Top Ad 728x90

Lautan dunia paling panas pada 2019



Suhu lautan dunia adalah paling panas direkodkan pada 2019, kata saintis hari ini, dengan suhu laut pantas meningkat berikutan pelepasan gas daripada aktiviti manusia yang boleh meninggalkan impak buruk pada iklim bumi.

Laut menyerap lebih 90 peratus lebihan haba yang dihasilkan pelepasan gas rumah hijau, dan perkiraan kadar pemanasannya beberapa tahun ini membolehkan saintis membuat jangkaan tepat terhadap kadar pemanasan global.

Sekumpulan pakar dari seluruh dunia meneliti data yang dikumpul Institut Atmosfera Fizik (IAP) China untuk mendapat gambaran jelas pemanasan laut sehingga kedalaman 2,000 meter sejak beberapa dekad lalu.

Mereka mendapati suhu laut pada tahun lalu adalah yang paling panas pernah direkodkan dan kesannya sudah dirasai menerusi peningkatan cuaca ekstrem, peningkatan tahap air laut dan kerosakan pada hidupan marin.

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal ‘Advances in Atmospheric Sciences’ menjelaskan, suhu laut pada tahun lalu adalah 0.075 celsius lebih panas berbanding purata suhu antara 1981 hingga 2010.

Ia bermakna lautan dunia sudah menyerap 228 Zetta Joule (228 bilion trilion Joule) tenaga sejak beberapa dekad lalu.

“Angka itu membabitkan angka kosong yang sangat banyak. Jumlah haba yang sudah kita masukkan dalam lautan dunia sejak 25 tahun lalu adalah bersamaan 3.6 bilion letupan bom atom Hiroshima,” kata Cheng Lijing, ketua penulis kajian itu serta profesor madya di Pusat Iklim dan Sains Alam Sekitar Antarabangsa di IAP.

Kajian itu turut mendapati, lima tahun kebelakangan ini adalah juga lima tahun paling panas bagi suhu laut. Di samping trend pemanasan pertengahan, data itu juga menunjukkan lautan sudah menyerap 25 Zetta Joule tambahan tenaga pada 2019 berbanding tahun sebelumnya.

“Ia bersamaan semua orang di planet ini menggunakan 100 pengering rambut atau 100 ketuhar gelombang mikro secara berterusan sepanjang tahun,” kata Pengarah Pusat Sains Sistem Bumi Pennsylvania, Michael Mann, kepada AFP.

Penyelidik dalam kajian itu memaklumkan, terdapat hubung kait yang jelas antara bencana disebabkan iklim, seperti kebakaran hutan di tenggara Australia selama beberapa bulan, dan peningkatan suhu laut.

Laut yang lebih panas bermaksud lebih banyak penyejatan, kata Mann. “Ia bererti lebih banyak hujan, tetapi juga bermaksud lebih banyak desakan penyejatan oleh atmosfera.

“Ia menyebabkan cuaca kering di beberapa benua, faktor utama berlakunya kebakaran hutan dari Amazon sehingga ke Artik, termasuklah yang berlaku di California dan Australia,” katanya.

Sumber : AFP

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90