Top Ad 728x90

Pasport Malaysia Keenam Paling Berkuasa Di Dunia



Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) berada di kedudukan ke-enam berkuasa di dunia berdasarkan Laporan Passport Index  2018 yang dibangunkan oleh Arton Capital.

Passport Index merupakan rujukan mengenai semua pasport yang diberikan ranking berdasarkan  jumlah negara yang boleh dikunjungi dan dilawati bagi rakyat sesebuah negara tanpa visa atau memerlukannya setibanya berada di negara berkenaan berdasarkan peraturan visa yang berkuat kuasa.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali dalam satu kenyataan berkata pengiktirafan itu adalah sesuatu yang dijangka memandangkan  Pasport Malaysia memenuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan boleh digunakan di 157 negara tanpa visa.

"Melihat sejarah, Pasport Malaysia merupakan pasport pertama di dunia yang dilengkapi dengan ciri  keselamatan biometrik menggunakan cip,”katanya.

Beliau berkata ciri Pasport Malaysia terus ditambah baik dengan ciri keselamatan tambahan bagi menepati piawaian Dokumen 9303 ICAO pada 2013 dan lokasi cip dimasukkan ke dalam halaman muka surat biodata pada tahun 2016.

Terkini, Pasport Malaysia versi  baharu  ditambah baik dengan mempunyai 50 ciri keselamatan tambahan dan reka bentuk yang lebih unik dengan memaparkan mercu tanda negara Malaysia serta flora dan fauna tempatan dengan menerapkan falsafah lima prinsip rukun negara, katanya.

"Ciri-ciri keselamatan tambahan ini meningkatkan kebolehpercayaan rakyat dan pihak berkuasa luar bagi mengukuhkan penggunaanya di luar negara,” katanya.

Mustafar berkata permohonan pembaharuan Pasport  Malaysia boleh  dibuat  secara dalam talian dan perkhidmatan pasport juga bertaraf dunia iaitu pasport disiapkan dalam tempoh satu jam selepas bayaran, mendahului negara-negara maju di dunia.

- Bernama

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90