KTMB bakal perkenal koc kelas perniagaan bagi ETS2



Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) bakal memperkenalkan perkhidmatan koc ‘Business Class’ (kelas perniagaan) bagi perkhidmatan tren elektrik terbaharunya ETS2, bulan hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin, berkata koc kelas perniagaan eksklusif itu, satu daripada enam gerabak ETS2 direka khas, sebagai pilihan untuk penumpang yang mahukan kelainan tersendiri ketika menaiki perkhidmatan tren itu, selain dilengkapi kemudahan kondusif seiring jenama kelas perniagaan berkenaan.

“Ini termasuk tempat duduk luas dan selesa berbanding koc biasa, serta perkhidmatan pramugara dan pramugari khusus bagi koc kelas perniagaan. Penumpang dalam gerabak itu turut akan ditawarkan kemudahan khas seperti kit perjalanan, Audio Video-On-Demand (AVoD) serta port USB,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tiket tren bagi perjalanan bermula dari 11 Oktober itu akan dijual mulai 8.30 pagi 12 September ini.

Katanya, perkhidmatan tren elektrik (ETS) amat popular dalam kalangan penumpang KTMB dan sepanjang tahun lalu, sejumlah 3.91 juta pelanggan telah menggunakan perkhidmatan kereta api itu.

“Sehingga Julai tahun ini sahaja, sebanyak 2.15 juta pelanggan menaiki ETS, purata 10,400 penumpang sehari. Penambahan set tren ETS2 itu sejajar dengan hasrat kerajaan meningkatkan penggunaan perkhidmatan awam berasaskan rel.

"Dua perkhidmatan tren terbaharu itu menjadikan keseluruhan 38 perkhidmatan ETS beroperasi setiap hari. Ia sebahagian daripada sembilan set tren ETS2 yang bakal diterima peneraju perkhidmatan rel nasional itu secara berperingkat sehingga suku pertama tahun depan," katanya.

Bersempena dengan pengenalan koc baharu itu, KTMB turut mengumumkan harga tiket promosi RM50 untuk dewasa bagi perjalanan sehala antara KL Sentral dan Ipoh, Perak, manakala RM112 bagi perjalanan KL Sentral-Padang Besar, Perlis dan promosi itu sah bagi perjalanan di antara 11 Oktober sehingga 30 November 2019.

Sementara warga emas, pesara kerajaan dan isteri, orang kelainan upaya (OKU), kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun pula layak menerima diskaun konsesi, manakala kanak-kanak berusia satu hingga tiga tahun (tanpa tempat duduk) tidak dikenakan sebarang bayaran.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut berhubung ETS2 di laman sesawang rasmi KTMB, www.ktmb.com.my atau ktmberhad (Facebook), ktmbofficial (Instagram), @ktm_berhad (Twitter) atau menerusi Pusat Panggilan 24 jam KTMB di talian 03-22661200.

- BERNAMA

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.