Pengasas Valet Doa Teruskan Operasi

Perkhidmatan kiriman 'doa berbayar' ke Makkah yang kini tular di media sosial akan diteruskan, tetapi dengan sedikit perubahan.

Pengasas Valet Doa, Mohd Nasrin Harin berkata, perubahan akan dibuat terhadap terma yang ditetapkan sebelum ini di mana terdapat jaminan pemulangan wang kepada pengirim  jika doa yang dikirim tidak dimakbulkan dalam masa 365 hari.

Beliau berkata, pihaknya bersetuju membuat perubahan itu selepas mengambil kira teguran ulama yang menyifatkan tawaran pemulangan wang menunjukkan unsur perniagaan.

"Teguran itu datang daripada ahli agama, saya kena ikutlah, malah Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) pun menyatakan perkara hampir sama.

"Mungkin saya akan tukar 'refund' duit kepada ganti pakej," katanya kepada mStar Online, Khamis.
Bagaimanapun beliau tidak mengulas lanjut mengenai perubahan tersebut atau pakej mana yang terlibat.

Beliau berkata demikian ketika ditanya langkah yang akan diambil selepas Jakim dan beberapa ulama mengeluarkan kenyataan meminta umat Islam tidak terpengaruh dengan khidmat yang ditawarkan Valet Doa.

Jakim berkata, perkhidmatan itu jelas menunjukkan unsur perniagaan, menjaja serta menggunakan ibadat serta doa untuk tujuan perniagaan yang tidak dibenarkan Islam, selain Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri meminta ia dihentikan.

Nasrin, 40, mendakwa perkhidmatan ini dikritik dan ditentang hebat disebabkan ia masih terlalu baharu dan orang ramai belum menyedari manfaat yang bakal diperolehi.

"Saya akan buat yang terbaik dengan pelanggan-pelanggan yang bagi amanah kepada saya.
"Diharap testimoni pelanggan yang puas hati, akan mengubah fikiran mereka (pengkritik) untuk menyokong usaha saya," katanya.

Bekas kontraktor binaan ini berkata, setakat ini, beliau belum dihubungi Jakim atau mana-mana pihak berkuasa agama berhubung isu ini.

Katanya, pada masa ini beliau juga tidak bercadang untuk menghentikan operasi Valet Doa dan halaman Facebooknya yang dibuka empat hari lalu  akan dikekalkan.

"Jakim tak ada hubungi saya, saya akan teruskan saja...Jakim memang tak sokong sebab dah keluar kenyataan," katanya.

Mengenai kritikan dan kecaman netizens yang ditujukan kepadanya, beliau menganggap ia dilakukan oleh kumpulan bukan sasarannya.

Malah, beliau berkata, di sebalik kritikan yang diterima, tidak kurang juga yang berminat, selain terdapat rakan-rakannya di kalangan ustaz yang tidak berpuas hati dengan kenyataan yang meminta perkhidmatan itu dihentikan.

"Permintaan masih ada, banyak. 'Pening' pun ada juga.

"Yang kritik itu saya anggap mereka bukan target market saya," katanya.

Valet Doa kecoh di media sosial apabila ia menawarkan peluang kepada orang ramai yang tidak mampu ke Makkah tetapi berhasrat untuk doa-doa mereka dilafazkan di lokasi tertentu di Tanah Suci mengirimkan doa kepada wakil dengan bayaran tertentu.

Mereka perlu membayar pada kadar antara RM500 hingga RM2,500, bergantung kepada jumlah doa dan lokasi ia dilafazkan.

- mSTAR

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.