Paris, Zurich bandar raya paling mahal di dunia

 

Paris dan Zurich menyertai Hong Kong tahun ini, apabila berada di kedudukan teratas sebagai bandar raya dengan kos sara hidup paling tinggi di dunia, berdasarkan satu tinjauan.

Sementara itu, Singapura dan Osaka yang sebelum ini menduduki posisi teratas jatuh 'anak tangga' akibat COVID-19 yang melemahkan nilai mata wang dolar Amerika Syarikat (AS).

Kedudukan Tehran melonjak 27 anak tangga berikutan sekatan oleh AS, kata The Economist Intelligence Unit (EIU) dalam laporan Kos Hidup 2020 Seluruh Dunia yang diterbitkan Rabu lalu.

Bagaimanapun, menurut kumpulan penyelidik kewangan itu, kesan pandemik COVID-19 terhadap dolar AS adalah faktor terbesar mempengaruhi kedudukan carta.

Ketua Sara Hidup Seluruh Dunia EIU, Upasana Dutt, berkata penularan COVID-19 mengakibatkan dolar AS melemah, sementara mata wang Eropah barat dan Asia utara pula mengukuh sehingga memberi kesan terhadap harga barang dan perkhidmatan.

"Singapura dan Osaka jatuh dari kedudukan teratas bersama Hong Kong sebelum ini, meletakkan bandar raya berkenaan di kedudukan keempat dan kelima. Osaka kini sama kedudukan dengan Tel Aviv di tangga kelima.

"Pergerakan kedudukan Paris dan Zurich setara dengan Hong Kong di tempat teratas, didorong kenaikan mata wang euro dan Swiss franc terhadap dolar AS serta penurunan perbandingan kos sara hidup di dua bandar raya Asia yang sebelumnya berada di posisi atas," katanya.

Menurut laporan itu, harga di Singapura jatuh berikutan penghijrahan besar-besaran pekerja asing.

New York dan Los Angeles kedua-duanya jatuh anak tangga.

New York, bandar jolokan Big Apple jatuh satu anak tangga menyertai Geneva dan Los Angeles di kedudukan kesembilan bersama dengan Copenhagen.

"Dengan jumlah keseluruhan penduduk Singapura yang menguncup untuk pertama kalinya sejak 2003, menyaksikan permintaan menurun dan deflasi pula meningkat.

"Osaka memperlihatkan trend yang sama dengan harga pengguna tidak berganjak dan kerajaan Jepun menanggung subsidi seperti pengangkutan awam.

"Pandemik COVID-19 mempengaruhi tabiat perbelanjaan di seluruh dunia dengan harga barang keperluan terbukti lebih berdaya tahan berbanding barang tidak penting," menurut laporan itu.

Menurut laporan itu, situasi sekarang tidak semestinya meningkatkan harga barang ruji seperti kopi, keju, beras dan jus oren.

Pakaian pula adalah satu-satunya kategori yang mengalami purata penurunan indeks kerana ramai pengguna menangguhkan tabiat membeli.

"Dengan bekerja di rumah, peralatan elektronik menyaksikan kenaikan harga terbesar kerana kekurangan pengeluaran," kata EIU. - AGENSI

Info:

Bandar paling mahal untuk diduduki 2020

1. (terikat) Paris, Perancis

1. (terikat) Hong Kong

1. (terikat) Zurich, Switzerland

4. Singapura

5. (terikat) Osaka, Jepun

5. (terikat) Tel Aviv, Israel

7. Geneva, Switzerland

8. New York, Amerika Syarikat

9. Copenhagen, Denmark

10. Los Angeles, Amerika Syarikat

Sumber : Berita Harian / AFP

 

0 Comments:

Post a Comment

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90