SPRM Sasar Tiga Tahun Bersihkan Rasuah Penjawat Awam



Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menetapkan tiga tahun untuk membersihkan perkhidmatan awam daripada gejala rasuah khususnya dalam kalangan agensi penguat kuasa, badan pengawal, pihak berkuasa negeri dan tempatan.

"Tempoh tiga tahun dipilih kerana pada 2020 Malaysia seharusnya sudah mencapai status negara maju," kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki.

Beliau berkata sebanyak 665 kertas siasatan dibuka sepanjang tahun 2016 hingga Februari tahun ini (2017) melibatkan penjawat awam.

"Ini menunjukkan betapa seriusnya rasuah dalam kalangan penjawat awam dan kita (SPRM) khuatir jumlah ini akan terus meningkat sekiranya tidak dibendung dari sekarang," katanya pada majlis Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Bersama SPRM di KKLW.

Hadir sama ialah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Daripada 665 kertas siasatan itu, seramai 548 penjawat awam telah ditangkap dan sebanyak 63 kes dituduh di mahkamah, katanya.

Azam turut merujuk kepada kes rasuah Jabatan Air Sabah sebagai indikator yang tidak baik apabila seorang penjawat awam boleh 'tidur' dengan wang sebanyak lebih RM50 juta di rumahnya.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis berkenaan, Azam berkata sasaran membersihkan rasuah dalam kalangan penjawat awam dalam masa tiga tahun merupakan faktor utama SPRM lebih agresif menjalankan operasi sejak tahun lepas.

Ditanya mengenai faktor yang menyebabkan perlakuan rasuah dalam kalangan penjawat awam, beliau berkata keadaan negara yang semakin membangun dan banyak transaksi ekonomi berlaku membuka banyak peluang untuk rasuah.

"Dalam keadaan ini apabila seorang diberi kuasa, dia mudah terjebak dalam rasuah atau penyalahgunaan kuasa. Kalau tidak ada duit, orang tidak akan melakukan rasuah, mereka akan melakukan jenayah lain seperti merompak, jual dadah dan sebagainya," katanya.

- Bernama

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Tawaran Istimewa E-Book

Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan lebih 1,000 buah Koleksi E-book pelbagai topik dengan hanya RM20.00 sahaja. WhatsApp "E-BOOK RM20" ke: 0139790000

lihat tawaran