Tindakan Terhadap Skim Kewangan Haram



Bank Negara Malaysia (BNM) tidak akan teragak-agak untuk menguatkuasakan undang-undang terhadap pelaku dan penganjur skim kewangan haram dan berjanji bahawa pesalah akan berdepan dengan tindakan undang-undang yang tegas.

Ia termasuk undang-undang yang ditadbir oleh BNM, Kanun Keseksaan, Akta Skim Kepentingan 2016, Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993, serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Di bawah undang-undang itu, tindakan juga boleh diambil terhadap pelabur yang dengan sengaja menggalakkan dan menyertai skim haram tersebut, kata BNM dalam satu kenyataan pada Khamis.

Bagi tujuan ini, satu tindakan penguatkuasaan bersama terhadap mana-mana penipuan kewangan dan komplot akan dijalankan oleh inisiatif antara agensi yang diketuai oleh Jabatan Peguam Negara di bawah Jawatankuasa Penyelarasan Kebangsaan bagi Pencegahan Pengubahan Wang Haram.

Bank pusat juga memberi peringatan kepada orang ramai agar tidak menyertai skim yang menjanjikan pulangan, kadar faedah dan keuntungan tinggi yang tidak munasabah.

"Orang ramai perlu memastikan mereka tidak terpedaya dengan skim-skim ini dengan merujuk kepada Peringatan kepada Semua Pengguna Kewangan BNM yang menyenaraikan syarikat yang tidak diberi kebenaran atau kelulusan di bawah undang-undang dan peraturan berkaitan yang ditadbir oleh bank pusat.

"Ia juga menyediakan maklumat mengenai ciri-ciri lazim skim kewangan haram," kata BNM.
Institusi kewangan dan penyedia perkhidmatan perniagaan wang telah diarahkan untuk meningkatkan pemantauan dan pengesanan mereka terhadap akaun pelanggan yang digunakan oleh pelaku penipuan kewangan.

Mereka juga minta untuk terus mengukuhkan dasar dan proses usaha wajar pelanggan mereka dalam mengenal pasti urus niaga dan aliran dana akaun bank yang mencurigakan agar dapat mengelakkan institusi kewangan daripada menjadi saluran yang membantu skim haram tersebut.  

- BERNAMA

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.