Siaran Digital MyFreeview Dilancar 6 Jun 2017



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam Selasa membuka lembaran baharu dunia penyiaran negara dengan melancarkan perkhidmatan televisyen terestial digital (DTT) myFreeview yang boleh dinikmati secara percuma oleh rakyat.

Ini secara rasmi menandakan industri penyiaran negara kini bertukar daripada analog ke sistem digital dalam usaha kerajaan menyediakan khidmat penyiaran televisyen dan radio terbaik untuk rakyat.

Sehubungan itu, Najib mengumumkan 4.2 juta dekoder percuma untuk diagihkan kepada mereka yang layak termasuk golongan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Bilangan itu merangkumi 2.2 juta set dekoder percuma sumbangan kerajaan sebagai tambahan kepada dua juta set dekoder yang diperuntukkan MYTV Broadcasting Sdn Bhd, syarikat yang dilantik untuk mengendalikan infrastruktur dan kemudahan rangkaian DTT.

"Kerajaan melalui SKMM telah melantik syarikat MYTV pada 2014 sebagai pemegang lesen penyedia infrastrukur tunggal dan MYTV bertanggung jawab untuk membina dan mengendali infrastruktur myFreeview untuk tempoh 30 tahun akan datang."

"Pemberian dekoder percuma ini membolehkan mereka menikmati Siaran Digital myFreeview yang percuma tanpa yuran bulanan. Pemberian dekoder percuma ini akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga suku kedua 2018," katanya ketika berucap melancarkan myFreeview.

Najib berkata pemberian dekoder percuma kepada isi rumah yang layak daripada senarai BR1M itu antara lain bagi mempercepatkan proses migrasi daripada analog ke digital dan berbanding negara-negara maju serta tetangga dalam ASEAN.

Malaysia merupakan negara yang mengambil pendekatan menyediakan dekoder percuma untuk rakyatnya terutamanya bagi mereka yang memerlukan bantuan.

Perdana menteri berkata myFreeview termasuk dalam Projek Pendigitalan Penyiaran Nasional yang bakal membolehkan kerajaan meraih pulangan dividen digital dengan pelepasan spektrum yang diguna pakai oleh penyiaran TV analog selama ini.

Katanya, spektrum tersebut akan diperuntukkan semula bagi tujuan perkhidmatan komunikasi moden yang lain seperti menambah baik rangkaian selular dan perkhidmatan jalur lebar mudah alih berkelajuan tinggi.

Najib menegaskan, projek di bawah naungan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan dipantau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) adalah sebahagian daripada agenda nasional untuk mentransformasikan industri penyiaran negara melalui pendigitalan dengan tujuan mempertingkatkan taraf hidup rakyat ke arah mencapai status negara maju menjelang 2020.

- BERNAMA


0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Tawaran Istimewa E-Book

Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan lebih 1,000 buah Koleksi E-book pelbagai topik dengan hanya RM20.00 sahaja. WhatsApp "E-BOOK RM20" ke: 0139790000

lihat tawaran