Top Ad 728x90

RUU355: Abdul Hadi Minta Izin Laksana Undang-Undang Islam



Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara terbuka telah meminta izin untuk memastikan undang-undang Islam terus dilaksanakan di negara ini.

Beliau berkata, undang-undang ciptaan manusia jelas tidak dapat memberi penyelesaian sepenuhnya kepada masalah jenayah sama ada di peringkat nasional dan antarabangsa justeru undang-undang Islam perlu dilaksanakan.

"Dunia hari ini menyaksikan kegagalan undang-undang manusia, ia tak mampu membendung jenayah di peringkat nasional dan antarabangsa kerana undang-undang manusia tak ada roh dan iman.
"Izinkan untuk lihat undang-undang Islam dilaksanakan, daripada kamu mencemuh lebih baik kamu bincangkan tentang undang-undang yang sudah lapuk, masih guna tali gantung, tak mengira siapa saksi," katanya ketika berucap di Himpunan RUU355 di Padang Merbok, malam Sabtu.

Abdul Hadi berkata, undang-undang Islam sepatutnya dibincangkan dan bukan dipertikaikan dengan kejahilan dan tanpa ilmu.

Katanya, sejarah telah membuktikan perbincangan dan kerjasama tanpa mengira agama atau pegangan politik telah berlaku di dalam dan luar negara dalam menangani masalah yang timbul.

"Kepada yang masih bersikap negatif terhadap RUU355 mereka perlu melihat sejarah di mana Al Quran telah dirujuk untuk menggubal undang-undang di peringkat dunia," katanya.

Katanya, tiada sebab untuk orang bukan Islam menentang RUU 355.

Beliau turut mengulangi bahawa pindaan akta ini tidak ada kena mengena dengan hukum hudud dan tidak akan menjejaskan orang bukan Islam.

"Tak ada sebab untuk mereka membantah, ini sudah melanggar adat perpaduan agama.

"Orang Islam mesti hormati adab dan menghormati adat perpaduan agama," katanya.

Ucapan Abdul Hadi mengakhiri Himpunan RUU355 pukul 11.30 malam selepas ia bermula sejak pukul 2 petang.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menepati janjinya apabila hadir ke Himpunan RUU 355.

Jamil Khir dilihat di pentas utama di Padang Merbok pada pukul 7.45 petang ketika hujan renyai, bersama timbalannya Datuk Dr Asyraf Wajdi.

Beliau yang memakai baju warna ungu sebagai tanda sokongan terhadap perhimpunan ini telah disambut baik oleh peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang politik.

Tidak lama kemudian beliau tampil di hadapan pentas untuk menyampaikan tazkirah khas.

Jamil Khir memulakan ucapannya dengan menyampaikan salam daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada semua peserta himpunan.

"Sebelum bertolak ke sini saya berjumpa perdana menteri walaupun pada Rabu lepas beliau sudah izinkan saya wakilkan semua untuk sama-sama mengangkat martabat Mahkamah Syariah.

"Sebelum bertolak perdana menteri dan timbalan perdana menteri minta saya sampaikan salam dengan lafaz Assalamualaikum kepada tuan-tuan dan puan-puan," katanya kepada seluruh peserta himpunan.

Jamil Khir dalam ucapannya berkata pindaan akta pada kali ini telah mencetuskan satu polemik yang panjang, berbeza dengan pindaan yang pernah dibuat pada tahun 1984.

"Jika tahun 1984 tak ada masalah di Parlimen, sesama masyarakat atau siapa-siapa kenapa pada 2016 untuk buat pindaan sampai terpaksa adakan perhimpunan macam ni.

"Kenapa terlalu sukar, orang Islam tak ambil mana-mana hal orang lain pun," katanya.


"Timbul pelbagai persoalan contohnya ini adalah pintu belakang hudud atau sebahagian daripada hudud sedangkan kita amat faham ini berkaitan hal bersabit qazaf, murtad, arak dan zina yang telah sedia ada," katanya.

- mSTAR

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90