Tunku Sallehuddin Dimasyhur Sultan Kedah Ke-29



Raja Muda Kedah Tunku Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah dimasyhurkan sebagai Sultan Kedah yang ke-29  menggantikan Almarhum kekandanya, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Pemasyhuran itu dibacakan Menteri Besar  Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah di Istana Anak Bukit pada Selasa setelah diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja.

Almarhum Sultan Abdul Halim mangkat pada 2.30 petang semalam di istana tersebut.
Perkara Sembilan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah memperuntukkan pelantikan untuk menaiki takhta kerajaan negeri Kedah adalah ditetapkan Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja yang turut dianggotai menteri besar sebagai Yang Dipertua majlis berkenaan.

Setelah dimasyhurkan, Pengelola Bijaya Diraja/Ketua Setiausaha Sulit Sultan Kedah Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah kemudiannya menghadap Tunku Sallehuddin untuk mengiringi baginda ke singgahsana yang terletak di Dewan Penghadapan.

Syed Unan kemudiannya melaungkan “Daulat Tuanku” sebanyak tiga kali  yang disambut oleh  hadirin dan serentak itu paluan nobat dan tiupan nafiri dikumandangkan.

Istiadat diteruskan dengan bacaan doa oleh Mufti Kedah Datuk Syeikh Fadil Awang.
Tunku Sallehuddin kemudiannya menyentuh peterana Almarhum Sultan Abdul Halim, menandakan istiadat pemakaman akan dimulakan.

Turut berangkat ke istiadat itu ialah Raja Puan Muda Kedah Tengku Maliha Tengku Ariff, Tunku Bendahara Kedah Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Almarhum Sultan Badlishah, Tunku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz dan Tunku Laksamana Kedah Datuk Tengku Sarafuddin Badlishah Tunku Salehuddin Almarhum Sultan Badlishah.

Tunku Sallehuddin diisytiharkan sebagai Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah menggantikan Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah yang mangkat pada 21 Mei 2014 dan memegang jawatan itu sehingga 12 Dis tahun lalu.

Pada 15 Disember lepas baginda dimasyhurkan sebagai Raja Muda Kedah setelah Sultan Abdul Halim kembali memayungi negeri Kedah selepas lima tahun bersemayam di Istana Negara sebagai Yang di-Pertuan Agong

- Bernama

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.