Top Ad 728x90

,

JPN dalam proses selaraskan pendaftaran anak tak sah taraf

Daftar nama anak tak sah taraf

 

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam proses menyelaraskan penggunaan bin atau binti bagi pendaftaran anak tidak sah taraf.

Ketua Pengarahnya Datuk Ruslin Jusoh, berkata ketika ini terdapat dua pilihan bagi pendaftaran anak tidak sah taraf iaitu bin/binti Abdullah atau menggunakan nama Asmaul Husna.

Katanya, JPN sudah melaksanakan beberapa perbincangan di peringkat negeri khususnya dengan pejabat Mufti di seluruh negara pada tahun ini bagi tujuan berkenaan.

"Ada negeri yang tidak begitu jelas menetapkan sama ada menggunakan Abdullah atau Asmaul Husna, sebab itu kita mahu selaraskan.

"Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diberikan tanggungjawab untuk membuat kajian dan penyelidikan mengenai pelaksanaan itu.

"Insya Allah, kita tunggu hasil daripada pihak JAKIM dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kemudahan ePayment dan Sesi Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Pejabat Jabatan Pendaftaran Negeri Terengganu di sini, hari ini.

Beliau berkata, ketika ini, terdapat hampir 300,000 anak tak sah taraf yang didaftarkan di bawah JPN namun itu bukan jumlah sebenar.

Dalam pada itu, Ruslin turut menasihatkan ibu bapa supaya mempercepatkan pendaftaran kelahiran anak dalam tempoh 60 hari daripada tarikh dilahirkan bagi mengelak isu berbangkit.

Katanya, pasangan yang berkahwin di luar negara juga perlu mendaftarkan kelahiran selagi anak itu dilahirkan di dalam negara.

"Bagi yang berkahwin di luar negara, mereka perlu membuat pengesahan perkahwinan terlebih dahulu di pejabat agama masing-masing.

"Sekiranya pengesahan itu tidak dibuat, ia akan menimbulkan masalah kepada mereka antaranya proses pendaftaran sekolah," katanya.

Ruslin berkata, di Terengganu sahaja sebanyak 264 kes pendaftaran lewat dikesan tahun lalu.

Sumber : Berita Harian

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90