Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label Agama. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Agama. Papar semua catatan

Berhati-hati pilih makanan, minuman – Mufti P. Pinang

by

 


Masyarakat Islam dinasihatkan agar berhati-hati dalam hal ehwal berkaitan makanan dan minuman serta perlu cakna tentang apa yang boleh dimakan dan diminum berdasarkan hukum yang ditetapkan oleh syarak.

Sehubungan itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, setiap individu Muslim tidak wajar menjamah makanan atau minuman di mana-mana restoran atau premis yang tidak mempunyai sijil halal yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama di negara ini terutamanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Allah SWT melarang seorang Muslim meminum segala minuman yang memabukkan. Hukumnya sama dengan arak yang diharamkan menerusi nas-nas Quran dan hadis.

“Pihak berwajib hendaklah memberi penerangan tentang hukum haram ini meliputi setiap bahan yang memabukkan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai video dimuat naik pengguna di TikTok menunjukkan tindakan seorang peniaga menggunakan bahan dikhuatiri tidak halal di dalam masakannya menimbulkan kebimbangan pengguna muslim.

Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, mana-mana orang Islam yang memakan atau meminum bahan yang memabukkan akan dikenakan hukuman mengikut peruntukan sedia ada di dalam Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Islam Negeri.

“Saya cadangkan mana-mana premis yang menyajikan arak dan apa jua bahan yang memabukkan hendaklah memaparkan notis yang menyatakan bahawa orang Islam tidak dibenarkan memasuki premis tersebut.

“Perlu diketahui bahawa jenis tuak yang haram tidak termasuk tuak yang menjadi minuman tradisional dalam kalangan masyarakat Islam di Kelantan dan Terengganu.

“Minuman berkenaan dipanggil ‘nira’ di negeri-negeri Barat Semenanjung Malaysia. Manakala tuak yang sering diminum oleh masyarakat Dayak di Sarawak adalah haram diminum oleh penganut agama Islam,” tambahnya. -KOSMO! 


Hati-hati rakam gambar di Tanah Suci, bimbang makruh

by


Sejak kebelakangan ini, timbul isu dalam kalangan pengguna aplikasi TikTok berhubung tindakan segelintir pihak yang menjadikan ibadah umrah sebagai kandungan media sosial.
Situasi itu menjentik rasa kurang senang segelintir pengguna yang mempersoalkan adakah keberadaan mereka di Tanah Suci berpandukan niat sebenar untuk beribadah.
Pensyarah Fiqh Fatwa, Pusat Kajian Syariah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Izhar ­Ariff Mohd. Kashim ketika dihubungi menjelaskan secara terperinci tentang situasi itu.
Menurut beliau, meskipun ibadah melakukan umrah merupakan ibadah yang bersifat sunat, tetapi kita perlu memperbetulkan niat sewaktu pemergian ke Tanah Suci.
“Teknologi moden pada hari ini mewujudkan Kaabah ada di mana-mana. Maksudnya, kita boleh merakam gambar dan vi­deo di Tanah Suci kemudiannya berkongsi dalam media sosial.
“Hukumnya (perbuatan) harus sebab bagus dapat bagi orang yang tidak berkemampuan berpeluang melihat Kaabah dan kawasan di sana,” katanya.
Sebagai contoh, jemaah boleh merakam gambar atau video ketika di Tanah Suci atas sebab untuk memaklumkan dirinya melakukan umrah yang diwakilkan bagi seseorang yang sudah me­ninggal dunia.
Begitu juga jika seseorang itu menjadikan suasana ibadah umrah atau haji sebagai bahan promosi yang digunakan untuk agensi melibatkan pengurusan jemaah di Tanah Suci.
Bagaimanapun, jelas Izhar ­Ariff, hukum tersebut boleh bertukar menjadi makruh sekiranya seseorang itu ada perasaan ingin menunjuk-nunjuk.
“Cuma hukum tersebut boleh jadi makruh kalau ada perasaan nak buat umrah semata-mata untuk menunjukkan dia ada duit.
“Daripada makruh, boleh jadi hukumnya jatuh haram sekiranya melakukan ibadah umrah untuk riak dan takbur. Contoh­nya bangga ambil pakej mahal dan makanan makanan mewah sebab niat itu sudah tidak betul,” ujarnya.
Izhar ­Ariff memberitahu, tiada masalah sekiranya seseorang itu menggunakan media sosial seperti membuat siaran langsung (live) untuk membaca doa yang dikirim orang lain asalkan perkara tersebut membawa kebaikan.
Cuma harus diingatkan, tidak kira apa sekalipun, adab ketika mengerjakan umrah dan haji perlu dititikberatkan setiap masa.
“Guna kesempatan berada di Tanah Suci untuk fokus sepenuhnya dengan beribadat berbanding melakukan hal-hal duniawi seperti leka dengan telefon bimbit.
“Adab sangatlah penting dan harus dijaga sepanjang me­nunaikan umrah atau haji. Ini tidak, ada yang pergi ke sana tidak menjaga adab dalam pemakaian ­misalnya.
“Tidak kurang juga ada yang menghabiskan masa bermain te­lefon. Padahal kita harus manfaat masa dengan buat banyak ibadat seperti ziarah dan tawaf.
“Apabila buat sesuatu perkara yang bercanggah dengan agama atau melalaikan, itulah yang perlu kita elakkan kerana perbuatan tersebut sangatlah merugikan diri sendiri,” katanya.
Sumber : Kosmo!

Suami tak dayus izin doktor lelaki sambut kelahiran anak

by

 


“Haram apabila ada doktor perempuan tetapi nak juga doktor lelaki selak kain isteri.”

Demikian respons penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus mengenai isu berkaitan gelaran ‘dayus’ kepada si suami apabila membiarkan doktor lelaki menyambut kelahiran anak.

Baru-baru ini, tular di media sosial kelantangan pasangan penceramah bebas, Ustazah Siti Afifah dan Ustaz Zaidi Tohirin, yang menganggap hanya suami ‘dayus’ biarkan isteri mereka bersalin dengan bantuan doktor lelaki.

Menurut Ustaz Azhar, hukum haram dari segi perubatan boleh berubah sekiranya darurat.

“Dengar baik-baik. Hukum yang asal perempuan itu berubat dengan perempuan. Lelaki berubat dengan lelaki kerana masalah aurat. Sesama perempuan walaupun aurat, haram melihat tapi lebih berat jika berlainan jantina.

“Jadi dalam bab berubat, dia ada kadar-kadarnya. Bila masuk sempadan darruroh (darurat), apa yang haram diangkat hukumnya sekejap.

“Allah sebut dalam al-Quran, ‘Barangsiapa yang masuk pada situasi tidak boleh lagi membuat pilihan, bukan sengaja atau tidak berlebih-lebihan, tidak berdosa,” katanya dalam sesi ceramah yang dimuat naik di laman YouTube rasminya.

Ustaz Azhar turut memberi satu gambaran yang sama dengan situasi bersalin itu agar mudah untuk difahami hukumnya.

“Asalnya, Allah haramkan kamu makan bangkai, darah dan babi. Tetapi di padang pasir kamu kelaparan, tak jumpa makanan tetapi jumpa bangkai. Ada pilihan lain tak? Tak ada.

“Keadaan darurat itu membolehkan apa yang tidak boleh. Jadi nak beranak, isteri mesti beranak dengan doktor perempuan, tetapi jika tidak ada doktor perempuan hanya lelaki dan ia berkait dengan dua nyawa iaitu ibu dan anak dalam kandungan jadi ambil doktor lelaki maka tidak berdosa,” jelasnya.

Mengulas kepada gelaran ‘dayus’ yang dilabelkan kepada si suami, Uztaz Azhar memaklumkan tiada hukum berdosa dijatuhkan kepada tindakan darurat itu.

“Apa pulak kata dayus? Tak haram. Yang haram bila ada doktor perempuan tetapi nak juga doktor lelaki yang selak kain isteri. Faham tak,” soalnya kepada penonton.

Pada masa sama, Ustaz Azhar turut mengingatkan bukan semua golongan mampu membiayai kos bersalin di hospital swasta yang mencecah hampir RM8,000 selain boleh membuat permintaan untuk menentukan doktor yang bertugas.

“Orang yang ada duit, pergi dekat doktor perempuan di swasta. Dia bolehlah (bayar), sekali beranak sampai RM7,000 hingga RM8,000.

“Kalau yang cukup-cukup makan, nak cari mana duit itu? Itu yang pergi hospital kerajaan. Nasib baik dapat doktor perempuan, kalau tak lelaki dan harus kerana tidak ada pilihan,” jelasnya. 

Sumber : Kosmo!

Ulama besar Sheikh Yusuf al-Qaradawi meninggal dunia

by

 


Ulama tersohor, Syeikh Yusuf Abdullah al-Qaradawi, meninggal dunia pada usia 96 tahun, menurut Persatuan Ilmuwan Islam Antarabangsa (IUMS).

Allahyarham meninggalkan legasi penulisan yang kini menjadi rujukan kepada umat Islam di serata dunia.

"Dunia Islam kehilangan seorang ulama dan guru yang jujur, alim, dihormati lagi disegani," kata IUMS, yang juga persatuan diasaskan oleh Al-Qaradawi, menerusi Twitter.

Al-Qaradawi dilahirkan di Mesir tetapi menghabiskan sebahagian besar hidupnya di Qatar, di mana beliau menetap sehingga akhir hayatnya.

Beliau juga adalah pemimpin Ikhwanul Muslimin, pergerakan sosio politik Islam yang mencetuskan revolusi Mesir pada 2011.

Allahyarham hidup di Qatar dalam buangan selepas tentera menggulingkan kerajaan pimpinan Ikhwanul Muslimin di Mesir pada 2013, mengakibatkan Al-Qaradawi dibicarakan dan dijatuhkan hukuman mati tanpa hadir di Mesir.

Allahyarham mempunyai rancangan bual bicara popular di rangkaian Al-Jazeera Qatar, yang dianggarkan ditonton oleh 40 hingga 60 juta penonton di seluruh dunia.

Al-Qaradawi banyak menyampaikan dakwah dan membentangkan kertas kerja di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.

Beliau mengarang lebih 120 buku dalam bidang keilmuan Islam terutama sosial, dakwah dan pengajian Islam. Bukunya sangat diminati, malah diulang cetak berpuluh kali dan diterjemahkan dalam pelbagai bahasa.

Al-Qaradawi menerima pelbagai anugerah di peringkat antarabangsa atas sumbangannya dalam keilmuan Islam dan dianggap sebagai salah seorang ulama paling berpengaruh pada hari ini. 

Sumber : Agensi

Umat Islam tak boleh sambut Bon odori

by

 


Penyertaan orang Islam dalam Festival Bon Odori boleh membawa kepada syirik.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, berkata umat Islam tidak patut menyertai acara itu bagi memelihara kesucian pegangan agama,

"Acara ini mengingati roh atau semangat nenek-moyang yang dikhuatiri boleh membawa kepada syirik. Orang Islam mesti selalu menjaga kesucian kepercayaan mereka.

"Mengingati roh nenek-moyang dengan menari, menyembah semangat mereka dan sebagainya tidak digalakkan dalam Islam. Ini boleh membawa dosa syirik kepada Allah," katanya

Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad meminta orang Islam tidak menghadiri pesta itu.

Idris berkata, kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mendapati program itu mempunyai unsur agama lain dan orang Islam dinasihatkan tidak menyertai program terbabit.

Sumber : BERNAMA


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90