Top Ad 728x90

,

Pemulihan ekonomi Malaysia dijangka berbentuk U

 

Pemulihan ekonomi Malaysia berkemungkinan lebih berbentuk U berbanding V, berikutan sekatan baharu disebabkan peningkatan kes jangkitan COVID-19, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Kerajaan berusaha untuk mengawal virus itu tanpa menjejaskan perniagaan dengan melaksanakan sekatan bersasar, kata Azmin dalam satu temubual bersama Bloomberg TV.

Bagaimanapun, beliau berkata, lebih banyak perlu dilakukan bagi melandaikan kenaikan kes jangkitan.

"Kelihatannya itulah situasi buat masa sekarang, namun kadarnya masih lagi perlahan," katanya semasa ditanya mengenai prospek pemulihan berbentuk U.

"Pendekatan terbaik adalah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung virus, namun itu akan menjejaskan ekonomi," kata Azmin, merujuk pelaksanaan sekatan pergerakan menyeluruh yang menjejaskan ekonomi Malaysia awal tahun ini.

Peningkatan kluster jangkitan yang muncul sejak akhir September memaksa kerajaan mengenakan larangan baharu terhadap kebanyakan aktiviti sosial, selain mengenakan sekatan di hampir semua negeri.

Sekatan berkenaan memberi ancaman kepada ekonomi Malaysia yang bernilai RM1.45 trilion, ketika ia sedang menunjukkan isyarat pemulihan.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menguncup dengan kadar lebih perlahan pada suku ketiga, melantun daripada penguncupan tertinggi dalam tempoh sedekad apabila negara mula melonggarkan sekatan bermula Mei lalu.

Petunjuk sejak itu membayangkan 'sokongan kukuh' pemulihan, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus minggu lalu.

Bagaimanapun, peningkatan kes virus kebelakangan ini boleh menjejaskan tinjauan berkenaan.

Kes jangkitan baharu di negara ini kekal mencatatkan empat angka dalam beberapa hari lalu.

Kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berdepan satu lagi cabaran minggu depan.

Majoriti pakatan kerajaan yang kecil di Parlimen akan diuji apabila pembuat dasar mengundi Belanjawan 2021, Khamis depan.

Sejak dua minggu lalu, Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang merahsiakan sokongan masing-masing, melainkan terdapat perubahan.

Kegagalan meluluskan belanjawan bermakna kekalahan undi tidak percaya.

"Tiada sebab untuk Ahli Parlimen tidak menyokong belanjawan apabila ia disasarkan kepada rakyat dan aktiviti ekonomi di Malaysia," kata Azmin.

"Menteri Kewangan sudah mengambil semua pandangan untuk pertimbangan," tambahnya.

Azmin, yang baru-baru ini dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berkata, mereka bersedia untuk berdepan pilihan raya umum.

"Dengan trek rekod sejak lapan bulan lalu, kami akan memenangi majoriti lebih besar dalam pilihan raya akan datang," katanya sambil menambah, situasi virus ketika ini bagaimanapun tidak membolehkan sebarang pilihan raya diadakan sekarang.

Sumber : BLOOMBERG

 

 

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90