Kementerian Pelajaran disaran memperuntukkan 50 minit khusus untuk
pelajar yang mengalami masalah disleksia bagi memastikan mereka tidak
ketinggalan dalam pendidikan arus perdana.
Presiden Organisasi Kebangsaan untuk Disleksia Malaysia (NOD), Dr
Mullai A Ramaiah, berkata tempoh masa 50 minit dilihat memadai supaya
guru memberi tumpuan mengikut keperluan mereka yang lazimnya dikaitkan
masalah membaca dan menulis.
Katanya, beberapa negara maju sudah melaksanakan sistem pendidikan
seumpama itu khusus untuk kanak-kanak disleksia dan keputusannya amat
memberangsangkan.
“Sudah tiba masanya kerajaan memberi perhatian serius terhadap
kanak-kanak yang mengalami masalah disleksia berdasarkan keperluan
mereka.
“Pendidikan inklusif yang turut menempatkan kanak-kanak ini dalam
pendidikan arus perdana memerlukan tempoh masa berkenaan dalam sehari
ketika waktu sekolah.
“Usaha itu bagi memastikan tiada anak disleksia ketinggalan dalam pelajaran dengan tidak mahir membaca dan menulis,” katanya.
Dr Mullai berkata, kanak-kanak ini hanya perlu masa 50 minit untuk
mengikuti pelajaran khusus sebelum kembali semula ke kelas untuk
meneruskan aktiviti biasa.
Katanya, pihak sekolah perlu menyediakan guru terlatih supaya dapat mengendalikan kanak-kanak disleksia mengikut tahap mereka.
Beliau berkata, seorang daripada enam kanak-kanak di seluruh dunia
mengalami masalah membaca dengan 20 peratus golongan itu berada di dalam
sebuah kelas mempunyai masalah berkenaan.
Justeru, Kementerian Pelajaran perlu mengambil langkah awal membantu
mereka kerana amat penting dalam membentuk generasi lebih seimbang pada
masa akan datang.
“Negara memerlukan transformasi dalam mengubah sistem pembelajaran
terutamanya di sekolah rendah. Beberapa sekolah terpilih mempunyai bilik
darjah untuk kanak-kanak yang mempunyai keperluan khusus.
“Namun begitu, ada juga sekolah mencampurkan golongan autistik, lemah
proses pembelajaran dan sebilangan kanak-kanak sindrom down, hiperaktif
dan defisit perhatian dengan meletakkan mereka dalam satu kelas yang
sama.
“Menangani golongan itu memerlukan perhatian dan pendekatan berbeza,” katanya.
Beliau berkata, kini sudah tiba masanya semua pihak mengambil peranan
membantu golongan ini dengan menawarkan bimbingan yang sempurna.
Disleksia katanya, sering didiagnosis sebagai gangguan yang
menyebabkan individu yang mengalami masalah itu berdepan cabaran
membawa suara untuk diterjemahkannya ke dalam tulisan berikutan
kesukaran mereka membaca, menulis dan mengeja.
Dr Mullai berkata, proses pembelajaran kanak-kanak disleksia berbeza
kerana mereka memerlukan pendekatan berlainan menerusi kaedah
tradisional yang digunakan di sekolah kepada pembelajaran bahasa.
“Pemerhatian mendapati, golongan ini bertindak balas dalam pelbagai
deria, sistematik dan pendekatan fonetik yang tersusun tidak kira berapa
seriusnya keadaan mereka.
“Kanak-kanak disleksia mempunyai definisi dan penggunaan kecerdasan
kuantiti (IQ) yang tinggi. Mereka juga bukan pelajar lemah pembelajaran (slow learner) sedangkan golongan itu kurang penggunaan IQ.
“Individu disleksia memahami konsep lebih cepat berbanding pelajar
yang perlahan. Proses pengajaran berkesan menunjukkan kemajuan luar
jangkaan,” katanya.
Beliau berkata, ibu bapa perlu memahami apabila anak mereka gagal
dalam bahasa, ini bukan bermakna anak tadi bersikap malas atau mendapat
pengajaran kurang baik di kelas.
Semua pihak katanya perlu memahami keadaan dialami dan bekerjasama
membantu mengatasi masalah ini. Anak disleksia memerlukan sokongan
kedua-dua sekolah dan di rumah malah emosi mereka juga penting untuk
dijaga.
Sumber : Berita Harian