Top Ad 728x90

Individu pulang dari Sabah perlu kuarantin

 

Individu yang tiba di Semenanjung dari Sabah serta telah menjalani ujian saringan terlebih dahulu dan keputusannya negatif, masih perlu memakai gelang kuarantin bagi menjalani kuarantin wajib 14 hari.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, walaupun terdapat kelonggaran pengembara yang sudah menjalani ujian tiga hari sebelum ke Semenanjung, mereka perlu ke kaunter saringan untuk dipakaikan gelang kuarantin.

Menurutnya, berdasarkan situasi Kluster Bah Bercham yang dilaporkan semalam, lelaki tersebut sudah menjalani saringan tiga hari awal di Tawau, Sabah namun tidak ke kaunter saringan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Sebaik sampai di KLIA disahkan pada sistem memang dia menjalani saringan dan ia negatif. Sepatutnya walaupun negatif, dia kena ke kaunter pakai gelang kuarantin dan seterusnya dikeluarkan perintah pemantauan di rumah (HSO).

“Tetapi kita tidak tahu macam mana dia tidak ke kaunter dan terus keluar. Ini yang terjadi apabila ada gejala, barulah datang ke klinik dan dikesan positif,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menerusi kenyataan Noor Hisham semalam, Kluster Bah Bercham dikesan di Kinta, Perak iaitu kes indeks saringan pulang dari Sabah yang menjangkiti lima individu.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Kesihatan akan memperketatkan tindakan di pintu masuk bagi memastikan semua individu walaupun ujian awal didapati negatif, perlu memakai gelang kuarantin.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, pihaknya ada menerima permohonan untuk individu tertentu seperti petugas dan penjawat awam dikecualikan daripada menjalani kuarantin 14 hari.

Bagaimanapun, ujarnya, KKM tidak membenarkan kerana pihak kementerian bimbang berlaku jangkitan berikutan tempoh dua minggu adalah tempoh inkubasi.

Selain itu, katanya, data yang dikumpul oleh KKM mendapati sebanyak tujuh peratus daripada mereka yang kembali dari Sabah dikesan positif pada hari ke-13 walaupun ujian hari pertama mereka adalah negatif. 

Sumber : Kosmo!

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90