Top Ad 728x90

,

Vaksin COVID-19: Ibu mengandung patut dapat nasihat pakar

Vaksin Covid-19 untuk ibu mengandung

 

Memikirkan risiko tinggi dijangkiti COVID-19, pastinya wanita hamil dan yang menyusukan anak mahu mengambil suntikan vaksin sebagai perisai diri daripada ancaman pandemik itu.

Bagaimanapun, terdapat kekeliruan kerana ramai menyangka mereka dilarang terus daripada mengambil imunisasi itu kerana dikhuatiri mendatangkan kesan sampingan terhadap diri mereka, kandungan dan anak yang sedang menyusu.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata yang sebenarnya, buat sementara waktu golongan itu tidak disyorkan mengambil suntikan itu kerana ketiadaan data yang mencukupi.

"Tanpa mengira trimester kandungan, mereka tidak disyorkan mengambilnya setakat ini," katanya ringkas ketika dihubungi.

Menurut Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dalam ruangan soalan lazim yang dikemas kini mengenai vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech dikenali sebagai COMIRNATY, wanita hamil dan yang menyusukan anak diminta berhubung dengan doktor masing-masing untuk mengenal pasti jika mereka penerima yang sesuai bagi vaksin itu.

"Ujian klinikal Vaksin COMIRNATY tidak melibatkan wanita yang hamil atau sedang menyusukan anak.

"Memandangkan tiada data keberkesanan dan keselamatan penggunaan vaksin ini bagi populasi itu, pengesyoran tidak dapat dibuat sehingga maklumat terkini diperoleh," menurut NPRA.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi Hospital KPJ Ampang Puteri, Datuk Dr Ashar Abdullah pula berkata bagaimanapun, jika mereka petugas barisan hadapan, mereka sepatutnya diberikan vaksinasi memandangkan mereka berdepan risiko yang lebih tinggi dijangkiti COVID-19.

"Buat masa ini, yang menjadi masalah ialah tiada data yang cukup untuk menyokong vaksinasi rutin kepada wanita hamil dan yang menyusukan anak. Namun dari apa yang saya tahu, tiada risiko tambahan untuk golongan ini, sama seperti orang lain," katanya.

Beliau berkata bagaimanapun, saranan itu hanya untuk menangguhkan pengambilan suntikan vaksin sehingga data mencukupi diperoleh dan bukan bermakna ia tidak diperlukan atau tidak perlu diambil langsung.

Berkongsi pandangan sama, Pensyarah Perubatan Mikrobiologi, Universiti Putra Malaysia Profesor Madya Dr Niazlin Mohd Taib, berkata keperluan untuk petugas barisan hadapan yang mengandung untuk mengambil vaksin adalah tinggi tetapi bergantung kepada tempoh kandungan.

Bagaimanapun, pengambilan suntikan untuk petugas barisan hadapan yang hamil tetap perlu membabitkan persetujuan, perbincangan dan rujukan kepada data serta fakta.

"Untuk ibu mengandung yang lain, perbezaan dari segi tempoh kandungan sama ada trimester pertama, kedua atau ketiga juga diambil kira untuk menetapkan waktu yang sesuai untuk pengambilan vaksin.

"Perbincangan bersama pakar yang terbabit seperti ahli neonatologi, pakar sakit puan serta hospital ibu dan anak tentang keperluan pengambilan vaksin perlu dari segi keselamatan dan risiko setiap seorang kerana faktor kesihatan seseorang dan pekerjaan mungkin berbeza," katanya.

Niazlin berkata, sekiranya seorang ibu hamil itu tidak mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat jangkitan COVID-19, misalnya tinggal di kawasan zon hijau dan keluarga tidak bekerja sebagai petugas barisan hadapan, keperluan untuk vaksin lebih rendah serta boleh menunggu sehingga persetujuan atau garis panduan dikeluarkan.

Katanya, garis panduan pengambilan vaksin yang dibina akan berubah mengikut aliran bukti-bukti keselamatan, keberkesanan dan kepentingan pengambilan berdasarkan risiko seseorang terhadap jangkitan COVID-19.

"Beberapa pertubuhan kesihatan di dunia juga telah menyemak semula kepentingan vaksinasi dalam kalangan mereka kerana mereka dianggap antara yang berisiko apabila menghidapi COVID-19," katanya.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar juga berpendapat meskipun pengambilan vaksin itu tidak disyorkan kepada golongan itu, beliau menyarankan agar mereka mendapatkan pandangan pakar terlebih dahulu dan tidak membuat tafsiran sendiri.

"Ibu mengandung secara umumnya tidak boleh ambil tetapi ada pakar berpendapat kalau pada trimester ketiga vaksin boleh diambil kerana pembentukan bayi sudah lengkap. Sebab itu, apa jua ubat kita tidak beri ketika tiga bulan pertama.

"Sebab itu kita tidak boleh samakan semua yang mengandung. Lebih baik berbincang dengan doktor bagi mendapatkan kepastian, itu lebih baik," katanya.

Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan Pfizer memulakan ujian klinikal vaksin COVID-19 itu di Amerika Syarikat baru-baru ini ke atas 4,000 ibu mengandung bagi menguji keselamatan dan keberkesanannya. 

Sumber : BERNAMA

 

 

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90