Top Ad 728x90

, ,

KWSP i-Sinar: Boleh mohon bermula 21 Disember 2020

 

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan kemudahan i-Sinar kini dibuka kepada semua ahli KWSP yang terjejas pendapatan akibat COVID-19 dengan permohonan dalam talian bermula 21 Disember 2020.

Pengurus dana persaraan itu berkata, kriteria kelayakan bagi Kategori 1 membabitkan ahli yang bekerja di sektor formal, bekerja sendiri, bekerja di dalam sektor ekonomi gig, yang sudah lama tidak mencarum, yang hilang pekerjaan, suri rumah atau yang diberi notis cuti tanpa gaji.

Katanya, kriteria bagi Kategori 1 itu adalah ahli yang tiada caruman dengan KWSP sekurang-kurangnya selama 2 bulan berturut-turut semasa permohonan atau ahli yang masih bekerja tetapi telah mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30 peratus dan ke atas selepas 1 Mac 2020.

"Bagi kategori ini tiada dokumen sokongan diperlukan; kelulusan secara automatik berdasarkan data dalaman KWSP dan ahli hanya perlu memohon secara dalam talian melalui isinar.kwsp.gov.my mulai 21 Disember 2020.

"Pembayaran untuk ahli yang layak akan bermula dari pertengahan Januari 2021," katanya dalam satu kenyataan.

KWSP berkata, bagi Kategori 2 pula, ia adalah untuk ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas (termasuk pengurangan gaji dan elaun, atau pemotongan tuntutan kerja lebih masa) selepas 1 Mac 2020, yang mana pengurangan itu hanya boleh dikenal pasti melalui dokumen yang diberikan.

"Untuk melancarkan proses pengesahan, KWSP memerlukan dokumen sokongan daripada ahli iaitu slip gaji sebelum dan selepas pengurangan pendapatan dan notis pemberhentian atau pemotongan elaun dan/atau tuntutan kerja lebih masa.

"Jika dokumen tidak boleh dikemukakan, sebarang dokumen sokongan lain seperti penyata bank atau surat pengesahan majikan akan diberi pertimbangan. Bagi kategori ini, ahli boleh memohon secara dalam talian melalui isinar.kwsp.gov.my mulai 11 Januari 2021," katanya.

KWSP berkata, untuk memastikan permohonan dipertimbangkan dengan terperinci, status permohonan akan dimaklumkan kepada ahli dalam masa dua hingga tiga minggu selepas permohonan dibuat.

Katanya, pembayaran akan dilaksanakan sebelum akhir bulan berikutnya, selepas kelulusan diberi.

Mengenai jumlah kelayakan i-Sinar, KWSP berkata, ia tertakluk kepada baki simpanan Akaun 1 ahli berdasarkan butiran terkini seperti ahli yang mempunyai baki RM100,000 dan ke bawah dalam Akaun 1 boleh membuat pengeluaran sehingga jumlah maksimum RM10,000.

Ia berkata, pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM5,000.

Bagi ahli yang mempunyai baki lebih RM100,000 dalam Akaun 1, pengurus dana persaraan itu berkata, mereka boleh membuat pengeluaran maksimum 10 peratus atau RM60,000 (yang mana lebih rendah) daripada Akaun 1.

Katanya, pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga RM10,000.

Bagi memastikan kelancaran proses permohonan, ahli digalakkan untuk mendaftar i-Akaun, mengemas kini nombor telefon bimbit untuk menerima Kod Pengesahan Transaksi (TAC) di kios atau kaunter KWSP, dan memastikan nombor akaun bank mereka adalah aktif.

Sumber : Berita Harian

 

 

 

 

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90