Top Ad 728x90

Gadis Penjual Aiskrim di Langkawi

by


Bagai tak percaya apabila seorang gadis cantik tanpa segan silu sanggup menunggang motosikal, meredah kawasan kampung semata-mata mahu menjual ais krim.

Disebabkan wajahnya yang cantik itu, gambar dan videonya sedang menjual ais krim kepada kanak-kanak di kawasan kampung telah menjadi tular di media sosial.

Selain memuji anugerah yang diberikan kepada gadis berkenaan, netizen juga nampaknya senang dengan gaya bersahaja si penjual ais krim ini yang tidak memilih pekerjaan dalam mencari rezeki halal.

Difahamkan, gadis ini adalah pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) dan sering menjual ais krim di sekitar Langkawi, termasuklah di majlis-majlis kenduri kahwin ketika cuti semester.

Tidak hanya dia seorang, bapa dan adik-beradiknya juga dikatakan melakukan pekerjaan yang sama. Disebabkan wajahnya yang cantik juga, maka ramailah netizen yang nakal cuba mengusiknya.

- mSTAR

Melaka Wujud Bazar Rakyat

by

Kerajaan negeri Melaka akan mewujudkan sebuah bazar rakyat secara kekal di kawasan Pusat Komersil Hang Tuah Melaka (HTMCC) bagi melahirkan usahawan berdaya saing dan maju terutama dalam kalangan usahawan kecil dan sederhana.

Pengerusi Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri Datuk Hasan Abdul Rahman berkata bazar berkenaan yang berkonsepkan pusat beli-belah terbuka dicadang dibangunkan kerajaan negeri di HTMCC sekitar Jalan Hang Tuh dan Jalan Tun Ali di Melaka.

"Tujuan kita mewujudkan bazar ini adalah untuk memastikan usahawan kita mempunyai tempat berniaga secara tetap terutama mereka yang sebelum ini lebih bergantung pada perniagaan bazar yang diwujudkan pada musim tertentu seperti ketika Ramadan ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bazar Ramadan Aidilfitri Industri Asas Tani 2017.

Beliau berkata sebagai pengerusi keusahawanan negeri, beliau akan membawa usul tersebut kepada mesyuarat Exco kerajaan negeri dalam masa terdekat.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Usahawan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Ab Razak Majid.

Hasan berkata inisiatif berkenaan melibatkan pelbagai agensi terutama FAMA dan Jabatan Kemajuan Masyarakat dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri yang akan mengenal pasti langkah pelaksanaan dan usahawan yang berpotensi terlibat dalam perniagaan bazar tersebut.

Beliau berkata bazar berkenaan akan menjadi antara ikon baharu keusahawanan selain sebagai produk pelancongan terkini yang dilihat bukan sahaja mampu meningkatkan ekonomi usahawan malah ekonomi kerajaan negeri.

Sementara itu, tujuh lokasi Pasar Tani Khas Pra-Syawal diwujudkan di tiga daerah bagi menjual barangan keperluan asas untuk menyambut Aidilfitri.

Beliau berkata antara lokasi pasar tani khas tersebut ialah Pasar Tani Merlimau, Lubok China, Selandar dan Masjid Tanah yang bermula pada Selasa hingga Sabtu ini, sejak 7 pagi hingga 12 tengah hari.

"Pelbagai barangan keperluan untuk persiapan Hari Raya dijual pada harga yang berpatutan dan terdapat potongan harga antara lima hingga 20 peratus untuk sesetengah barangan," katanya.

- mSTAR

Awas Pilih Corak Lukisan Inai!

by


Wanita Islam yang gemar berhias dengan lukisan henna atau inai perlu berhati-hati memilih corak yang sesuai kerana terdapat ukiran yang melambangkan kepercayaan agama lain yang boleh merosakkan akidah seperti 'Dreamcatcher'.

Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata ukiran yang boleh menimbulkan kekeliruan kerana mempunyai ciri persamaan dengan kepercayaan agama lain, perlu dielakkan.
"Umat Islam tidak boleh menyerupai agama lain...sebagai contoh, memakai rantai berbentuk salib," katanya ketika dihubungi Bernama.

Bagaimanapun, Mohamad Shukri berkata larangan itu diputuskan secara umum berdasarkan hukum syarak iaitu umat Islam tidak boleh menyerupai agama lain.

Katanya umat Islam perlu mematuhi garis panduan penggunaan henna yang dibenarkan syarak iaitu menggunakan jenis yang serap air, tidak membatalkan wuduk dan bukan daripada bahan najis.
Dreamcatcher yang merupakan perhiasan kayu berbentuk lingkaran bulatan yang dihiasi jaring dan bulu-bulu burung, digunakan penduduk pribumi Amerika (American Indians) bagi melindungi seseorang daripada mengalami mimpi buruk ketika tidur.

Tinjauan Bernama di beberapa lokasi di ibu negara mendapati ramai pelukis henna yang menawarkan lukisan berbentuk Dreamcatcher.

Menurut seorang penggemar henna yang mahu dikenali sebagai Mira, 24, beliau terkejut apabila dimaklumkan pelukis henna di sebuah pasar malam di Shah Alam, Selangor bahawa gerainya pernah dikunjungi pegawai Jabatan Agama Islam Selangor dan memaklumkan henna bercorak Dreamcatcher adalah tidak dibenarkan.

"Mujur saya tidak terjebak untuk melukisnya pada tangan saya pada ketika itu kerana saya lihat ramai rakan yang telah berhias dengan reka bentuk tersebut," katanya.

- mSTAR

Latihan Separa Perubatan Kementerian Kesihatan - Jun 2017

by


Latihan Separa Perubatan Kementerian Kesihatan - Jun 2017

1. Latihan Separa Perubatan Bertaraf Diploma
Bilangan Kekosongan : 1262 Kekosongan
– Jururawat, Penolong Pegawai Perubatan, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Juruteknologi Makmal Perubatan, Juru X-Ray, Jururawat PSL, Jurupulih Perubatan & Penolong Pegawai Farmasi

1. Latihan Separa Perubatan Bertaraf Siji;
Bilangan Kekosongan : 173 Kekosongan
– Pembantu Pembedahan Pergigian & Pembantu Kesihatan Malaysia

Permohonan Latihan Separa Perubatan di Kementerian Kesihatan Malaysia perlu dibuat secara online di portal SPA http://www.spa.gov.my

Tarikh Tutup Permohonan : 9 Julai 2017

Cadangan GST 6% Lebih 60 Makanan Dibatalkan

by

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada Isnin mengumumkan pembatalan cadangan kerajaan untuk mengenakan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) ke atas lebih 60 makanan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Subromaniam Tholasy berkata pembatalan itu dilakukan selepas perbincangan dengan Kementerian Kewangan bagi mendapatkan maklum balas mengenai cadangan tersebut.

Jelas beliau, laporan media itu merujuk kepada Perintah Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pembekalan Berkadar Sifar) (Pindaan) (No.2) 2017 yang diwartakan pada 6 Jun lalu.

"JKDM telah merujuk perkara ini dengan Kementerian Kewangan untuk maklum balas dan telah membuat keputusan supaya P.U (A) 162 Perintah Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pembekalan Berkadar Sifar) (Pindaan) (No.2) 2017 dibatalkan.

"Justeru JKDM memohon kerjasama semua pihak supaya mengambil maklum tentang perkara ini," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Terdahulu, Subromaniam dipetik sebagai berkata lebih 60 barang makanan akan dikenakan GST termasuk beberapa jenis makanan laut, sayur-sayuran, buah-buahan, teh, kopi, rempah dan mi berkuat kuasa 1 Julai ini.

Makanan laut seperti ikan belut, ikan todak, jagung, sayuran sejuk beku, buah-buahan import (avocado, apricot, anggur, ceri, buah pic, plum) buah tin dan marjerin akan tertakluk kepada GST enam peratus.

Kerajaan memperkenalkan GST enam peratus ke atas barangan dan perkhidmatan pada April 2015.

- mSTAR

Gadis Pahang tunang Remy Ishak

by

 

Tiada angin tiada ribut, tiba-tiba tersebar gambar pelakon kacak, Remy Ishak, melangsungkan pertunangan dengan kekasihnya yang juga ahli perniagaan, Ezza atau Roszaliza Yusof, 33, pada 31 Mei lalu.

Majlis berkenaan diadakan di kediaman keluarga perempuan di Pahang.

Mengadakan majlis terbabit secara tertutup dengan hanya dihadiri oleh keluarga terdekat, Remy, yang berkawan rapat dengan Ezza sejak tiga tahun lalu, mengaku beliau ada alasan tersendiri untuk berbuat demikian.

"Saya mengakui agak bersikap konservatif dalam hal ini. Lagipun, Islam sendiri tidak menggalakkan umatnya untuk menguar-uarkan mengenai pertunangan.

 

Kimerisme masalah dua genetik dalam satu badan

by

Sangkaan Taylor Muhl bahawa dia mempunyai seorang kembar rupanya benar. Selama ini wanita berusia 33 tahun itu pernah terfikir dia mungkin mempunyai seorang adik kembar tetapi dia tidak pernah menyangka tanda lahir pada bahagian abdomen rupa-rupanya ialah pasangan kembar yang bersatu dengan tubuhnya.

Muhl yang berasal dari California, Amerika Syarikat berkata, dia begitu obses dengan apa-apa yang seiras atau serupa sejak dari kecil lagi.

“Semasa saya berusia enam tahun, saya pernah bertanya kepada ibu jika saya mempunyai pasangan kembar.

“Saya selalu bermain dengan rakan-rakan lain dengan mengenakan pakaian dan gaya rambut serupa kerana beranggapan mereka mungkin saudara kembar saya. Ibu begitu bingung dengan keadaan saya ketika itu,” katanya.

Pada masa itu, Muhl tidak pernah menyangka dia berkongsi asid deoksiribonukleik (DNA) dengan kembarnya dalam kandungan.

“Saya selalu berasa ada sesuatu yang aneh tentang diri ini sehinggalah kira-kira lapan tahun lalu, saya didapati menghidap penyakit ganjil.

“Doktor memberitahu, saya menghidap kimera atau kimerisme dan ia sebenarnya telah ‘menyerap’ saudara kembar saya semasa kami masih dalam kandungan,” katanya seperti dipetik portal Mail Online.

Cerita Muhl, dia tidak pernah mengetahui bahawa tanda lahirnya itu merupakan antara gejala yang ditunjukkan oleh penyakit yang dihidapinya.

Pigmentasi

“Saya tidak tahu ia suatu penyakit sehinggalah saya terjumpa dokumentari mengenai kimerisme semasa sedang menukar saluran televisyen di rumah.

“Saya begitu terkejut kerana melihat ada orang senasib seperti saya,” ujarnya.

Tidak seperti orang lain, bahagian sebelah kiri badan Muhl lebih besar dan kulit pada bahagian berkenaan juga sedikit gelap berbanding sebelah kanan.

Pigmentasi warna yang agak besar serta jelas itu boleh dilihat ‘membahagi’ abdomennya di bahagian tengah lurus ke bawah melalui pusat sehingga ke kakinya.

‘Tanda lahir’ itu menjadikan kes Muhl lebih ganjil kerana kebanyakan pesakit kimerisme tidak menunjukkan simptom secara luaran dan jika ada pun, ia hanya memiliki tanda pigmentasi yang sangat kecil.

Lebih memburukkan keadaan, penyakit ganjil itu juga membuatkan dia memiliki dua sistem imunisasi dan dua aliran darah.

Disebabkan mempunyai dua sistem imunisasi berbeza, Muhl memiliki alahan terhadap objek besi tertentu.

“Hal tersebut juga menyebabkan saya sering jatuh sakit. Saya juga senang dijangkiti selesema, migrain dan mengalami kitaran haid yang tidak menentu,” katanya.

Kimerisme ialah penyakit yang sangat ganjil di mana hanya 100 orang di seluruh dunia didapati menghidap penyakit berkenaan.

Genetik berbeza

Ia boleh terjadi kepada mana-mana makhluk hidup sama ada manusia, haiwan atau tumbuh-tumbuhan.

Dalam perubatan, kimerisme berlaku apabila kandungan terbentuk daripada dua atau lebih populasi sel berbeza. Setiap populasi sel tersebut berasal daripada zigot berlainan.

Memandangkan kimerisme sangat jarang berlaku, pesakitnya hanya boleh didiagnosis menerusi ujian DNA darah.

“Kebanyakan pesakit tidak tahu mereka menghidap kimerisme. Dalam satu kes pada tahun 2002, seorang pesakit bernama Karen Keegan hanya mengetahui dia memiliki kimerisme selepas dia perlu melakukan pemindahan ginjal.

“Kedua-dua anak kandung Keegan tidak dapat menderma buah pinggang kepadanya kerana dia didapati tidak berkongsi genetik sama dengan mereka. Hal itu dijelaskan selepas doktor mendapati genetik anaknya diwarisi daripada saudara kembar Keegan yang mati dalam kandungan.

“Ini bermaksud set DNA dalam sel darah Keegan atau pesakit kimerisme lain berbeza daripada DNA pada tisu organ lain dalam badan mereka. Ada juga kes di mana pesakit mempunyai dua jenis darah berbeza dalam tubuh mereka,” kata portal Live Science.

- Kosmo!

Bidara Rawat Masalah Kulit

by


Kemalangan jalan raya yang berlaku kepada Mohd. Firdaus Mohd. Ibrahim, Khan, 40, merubah hidupnya apabila dia menghadapi masalah alergi kulit dan asma.

“Selepas kemalangan itu, saya mengalami masalah kulit yang sangat teruk, terutamanya pada bahagian muka. Ia kelihatan kemerahan dan gatal.

“Keadaan itu membuatkan saya rasa tidak selesa, apatah lagi jika terkena matahari ia akan menjadi sangat merah,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Rimbunan Healing Centre, Taman Mutiara, Taman Bukit Ampang, Ampang, Selangor baru-baru ini.

Disebabkan masalah itu, Mohd. Firdaus telah menjalani rawatan untuk melegakan masalahnya.

Dia mengambil keputusan untuk mencuba rawatan alternatif bagi mengurangkan risiko kesihatan berlanjutan.

Rawat punca

Hasrat itu tercapai setelah dia berkenalan dengan pengasas Rimbunan Healing. Selepas menjalani beberapa rawatan menggunakan produk berasaskan bidara, kulit mukanya menunjukkan kesan positif.

Bapa kepada orang cahaya mata itu diberi rawatan bekam pada wajah untuk membuang darah kotor di kawasan bermasalah dan penjagaan kulit muka.

Sementara itu, Pengasas Rimbunan Healing Centre, Norasyikin Md. Baharudin, 36, berkata, dia menggunakan pendekatan berbeza di tempat lain iaitu dengan merawat punca.

“Kami akan mendiagnosis pelanggan untuk mengetahui tahap keseriusan masalah mereka dengan menggunakan beberapa cara seperti melihat saraf di tapak tangan kerana di situ dapat mengetahui masalah dalaman seseorang.

“Ia penting kerana kecantikan sebenar adalah dari dalam, jika kita sihat ia akan terserlah pada wajah dan penampilan,” jelasnya yang berpengalaman selama lima tahun dalam bidang kecantikan dan jurubekam bertauliah.

Selain perkhidmatan kecantikan, pelanggan turut diberi khidmat nasihat mengenai pemakanan dan penjagaan kecantikan diri yang betul.

Ujar Norasyikin, dia memberi fokus kepada tiga perkhidmatan utama iaitu jerawat, resdung dan migrain.

Menariknya, Rimbunan Healing Centre menggunakan bahan-bahan semula jadi seperti buah bidara sebagai bahan utama di samping buah tin, zaitun, habbatus sauda, aloe vera dan pelbagai herba terbaik.

“Hampir keseluruhan bahan-bahan digunakan adalah esktrak daun bidara kerana ia mempunyai manfaat yang sangat baik untuk kecantikan.

“Selain itu, 90 peratus perkhidmatan di sini menggunakan kaedah bekam iaitu rawatan yang sangat disarankan oleh Rasulullah SAW untuk mengeluarkan darah kotor,” jelasnya yang berasal dari Kota Tinggi, Johor.

Terdapat 15 pakej perkhidmatan yang ditawarkan di pusat itu.

Antaranya, 3+1 penyelesaian jerawat, 3+1 penjagaan oksigen wajah, 3+1 antipenuaan, 3+1 penyelesaian jerawat lengkap dan penjagaan wajah rimbunan bidara 03.

Selain itu, rimbunan aloe vera oksigen wajah, bekam dan terapi ditoksifikasi, 3+1 migrain serta 3+1 resdung lengkap.

Mengulas mengenai pendekatan penggunaan bidara dan kaedah rawatan Islam, Norasyikin menjelaskan, ia bermula apabila dia mengalami kemalangan jalan raya dan cedera parah sehingga dua kali menjalani pembedahan tulang belakang pada usia 13 tahun.

“Sejak kemalangan itu, saya banyak bergantung pada ubat tahan sakit. Pada umur 30 tahun, saya mendapat rawatan pakar saraf di Aceh, Indonesia. Alhamdulillah, sakit belakang beransur pulih.

“Namun, pada usia 33 tahun saya diuji lagi dengan strok pada wajah sehingga muka penuh dengan jerawat besar. Dari situlah tercetus idea untuk berbekam wajah.

“Rentetan daripada dua peristiwa itu, saya menubuhkan spa yang menggunakan kaedah moden dan tradisional seperti yang ajarkan dalam al-Quran serta sunah,” cerita anak sulung daripada tiga adik-beradik yang sangat meminati bidang kecantikan itu.

Khasiat

Menurut Norasyikin, dia menggunakan bidara dalam produk penjagaan wajah di pusat itu kerana ia merupakan pokok yang diceritakan dalam al-Quran dan mempunyai pelbagai khasiat untuk kulit berjerawat, menguatkan rambut, antibakteria, antikeradangan dan antikebengkakan.

Salah satu ayat al-Quran yang menceritakan tentang bidara ialah surah Al-Waqi’ah ayat 28:

“Dan golongan kanan, alangkah bahagianya golongan kanan itu. Berada di antara pohon bidara yang tidak berduri, dan pohon pisang yang bersusun-susun (buahnya), dan naungan yang terbentang luas, dan air yang tercurah, dan buah-buahan yang banyak.”

Pokok bidara atau nama saintifiknya Z. mauritiana merupakan sejenis pokok renek malar hijau dengan ketinggian sehingga 15 meter dan ukuran batang 40 sentimeter.

Dalam bahasa Arab, bidara kenali sebagai sidr. Pokok ini banyak ditemui di kawasan tropika dan sub-tropika. Ia mempunyai beberapa jenis seperti bidara upas, bidara laut dan bidara Cina.

Ia berasal dari Afrika dan kini tersebar secara meluas di rantau tropika seperti India, Afghanistan, China, Malaysia dan Australia serta beberapa kawasan Pasifik.

Buah bidara mempunyai kandungan vitamin dan galian yang tinggi terutama vitamin C dan kaya antioksida.

Selain Z. mauritiana, buah bidara dikenali dengan pelbagai nama lain seperti jujube atau ber sejak lebih 4,000 tahun lalu.

Faktor migran dipercayai membantu penyebaran bidara ke beberapa buah negara Asia dan selatan Eropah.

Dianggarkan, terdapat 400 varieti buah bidara di dunia terutama di Asia.

Buahnya enak dimakan segar walaupun sesetengah negara menggunakan buah bidara sebagai salah satu ramuan penting dalam masakan.

Kandungan mineral dan vitamin yang tinggi dalam buahnya menyebabkan ia baik untuk kesihatan tubuh, peredaran darah dan kulit.

Lapan jenis produk berasaskan daun bidara yang dihasilkan oleh Norasyikin ialah krim pigmentasi bidara, minyak aroma terapi, pembersih wajah dan gel mandian.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan perkhidmatan penjagaan wajah di spa itu, mereka perlu membuat tempahan sehari sebelum datang bagi memastikan slot rawatan tidak penuh dan tidak perlu menunggu lama.

Rimbunan Healing Centre mempunyai tiga bilik rawatan dan tiga orang kakitangan terlatih untuk memberi perkhidmatan mengikut kondisi pelanggan.

Perkhidmatan yang menarik untuk dicuba ialah periuk sauna yang mengandungi 100 herba. Ia bertujuan mengeluarkan hama dan kotoran pada wajah.

Norasyikin juga berhasrat untuk mengembangkan perniagaan itu dengan memfrancais kepada mereka yang berminat.

- Kosmo!

Ayu Raudhah & Zaquan Dapat Anak Perempuan

by


Pelakon Ayu Raudhah selamat melahirkan cahaya mata ketiganya pada pukul 10.52 pagi Isnin di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur. Lebih menggembirakan isteri kepada pemain bola sepak Perak, Mohd Zaquan Adha Abd. Radzak itu menimang cahaya mata perempuan.

Pasangan itu mempunyai dua anak lelaki iaitu Muhammad Aisy Qaiser, 4 dan Muhammad Aisy Aryann, 3. Berita itu dimaklumkan oleh Mohd Zaquan menerusi Instagram miliknya.

"Alhamdulillah dengan izin Allah, isteri saya selamat melahirkan bayi perempuan pada pukul 10.52 pagi tadi. Syukur padaMu Ya Allah," tulisnya yang turut memuat naik gambar anak perempuannya di Instagram.

Sebelum ini, Ayu dalam satu temubual bersama mStar Online memberitahu impiannya untuk menimang cahaya mata perempuan akhirnya dimakbulkan tuhan. Ayu dan Mohd Zaquan berkahwin pada 2011.

- mSTAR

Senarai Lokasi Kamera AES Di Malaysia

by


Berikut adalah Senarai Lokasi Kamera AES Di Malaysia:

Had Laju (Lebuhraya)
1. KM 375.9 Lebuhraya PLUS - Slim River (Arah Utara)
2. KM 7 Jalan Maharajalela - Teluk Intan (Arah ke Bagan Datoh)
3. KM 91 Jalan Ipoh - Butterworth (Arah ke Selatan)
4. KM 85.5 Jalan Ipoh - Kuala Lumpur (Arah ke Selatan)
5. KM 204.6 Lebuhraya PLUS - Taiping (Arah ke Utara)
6. KM 6.6 SKVE (Puchong ke Kajang)
7. KM 301.6 Lebuhraya PLUS - Kajang (Arah ke Utara)
8. Jalan Lebuh Sentosa, Putrajaya (Kajang menuju ke PICC)
9. Jalan Persiaran Timur, Putrajaya (PICC menuju ke Kajang)
10. KM D7.9, Sungai Besi, Kuala Lumpur (Arah ke Selatan)

Lampu Isyarat
1. KM 26 Jalan Ipoh - Kuala Kangsar (Persimpangan Kg Kerdah)
2. Jalan Pasir Putih - Ipoh (Persimpangan Jalan Temenggung, Jalan King)
3. Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur (Persimpangan Jalan Sepadu)
4. Jalan Ipoh, Kuala Lumpur (Persimpangan Jalan Perhentian, Sentul)

Lokasi Kamera AES Baru Terkini
KM 151.4 Lebuhraya PLUS - Pagoh
KM 299.9 Lebuhraya PLUS - Kampar
KM 17 Gua Musang - Kuala Krai
KM96.3 Lebuhraya PLUS - Kuala Muda
KM256.1 Lebuhraya Pantai Timur 2
KM 288.6 Lebuhraya Pantai Timur 2
KM 146.8 Lebuhraya PLUS - Pagoh

Julia Perez Meninggal Dunia Akibat Kanser

by


Pelakon dan penyanyi Indonesia Julia Perez meninggal dunia pada Sabtu selepas tiga tahun melawan penyakit kanser servik tahap akhir.

Kapan Lagi melaporkan khabar duka itu dimaklumkan sendiri oleh adiknya, Anggita Perez menerusi Instagram miliknya.

"Innalilahiwainailahirojiun telah berpulang kakak kami tercinta Julia Perez. Minta doanya ya semua, terima kasih semua atas sokongan selama ini. I Love You Yuli," tulisnya.

Anggita turut memuat naik gambarnya bersama Julia atau nama sebenarnya Yulia Rachmawati yang terbaring lemah di atas katil sambil dia memegang tangan kakaknya itu dengan air mata sedang mengalir.

Jupe mula bergelar penyanyi sejak tahun 2002 dan dia telah menghasilkan empat buah album iaitu Kamasutra, Aku Rapopo, Dangdut Galau dan The Best Of Julia Perez.

Dia disahkan mengidap kanser servik pada tahun 2014 dan telah menjalani rawatan kimoterapi.

Siaran Digital MyFreeview Dilancar 6 Jun 2017

by


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam Selasa membuka lembaran baharu dunia penyiaran negara dengan melancarkan perkhidmatan televisyen terestial digital (DTT) myFreeview yang boleh dinikmati secara percuma oleh rakyat.

Ini secara rasmi menandakan industri penyiaran negara kini bertukar daripada analog ke sistem digital dalam usaha kerajaan menyediakan khidmat penyiaran televisyen dan radio terbaik untuk rakyat.

Sehubungan itu, Najib mengumumkan 4.2 juta dekoder percuma untuk diagihkan kepada mereka yang layak termasuk golongan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Bilangan itu merangkumi 2.2 juta set dekoder percuma sumbangan kerajaan sebagai tambahan kepada dua juta set dekoder yang diperuntukkan MYTV Broadcasting Sdn Bhd, syarikat yang dilantik untuk mengendalikan infrastruktur dan kemudahan rangkaian DTT.

"Kerajaan melalui SKMM telah melantik syarikat MYTV pada 2014 sebagai pemegang lesen penyedia infrastrukur tunggal dan MYTV bertanggung jawab untuk membina dan mengendali infrastruktur myFreeview untuk tempoh 30 tahun akan datang."

"Pemberian dekoder percuma ini membolehkan mereka menikmati Siaran Digital myFreeview yang percuma tanpa yuran bulanan. Pemberian dekoder percuma ini akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga suku kedua 2018," katanya ketika berucap melancarkan myFreeview.

Najib berkata pemberian dekoder percuma kepada isi rumah yang layak daripada senarai BR1M itu antara lain bagi mempercepatkan proses migrasi daripada analog ke digital dan berbanding negara-negara maju serta tetangga dalam ASEAN.

Malaysia merupakan negara yang mengambil pendekatan menyediakan dekoder percuma untuk rakyatnya terutamanya bagi mereka yang memerlukan bantuan.

Perdana menteri berkata myFreeview termasuk dalam Projek Pendigitalan Penyiaran Nasional yang bakal membolehkan kerajaan meraih pulangan dividen digital dengan pelepasan spektrum yang diguna pakai oleh penyiaran TV analog selama ini.

Katanya, spektrum tersebut akan diperuntukkan semula bagi tujuan perkhidmatan komunikasi moden yang lain seperti menambah baik rangkaian selular dan perkhidmatan jalur lebar mudah alih berkelajuan tinggi.

Najib menegaskan, projek di bawah naungan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan dipantau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) adalah sebahagian daripada agenda nasional untuk mentransformasikan industri penyiaran negara melalui pendigitalan dengan tujuan mempertingkatkan taraf hidup rakyat ke arah mencapai status negara maju menjelang 2020.

- BERNAMA


Cuti sekolah seminggu sempena Aidilfitri 2017

by


Sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan bakal menikmati ‘cuti panjang’ selama seminggu sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka jatuh pada 25 Jun 2017.

Kementerian Pendidikan dalam satu pekeliling sebelum ini memberitahu, bagi sekolah kumpulan A yang terdiri daripada Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu, akan mula bercuti pada 23 Jun sehingga 1 Julai ini.

Bagi sekolah Kumpulan B yang terdiri daripada Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, pahang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan pula akan bercuti pada 24 Jun sehingga 2 Julai ini.

“Kementerian telah menyelaraskan tarikh-tarikh cuti perayaan bagi sesi persekolah bagi 2017 yang melibatkan Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Hari Kaamatan, Hari Gawai dan Hari Natal.

“Semua sekolah hendaklah mematuhi cuti perayaan yang diperuntukkan kementerian dan cuti ini tidak perlu diganti,” kata pekeliling yang dikeluarkan Pejabat Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, di sini baru-baru ini.

Kekeliruan timbul ekoran penyebaran jadual cuti persekolahan selama seminggu di media sosial yang didakwa terlalu hampir dengan cuti pertengahan tahun selama dua minggu bermula 26 dan 27 Mei lalu.

Ini bermakna, murid dan pelajar akan bersekolah selama dua minggu selepas berakhir cuti pertengahan pada 11 Jun ini, sebelum kembali bercuti selama seminggu sempena Aidilfitri.

Sementara itu, cuti pertengahan tahun kali ini serentak dengan cuti perayaan Hari Kaamatan pada 30 dan 31 Mei sementara Hari Gawai pula jatuh pada 1 dan 2 Jun. 

- UTUSAN


Video Gadis Ceti Tuntut Hutang Viral

by


Masih ingat lagi video tular sebelum ini mengenai seorang gadis yang menuntut hutang daripada rakannya dengan aksinya yang mencuit hati?

Kali ini, gadis tersebut kembali dengan video baharu yang masih dengan telatah lucu membuatkan sesiapa sahaja yang menontonnya tidak kering gusi.

Menerusi video yang dikongsikan dalam laman sosial termasuk di Facebook Nurhayati Tahir (Bunga Marshelloop), gadis tersebut berkongsi ‘berita gembira’ mengenai rakannya telah melangsaikan hutang.

Menariknya, ‘rakannya yang berhutang’ itu kali ini sendiri menghubunginya berbanding sebelum ini enggan menjawab panggilan apabila dihubungi.

“Hello aku nampak video engkau, nasib baik engkau tak letak muka aku. Terima kasihlah, malunya kalau ada muka aku. Baru empat tahun tak bayar, aku nak bayarlah ni,” katanya yang melakonkan watak ‘rakan berhutang’ itu dengan gaya bersahaja.

“Hutang dah langsai! Sekarang dah tak payah makan tahi gigi, dah gosok bersih bersih dah. Boleh raya cantik cantik, terima kasihlah dah bayar balik duit itu,” katanya sambil terus menunjukkan reaksi wajah ceria melucukan.

Video berdurasi dua minit dan 16 saat itu kemudiannya diakhiri dengan pantun dua kerat buat rakannya.

“Empat tahun makan tahi gigi, lepas ini tak bagi pinjam lagi,” katanya sambil menambah bahawa dia dahulu bukannya bodoh kerana bagi pinjam, tetapi kurang cerdik.

“Cukuplah sekali saja bagi pinjam,” katanya.

Nurhayati sebelum ini mendapat perhatian netizen kerana banyak menghasilkan video gurauan tetapi sarat dengan mesej dan dekat dengan kehidupan masyarakat.

- mSTAR

Berpuasa bagi wanita hamil

by
Oleh Profesor Dr. Nik Hazlina Nik Hussain

Untuk memutuskan sama ada seseorang ibu itu perlu berpuasa atau tidak sangat bergantung kepada keadaan nutrien ibu, sekali gus memenuhi zat makanan bayinya. Dalam kata lain, soal nutrien harus mendapat perhatian yang serius oleh ibu-ibu hamil . Perlu juga diingat ketika hamil seorang ibu harus memikirkan keperluan dirinya dan juga anak yang sedang dikandungnya.

Jika tidak mengubah tabiat pemakanan, anak yang di dalam kandungan akan turut terjejas. Kekurangan makanan berzat walau sedikit pun akan menjejaskan kesihatan mereka.

Alhamdulillah, puan sudah berada pada trimester kedua (bulan keempat hingga keenam kandungan). Kebiasaannya, semasa awal kandungan iaitu bulan pertama hingga ketiga, ibu hamil sentiasa mengalami gejala mual, pening dan muntah yang kerap, sebaik-baiknya tidak berpuasa.

Pada masa ini, bayi amat memerlukan nutrien dan kalori yang amat tinggi daripada ibu. Sekiranya anda tidak mengalami masalah di atas, anda bolehlah berpuasa. Seelok-eloknya, jika ibu ingin berpuasa, masa paling sesuai adalah semasa kandungan berusia empat hingga enam bulan. Ibu-ibu juga dinasihatkan agar sentiasa mendapat pengawasan daripada doktor.

Ibu-ibu yang mempunyai penyakit, disarankan agar tidak berpuasa jika mengalami alahan yang teruk ( sentiasa lemah, mual dan mengalami kekurangan air dalam badan), penyakit kronik seperti diabetes mellitus, hipertensi, penyakit buah pinggang, anemia semasa mengandung, oligohidramnios (air mentuban yang sedikit), pesakit jantung, tumbesaran bayi yang terencat dan mengalami perdarahan semasa hamil .

Seseorang ibu juga tidak seharusnya menjadikan kehamilan sebagai alasan untuk makan secara berlebihan terutamanya semasa Ramadan. Piramid makanan boleh dijadikan panduan bagi mendapatkan pemakanan yang berzat dan seimbang. Pengambilan pelbagai jenis makanan dan juga kuantitinya amat penting.

Untuk memastikan ketahanan tubuh cukup kuat, ibu harus mengutamakan makanan dengan kalori dan protein yang tinggi seperti daging. Ia juga menyebabkan perut lambat berasa lapar. Bagaimanapun, tuntutan pertambahan kalori tidaklah setinggi tuntutan nutrien lain. Elakkan pengambilan karbohidrat dan gula kerana ia hanya menambah kalori. Serat dan sayur-sayuran jangan pula dilupakan.

Banyakkan minum air dan susu untuk memenuhi tuntutan harian sebanyak dua hingga tiga liter sehari. Jika tidak mampu, minum air kosong sahaja, bolehlah dicampur jus, sirap dan sebagainya. Minumlah air sepanjang malam dan sekiranya kerap membuang air kecil, ia petanda baik yang menunjukkan seseorang itu tidak mengalami dehidrasi. Biasanya seseorang wanita hamil memerlukan lebih kurang dua liter air sehari.

Oleh itu, bagi memastikan bekalan air yang mencukupi untuk tubuh, anda seharusnya meminum air dengan kerap selepas waktu berbuka puasa. Kemudian berehatlah lebih kurang sejam sebelum menyantap hidangan berbuka.

Tujuannya memberikan keseimbangan terlebih dahulu terhadap sistem pencernaan. Ingat, jangan makan berlebihan dan elak makanan yang mempunyai kandungan garam tinggi seperti telur dan ikan masin. Berbuka puasalah perlahan-lahan agar perut tidak terkejut. Untuk membantu penghadaman, kunyah makanan dengan baik.

Untuk anda yang mampu menahan lapar, perbanyakkanlah mengambil jenis makanan berserat yang banyak terdapat dalam sayur dan buah. Tubuh memerlukan waktu lebih lama untuk menghadam makanan banyak serat.

Selain makanan berserat dan protein, sebaik-baiknya sediakan jenis makanan yang mengandungi vitamin dan mineral serta makanan tambahan agar tubuh tetap segar-bugar sepanjang hari.

Kesimpulannya, wanita hamil boleh berpuasa jika mempunyai kekuatan dan tidak mengalami komplikasi kehamilan. Bagi yang tiada kekuatan akibat penyakit semenjak sebelum berkahwin atau dihidapi semasa hamil , dibenarkan berbuka dan harus menggantikannya semula.

- Utusan

Punca Nahas Helikopter Di Sarawak Didedah

by


Punca nahas helikopter Eurocopter AS350 di Batang Lupar, berhampiran Sebuyau, Sarawak pada Mei tahun lepas adalah disebabkan keadaan cuaca buruk dan juruterbang yang tidak biasa dengan kawasan persekitaran, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata perkara itu dikemukakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara dalam laporan akhir nahas helikopter itu, yang akan dimuat naik ke laman web Kementerian Pengangkutan (www.mot.gov.my) dalam masa terdekat.

Liow berkata laporan akhir yang telah dibentangkan di Kabinet pada bulan lepas itu mendapati ketika kemalangan berlaku, helikopter berkenaan telah memasuki kawasan yang mengalami hujan lebat dan ribut.

"Kita buat siasatan dan dapati bahawa helikopter tersebut memasuki kawasan ribut dan ketika itu laporan kaji cuaca daripada Jabatan Meteorologi juga menunjukkan kawasan kemalangan itu adalah kawasan hujan lebat.Kemalangan tidak melibatkan masalah teknikal sebaliknya cuaca dan juruterbang.

"Kalau orang biasa dengan laluan tersebut mungkin mereka akan elak tetapi juruterbang itu daripada luar negara dan tidak fasih (biasa) dengan keadaan sini, jadi juruterbang ikut GPS (sistem kedudukan global) dan itu kemungkinan kemalangan berlaku," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis pelancaran Buku Sejarah Penubuhan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman di Setapak.

Liow berkata laporan akhir itu turut mengesyorkan mana-mana syarikat, individu atau agensi yang menggunakan juruterbang luar negara perlu melalui kursus khas penerbangan helikopter dalam negara sebelum dibenarkan menerbangkan pesawat.

"Kursus ini bagi juruterbang warga asing biasakan diri dengan suasana, cuaca dan keadaan sekeliling kawasan di negara ini sebelum dibenarkan untuk menerbangkan mana-mana helikopter di negara ini," katanya.

Pada 5 Mei tahun lepas pesawat malang itu terhempas di Batang Lupar dengan mengorbankan enam penumpang termasuk juruterbang warga Filipina, Kapten Rudolf Rex Ragas, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Tan Sri Noriah Kasnon dan Anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

- Bernama

Model Iriz Dipertingkat

by


Proton Holdings Bhd secara rasmi memperkenalkan Proton Iriz yang dipertingkat pada Isnin dan kereka itu boleh diperoleh di semua bilik pameran di seluruh negara.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata, Proton Iriz baharu itu mempunyai tahap bunyi dan getaran yang lebih rendah, petunjuk bantuan pemanduan eko dan kalibrasi unit kawalan enjin yang dipertingkat bagi tindak balas linear untuk meningkatkan pemanduan.

"Kami tidak akan berkompromi dengan standard dan ciri-ciri keselamatan dan Iriz terkenal kerana ciri-ciri keselamatannya yang cemerlang.

"Sejak diperkenalkan pada September 2014, kami telah menjual lebih 45,000 unit, menjadikannya kereta Proton kedua paling laris sejak memulakan pengeluaran, selepas Saga," katanya.

Iriz dikeluarkan dalam empat varian, iaitu 1.3L Standard (MT dan CVT), 1.3L Executive CVT dan 1.6L Premium CVT.

Dijual dengan harga daripada RM43,800 hingga RM58,800 seunit, ia boleh didapati dalam lima warna, iaitu Ruby Red, Carnelian Brown, Graphite Grey, Atlantic Blue dan Cotton White.

- Bernama

Tarikh Pembayaran Bonus Raya 2017 Kakitangan Kerajaan

by



Kerajaan bersetuju untuk memberi Bantuan Khas Kewangan Hari Raya Aidilfitri 2017sebanyak RM500 kepada hampir 1.6 juta penjawat awam sebagai persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri 2017. Bantuan Khas ini juga akan turut dinikmati oleh hampir 775,000 pesara Kerajaan sebagai menghargai jasa perkhidmatan dengan jumlah bayaran sebanyak RM250.

Pembayaran bagi bantuan khas ini akan dibuat sebelum 9 Jun 2017.

Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam dan pesara Kerajaan ini membabitkan anggaran peruntukan kewangan sebanyak RM1 bilion.

Kerajaan berharap dengan pemberian Bantuan Khas ini dapat meringankan beban kewangan kepada penjawat awam dan pesara bagi persiapan Hari Raya Aidilfitri 2017.

Kementerian Kewangan
Putrajaya

Jambatan Pulau Sekati mula dibuka 30 Mei 2017

by


Fasa pertama Jambatan Pulau Sekati yang menghubungkan bandar raya Kuala Terengganu dengan Kuala Nerus mula dibuka kepada pengguna mulai petang 30 Mei 2017.

Laluan sepanjang tiga kilometer itu menghubungkan Pulau Sekati yang berada di tengah-tengah Sungai Terengganu ke Losong dan Paloh.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, ia merupakan satu lagi laluan alternatif untuk orang ramai ke pusat bandar dengan perjalanan yang lebih cepat dan selesa.

Menurut beliau, pembukaan sebahagian daripada jambatan tersebut dapat memberikan kelegaan kepada pengguna terutama menjelang Aidilfitri.

“Laluan fasa kedua sepanjang tiga kilometer ke Banggol Tuan Muda dan Jeram Tok Kong, Manir di sini pula akan dibuka 19 Jun2017.

“Keseluruhan projek Jambatan Pulau Sekati sepanjang enam kilometer ini melibatkan peruntukan sebanyak RM245 juta,” katanya.

- Kosmo!

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90