, ,

Penggunaan beg plastik ‘diharamkan’ di seluruh negara

 

Beg plastik tidak lagi digunakan di semua premis di seluruh negara selepas pelaksanaannya dipersetujui oleh semua kerajaan negeri.

Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam kenyataannya memberitahu, mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) ke-76 semalam meluluskan Kertas Cadangan Pelaksanaan Kempen Tiada Beg Plastik oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang dibentangkan KASA.

Menurutnya, MNKT turut bersetuju meluluskan pelaksanaannya di semua premis seluruh negara dengan mengenakan caj minimum 20 sen bagi setiap beg plastik yang diberikan kepada pelanggan di kaunter pembayaran.

“Pengenaan caj ini berpandukan prinsip ‘user-pay-principal’ yang bertujuan menghindari penggunaan plastik sekali guna.

“Justeru, kutipan ini perlu diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk digunakan bagi aktiviti kelestarian alam dan kesejahteraan rakyat,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Dalam pada itu, pelaksanaan Kempen Tiada Beg Plastik ini dibuat dalam dua fasa iaitu fasa pertama mulai Disember ini hingga 2021.

“Ia tertumpu kepada premis kekal iaitu pasar raya hiper, pasar raya besar, pasar raya serbaneka, kedai serbaneka, restoran makanan segera, kedai serbaneka stesen minyak, kedai rangkaian serta farmasi.

“Bagi pelaksanaan fasa kedua bermula 2022 hingga 2025, kempen itu akan diperluaskan kepada jenis premis perniagaan lain termasuk kedai runcit, pasar basah, pasar malam, pasar tani dan sebagainya,” katanya

Mengulas lanjut, usaha ini selari dengan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Malaysia ke arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018 – 2030 bertujuan membendung pencemaran plastik sekali guna dan beralih kepada alternatif lain lebih mesra alam.

“Sehubungan itu, KASA akan bekerjasama dengan semua kerajaan negeri dan PBT dalam usaha gerak kerja pelaksanaan kempen ini termasuk memberi penerangan dan kesedaran kepada orang ramai mengenai keperluan menghindari penggunaan plastik sekali guna.

“Orang ramai adalah digalakkan untuk membawa beg guna semula semasa membeli-belah dalam usaha bersama melestarikan alam sekitar,” ujarnya.

Sementara itu, dalam mesyuarat MNKT tersebut, KASA diwakili Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Ahmad Masrizal Muhammad yang turut menyatakan inisiatif kempen itu untuk menangani masalah pencemaran plastik sekali guna.

Malah, beliau mengucapkan penghargaan atas sokongan dan komitmen semua kerajaan negeri untuk melaksanakan inisiatif tersebut dalam meningkatkan penghayatan gaya hidup hijau dalam kalangan rakyat Malaysia. 

Sumber : Kosmo!

0 Comments:

Post a Comment

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90