Revolusi Industri 4.0 dijangka luput 75 juta pekerjaan menjelang 2022



Ketibaan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) melibatkan teknologi robotik dan kecerdasan buatan (AI) akan menjadikan 75 juta pekerjaan di dunia menjadi usang atau luput menjelang tahun 2022.

Perunding transformasi perniagaan Joon Teoh berkata, menurut Forum Ekonomi Dunia (WEF), contoh-contoh bidang pekerjaan itu adalah seperti perakaunan, simpan kira dan kerani gaji, kerani penyimpanan data, setiausaha pentadbiran dan eksekutif, pekerja kilang dan pemasangan, perkhidmatan maklumat dan pelanggan, di samping perkhidmatan perniagaan dan pengurus pentadbiran.

“Suka atau tidak, WEF meramalkan pekerjaan-pekerjaan itu sudah semakin berkurangan, dan akan hilang di masa depan. Mereka yang terlibat dengan pekerjaan ini perlu meningkatkan kemahiran dan menjadi lebih fleksibel dan terbuka kepada peluang-peluang baru,” katanya.

Beliau berkata hanya kerja-kerja berkenaan sahaja yang akan lenyap, namun bagi manusia sendiri, ia tidak akan memberi kesan sekiranya mereka dapat belajar kemahiran-kemahiran baharu dalam era automasi dan pendigitalan.

Teoh berkata, mereka yang melakukan pekerjaan berkenaan perlu menjalani latihan dan membuat perubahan bagi membolehkan mereka melaksanakan kerja yang memiliki nilai tinggi.

Bagaimanapun menurut WEF lagi, walaupun dengan ‘kehilangan’ kerja-kerja ini, namun sebenarnya jumlah kemunculan pekerjaan baharu adalah lebih tinggi berbanding yang lenyap pada tahun 2022.

Sebanyak 133 juta peranan kerja dicipta, antaranya penganalisis data dan saintis, pakar AI, pengurus am dan operasi, penganalisis serta pencipta peranti dan aplikasi, profesional jualan dan pemasaran, pakar big data, pakar transformasi digital, di samping pakar-pakar teknologi baharu.

Teoh juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif serta pengasas Agos Asia Sdn. Bhd. yang pakar dalam proses menambah baik bidang kewangan, sumber manusia, serta pemerolehan, di samping peningkatan teknologi dalam aspek automasi proses robotik dan AI.

Beliau menjelaskan bahawa robot sebenarnya bukan hanya merujuk kepada perkakasan semata-mata, kerana ia juga melibatkan set-set kod yang boleh bekerja dengan sendiri selepas sesuatu arahan diberikan.

“Sebagai contoh anda tetapkan robot untuk bekerja dalam tempoh waktu tertentu untuk memproses invois, dan ia akan mengikut arahan yang diberikan,” katanya dan menambah AI kemudiannya akan mengenal pasti apa yang betul, apa yang salah, dan menghantar invois yang bermasalah kepada manusia untuk diratifikasi.

Teoh, graduan London School of Economics and Political Science dengan BSc Econs dalam Perakaunan dan Kewangan, berkata robot dan AI kini adalah satu keperluan kepada perniagaan, dan harganya kini mulai menurun dengan ketara sekitar 30 hingga 50 peratus berbanding lima tahun lepas.

Beliau seterusnya menggesa kerajaan membangunkan satu pusat sehenti untuk menghimpunkan semua maklumat berhubung IR4.0 kerana ketika ini terdapat banyak kementerian serta agensi yang terbabit, dan maklumat mengenainya berselerak di sana sini.

Katanya kerajaan juga perlu melebarkan skop IR4.0 untuk turut menyertakan semua aktiviti dan industri sebagai tambahan kepada pengilangan.

“Kita ingin tahu apa bentuk insentif atau pembiayaan daripada kerajaan bagi membantu syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SMEs) di Malaysia untuk menerima pakai IR4.0,” katanya.

Menurutnya kerajaan perlu mengenal pasti rakan dalam ekosistem berkenaan seperti dalam bidang pembekal latihan, firma perunding, di samping insentif yang dapat diberikan, sebelum meletakkan semua maklumat yang berhubung dengannya di satu tempat, yang mungkin boleh menjadis ebuah portal.

- BERNAMA
 

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.