Top Ad 728x90

,

Membasmi Kemiskinan Bandar Dan Kemiskinan Tegar

Kemiskinan Bandar Dan Kemiskinan Tegar

Kemelut ekonomi yang melanda dunia awal tahun ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada mereka yang berpendapatan rendah. Sementara mereka yang paling teruk terjejas adalah golongan miskin tegar di kawasan luar bandar, golongan miskin di bandar juga tidak terlepas.

Golongan miskin bandar ini mengharungi kehidupan yang mencabar walaupun dalam senario ekonomi yang memberangsangkan kerana kos kehidupan yang lebih tinggi di bandar.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengambil berat akan nasib golongan ini mengumumkan beberapa langkah untuk membantu mereka semasa membentangkan Belanjawan 2010.

Beliau berkata, kadar perbandaran meningkat begitu pesat dengan 63 peratus daripada penduduk kini mendiami kawasan bandar.

"Kadar kemiskinan di kawasan bandar terus meningkat kerana kos kehidupan yang terus meningkat, pendapatan yang rendah dan masalah perumahan," katanya.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, mengumumkan satu peruntukan sebanyak RM48 juta untuk melaksanakan program pembasmian kemiskinan di bandar-bandar, yang termasuk bantuan kebajikan dan bayaran sewa rumah.

MENINGKATKAN PEMILIKAN RUMAH DI KALANGAN PENDUDUK MISKIN BANDAR

Dalam usaha memudahkan lagi pemilikan rumah bagi kumpulan berpendapatan sederhana dan rendah, beliau mengumumkan pada awal Oktober bahawa lebih 44,000 rumah kos rendah akan dijual pada harga antara RM21,500 dan RM35,000 setiap unit oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Perumahan Negara (JPN) menjelang akhir 2010.

"Sebagai langkah tambahan, JPN akan menyediakan 74,000 kediaman kos rendah untuk disewakan pada 2010," katanya.

Kerajaan juga bimbang dengan bilangan projek rumah yang terbengkalai. Sehingga hari ini, sejumlah 148 projek persendirian yang terbengkalai membabitkan 49,913 unit dan 31,824 pembeli. Daripada jumlah ini, 87 projek masih belum dipulihkan dengan 41 daripadanya membabitkan rumah kos rendah dan sederhana. Najib berkata, kerajaan akan menimbangkan bantuan kewangan yang wajar untuk memulihkan projek perumahan kos rendah dan sederhana dalam senarai projek terbengkalai sedia ada. Satu peruntukan sebanyak RM200 juta bagi tujuan ini akan disediakan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

KEMENTERIAN KHUSUS UNTUK JAGA GOLONGAN MISKIN BANDAR

Dalam usaha menangani kemiskinan bandar melalui satu cara holistik, Kementerian Wilayah Persekutuan telah ditukar namanya kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, dengan peranan barunya untuk memperkukuh dan memperluas program pembasmian kemiskinan bandar di seluruh negara.

Kemiskinan bandar kini turut meliputi mereka yang berpendapatan bulanan kurang daripada RM3,000.

Untuk mengelakkan pertindihan tanggungjawab, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata pihaknya akan berusaha bersama Jabatan Kebajikan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam pengagihan bantuan bagi golongan miskin.

Kementerian juga berusaha bersama pihak lain seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Perdana Menteri serta jabatan lain.

STRATEGI UNTUK MENINGKATKAN PENDAPATAN

Untuk membantu menambahbaik taraf kehidupan di kalangan golongan miskin dan peluang untuk mata pencarian, kerajaan memperuntukan RM180 juta bagi Program Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR).

Program ini, yang menawarkan latihan kemahiran serta kemudahan kredit mikro meliputi Program Peningkatan Pendapatan, Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya, Program Kecemerlangan Pendidikan, Program Bantuan Rumah dan Program Pembangunan Masyarakat Setempat.

Kerajaan juga menawarkan program latihan kemahiran serta keusahawanan kepada lebih daripada 3,000 wanita menerusi Jabatan Pembangunan Wanita dan Amanah Ikhtiar Malaysia. Adalah diharapkan melalui usaha ini, kadar kemiskinan dapat dikurangkan daripada 3.6 peratus pada 2007 kepada 2.8 peratus pada 2010.

Skim Program Lonjakan Mega Luar Bandar, yang diumumkan semasa pembentangan belanjawan itu juga akan dilanjutkan ke tahun yang berikut bersama satu peruntukan sebanyak RM141 juta untuk membantu 5,600 keluarga keluar daripada kemiskinan tegar.

Skim ini akan tertumpu di kawasan seperti Batang Sadung dan Batang Lupar di Sarawak; Pulau Banggi di Sabah; dan Tanjung Gahai dan Chemomoi di Pahang.

Najib juga berkata 50,000 isirumah tegar yang didaftar di portal pembasmian kemiskinan Jabatan Perdana Menteri, e-Kasih, serta 4,000 isirumah Orang Asli akan menerima bantuan.

Langkah-langkah untuk membasmi kemiskinan termasuk pengagihan bantuan kebajikan persekutuan pada hari pertama setiap bulan, dengan bantuan kebajikan bagi Semenanjung bermula pada 1 September lepas dan bagi Sabah dan Sarawak bermula 1 Januari tahun depan.

PERLINDUNGAN SOSIAL BAGI YANG KURANG BERNASIB BAIK

Dalam satu langkah untuk mempertingkat jaringan perlindungan sosial, kerajaan akan terus membantu orang kurang upaya, warga emas, ibu tunggal dan kanak-kanak yang memerlukan bantuan kebajikan.

Untuk memastikan keberkesanan penyaluran bantuan dan mencegah pertindihan, Unit Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICU) di Jabatan Perdana Menteri sedang menyiapkan pangkalan data berpusat e-Kasih.

Usaha lanjut oleh kerajaan untuk memperkukuh jaringan perlindungan sosial juga membabitkan peruntukan RM224 juta bagi golongan kurang upaya dan bagi pelaksanaan Program Pemulihan Dalam Masyarakat dan untuk membina dan menaik taraf empat Taman Sinar Harapan.

Selain daripada itu, kerajaan juga memperuntukan RM174 juta untuk membantu warga emas dan menaikkan taraf dua Rumah Seri Kenangan.

Selain daripada itu, sebanyak RM15 juta telah diperuntukan bagi Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia, Majlis Hospice Malaysia dan Persatuan Orang Buta Malaysia untuk membantu pesakit miskin membeli peralatan perubatan.

Ibu bapa dan penjaga juga boleh menarik nafas lega kerana peningkatan dalam kadar elaun daripada RM50 kepada RM150 sebulan bagi setiap anak istimewa yang didaftarkan di sekolah khas yang diusahakan oleh NGO berkuatkuasa 1 Januari tahun hadapan. Kira-kira 4,000 kanak-kanak istimewa juga akan menerima manfaat daripada peruntukan RM3.3 juta tersebut.

SUBSIDI BERAS BAGI GOLONGAN MISKIN

Satu lagi inisiatif kerajaan untuk membantu lebih 200,000 keluarga miskin dan miskin tegar ialah melalui subsidi beras (Subur), yang dilancarkan oleh Najib pada November.

Di bawah skim itu, kira-kira 43,500 keluarga miskin di bandar yang berpendapatan RM450 sebulan dan miskin tegar yang berpendapatan RM420 setiap bulan masing-masing akan menerima satu kupon bagi beras percuma sebanyak 30kg setiap bulan.

Selain daripada itu, lebih 150,000 keluarga berpendapatan RM1,500 setiap bulan di kawasan bandar dan RM1,000 di luar bandar yang dikategori sebagai miskin akan menerima tiga kupon subsidi bernilai RM10 setiap enam bulan.
Lebih kurang 15,000 keluarga Orang Asli di seluruh negara juga akan menerima manfaat daripada inisiatif ini dengan mereka boleh menggunakan kupon RM10 untuk membeli beras 10 kg gred ST15 yang bernilai RM24 pada harga RM14.

Pengagihan kupon ini dikendalikan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang akan mengagihkannya kepada penerima yang berdaftar di e-Kasih melalui anggota Parlimen. Mereka yang tidak disenaraikan dalam e-Kasih perlu berdaftar dengan agensi-agensi Kementerian dan jawatankuasa keselamatan dan pembangunan kampung.

Selain daripada golongan miskin bandar dan miskin tegar, skim ini juga akan diperluaskan kepada rumah-rumah kebajikan dan mereka akan diberi baucar bernilai RM10 setiap bulan. 

- BERNAMA

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90