mesin High-performance liquid chromatography (HPLC), UV Detector dan gas chromatography. Jadi, tidak perlu timbul keraguan," katanya.

Abdul Rahim berkata sehubungan itu tidak timbul keperluan untuk Malaysia menggunakan kepakaran negara luar berikutan memiliki kepakaran tempatan dan teknologi terkini bagi mengkaji penggunaan bahan toksik itu dalam kes berkenaan.

Senjata kimia yang tidak mempunyai rasa serta bau itu boleh melumpuhkan sistem saraf dan orang yang terkena VX boleh mati dalam masa setengah jam akibat tidak boleh bernafas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini berkata bahan kimia 'Ethyl S-2-Diisopropylaminoethyl Methylphonothiolate' atau Agen Saraf VX telah digunakan dalam pembunuhan Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un.

Jong-nam berada di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) pada 13 Februari lepas untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila tiba-tiba dihampiri dua wanita dan menyapu mukanya dengan tapak tangan mereka yang mengandungi cecair beracun.

Jong-nam, yang menggunakan pasport dengan nama Kim Chol, mendapatkan bantuan di kaunter khidmat pelanggan di lapangan terbang itu dan segera dihantar ke Hospital Putrajaya namun meninggal dunia semasa dalam perjalanan.

- BERNAMA

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90