Top Ad 728x90

,

Majlis Raja-Raja bincang cadangan Muhyiddin

cadangan darurat oleh muhyiddin

 

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu dalam masa terdekat, untuk memperhalusi cadangan dikemukakan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata rundingan itu susulan pertemuan baginda dengan Perdana Menteri di Istana Abdul Aziz, Kuantan, Pahang, jam 5 petang semalam.

Dalam pertemuan sekitar satu setengah jam itu, katanya, Muhyiddin mempersembah taklimat cadangan kepada Al-Sultan Abdullah mengenai cadangan yang dicapai dalam Mesyuarat Khas Jemaah Menteri di Putrajaya, pagi semalam.

"Al-Sultan Abdullah amat memahami keperluan kelangsungan pentadbiran negara untuk memerangi ancaman wabak COVID-19. Malah, Seri Paduka Baginda turut amat prihatin terhadap kegelisahan dan kegusaran rakyat ekoran perkembangan terkini ini.

"Oleh hal yang demikian dan susulan daripada sesi menghadap semalam, Al-Sultan Abdullah berkenan mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat bagi membincang dan memperhalusi cadangan yang dikemukakan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah menasihati seluruh rakyat supaya bertenang, tidak panik dan bersabar dalam menghadapi situasi terkini ini sementara menunggu keputusan mengenai cadangan itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Spekulasi mengenai kemungkinan darurat diisytiharkan bagi mengelakkan pilihan raya tercetus susulan Mesyuarat Khas Kabinet pagi semalam, yang disusuli pertemuan Muhyiddin dengan Yang di-Pertuan Agong, yang dilaporkan turut dihadiri Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah turut menasihati rakyat untuk tidak mencetuskan sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan, keresahan serta menggugatkan ketenteraman negara.

Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong mengulangi titah nasihat baginda menggesa rakyat memainkan peranan dan berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan amalan kebiasaan baharu, susulan peningkatan mendadak kes baharu COVID-19.

Tegas baginda, peranan dan disiplin rakyat penting dalam membantu pihak berkuasa memerangi COVID-19 demi keselamatan diri serta masyarakat.

Al-Sultan Abdullah turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama Seri Paduka Baginda berdoa semoga Malaysia sentiasa dirahmati dan dilindungi dari segala bentuk ancaman, serta penularan COVID-19 dapat dibanteras dengan berkesan dan diakhiri dengan segera," katanya.

Sumber : Berita Harian

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90