Top Ad 728x90

, ,

Iskandar Puteri Bandaraya Ke-13 Di Malaysia

Iskandar Puteri Bandaraya Ke-13 Di Malaysia

Johor mengisytiharkan bandar raya kedua di negeri itu selepas ibu negerinya, Johor Bahru dengan pewartaan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).

Ia sekali gus menyamai rekod Selangor dan Sarawak yang ketika ini turut mempunyai dua buah bandar raya di negeri masing-masing iaitu Shah Alam (2000) dan Petaling Jaya (2006) serta Kuching (1988) dan Miri (2005).

MBIP merupakan bandar raya ke-13 di Malaysia yang bermula dengan ibu negara Kuala Lumpur (1972) dan terbaharu George Town, Pulau Pinang (2015). Johor Bahru diisytiharkan sebagai bandar raya pada 1994 lalu.

Seremban, Negeri Sembilan yang sepatutnya bandar raya ke-12 pada 2009, namun ditunda selepas Kerajaan Persekutuan menetapkan kriteria baharu antaranya ada 500,000 penduduk dan pendapatan tahunan RM100 juta.

Ini membolehkan ibu negeri Pulau Mutiara pula ‘memintas’ Seremban. Untuk rekod, George Town pernah ditauliah sebagai bandar raya oleh penjajah British pada 1957 tetapi status itu ditarik balik Kerajaan Persekutuan pada 1976.

Bagaimanapun Seremban bakal dinaik taraf menjadi bandar raya ke-14 selepas kerajaan negeri itu dapat kelulusan Kerajaan Persekutuan menggabungkan Majlis Perbandaran Seremban dan Majlis Perbandaran Nilai tahun depan.

Ibu negeri lain di Malaysia yang secara rasmi berstatus bandar raya ialah Ipoh, Perak (1988); Kota Kinabalu, Sabah (2000); Bandar Melaka, Melaka (2003); Alor Setar, Kedah (2003) dan Kuala Terengganu, Terengganu (2008).

Menyentuh mengenai Iskandar Puteri yang mendapat namanya hasil gabungan Tanjung Puteri dan Kota Iskandar pada 2016 menggantikan Nusajaya, ia sebenarnya bermula dari sebuah per­kampungan kecil yang permai.

Kawasan ini asalnya hanya dikelilingi oleh hutan pokok pulai tebal dan pernah menjadi antara lapan penempatan utama di Johor sebelum negara mencapai kemerdekaan daripada penjajahan British pada 1957.

Iskandar Puteri kini menjadi sentral kepada pusat pentadbiran dan pusat kormersial utama di Johor Bahru tengah. Ia merupakan sebuah kawasan penting dan pesat membangun dalam daerah Johor Bahru.

Jajaran ini diapit Koridor Pertumbuhan Johor Bahru-Kulai-Ulu Tiram-Pasir Gudang yang bersempadan dengan Daerah Kulai dan Kota Tinggi di utara, Pontian di barat serta Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di timur.



Ia ada sem­pa­dan maritim di Selat Johor de­ngan pulau Merambong di sela­tan yang sebahagian sempadan antarabangsa memisahkan antara Singapura dan Malaysia. Ke­du­du­kannya boleh dikatakan unik dan strategik.

Rabu ini satu lembaran baharu akan diselak apabila Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) diisytiharkan secara rasmi sebagai MBIP. Upacara angkat sumpah Datuk Bandar pula akan diadakan esoknya.

MPJBT ketika ini ada 700 kakitangan dan Jabatan Per­khidmatan Awam (JPA) sudah meluluskan pertambahan perja­watan MPJBT melibatkan 400 kakitangan baharu bagi memantapkan lagi sistem pentadbiran kepada rakyat.

Ini menjadikan keseluru­han 1,100 kakitangan pihak ber­kuasa tempatan (PBT) itu tidak lama lagi. Yang Dipertua MPJBT pada ketika ini ialah Adib Azhari Daud sejak Januari lalu yang juga merupakan Yang Dipertua MPJBT ke-15.

MPJBT sebelum ini diisytiharkan pada tahun 2000 selepas dinaik taraf daripada Majlis Daerah Johor Bahru Tengah (MDJBT). Ketika ini ada kira-kira 750,000 penduduk di kawasan MPJBT dengan jumlah 200,000 pembayar cukai.

Sehingga kini sebanyak 158,868 unit rumah, diikuti 26,574 unit bangunan komersial dan 4,244 unit bangunan industri perkhidmatan telah dibina. Ia juga mempunyai 157 buah penempatan terancang dengan 45 kampung.

Kewujudan penempatan terancang itu berpunca daripada geografi kawasan Johor Bahru tengah sendiri yang sebelum 31 Disember 2015 merupakan sebuah zon pinggiran bandar utama ke bandar raya Johor Bahru.

MPJBT juga menyelenggara jalan raya sepanjang 1,483.51 kilome­ter. Keluasan kawasan pentadbiran PBT itu secara keseluruhannya berjumlah 40,296 hektar sejak Januari 2016 iaitu mengecil berban­ding 56,071 hektar sebe­lumnya.

Selain itu MPJBT merupakan satu daripada lima PBT yang mentadbir daerah Johor Bahru selain pihak MBJB, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Majlis Perbandaran Kulai ((MPKu) dan Majlis Daerah Pontian (MDP).

Jika dibandingkan empat PBT lain di Johor Bah­ru, MPJBT atau MBIP nanti ada cabaran lebih kompleks kerana pusat pentadbiran kerajaan negeri di Kota Iskandar dan ba­nyak kawasan kormersial berada dalam kawasannya.

Terdapat 15 kediaman utama di bawah perkadaran MBIP antaranya Gelang Patah, Bukit Indah, Horizon Hill dan Kangkar Pulai selain empat kawasan ekopelancongan seperti Hutan Simpanan Sungai Pulai dan Taman Sireh.

Begitu juga tiga pelancongan MICE; tiga kawasan pelancongan perubatan; lima pelancongan golf; 15 kawasan komersial termasuk Forest City, Medini dan Pengkalan Puteri; 13 kawasan industri utama termasuk Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Taman Nusajaya Industri.

Malah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan tujuh institusi pengajian awam serta swasta juga termasuk dalam kawasan ini. Ia tidak termasuk lima sekolah antarabangsa antaranya Raffles American School dan Marlborough College, Britain.

Sumber : My News Hub

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90