Top Ad 728x90

Pasport Malaysia Keenam Paling Berkuasa Di Dunia

by


Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) berada di kedudukan ke-enam berkuasa di dunia berdasarkan Laporan Passport Index  2018 yang dibangunkan oleh Arton Capital.

Passport Index merupakan rujukan mengenai semua pasport yang diberikan ranking berdasarkan  jumlah negara yang boleh dikunjungi dan dilawati bagi rakyat sesebuah negara tanpa visa atau memerlukannya setibanya berada di negara berkenaan berdasarkan peraturan visa yang berkuat kuasa.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali dalam satu kenyataan berkata pengiktirafan itu adalah sesuatu yang dijangka memandangkan  Pasport Malaysia memenuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan boleh digunakan di 157 negara tanpa visa.

"Melihat sejarah, Pasport Malaysia merupakan pasport pertama di dunia yang dilengkapi dengan ciri  keselamatan biometrik menggunakan cip,”katanya.

Beliau berkata ciri Pasport Malaysia terus ditambah baik dengan ciri keselamatan tambahan bagi menepati piawaian Dokumen 9303 ICAO pada 2013 dan lokasi cip dimasukkan ke dalam halaman muka surat biodata pada tahun 2016.

Terkini, Pasport Malaysia versi  baharu  ditambah baik dengan mempunyai 50 ciri keselamatan tambahan dan reka bentuk yang lebih unik dengan memaparkan mercu tanda negara Malaysia serta flora dan fauna tempatan dengan menerapkan falsafah lima prinsip rukun negara, katanya.

"Ciri-ciri keselamatan tambahan ini meningkatkan kebolehpercayaan rakyat dan pihak berkuasa luar bagi mengukuhkan penggunaanya di luar negara,” katanya.

Mustafar berkata permohonan pembaharuan Pasport  Malaysia boleh  dibuat  secara dalam talian dan perkhidmatan pasport juga bertaraf dunia iaitu pasport disiapkan dalam tempoh satu jam selepas bayaran, mendahului negara-negara maju di dunia.

- Bernama

Elaun SL1M Kini RM2,000 Sebulan

by
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan elaun bulanan Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) dinaikkan kepada RM2,000 daripada RM1,500 sebelum ini.

Selain akan memberi lebih motivasi kepada pelatih, katanya beliau juga memahami keperluan mereka yang kebanyakannya  datang daripada pelbagai latar belakang kehidupan.

Menurut Najib, Ketua Sekretariat SL1M Norashikin Ismail telah berbisik kepadanya untuk mengumumkan sesuatu sebagai ‘hadiah' kepada pelatih SL1M.

"...dan selepas melihat kisah hidup pelatih SL1M, saya umumkan elaun bulanan pelatih dinaikkan kepada RM2,000 daripada RM1,500 sebelum ini," katanya ketika berucap merasmikan Program Temuduga Terbuka Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) Peringkat Zon Tengah di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) di Serdang pada 24 Feb 2018, Sabtu.

Program selama dua hari itu menawarkan lebih 15,000 peluang pekerjaan kepada graduan dan pencari kerja.

Najib turut menyifatkan SL1M sebagai 'anak kunci' yang berfungsi membuka peluang kehidupan lebih baik kepada generasi muda melalui peluang pekerjaan yang disediakan.

Perdana menteri berkata rajin, bersemangat dan bercita-cita sahaja tidak mencukupi tanpa ‘anak kunci' yang biasanya tersedia melalui dasar yang disediakan kerajaan.

Secara asasnya, beliau berkata setiap kejayaan sama ada oleh generasi muda atau taikun perniagaan mempunyai kaitan dengan dasar yang diperkenalkan kerajaan dalam menyediakan peluang-peluang kepada rakyat bagi memajukan kehidupan.

"Selain keinginan dan potensi besar yang dimiliki, kejayaan yang dinikmati rakyat dan negara adalah disebabkan kerajaan yang ada hari ini telah meletakkan dasar-dasar yang baik untuk kemajuan warganya," katanya.

Menjadikan manifesto pilihan raya umum lepas pada 2013 yang meletakkan penyediaan peluang pekerjaan kepada generasi muda sebagai contoh, Najib berkata ia telahpun direalisasikan melalui lebih 2.26 juta pekerjaan baharu yang diwujudkan kerajaan sejak tempoh itu sehinga kini.

Perdana menteri berkata SL1M sendiri telah memberi peluang pekerjaan kepada lebih 140,000 graduan yang mengikuti pelbagai latihan bersama industri sejak inisiatif itu diwujudkan pada 2011.

Najib turut merakamkan penghargaan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta yang sentiasa mendukung kerajaan dalam menerajui pelbagai inisiatif yang diwujudkan, khasnya SL1M.

“Syarikat-syarikat ini bukan sahaja telah meningkatkan kebolehpasaran graduan yang mengikuti SL1M, malah secara tidak langsung turut memperkasakan modal insan negara,” katanya.

-mSTAR

7.2 Juta Terima BR1M 2018 Mulai 26 Feb 2018

by
Kira-kira 7.2 juta isi rumah dan individu bujang yang berkelayakan akan mula menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) secara berperingkat mulai 26 Februari ini.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah menerangkan bahawa pembayaran tersebut akan dibuat secara tiga kali ansuran dengan peruntukan yang dianggarkan sebanyak RM6.3 bilion.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan melancarkan BR1M di Pekan, Pahang pada esok (Ahad). Sehari selepas itu, para penerima boleh memeriksa bayaran yang dibuat menerusi akaun mereka,” katanya pada siang akhbar selepas majlis perasmian Program Bahtera 2018 (Edisi Timur) bertemakan ‘Bumiprenerus of Tomorrow’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah di Kuantan.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman bagi mewakili Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Turut hadir sama pada program berkenaan ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dan Pengarah Unit Strategi Nasional di Kementerian Kewangan, Datuk Dr. Aminuddin Hassim.

Dalam pembentangan Bajet 2018 pada 27 Oktober tahun lalu, Perdana Menteri menyatakan, kira-kira tujuh juta penerima BR1M akan terus menikmati pemberian tunai oleh kerajaan dengan kadar maksimum sehingga RM1,200.

BR1M mula dilaksanakan pada 2012. Ketika ini, 4.7 juta isi rumah dan 2.7 juta individu bujang menerima manfaat skim wang tunai berkenaan yang dianggap sebagai subsidi bersasar secara langsung kepada kumpulan berkelayakan.

Ia juga merupakan polisi pembayaran secara sekali untuk isi rumah berpendapatan RM4,000 dan ke bawah atau individu bujang yang berumur 21 tahun ke atas dengan pendapatan mesti tidak melebihi RM2,000 sebulan.

Peserta di bawah program e-Kasih dengan pendapatan RM1,500 dan ke bawah turut menerima BR1M. Bayaran dimasukkan terus ke akaun bank atau ditunaikan di mana-mana bank yang terpilih.


- mSTAR

Lokasi Tumpuan Tahun Baru Cina 2018

by

TOKYO berjaya mendahului Bangkok sebagai destinasi nombor satu sempena cuti Tahun Baru Cina untuk pengembara Asia pada tahun 2018, melenyapkan rekod yang disandang oleh Bangkok sejak dua tahun lalu, menurut platform tempahan dalam talian global Agoda.

Malah Jepun telah menguasai tiga kedudukan dalam 10 senarai teratas apabila Kyoto tersenarai buat julung kalinya di kedudukan kesembilan, manakala Osaka mendaki ranking dari kedudukan kesembilan pada tahun 2016 kepada destinasi ketiga teratas pada Tahun Baru Cina 2018.


Percutian di bandar mendominasi ranking dengan satu-satunya destinasi pantai, iaitu Phuket, Thailand berjaya tersenarai dalam kedudukan 10 teratas.

Tarikan daerah Chinatown Yokohama berhampiran Tokyo – yang menganjurkan acara selama dua minggu, termasuk parti kira detik, persembahan tarian singa tradisional, perarakan dan Festival Tanglung telah menarik pengembara dari seluruh dunia, terutamanya Asia, dengan kumpulan pelancong luar negara paling ramai berasal dari Taiwan (26 peratus), Korea Selatan (15 peratus) dan Tanah Besar China (15 peratus).

Sementara itu, ranking bagi destinasi-destinasi lain seperti Singapura dan Chiang Mai telah menurun, masing-masing dari tempat ketiga pada tahun 2016 kepada tempat kelapan pada tahun 2018, dan dari tempat ketujuh pada tahun 2016 kepada tempat ke-12 pada tahun 2018.

ementara itu, warga Malaysia lebih cenderung untuk menyambut cuti perayaan ini di destinasi dalam negara mereka sendiri, dengan lapan dari 10 tempat tumpuan utama adalah destinasi tempatan.

Kuala Lumpur, Melaka dan Pulau Pinang menduduki tiga tempat teratas sejak tahun 2016, manakala pulau-pulau di Langkawi dan cuaca sejuk di Cameron Highlands turut menarik para pengembara yang ingin melarikan diri dari bandar.

Thailand merupakan satu-satunya negara asing yang tersenarai dalam 10 destinasi teratas pada tahun 2018 pada cuti perayaan ini dengan Bangkok dan Hat Yai menjadi pilihan. - Agoda




Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90