Ejen Tidak Diperlukan Tuntut WTD



Seorang lelaki warga emas bersyukur kerana tidak terpedaya dengan tipu helah seorang lelaki yang menghubunginya mendakwa sebagai ejen untuk membuat tuntutan Wang Tidak Dituntut (WTD).

Hanya ingin dikenali sebagai Rahim, 60, beliau berkata lelaki berkenaan menghubunginya beberapa hari lepas untuk menawarkan perkhidmatan membuat tuntutan WTD dengan bayaran RM1,000.

“Saya terkejut bila dihubungi kerana katanya saya layak membuat tuntutan untuk akaun insurans lama. Mujur saya tidak mudah terpengaruh sebaliknya saya datang sendiri ke sini membuat semakan tanpa sebarang bayaran.

“Saya dimaklumkan saya tidak mempunyai sebarang WTD,” katanya ketika ditemui Bernama di Jabatan Akauntan Negara negeri Perak.

Seorang pegawai Unit WTD yang enggan dikenali berkata jabatan berkenaan tidak pernah melantik mana-mana ejen untuk membuat tuntutan WTD.

Beliau berkata orang ramai yang merasakan mereka mempunyai akaun bank lama atau insurans boleh datang membuat semakan dengan hanya mengisi borang disediakan dan kad pengenalan.
“Kakitangan unit ini akan membuat semakan dalam masa 10 hingga 15 minit dan memaklumkan keputusan kepada pemilik akaun.

“Jika mereka ada WTD, kakitangan di sini akan memberi penerangan untuk langkah-langkah seterusnya dalam membuat tuntutan termasuk keperluan mendapatkan pengesahan daripada bank atau syarikat berkaitan,” katanya.

Seorang anggota tentera, Mohammad Shafiq Ahmad Puad, 25, berkata dia mengetahui mengenai perkara itu yang tular di laman sosial Facebook.

Walaupun tiada sebarang WTD yang layak dituntut olehnya namun, beliau berasa puas hati kerana membuat semakan dan akan meminta anggota keluarga yang lain berbuat demikian.

Bagi Hanisah Supian,41, beliau hanya layak menuntut sebanyak RM101 daripada dua akaun bank.

“Saya pun lupa yang saya pernah ada akaun dengan bank berkenaan tapi saya bersyukur dengan apa yang ada. Tak rugi semak,” katanya yang bekerja sebagai jurujual di sebuah kedai komputer di sini.

- Bernama

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Tawaran Istimewa E-Book

Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan lebih 1,000 buah Koleksi E-book pelbagai topik dengan hanya RM20.00 sahaja. WhatsApp "E-BOOK RM20" ke: 0139790000

lihat tawaran