Ikea Tebrau di Johor Dibuka

Ikea Tebrau di Johor Dibuka


Gimik mengergaji kayu, budaya tradisi Sweden yang melambangkan ‘permulaan baru', menandakan pembukaan rasmi Ikea Tebrau hari ini, gedung pertama di selatan Malaysia dan terbesar di Asia Tenggara.

Orang ramai teruja dengan pembukaan gedung itu sehingga ada yang beratur seawal 12 tengah malam tadi, dan 20,000 orang dijangka mengunjungi gedung itu yang mula dibuka pada pukul 10 pagi ini.

Pengunjung boleh menikmati pengalaman membeli-belah yang unik di gedung Ikea itu yang berkeluasan  502,815 kaki persegi dan menampilkan 54 bilik pameran berinspirasikan Sweden.

Pengurus gedung Ikea Tebrau Annie Chandler berkata sebelum menubuhkan gedung berkenaan, Ikea telah mengadakan lawatan ke rumah-rumah.

"Perabot rumah yang dipamerkan di gedung ini sangat sesuai untuk pasaran tempatan dan gaya hidup mereka," katanya pada majlis pembukaan pada Khamis, 16 November 2017.

Hadir sama Pengarah Peruncitan Ikea Asia Tenggara, Mike King dan  Pengerusi Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Negeri, Datuk Tee Siew Kiong.

King berkata kehadiran Ikea di Johor menetapkan satu lagi penanda aras pasaran perabot rumah di sini di samping persaingan sihat kepada pembekal lain.

Beliau juga berkata Ikea, gedung berkonsep mesra alam ini juga akan menggalakkan dan meningkatkan kesedaran orang ramai dalam mengamalkannya dalam kehidupan seharian mereka.

Untuk perjalanan yang mudah dan lancar ke gedung berkenaan, pelanggan boleh mengambil bas perantara percuma dari Larkin Sentral dan Muzium Keretapi Api Tanah Melayu Bhd yang terletak di sebelah Johor Bahru Sentral.

Selain itu, Ikea juga telah bekerjasama dengan Grab bersempena dengan pembukaan gedung tersebut, dan pelanggan boleh menggunakan kod promosi 'IKEATEBRAU17' untuk menikmati diskaun RM8 untuk dua penggunaan Grab dari 16 hingga 31 Nov. 
Kod promosi itu sah bagi semua perkhidmatan Grab di Johor Bahru.

Di samping itu, terdapat pelbagai tawaran edisi terhad dan aktiviti dalaman untuk seluruh keluarga, seperti lukisan muka, badut dan hadiah belon, penampilan maskot dan banyak lagi pada hari pembukaan dan hujung minggu.

Ikea Tebrau dibuka pada pukul 10 pagi hingga 10 malam pada Ahad hingga Khamis dan berlanjutan hingga 11 malam pada Jumaat dan Sabtu serta cuti umum.

Ikea Tebrau di Johor Dibuka

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.