Top Ad 728x90

,

Diskaun 70 peratus bayaran saman dilanjutkan sebulan



Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memanjangkan tempoh pembayaran diskaun 70 peratus yang ditawarkan bagi bayaran saman yang dikeluarkan JPJ dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), hingga hujung bulan ini.

Pengarah Bahagian Korporat dan Perancangan Strategik JPJ, Mohamad Yatim Nawawi, berkata tempoh pembayaran yang berakhir pada 31 Ogos lalu dilanjutkan sebulan atas arahan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bagi membantu rakyat ketika menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Beliau berkata, sambutan ke atas tawaran diskaun itu begitu menggalakkan sehingga menyebabkan semua pejabat JPJ negeri, cawangan dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) penuh sesak.

Justeru, katanya, orang ramai disaran mengambil peluang tempoh lanjutan sebulan diberikan itu bagi menyelesaikan pembayaran saman masing-masing.

"Selepas tamat tempoh diskaun ini individu yang mempunyai saman akan membayar saman seperti asal," katanya selepas menghadiri majlis memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Pelancaran Drama Skuad JPJ antara JPJ dan Kalam Ariff Holdings Sdn Bhd, hari ini.

Mohamad Yatim berkata, diskaun 70 peratus bayaran saman itu adalah sempena sambutan bulan kemerdekaan bagi saman yang dikeluarkan atas kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Akta 334), Akta Pengangkutan Awam Darat (Akta 715) serta Kaedah-kaedah dan Perintah-perintah di bawahnya, termasuk kes yang masih dalam tindakan senarai hitam.

Selain pejabat JPJ negeri, cawangan dan UTC, orang ramai juga boleh membuat pembayaran di portal mySIKAP JPJ, kiosk JPJ dan JPJ Mobile.

Mohamad Yatim berkata, bagi kesalahan yang disenarai hitam, orang ramai dikehendaki hadir ke pejabat JPJ cawangan atau negeri bagi proses dokumentasi sebelum urusan pembayaran dilakukan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, JPJ bersetuju dengan cadangan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) supaya laluan bagi motosikal dipisahkan dengan kenderaan yang lain.

Katanya, perkara itu memerlukan persetujuan daripada pelbagai agensi atau jabatan yang berkaitan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Penggunaan lorong kecemasan sama ada meletakkan kenderaan atau melaluinya menyalahi undang-undang sedia ada mengikut Kaedah 53 Kaedah Lalulintas Jalan Raya 1959.

"Justeru JPJ bersetuju dengan cadangan MIROS supaya mengadakan laluan khas motosikal itu berlainan daripada laluan biasa," katanya.

Sumber : Berita Harian




0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90