Top Ad 728x90

, ,

Awas laman sesawang palsu Maybank2u - Polis

 

Polis mengesan kewujudan sindiket memanipulasi platform perbankan dalam talian dengan mewujudkan pautan laman sesawang palsu menyerupai laman sesawang, Maybank2u tujuan penipuan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob, berkata setakat ini pihaknya menerima empat laporan polis berkaitan kes sedemikian membabitkan kerugian RM22,300.

"Siasatan mendapati mangsa menerima emel kononnya dihantar pihak Maybank menyatakan akaun bank mereka mempunyai masalah keselamatan dan mangsa diminta menekan pautan yang disertakan bersama emel terbabit.

"Bila pautan itu ditekan, laman sesawang palsu yang kelihatan seperti laman sesawang Maybank2u akan dipaparkan dan mangsa tidak menyedari yang adalah adalah laman sesawang palsu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zainuddin berkata, mangsa kemudian dikehendaki mengemas butiran peribadi, kata laluan serta nombor telefon melalui laman sesawang palsu itu dan tidak lama selepas itu, mangsa mendapati wang dalam akaun masing-masing berkurangan.

Bagaimanapun, katanya, kes terbaru yang diterima menunjukkan mangsa menerima pautan laman sesawang palsu itu melalui iklan cabutan bertuah Maybank yang dipaparkan melalui Facebook.

"Kita minta orang ramai berhati-hati dengan memastikan alamat URL yang dipaparkan bagi laman sesawang Maybank2u yang dibuka benar-benar sama dengan alamat laman sesawang Maybank2u.

"Orang ramai juga perlu berhubung dan mendapatkan pengesahan pihak bank sekiranya menerima emel yang meminta mereka mengemaskini maklumat peribadi melalu laman sesawang bank Maybank2u," katanya.

Katanya, orang ramai juga boleh berhubung dengan 'Scam Response Center' JSJK di talian 03-26101559 atau 03-26101599 sekiranya mempunyai sebarang kemusykilan atau keraguan berkaitan sesuatu urusan yang disyaki ada kaitan dengan penipuan.

Dalam pada itu, Zainuddin turut mengingatkan orang ramai berhubung taktik penipuan yang digunakan sindiket kononnya 'tersalah memasukkan wang' ke akaun mangsa yang disasarkan.

"Sindiket akan menghubungi mangsa dan menyatakan dia tersilap memasukkan wang ke akaun mangsa dan meminta wang itu dikembalikan.

"Mangsa yang mengikuti arahan akan dihubungi semula dalam tempoh tidak sampai sebulan oleh syarikat peminjam wang tanpa lesen dan dipaksa membayar 'pinjaman' yang kononnya dibuat oleh mangsa," katanya.

Nilai pinjaman adalah sama dengan jumlah wang yang kononnya tersalah dimasukkan ke akaun bank mangsa.

Katanya lagi, buat masa ini belum ada sebarang laporan polis diterima berkaitan kes sedemikian namun orang ramai perlu sentiasa berwaspada supaya tidak menjadi mangsa penipuan.

Sumber : Berita Harian

 

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90