Top Ad 728x90

,

BNM bimbang 170,000 hartanah tak terjual

 


Jumlah hartanah tidak terjual sedikit berubah setelah kerajaan memperkenalkan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) namun pasaran komersial masih mendatar dan kekal di paras membimbangkan dalam situasi pandemik negara kini.

Gabenor Bank Negara Malaysia, (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, jumlah hartanah tidak terjual masih tinggi dengan kira-kira 170,000 unit.

Ujarnya, walaupun jumlahnya berkurangan berikutan kempen HOC diperkenal kerajaan tahun lalu yang membantu penjualan sebilangan unit tidak terjual di negara ini, namun paras itu masih terlalu tinggi.

“Namun, kami bimbangkan prestasi hartanah komersial kerana jumlah penawaran ruang pejabat dan kompleks beli-belah ini amat tinggi walaupun sebelum penularan Covid-19.

“Permintaan terhadap unit komersial ini juga akan merosot berikutan faktor pandemik, jualan secara dalam talian yang lebih hebat serta aturan bekerja dari rumah yang dinormalisasikan,” katanya dalam sesi taklimat media, kelmarin.

Sementara itu, BNM dalam laporan tahunannya mengumumkan pemansuhan peraturan penukaran eksport bersama dengan beberapa langkah liberalisasi lain bermula 15 April ini dalam usaha menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan menjadikan negara ini hab rantaian bekalan global.

Pemansuhan ini membolehkan pengeksport menguruskan penukaran perolehan eksport berdasarkan keperluan aliran tunai mata wang asing mereka.

Selain itu, pengeksport juga dibenarkan menyelesaikan perdagangan domestik dalam mata wang asing dengan pemastautin lain yang terlibat dalam rantaian bekalan global.

Nor Shamsiah menjelaskan, langkah ini dijangka memudahkan lindung nilai semula jadi untuk pengeksport dan rakan perniagaan mereka dalam rantaian bekalan global untuk menguruskan risiko pertukaran asing dengan lebih baik.

“Pengeksport turut dibenarkan melaksanakan pengaturan bersih terhadap perolehan eksport dengan obligasi mata wang asing yang dibenarkan yang akan meningkatkan kecekapan perniagaan dan pengurusan aliran tunai pengeksport.

“Pengeksport boleh melanjutkan tempoh penerimaan perolehan eksport melebihi enam bulan untuk sebab-sebab tertentu. 

“Ini memberi pengecualian kepada pengeksport daripada keperluan mendapatkan kelulusan bank bagi membawa balik perolehan eksport mereka melebihi tempoh enam bulan untuk sebab-sebab tertentu di luar kawalan pengeksport,” katanya dalam sesi taklimat bersama editor media secara maya, kelmarin.

Tambah beliau, syarikat boleh melaksanakan lindung nilai derivatif komoditi dengan rakan niaga bukan pemastautin yang akan menyediakan saluran dan pilihan kepada syarikat untuk melindungi nilai risiko harga komoditi mereka.

“Langkah ini dijangka akan meningkatkan sentimen pelabur dan kedudukan Malaysia sebagai destinasi FDI,” ujarnya.

Sumber : Utusan

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90