Berpuasa bagi wanita hamil

Oleh Profesor Dr. Nik Hazlina Nik Hussain

Untuk memutuskan sama ada seseorang ibu itu perlu berpuasa atau tidak sangat bergantung kepada keadaan nutrien ibu, sekali gus memenuhi zat makanan bayinya. Dalam kata lain, soal nutrien harus mendapat perhatian yang serius oleh ibu-ibu hamil . Perlu juga diingat ketika hamil seorang ibu harus memikirkan keperluan dirinya dan juga anak yang sedang dikandungnya.

Jika tidak mengubah tabiat pemakanan, anak yang di dalam kandungan akan turut terjejas. Kekurangan makanan berzat walau sedikit pun akan menjejaskan kesihatan mereka.

Alhamdulillah, puan sudah berada pada trimester kedua (bulan keempat hingga keenam kandungan). Kebiasaannya, semasa awal kandungan iaitu bulan pertama hingga ketiga, ibu hamil sentiasa mengalami gejala mual, pening dan muntah yang kerap, sebaik-baiknya tidak berpuasa.

Pada masa ini, bayi amat memerlukan nutrien dan kalori yang amat tinggi daripada ibu. Sekiranya anda tidak mengalami masalah di atas, anda bolehlah berpuasa. Seelok-eloknya, jika ibu ingin berpuasa, masa paling sesuai adalah semasa kandungan berusia empat hingga enam bulan. Ibu-ibu juga dinasihatkan agar sentiasa mendapat pengawasan daripada doktor.

Ibu-ibu yang mempunyai penyakit, disarankan agar tidak berpuasa jika mengalami alahan yang teruk ( sentiasa lemah, mual dan mengalami kekurangan air dalam badan), penyakit kronik seperti diabetes mellitus, hipertensi, penyakit buah pinggang, anemia semasa mengandung, oligohidramnios (air mentuban yang sedikit), pesakit jantung, tumbesaran bayi yang terencat dan mengalami perdarahan semasa hamil .

Seseorang ibu juga tidak seharusnya menjadikan kehamilan sebagai alasan untuk makan secara berlebihan terutamanya semasa Ramadan. Piramid makanan boleh dijadikan panduan bagi mendapatkan pemakanan yang berzat dan seimbang. Pengambilan pelbagai jenis makanan dan juga kuantitinya amat penting.

Untuk memastikan ketahanan tubuh cukup kuat, ibu harus mengutamakan makanan dengan kalori dan protein yang tinggi seperti daging. Ia juga menyebabkan perut lambat berasa lapar. Bagaimanapun, tuntutan pertambahan kalori tidaklah setinggi tuntutan nutrien lain. Elakkan pengambilan karbohidrat dan gula kerana ia hanya menambah kalori. Serat dan sayur-sayuran jangan pula dilupakan.

Banyakkan minum air dan susu untuk memenuhi tuntutan harian sebanyak dua hingga tiga liter sehari. Jika tidak mampu, minum air kosong sahaja, bolehlah dicampur jus, sirap dan sebagainya. Minumlah air sepanjang malam dan sekiranya kerap membuang air kecil, ia petanda baik yang menunjukkan seseorang itu tidak mengalami dehidrasi. Biasanya seseorang wanita hamil memerlukan lebih kurang dua liter air sehari.

Oleh itu, bagi memastikan bekalan air yang mencukupi untuk tubuh, anda seharusnya meminum air dengan kerap selepas waktu berbuka puasa. Kemudian berehatlah lebih kurang sejam sebelum menyantap hidangan berbuka.

Tujuannya memberikan keseimbangan terlebih dahulu terhadap sistem pencernaan. Ingat, jangan makan berlebihan dan elak makanan yang mempunyai kandungan garam tinggi seperti telur dan ikan masin. Berbuka puasalah perlahan-lahan agar perut tidak terkejut. Untuk membantu penghadaman, kunyah makanan dengan baik.

Untuk anda yang mampu menahan lapar, perbanyakkanlah mengambil jenis makanan berserat yang banyak terdapat dalam sayur dan buah. Tubuh memerlukan waktu lebih lama untuk menghadam makanan banyak serat.

Selain makanan berserat dan protein, sebaik-baiknya sediakan jenis makanan yang mengandungi vitamin dan mineral serta makanan tambahan agar tubuh tetap segar-bugar sepanjang hari.

Kesimpulannya, wanita hamil boleh berpuasa jika mempunyai kekuatan dan tidak mengalami komplikasi kehamilan. Bagi yang tiada kekuatan akibat penyakit semenjak sebelum berkahwin atau dihidapi semasa hamil , dibenarkan berbuka dan harus menggantikannya semula.

- Utusan Berpuasa bagi wanita hamil

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.