Jumaat, Ogos 28, 2020

Kebolehjangkitan COVID-19 meningkat


Nilai kebolehjangkitan COVID-19 (Rt) yang meningkat sejak 4 Ogos lalu, adalah disebabkan kemunculan kluster baharu yang dilaporkan sejak awal bulan ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kali terakhir Rt terendah iaitu pada tahap 0.58, dicatatkan pada 4 Ogos lalu.

Katanya, Rt tertinggi di negara ini pula dicatatkan pada tahap 1.37 pada 22 Julai lalu.

"Sebagaimana semua sedia maklum, nilai Rt adalah merujuk kepada kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak di dalam masyarakat, iaitu secara puratanya berapa ramai orang yang boleh dijangkiti oleh kes tersebut.

"Selepas 4 Ogos 2020, kluster-kluster baharu mula dilaporkan di negara ini termasuk Kluster Tawar. Pada 26 Ogos, nilai kebolehjangkitan atau Rt yang dilaporkan adalah 0.74," katanya pada sidang media COVID-19.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan sentiasa berusaha untuk mengurangkan Rt pada tahan kurang daripada 1 secara berterusan sekali gus membantu memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 di negara ini.

Justeru, katanya, masyarakat diminta terus patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 yang ditetapkan oleh kerajaan.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham turut mengingatkan semua petugas kesihatan untuk mematuhi SOP dan memastikan pengurusan pesakit dijalankan mengikut SOP yang ditetapkan kementerian.

Sumber : Berita Harian

Khamis, Ogos 27, 2020

KPM tiada kaitan pelaksanaan UPSR, PT3 2020 secara online

Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan maklumat yang tular berkaitan pelaksanaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) secara dalam talian yang dikatakan akan diadakan pada September dan Oktober depan.

Melalui kenyataan media, KPM menegaskan kedua-dua peperiksaan itu bukan di bawah kendalian Lembaga Peperiksaan dan tiada kaitan dengan pihaknya.

"Pada 15 April lalu, KPM mengumumkan bahawa UPSR dan PT3 bagi tahun ini dibatalkan. Bagaimanapun, KPM mendapati sebuah portal menawarkan kedua-dua peperiksaan itu yang akan diadakan secara dalam talian pada bulan September dan Oktober 2020.

"KPM memandang serius perkara ini kerana melanggar Akta Pendidikan 1996 (Akta 550). Untuk makluman, KPM mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak terbabit," katanya.

Sehubungan itu, KPM menasihatkan agar orang ramai, terutama ibu bapa kepada murid Tahun 6 dan Tingkatan 3 supaya merujuk portal rasmi KPM di http://www.moe.gov.my/ dan portal Lembaga Peperiksaan di http://lp.moe.gov.my/ bagi mendapatkan maklumat tepat dan sahih mengenai peperiksaan dilaksanakan kementerian.

Sumber : Berita Harian

Undang-undang baharu benarkan perbicaraan dalam talian



Dewan Rakyat meluluskan tiga Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan kehakiman, mahkamah kehakiman dan rendah.

Tiga RUU itu adalah RUU Mahkamah Kehakiman (Pindaan) 2020, RUU Mahkamah Rendah (Pindaan) 2020 dan RUU Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah (Pindaan) 2020.

Semua RUU yang dibentang Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan itu diluluskan tanpa pindaan menerusi undian suara.

Takiyuddin ketika menggulung perbahasan RUU Mahkamah Kehakiman (Pindaan) 2020, berkata ia akan membolehkan perbicaraan dilakukan secara dalam talian, tertakluk kepada pertimbangan hakim.

Pindaan itu akan membenarkan mahkamah menggunakan beberapa perisian berbayar iaitu Skype dan Zoom yang menawarkan jaringan keselamatan bagi mengelak cubaan penggodaman.

"Pindaan Ini bukan usaha tergesa-gesa. Ia digunakan di mahkamah di Sabah dan Sarawak, jadi saya menaruh kepercayaan ia boleh dilaksanakan di Semenanjung.

"Ia adalah satu pilihan dalam mahkamah dan kita akan teliti kes demi kes, bukan semua pendengaran secara dalam talian.

"Ada agensi Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) yang memantau dari semasa ke semasa, bagi mengesan sebarang kegiatan menggodam. Setakat ini tiada berlaku (penggodaman).

"Kita juga ada Agensi Keselamatan Siber Kebangsaan (NACSA) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang membuat dasar mengenai keselamatan siber, selain Kementerian Komunikasi dan Multimedia, CyberSecurity melaksanakan operasi daripada dasar dibuat NACSA dan MAMPU," katanya.

Pindaan sama turut terpakai bagi RUU Mahkamah Rendah (Pindaan) 2020 dan RUU Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah (Pindaan) 2020.

Sumber : Berita Harian

 

Penjara 5 hingga 10 tahun jika memandu melulu hingga sebabkan kematian



Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 yang antara lain bakal meminda hukuman pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Pindaan membabitkan 15 fasal utama dan menyentuh 13 Seksyen Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang dibentang oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong itu, diluluskan tanpa pindaan menerusi undian suara.

Ka Siong ketika menggulung perbahasan RUU berkenaan berkata, antara pindaan utama adalah ke atas hukuman sedia ada, membabitkan kadar denda, tempoh penjara dan penggantungan lesen memandu.

"Pemindaan ini menumpukan tiga aspek utama iaitu pemanduan di bawah pengaruh dadah, alkohol serta secara melulu dan merbahaya," katanya.

Turut diluluskan ialah pindaan kesalahan bagi memandu dalam keadaan mengantuk hingga menyebabkan kemalangan atau kematian pengguna jalan raya lain yang dikategorikan sebagai pemanduan secara melulu atau berbahaya.

RUU itu turut meminda kadar alkohol yang akan ditetapkan 22 mikrogram alkohol dalam 100 mililiter (ml) nafas; 50 miligram (mg) alkohol dalam 100ml darah atau 67mg alkohol dalam 100ml air kencing.

Ia turut meluluskan takrifan semula kenderaan mikromobiliti, termasuk basikal lajak sebagai kenderaan motor, selain meminda hukuman kepada denda minimum RM1,000 atau maksimum RM5,000 dan penjara tidak melebihi 12 bulan, jika sabit kesalahan.

Melalui kelulusan RUU itu, Seksyen 41 iaitu memandu secara melulu atau membahayakan hingga menyebabkan kematian akan memperuntukkan hukuman penjara antara lima ke 10 tahun, denda RM20,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan lesen sehingga lima tahun bagi sabitan pertama.

Pesalah boleh dipenjara antara 10 hingga 15 tahun, denda RM50,000 ke RM100,000 atau hilang kelayakan lesen selama 10 tahun bagi sabitan berikutnya.

Tempoh hilang kelayakan lesen bagi kesalahan mengikut Seksyen 42 iaitu memandu secara melulu dan membahayakan dinaikkan kepada minimum lima tahun, manakala 10 tahun bagi sabitan seterusnya.

Denda bagi kesalahan Seksyen 43 iaitu memandu dengan tidak cermat dan bertimbang rasa, dinaikkan kepada minimum RM5,000 atau maksimum RM10,000, manakala antara RM10,000 hingga RM15,000, bagi sabitan seterusnya. Pesalah juga boleh dipenjara bagi tempoh maksimum 12 bulan dalam dua-dua keadaan.

Seksyen 44 iaitu memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah hingga menyebabkan kematian akan memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun atau maksimum 15 tahun; denda antara RM50,000 hingga RM100,000 dan hilang kelayakan lesen bagi tempoh minimum 10 tahun, bagi sabitan pertama.

Pesalah berdepan hukuman penjara minimum 15 tahun atau maksimum 20 tahun; denda antara RM100,000 hingga 150,000 dan hilang kelayakan lesen selama 20 tahun, bagi sabitan seterusnya.

Bagi kes menyebabkan kecederaan, pesalah berdepan hukuman penjara minimum tujuh tahun atau maksimum 10 tahun; denda antara RM30,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan lesen minimum tujuh tahun, bagi sabitan pertama.

Pesalah juga boleh dipenjara minimum 10 tahun atau maksimum 15 tahun; denda antara RM50,000 hingga RM100,000 dan hilang kelayakan lesen selama 10 tahun, bagi sabitan seterusnya.

Seksyen 45 iaitu menjaga kenderaan di bawah pengaruh alkohol atau dadah pula akan memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun; denda antara RM1,000 hingga RM5,000 dan hilang kelayakan lesen minimum dua tahun, bagi sabitan pertama.

Pesalah juga berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun; denda antara RM5,000 hingga RM10,000 dan hilang kelayakan lesen minimum lima tahun, bagi sabitan seterusnya.

Seksyen 45A iaitu memandu atau menjaga kenderaan dengan kepekatan alkohol melebihi had ditetapkan akan memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun; denda minimum RM10,000 atau maksimum RM30,000 dan hilang kelayakan lesen minimum dua tahun, bagi sabitan pertama.

Pesalah akan berdepan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun; denda minimum RM20,000 atau maksimum RM50,000 dan hilang kelayakan lesen minimum lima tahun, bagi sabitan seterusnya.

Hukuman bagi kesalahan mengikut Seksyen 45B iaitu Ujian Nafas dan Seksyen 45C berkaitan Pengadaan Spesimen Bagi Analisis, akan dipinda kepada penjara maksimum dua tahun, denda minimum RM10,000 atau maksimum RM30,000 bagi sabitan pertama.

Pesalah akan dihukum penjara maksimum lima tahun dan denda RM20,000 atau maksimum RM50,000, bagi sabitan seterusnya.

Sumber : Berita Harian

 

Selasa, Ogos 25, 2020

Kandungan Soalan Seksyen A Exam PTD




Ini FAKTA EXAM!

Tahu tak ujian SEKSYEN A: PENGETAHUAN AM adalah 'PEMBUNUH UTAMA' calon exam? Ramai yang sangkut, tersadai kat sini!
Berita baiknya tak semua exam SPA ada penilaian seksyen ini. Exam PEGAWAI PENGUATKUASA KP41 yang lalu, tak ada penilaian SEKSYEN A: PENGETAHUAN AM.

Tapi..
.. berita tak baiknya, dalam exam PTD M41 PENGETAHUAN AM adalah penilaian WAJIB setiap kali tapisan.
Sebenarnya, SEKSYEN A: PENGETAHUAN AM ni ada 'pecahan dalam pecahan' yang ramai tak sedar. Siapa tahu kunci ni maka senanglah nak buat preparation kan?

Ok ni 'pecahan dalam pecahan' untuk bantu anda. Dalam 50 soalan exam penilaian ini akan ada 5 pecahan soalan;

1) Soalan Government Order (GO)
Tengok anda peka ke tak dengan undang-undang, pentadbiran, kementerian etc

2) Pentadbiran kerajaan
Tengok anda faham ke tak bagaimana pentadbiran berjalan. Parlimen, kerajaan persekutuan, kerajaan negeri etc

3) Soalan kesukanan
Berkaitan bolasepak, sukan komanwel, piala thomas etc

4) Pengetahuan insensif
Berkaitan bantuan inisiatif kerajaan seperti

5) Skop soalan YK-YDK
Soalan maut. YOU KNOW or YOU DON'T KNOW. Ni memang pelik. Untuk data yang anda tahu (YK), kira satu BONUS untuk anda. Tapi kalau anda tak tahu tentang apa yang ditanya (YDK), senyum je lah. Melayang markah.

Ini persediaan untuk anda sukses SEKSYEN A ni. Ada lebih 150 Nota Ringkas untuk bantu anda sukses seksyen ni. Anda perlu;

[+] https://semakan.info/tim/ujian-psikometrik/myadha

Ambil semua maklumat ni untuk hadir exam dan senyum 27 OGOS nanti. Biar lah orang lain nak pening kepala, yang penting anda jaguh 27 OGOS!







[+] https://semakan.info/tim/ujian-psikometrik/myadha

Jom sukses!










Ahad, Ogos 23, 2020

Set Contoh Soalan Peperiksaan Online PTD Pegawai Tadbir Diplomatik M41





Siapa Kami Untuk Bantu Anda?

Tim Infokerjaya dah bantu calon exam kerajaan lebih 10 tahun! (Sejak 2008/09). Kami nak bantu anda semaksimum mungkin. Ini adalah rujukan untuk persediaan peperiksaan anda sesi tapisan JULAI 2020 ini

Untuk rekod, lebih 85,000 calon mendapat manfaat daripada perkongsian Tim Infokerjaya sejak tahun 2008/09 ini. Ramai dah berjaya jawat jawatan kerja kerajaan yang diidamkan melalui perkongsian Tim Infokerjaya. Tahun ini tahun anda pula!
 
 Pakej rujukan ini khusus untuk peperiksaan PEGAWAI TADBIR DIPLOMATIK M41 untuk sesi peperiksaan 27 OGOS 2020
 
Apa yang anda perlukan adalah nota dan contoh yang betul untuk melakukan persediaan. Kita nak bersaing dengan ribuan calon yang lain. Biar mereka semua tu cari soalan ramalan/bocor (ada ke?) Tapi anda fokus kepada persediaan untuk jawat jawatan PEGAWAI TADBIR DIPLOMATIK M41 ini.
 
 






Rabu, Ogos 19, 2020

Golongan p-Hailing akan dilindungi Perkeso



Penghantar aplikasi makanan dan parcel (p-Hailing) bakal dimasukkan dalam salah satu kumpulan yang dilindungi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim berkata, perbincangan mengenainya sedang dijalankan dengan pihak berkepentingan dalam melindungi hak dan kebajikan mereka.

“Sekiranya semua urusan telah selesai, Menteri Sumber Manusia (Datuk Seri M. Saravanan) sendiri akan mengumumkan perkara tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Sistem Pengurusan Integrasi Kemahiran Malaysia (MySPIKE) dan TVET Instructor Eprofiling System (TiPS) di Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST), di sini hari ini.

Dalam perkembangan berlainan, Awang menegaskan perundingan masih dijalankan bersama syarikat P-Hailing mengenai tuntutan yang dibuat oleh Gerakan Tuntut Malaysia (TUNTUT) susulan memorandum yang diterima Saravanan bulan lalu.

– Kosmo!

Bukan niat nak tular - Guru



Guru yang terbabit dalam video tular ‘ayah saya masak ketum’ berkata, bukan niatnya ingin menularkan video tersebut kepada orang awam.

Jelasnya, video tersebut diambil kerana ingin dihantar kepada ibu murid berkenaan.

“Saya tak menyangka murid itu memberi jawapan sebegitu ketika saya mengendalikan sesi jawab lisan dalam kelas itu.

“Atas dasar prihatin seorang guru, saya menghantar video itu kepada ibu murid berkenaan dengan niat memaklumkan kepada ayahnya supaya lebih berhati-hati agar anaknya tidak terjebak dengan gejala minum ketum,” katanya yang tidak mahu mendedahkan namanya kepada ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Katanya, dia menghantar video itu kepada ibu murid pada waktu pagi semalam selepas tamat kelas pendidikan jasmani dan kesihatan.

“Pada pukul 11 malam, ibu tersebut memberitahu saya video itu telah menjadi tular di laman sosial. Saya sedikit terkejut apabila diberitahu ibu murid itu,” tambah cikgu itu.

Jelas guru itu, perkara itu telah pun diselesaikan pagi tadi setelah dia berjumpa dengan pegawai daripada Pejabat Pendidikan Daerah serta pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah berkenaan.

“Saya minta semua yang menularkan video supaya memadamkanya kerana ia memberi aib kepada murid berkenaan,” katanya.

Sumber : Kosmo!


NUTP pandang serius penyebaran video


Penyebaran video membabitkan kanak-kanak sekolah yang mengaku bapanya pandai memasak air ketum seperti mana yang tular di media sosial hari ini tidak sepatutnya berlaku apatah lagi ia dikatakan dilakukan oleh seorang guru.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Amiruddin Awang, berkata beliau sudah melihat hantaran yang tular di media sosial itu pagi ini dan masih belum mengetahui punca sebenar bagaimana video berkenaan boleh tular.

Menurutnya, perkara itu di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan dan NUTP memandang serius kerana membabitkan kanak-kanak bawah umur.

"Perkara itu sepatutnya tidak berlaku kerana boleh mencemarkan maruah keluarga dan kanak-kanak terbabit," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebuah video membabitkan kanak-kanak sekolah tular hari ini memaparkan soalan seorang guru wanita bertanya bapa siapa pandai memasak, sebelum seorang kanak-kanak mengangkat tangan dan menjawab bapanya pandai memasak air ketum.

Amiruddin berkata, pihaknya akan menunggu maklumat lengkap berkenaan video yang tular itu sama ada ia dilakukan oleh guru itu atau pihak lain.

Tambahnya, sekiranya perkara itu dilakukan oleh guru terbabit, ia adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab kerana membabitkan hal ehwal murid dan pihaknya menyerahkan kepada Kementerian Pendidikan bagi membuat siasatan.

Katanya, guru seharusnya berhati-hati dengan kecanggihan teknologi masa kini supaya tidak melakukan perkara di luar batasan yang boleh menjejaskan institusi perguruan.

"Buat masa ini kita menyerahkan kepada pihak bertanggungjawab untuk membuat siasatan dan motif sebenar ia ditularkan," katanya

Sumber : Berita Harian


Sabtu, Ogos 15, 2020

Khamis, Ogos 06, 2020

Di mana wajib pakai pelitup muka?



Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengeluarkan senarai bagi menjelaskan lokasi orang ramai wajib memakai pelitup muka untuk membendung penularan COVID-19.

Lokasi yang disenaraikan oleh MKN ialah masjid dan surau; rumah ibadat bukan Islam; majlis sosial; pengangkutan awam; zoo; bas serta van sekolah; lokasi sukan dan rekreasi (ketika tidak melakukan aktiviti) dan premis kesihatan iaitu klinik dan hospital.

Lokasi lain ialah pasar awam serta pasar tani; pawagam serta acara secara langsung; salun kecantikan serta rambut; spa, pusat kecantikan serta pusat refleksologi dan pusat hiburan keluarga.

MKN juga menyenaraikan lokasi peruncitan termasuk kedai dobi, kedai, restoran, kompleks beli-belah, pasar raya, bengkel dan stesen minyak.

Orang ramai boleh memperoleh maklumat berkaitan menerusi www.mkn.gov.my


Awesome TV HD saluran baharu di platform MYTV





Semenjak peralihan peralihan sistem penyiaran televisyen (“TV”) dari analog ke digital pada November 2019 yang lalu, MYTV terus berusaha keras untuk meningkatkan mutu perkhidmatan digital TV di Malaysia dengan memastikan kandungan multimedia dan interaktif di platform TV digital myFreeview adalah terkini, relevan dan menarik kepada penonton. Kerjasama antara MYTV dan myFreeview telah berjaya membawa saluran TV digital percuma kepada penonton di seluruh negara.

Terkini, myFreeview bakal memperkenalkan satu lagi saluran terbaharu iaitu “Awesome TV HD” yang akan bersiaran 24 jam sehari secara rasmi pada 3 Ogos 2020 melalui saluran 112. Kepelbagaian kategori program yang disediakan Awesome TV HD seperti Riuh Famili dan Keringat Selebriti pastinya akan menarik minat kesemua peringkat golongan di Malaysia dan secara tidak langsung memeriahkan lagi siaran yang sedia ada di myFreeview.

Ketua Pegawai Eksekutif MYTV Broadcasting Sdn Bhd, En. Mazlan Mahdi berkata, “Peningkatan positif jumlah penonton myFreeview, khususnya dalam tempoh PKP mutakhir ini, adalah amat menggalakkan. Sejumlah 5.3 juta penonton siaran myFreeview kini berpeluang untuk menikmati kepelbagaian perkhidmatan TV digital myFreeview yang disediakan MYTV dan kami menjangkakan peningkatan ini akan berterusan, selari dengan pembangungan kandungan multimedia dan interaktif di antara MYTV, badan penyiar dan rakan pemain industri yang lain. Ini adalah komitmen kami untuk terus kekal relevan di dalam bidang penyiaran televisyen negara. Kami yakin Awesome TV juga akan turut serta dalam inisiatif pembangunan perkhidmatan TV digital myFreeview pada masa hadapandan kami mengharapkan mereka juga akan mengambil kesempatan atas kepelbagaian perkhidmatan yang platform myFreeview sediakan”.

Melalui siaran TV digital myFreeview, penonton boleh mengakses pelbagai saluran TV dan radio melalui TV1, TV2, TVOkey, Berita RTM, RTM HD Sports, TV3, ntv7, 8TV, TV9, Drama Sangat, CJ Wow Shop, TV Al Hijrah, Bernama dan Astro Go Shop. Dengan penambahan saluran Awesome TV HD, jumlah saluran TV digital myFreeview adalah sebanyak 16 saluran TV dengan 8 daripadanya adalah dalam format definisi tinggi atau High Definition dan 6 saluran radio. Bagi menyambut seruan Kerajaan dalam menggalakkan rakyat agar kekal berada di rumah dalam tempoh PKP, MYTV komited untuk memastikan kualiti siaran myFreeview tidak terjejas disamping memastikan liputan siarannya adalah di peringkat optimum.

Untuk menikmati siaran TV digital myFreeview secara percuma, pengguna hanya perlu mendapatkan dekoder DVB-T2 atau TV berintegrasi digital (IDTV) di kedai-kedai elektrik berhampiran atau layari www.mytvbroadcasting.my

013 979 0000

Rabu, Ogos 05, 2020

Baja ammonia nitrat 2,750 tan didakwa punca letupan Beirut



Letupan dahsyat petang semalam yang menggegarkan ibu kota Beirut, Lubnan dan mengakibatkan ribuan cedera, didakwa berpunca daripada 2,750 tan baja ammonia nitrat yang disimpan bertahun-tahun di kawasan gudang pelabuhan itu.

Perdana Menteri Lubnan, Hassan Diab, berkata baja kimia untuk pertanian itu adalah punca letupan yang membawa malapetaka kepada penduduk ibu kota yang setakat ini sudah mengorbankan lebih 70 orang.

"Siasatan menyeluruh sedang dilakukan begitu juga mengesan individu yang bertanggungjawab.

"Mereka yang didapati bersalah sehingga terjadinya malapetaka ini akan menerima balasan," katanya.

Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan sehingga kini 73 penduduk terkorban, manakala 3,700 lagi cedera dalam insiden berkenaan.

Ketua Keselamatan Awamnya, Abbas Ibrahim pula berkata, bahan mudah meletup itu sudah dirampas beberapa tahun lalu dan disimpan di gudang berkenaan yang terletak berdekatan dengan lokasi tumpuan orang ramai bagi aktiviti membeli belah dan berhibur pada waktu malam.

Majlis Pertahanan Lubnan turut mengisytiharkan Beirut sebagai zon bencana dan turut merayu negara sekutunya untuk menghulurkan bantuan dalam menangani malapetaka itu.

Kebanyakan negara dunia merakamkan ucapan takziah termasuk negara Teluk manakala Amerika Syarikat (AS) turut menawarkan penghantaran bantuan.

Keadaan hospital di ibu kota itu yang sedang bergelut untuk merawat pesakit COVID-19 bertambah sesak dengan individu tercedera akibat letupan.

Tragedi itu turut memberi kesan kepada ekonomi negara itu yang sedia terjejas.

Ekonomi Lubnan bertambah buruk sejak beberapa bulan lalu akibat kejatuhan mata wang sehingga kebanyakan perniagaan terpaksa ditutup dengan kadar kemiskinan dan pengangguran terus meningkat.

- AFP

Bayaran balik PTPTN ditangguh hingga 31 Disember 2020



Kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk tempoh tiga bulan lagi bermula 1 Oktober ini.

Langkah itu diambil seiring pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengenai lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar bagi mereka yang terkesan dengan penularan COVID-19.

Menteri Pengajian tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata penangguhan terbabit membabitkan jumlah bayaran balik kira-kira RM375 juta.

"Ini bermakna jumlah keseluruhan anggaran penangguhan bayaran balik adalah sebanyak RM1.13 bilion.

"Semua peminjam PTPTN akan diberikan penangguhan bayaran balik pinjaman secara automatik tanpa perlu membuat sebarang permohonan sebagaimana pelaksanaan penangguhan sebelum ini.

"Sekiranya ada peminjam ingin meneruskan bayaran balik pinjaman, mereka boleh berbuat demikian melalui saluran bayaran balik secara dalam talian yang disediakan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Noraini berkata, kerajaan amat prihatin dan peka terhadap kekangan kewangan yang dihadapi segelintir peminjam PTPTN yang terkesan akibat kehilangan punca pendapatan susulan penularan wabak itu.

"Diharapkan pengumuman ini dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh peminjam PTPTN," katanya.

Untuk maklumat dan pertanyaan lanjut, peminjam boleh menghubungi Careline PTPTN menerusi talian di 03 - 2193 3000 yang beroperasiIsnin hingga Jumaat, jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang atau layari portal rasmi, www.ptptn.gov.my.

Pada 29 Julai lalu, kerajaan dilaporkan bersetuju melaksanakan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar khusus kepada rakyat yang hilang pekerjaan dan masih belum mendapat pekerjaan baharu.

Muhyiddin dipetik berkata, lanjutan moratorium akan diberikan untuk tempoh tiga bulan.


Selasa, Ogos 04, 2020

Recent Posts