Top Ad 728x90

,

Ujian khas untuk kemasukan ke SBP

Ujian khas untuk kemasukan ke SBP

Murid yang memohon untuk menyambung pelajaran ke sekolah berasrama penuh (SBP) perlu menduduki Ujian Kemasukan Sekolah Berasrama Penuh (UKSBP) pada 11 hingga 15 Disember 2017 ini.

Ketua Penolong Pengarah Pengurusan Hal Ehwal Murid, Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan, Nor Azlina Abdul Rahim, berkata selain UKSBP yang pertama kali diperkenalkan itu, pemilihan juga akan berdasarkan merit dengan mengambil kira keempat-empat komponen dalam Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR).

Katanya, prosedur baharu itu diharap dapat melahirkan murid yang seimbang dalam semua aspek termasuk akademik, sahsiah diri dan pembabitan dalam pelbagai aktiviti.

"Semua pelajar layak untuk memohon, tetapi keutamaan diberikan kepada murid luar bandar dan miskin bandar. Pemilihan murid yang layak hanya akan dilakukan selepas murid menduduki UKSBP Disember ini.

"Pelajar yang sudah memohon perlu membuat semakan untuk mengetahui lokasi pusat bagi menduduki UKSBP mulai 30 November ini," katanya.

Semalam, Kementerian Pendidikan mengumumkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan menjadi sebahagian daripada komponen PPSR dalam usaha mengurangkan tumpuan keterlaluan terhadap peperiksaan.

Selain UPSR, tiga komponen PPSR ialah Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulam (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PPsi)

Sementara itu, syarat kemasukan pelajar Tingkatan Satu ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) 2018 masih kekal seperti tahun lalu, dengan keputusan minimum UPSR 3A dan 3B bagi pelajar dari Semenanjung, selain 3A, 2B dan 1C dari Sabah serta Sarawak.

Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah MARA, Kamaruzaman Jaffar, berkata keutamaan turut diberikan kepada pemohon daripada keluarga berpendapatan rendah di luar bandar dan bandar, selain memenuhi kriteria lain seperti aktif dalam kegiatan kokurikulum dan bersedia mengikuti pelbagai program yang dianjurkan.

"Pemohon juga harus memiliki sahsiah diri yang positif, tahap kesihatan yang baik dan mampu menjalani program kecerdasan fizikal serta menjawab Online Self-Assessment (OLSA) dalam tempoh yang ditetapkan," katanya.

Sumber : Berita Harian

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90