Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label Anwar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Anwar. Papar semua catatan

Nurul Izzah dilantik penasihat kanan ekonomi, kewangan PM

by

 


Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, dilantik sebagai penasihat kanan bagi ekonomi dan kewangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

FMT melaporkan, pelantikan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu bagi jawatan berkenaan berkuat kuasa 3 Januari lalu.

Anak Perdana Menteri itu berharap, pengalamannya sebagai Ahli Parlimen yang mana beliau mengendalikan isu kemiskinan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta perkhidmatannya dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan membantunya untuk bertugas dengan baik.

"Ini boleh dimanfaatkan dalam pembabitan saya bersama pakar dalam mengemudi tadbir urus ekonomi, kebertanggungjawaban dan dasar berasaskan bukti," lapor FMT memetik laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan.

Nurul Izzah berkata, salah satu matlamatnya adalah untuk menyalurkan dan memanfaatkan bakat terbaik dan cemerlang Malaysia, di dalam dan luar kerajaan, serta menambah nilai kepada usaha berterusan untuk memperbaiki keadaan ekonomi rakyat.

"Peranan baharu saya akan membolehkan saya memikul tanggungjawab baharu yang sudah pasti mencabar, berikutan masalah ekonomi yang kita hadapi.

"Bagaimanapun, saya yakin mampu menyumbang kepada evolusi Malaysia, yang bukan saja untuk pertumbuhan tetapi yang memartabatkan semua lapisan masyarakat dan menyediakan kesaksamaan dalam peluang," katanya.

Nurul Izzah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Lembah Pantai selama dua penggal sejak 2008. Pada 2018 beliau menang di Parlimen Permatang Pauh, namun tewas di kerusi sama pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Sumber : Berita Harian


Anwar akhirnya ke Putrajaya selepas 24 tahun

by

 


Foto BH


Pengumuman pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 bukan sekadar menamatkan kemelut pembentukan kerajaan Persekutuan, malah menoktahkan penantian 24 tahun Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu untuk bergelar Perdana Menteri.

Bukan sekali dua anak kelahiran Kampung Cherok Tok Kun di Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu terlepas peluang untuk menduduki jawatan nombor satu negara itu baik ketika masih bersama UMNO ataupun selepas menerajui PKR dan Pakatan Harapan (PH).

Yang pasti, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melalui kenyataan media selepas Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara hari ini, berkenan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10.

Anwar yang dilahirkan pada 10 Ogos 1947 bukanlah nama asing dalam sejarah politik negara, malah rekod beliau turut diketahui ramai sehingga ke luar negara.

Berkongsi hidup dengan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mereka dikurniakan enam anak termasuk Nurul Izzah yang turut terjun ke kancah politik tatkala bapanya berdepan tuduhan salah guna kuasa dan liwat pada 1998.

Bagi yang lahir sebelum 1980-an, Anwar yang kini berusia 75 tahun pastinya pernah dikenali sebagai bintang atau 'rising star' dalam UMNO sehinggalah dipalit kontroversi ketika namanya disebut-sebut bakal menjadi pengganti kepada Mahathir yang juga mentor politiknya ketika menjadi Perdana Menteri keempat.

Kerjaya politik bermula sejak zaman universiti

Berpendidikan awal di Bukit Mertajam Boys School, Anwar pernah belajar di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) selaku antara sekolah menengah terkemuka negara antara 1960 hingga 1966. Beliau kemudian diterima masuk ke Universiti Malaya, untuk mengikuti Pengajian Melayu dengan pengkhususan Sastera pada 1967.

Kerjaya politik Anwar boleh dikatakan bermula sejak zaman universitinya apabila menjadi Presiden Kesatuan Pelajar Islam Malaysia antara 1968 hingga 1971. Malah, Anwar dipilih Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada 1971 sebelum menjadi Presiden kedua pertubuhan itu pada 1974.

Pada tahun sama ketika memprotes kemiskinan dalam kalangan masyarakat di Baling, Kedah, Anwar pertama kali ditahan tanpa bicara selama 20 bulan di Pusat Tahanan Kamunting kerana melanggar peruntukan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Sebagai pemimpin pelajar, Anwar juga pernah menjadi Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM).

Dari segi politik, Anwar pada 1981 menyertai UMNO dan kerjaya politiknya terus memecut apabila menyertai Kabinet Mahathir sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan pada 1983.

Setahun kemudian, Anwar bertukar portfolio menjadi Menteri Pertanian sebelum diberi tanggungjawab sebagai Menteri Pendidikan pada 1986.

Kira-kira sedekad Anwar dalam Kabinet Mahathir, nama beliau disebut-sebut bakal menjadi pengganti Perdana Menteri. Tidak salah andainya ada membuat andaian bahawa Anwar sudah pun dilatih untuk mentadbir negara apabila Mahathir melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Ia diperkukuhkan lagi apabila Anwar dipilih memenangi jawatan Timbalan Presiden UMNO mengalahkan Tun Abdul Ghafar Baba melalui pemilihan UMNO pada 1993. Kekalahan Abdul Ghafar itu juga menyaksikan rombakan Kabinet dengan Anwar diangkat menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Pada masa itu, Anwar sudah menjadi Menteri Kewangan dan beliau memegang jawatan kedua tertinggi negara sehingga pemecatannya pada 1998 susulan dakwaan rasuah dan menghalang siasatan terhadap tuduhan meliwat.

Pemecatan Anwar cetus gerakan reformasi

Pemecatan Anwar tatkala beliau dilihat hampir menjadi Perdana Menteri mencetus gerakan reformasi apabila ramai melihat beliau dianiaya Mahathir.

Apabila Anwar dihukum penjara selama enam tahun pada 1999 selain hukuman penjara selama sembilan tahun bagi kesalahan seks luar tabii (liwat), lahirlah Parti Keadilan Nasional (kemudian bertukar nama kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas penggabungannya dengan Parti Rakyat Malaysia pada 2003.

Bagaimanapun, setahun kemudian Mahkamah Persekutuan Malaysia menggugurkan sabitan kesalahan liwat terhadap Anwar, membebaskan beliau daripada hukuman penjara yang dijalaninya ketika itu.

Selepas pembebasannya, Anwar berusaha membersihkan nama baiknya termasuk mencabar keputusan Mahathir memecatnya daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri, namun Mahkamah Persekutuan pada 2010 mendapati ia adalah sah dan berlandaskan Perlembagaan.

Berikutan itu Anwar perlu menunggu selama lima tahun selepas menjalani hukuman penjara disebabkan sabitan terhadap kesalahan rasuah, sebelum boleh bertanding dalam mana-mana pilihan raya sama ada untuk kerusi Parlimen, mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN). Beliau tidak dapat terus kembali ke arena politik negara sebagai sebahagian daripada wakil rakyat yang dipilih melalui proses pilihan raya.

Sepanjang menunggu tempoh larangan bertanding itu tamat pada 14 April 2008, Anwar mengajar dan dipanggil sebagai pensyarah jemputan di beberapa institusi pengajian tinggi terkemuka dunia termasuk di Oxford, United Kingdom (UK) dan di John Hopkins University di Washington, Amerika Syarikat (AS).

Dinamakan antara 100 individu terpenting dunia

Beliau juga pernah dinamakan antara 100 individu terpenting di dunia oleh Majalah Times pada 2008.

Pada 2006, Anwar mengumumkan beliau berhasrat bertanding pada PRU12 pada 2008 iaitu selepas larangan terhadapnya berakhir, namun hasratnya itu tidak kesampaian apabila Parlimen dibubarkan lebih awal dan PRU12 diadakan pada 8 Mac.

Namun, buat pertama kalinya parti pimpinan Anwar itu yang bergabung di bawah Pakatan Rakyat, berjaya menawan tiga negeri termasuk Selangor dengan DAP menang besar dan membentuk kerajaan di Pulau Pinang.

Berikutan Anwar tidak dapat bertanding, apabila tampuk pentadbiran Selangor diterajui Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, beliau dilantik menjadi penasihat ekonomi.

Seperti dijanjikan Wan Azizah apabila PRU12 diadakan lebih awal daripada tarikh larangan bertanding terhadap suaminya berakhir, beliau yang ketika itu Ahli Parlimen Permatang Pauh, mengosongkan kerusi berkenaan bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding sekali gus kembali ke Parlimen.

Pada 26 Ogos 2008, Anwar kembali ke Parlimen selepas memenangi kerusi Permatang Pauh dan dipilih menjadi Ketua Pembangkang.

Namun, beliau sekali lagi terpalit dakwaan liwat, kali ini membabitkan pembantunya, Mohd Saiful Bukhari. Namun tuduhan itu dibatalkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2012 kerana hakim memutuskan bukti asid deoksiribonukleik (DNA) dalam kes itu diragui kesahihannya.

Anwar peroleh pengampunan diraja

Keputusan itu bagaimanapun dirayu pihak pendakwaan dan pada 7 Mac 2014, dengan Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan Anwar dijatuhi hukuman penjara lima tahun kerana bersalah meliwat Mohd Saiful.

Beliau bagaimanapun mendapat penangguhan kes sementara menunggu proses rayuan selesai.

Sabitan dan hukuman itu mengakibatkan Anwar tidak dapat mengemukakan borang penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN Kajang pada 10 Mac tahun sama.

Beliau kemudian dijatuhkan hukuman penjara lima tahun di penjara Sungai Buloh pada 2015.

Apabila PRU14 diadakan pada Mei 2018, PH memperoleh kemenangan besar yang menyaksikan pertukaran pentadbiran negara daripada Barisan Nasional (BN) kepada PH dengan Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Seperti dipersetujui, kedudukan Mahathir itu bersifat sementara sehingga pengampunan terhadap Anwar selesai dan beliau dibebaskan dari penjara.

Pada 16 Mei 2018 , Anwar memperoleh pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Muhammad V.

Bagi membolehkan beliau menjadi Perdana Menteri, Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, melepaskan kerusi berkenaan, memberi laluan kepada Anwar bertanding pada 13 Oktober 2018 sebelum menang dengan majoriti 23,560 undi.

Pun begitu, beliau tidak segera menjadi Perdana Menteri.

Pada Februari 2020, hasrat melihat Anwar menjadi Perdana Menteri Malaysia kelapan terkubur selepas BERSATU bersama-sama sekumpulan ahli Parlimen PKR bertindak keluar parti menyebabkan Mahathir melepaskan jawatan dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik menerajui negara.

Anwar kembali bertanding dalam PRU15 di Tambun melawan penyandang, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, sebelum disahkan menang dengan majoriti undi 3,736.

Sumber : Berita Harian


PH sedia bekerjasama dengan Tun M dan Muhyiddin

by

 


Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim terbuka untuk bekerjasama dengan seteru termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk mendepani cabaran dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Anwar yang juga Presiden PKR, berkata pintu kerjasama itu sentiasa terbuka asalkan berlandas prinsip tertentu, bukan semata-mata untuk menumbangkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

"'Come together' itu memang kenyataan yang lunak seperti bersatu, bersatu itu apa, ada orang bersatu yang nak rompak, ada bersatu dengan macam cerita persatuan 40 penyamun. Jadi bersatu itu mesti bersandarkan kepada beberapa prinsip yang jelas.

"Ada kelola yang baik, menolak rasuah, tidak bersetuju dengan dasar perkauman atau fanatik agama, itu prinsip utama dan kalau bersetuju silakan, ini bukan mirip monopoli mana-mana parti.

"Kami (PH) komited dalam melaksanakan agenda reform (pembaharuan), melawan gejala rasuah dan penyalahgunaan rasuah. Sesiapa saja yang bersetuju dengan prinsip ini, boleh datang dan berbincang kami. Ruang adalah terbuka," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya kemungkinan kerjasama dengan pihak tertentu, termasuk Dr Mahathir dan Muhyiddin biarpun masing-masing memiliki sejarah hitam susulan Langkah Sheraton pada 2020.

Anwar berkata, sebarang kerjasama perlu terikat dengan prinsip, bagi mengelakkan persepsi bahawa tujuan perjuangan hanya untuk menumbangkan UMNO.

"Sebab itu saya agak apa-apa kerjasama mesti terikat dengan prinsip, kalau tidak kata...oh tujuan kita menumbangkan UMNO, itu saja.

"Tapi yang nak tumbangkan, siapa? Lihat umpamanya, ramai terpalit dengan rasuah besar, tengok UKSB (Ultra Kirana Sdn Bhd), kes...itu nama-nama itu kena jelaskan dulu.

"Kalau tidak, nak jelaskan rasuah, yang dikumpul wang dalam negara dan Pandora Papers, itu banyak.

"Jadi kita yang berteraskan kepada prinsip ini, harus jelaskan. Saya tidak mahu membuat tuduhan. Jelaskan hal ini," katanya.

Justeru, beliau berkata, PKR komited dengan agenda reformasi dan agenda PH iaitu menentang rasuah, salah guna kuasa dan semua bentuk pembaziran.

"Sesiapa sahaja yang bersetuju, mereka boleh berbincang dengan kami," katanya.

Mengulas mengenai penyertaan parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM), Anwar berkata, perbincangan masih diteruskan.

"Kita sebut dahulu mengenai MUDA dan PSM, perbincangan masih diteruskan, dengan MUDA itu tertakluk kepada syarat yang disepakati bersama," katanya.

Sementara itu, ditanya persediaan manifesto PH, penyandang kerusi Parlimen Port Dickson itu berkata, gabungan terbabit tidak akan menjanjikan bulan dan bintang.

Sebaliknya, PH akan berjanji seperti mana yang disebut dalam al-Quran, iaitu cuba sedaya upaya dan sebaik mungkin.

"Kita tak mahu panjang-panjang, kita tak mahu janji melangit, kita tak nak sebut macam-macam.

"Tetapi ada terasnya, iaitu kos sara hidup, pendidikan, kemudahan kesihatan, peluang pekerjaan dan dari segi tadbir urus, hentikan rasuah," katanya.

Beliau berkata, manifesto akan dilancarkan pada 20 Oktober ini di Ipoh, Perak ketika Konvensyen PH berlangsung.

Sumber : Berita Harian

Wawancara : Adakah saya gagal dalam PRU? - Anwar Ibrahim

by

Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) menyaksikan pelbagai perkara termasuk insiden pengundi hantu menarik perhatian media. Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pendirian tidak berpuas hati dan menganggap perikatan itu sepatutnya sudah menang.

Ikuti temu bual Anwar bersama wartawan Sinar Harian dan Sinar Harian Online SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN dan NOOR SHAZURA ZUKI.

SINAR HARIAN ONLINE: Datuk Seri, nampaknya berbanding 2008, Datuk Seri terima keputusan pilihan raya. Semalam (Ahad lalu), Datuk Seri memberikan pandangan yang sebaliknya walaupun bilangan kerusi Parlimen meningkat. Mengapa?
ANWAR: Kerana kita dah menang... kemudian dirompak kemenangan itu dari BN dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Ini kita perkukuh dengan bukti kehadiran orang Bangladesh, Myanmar mengundi, pegawai SPR mengeluarkan kertas undi ke luar, pemadaman lampu. Kes di Lembah Pantai terpaksa di kawal begitu keras sekali, kalau tidak kita tewas. Ini hanya lambang penipuan dan politik samseng. Kalau tidak ada dukungan yang kuat, semangat anak-anak muda di Lembah Pantai, Nurul Izzah akan tewas.

Gerombolan yang terlibat dalam penipuan itu terlalu kuat dengan pengaruh dan kaya. Bukti lain yang besar ialah, undi awal, undi pos, termasuk yang dari media.

Saya sudah tahu kerana mereka mengundi... tak kan 12 peratus saja diberi kepada kita. Keduanya, undi itu diberi kepada pejabat pos, melalui pejabat pos. Bukannya SPR. SPR beri pejabat pos, pejabat pos kepada media.
Media undi, pos beri kepada SPR, baru kita boleh pantau. Jadi, pemantauan itu hanya berlaku pada peringkat akhir. Kita tengok pada undi-undi daripada luar negara, itu 70 hingga 80 peratus memilih PR yang dinyatakan.

Tetapi apabila buka undi semuanya, kita 12 hingga 15 peratus. Ini semua berapa undi media, 50,000. Undi pos, 230,000. Undi awal jumlah keseluruhan mungkin dalam 200,000. Jadi besar. Kalau tidak dipantau, maka kecurangan berlaku.

SINAR HARIAN ONLINE: Nampaknya, Datuk Seri menggunakan istilah kemenangan dirompak. Adakah Datuk Seri masih tidak mahu menerima keputusan PRU13 walaupun ada peningkatan bagi pihak PR?
ANWAR: Ya. Bukan soal peningkatan. PR sudah menang. Cuma pendekatan kita seperti yang kita tahu harus mengikut beberapa proses undang-undang, sama ada... saya bincang dengan Pas terutamanya dengan PKR, apakah kita buat petisiyen pilihan raya untuk beberapa kawasan. Tiap kali kalau kira semula, kita tewas semua. Atau keduanya, bantahan. Seperti mana yang dicadangkan oleh badan-badan bukan kerajaan.
Kemenangan dirompak

SINAR HARIAN ONLINE: Ke mana nak pergi selepas ini? Pilihan yang Datuk Seri ada bagi PR? Nampaknya kecurigaan itu (berterusan)...
ANWAR: Kalau hak kita dirompak, kita minta hak kita semula. Kalau tidak diberikan, maka ada cara-cara. Sepatutnya, bukan dibuat oleh SPR yang ada sekarang ini. Yang ini suruhanjaya cawangan Umno. Ia mesti suruhanjaya bebas dan adil.

Sebab ini hak dari Perlembagaan, sebagai seorang Muslim atau rakyat Malaysia ia tak boleh buat penipuan yang terang-terang bercanggah dengan semangat Perlembagaan dan melanggar undang-undang. Tapi kalau tanya, semua dia kata tak ada. Ini dakwat kekal, tak boleh basuh.

Pembohongan yang ditertawakan oleh semua rakyat. Kalau dulu semasa undi pos, sebahagian orang saya tengok yang tergolong dalam 'social network' Umno ini yang diupah mengatakan tengok ini penipuan PR.

Sekarang apa jurucakap Umno cakap tentang dakwat kekal? Tidak ada jawapan. Kerana mereka boleh pulang dan basuh. Di Permatang Pauh, tak kurang dari puluhan orang yang tunggu saya, sebab saya akan melawat pusat mengundi, tunjuk tangan dia. Saya kata, bila nak undi. Dia kata dah undi. Dia boleh basuh. Tengok dalam Facebook tapi apa jawab SPR? Oh tidak mungkin. Ini semua alat pembangkang.

Saya beri 42 nama (warga) Bangladesh, Indonesia yang undi pos atas nama tentera dan polis. Seminggu sebelum pilihan raya, dari senarai sah 2013 SPR. Mahu bukti apa lagi? Sepatutnya SPR tidak perlu tanya bukti, tanya hati nurani mereka apakah mereka ini, perasuah atau penjenayah?

SINAR HARIAN ONLINE: PR akan hantar memo (memorandum) secara rasmi?
ANWAR: Memo apa? Mereka tak baca. Memo apa lagi yang perlu? Siapa yang tidak tahu bahawa dakwat kekal itu tak kekal? Siapa yang tidak tahu berlaku percanggahan dalam senarai pengundi? Siapa yang tidak tahu bahawa orang Bangladesh datang mengundi?


SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana desakan itu akan dibuat?
ANWAR: Petisyen pilihan raya itu adalah untuk proses penipuan. Tapi SPR ini, bagi saya ia perlu ditukar.  Kalau Datuk Najib kata sekarang ini kita harus ada penyatuan semula.

Bagi saya, kalau begitu, saya akan beri yang terbaik. Melainkan kempen kita ini secara sivil... anda bacalah Utusan. Sivil ke biadab? Tonton TV3, RTM. Nasib baik Sinar boleh tahan sedikit. Kadang-kadang kritik, tak apa. Kalau tak setuju, kritik. Kebebasan media. Tapi tidaklah sampai menghina orang, mengaibkan orang terus-menerus. Tak bagi ruang langsung. Ini kita kata pilihan raya bebas dan adil? Begitu bodoh kalau ada yang berpandangan sebegitu.

SINAR HARIAN ONLINE: Adakah PR akan boikot angkat sumpah, ahli-ahli Parlimen?
ANWAR: Yang itu kita sedang fikirkan sebab kita tak mahu ambil atau memilih cara yang saya nampak bukan menimbulkan keresahan. Jadi, kita kena timbang juga. Sebab itu, saya tidaklah menghalang kerajaan untuk meneruskan kerja, nanti kita tak ada kerajaan pula.

Tapi janganlah kerajaan itu boleh terus-menerus menipu dan rasuah macam sedia kala. Menghina orang dan menggunakan jentera kerajaan untuk mendera orang.

SINAR HARIAN ONLINE: Datuk Seri, komen sedikit tentang peningkatan kerusi DAP?
ANWAR: Itu yang disebut Datuk Seri Najib, tsunami politik. Ini saya rasa satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dari seorang pemimpin yang uar-uarkan 1Malaysia. Di Kelantan, Melayu semua dan Pas pertahankan dua pertiga kerusi. Di Terengganu Melayu, kawasan Melayu, dan Pas menambah kerusi dari satu kerusi Parlimen jadi empat. Kawasan saya (PKR, Azmin Ali), Gombak majoriti Melayu dan kita menang dengan mudah. Jadi, untuk mengatakan begitu...ya betul, etnik Cina ada suara dukungan yang ada juga etnik Melayu.

Yang ada kemungkinannya ialah jenis penipuan lebih itu banyak di kawasan yang dianggap campuran atau Melayu kerana majoriti yang diperoleh PR tidak besar. Agak lebih mudah untuk buat penipuan. Kalau nak dibuat penipuan di Bukit Bintang, dia kena bawa orang Bangladesh 10 kapal terbang pun tak cukup. Ini hanya dilakukan oleh SPR. Sebab itu kalau dilihat, orang yang marginal 6 itu, Bangladesh itu banyak muncul di kawasan marginal. Ada lah satu dua terselit masuk ke Bukit Bintang dan Permatang Pauh.

Tak wajar (dilabel tsunami cina). Maknanya pertentangan. Satu, dia kata kita rekonsiliasi, kemudian dia kata kita tsunami Cina, kenyataan ini tidak konsisten, tidak wajar. Kalau betul pun kemarahan orang Cina, tanyalah sebab apa. Sebab apa ada kebangkitan kemarahan masyarakat Cina?


SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana masa depan politik negara berdasarkan keputusan PRU13?
ANWAR: Ya, saya dukacita kerana masa depan negara itu tercemar. Sudah 50 tahun merdeka, kita gagal mengamalkan politik yang bersih dan pilihan raya yang bebas dan adil. Ia dijamin dalam perlembagaan ini merampas hak rakyat.


SINAR HARIAN ONLINE: Tahun lepas Datuk Seri pernah kata kalau Datuk Seri gagal dalam pilihan raya, Datuk seri mungkin akan berundur dari politik.
ANWAR: Adakah saya gagal dalam pilihan raya kali ini? Ada peningkatan kerusi, kita menang. Soal keputusan saya itu, seandainya pilihan raya itu bersih, malah saya sudah berbincang dengan teman-teman di beberapa universiti utama untuk, jawatan pun sudah sedia untuk saya, tak realistik.  Kalau pilihan raya itu okey dan kita tewas, nak pergi Uitm mereka tak boleh terima.
Buat masa sekarang tidak. Buat masa sekarang saya harus jalankan tanggungjawab untuk memastikan proses pilihan raya itu, kecurangan itu diperbetulkan.

SINAR HARIAN ONLINE: Pada tahun 2008, Datuk Seri menjadi Ketua Pembangkang tapi kali ini dari segi komposisi kerusi, DAP mengatasi PKR.
ANWAR: Dari dulu pun kerusi DAP mengatasi PKR. Saya memang menawarkan diri untuk undur tapi kedua-dua, DAP dan Pas minta saya teruskan.
Saya ada beritahu tadi... tidak ada masalah sebenarnya jika YB Kit Siang (Lim Kit Siang) menjadi ketua pembangkang. Kelayakan dia, pengalaman dia. Saya boleh tumpu pada kerja-kerja lain. Setakat ini, DAP dan Pas berpendirian saya harus teruskan tapi saya akan bincangkan lagi. Jangan pula tulis Anwar letak jawatan... belum belum.

Masa depan Pakatan Rakyat

SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana masa depan Pakatan Rakyat selepas ini Datuk Seri?
ANWAR: Baik. Kita meningkat dan kerjasama baik. Semalam dengan pimpinan DAP, tadi kita jumpa Dap dan Pas, semalam pun jumpa Dap dan Pas. Saya hubungi Ustaz Hadi secara personal, berbincang panjang soal ini. Juga dengan Lim Guan Eng. Hubungan itu masih baik.


SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana kerusi MB Selangor?
ANWAR: Kerusi MB Selangor itu memang kita bagi sedikit masa dan kita runding dengan baik. Sebab itu saya dapatkan Lim Kit Siang, Ustaz Hadi. Tidak seperti mana yang berlaku pada tahun 2008, ada satu kelompok yang berebut dengan keadaan ini, saya syukur keadaan lebih baik. Tapi memang perkara ini dibincangkan. Hari ini atau esok kita selesaikan.


SINAR HARIAN ONLINE: Kemungkinan besar Tan Sri Khalid?
ANWAR: Saya tak ada masalah Tan Sri Khalid. Tapi masalahnya... bukan masalah tapi perlu satu perbincangan. Apakah ada calon lain, ke muka nama lain, nak teruskan?

SINAR HARIAN ONLINE: Apakah Datuk Seri sedih kerana PR kehilangan satu negeri, di Kedah?
ANWAR: Ya, tapi kita nak tahu juga sejauh mana kecurangan itu menyebabkan kekalahan kerusi-kerusi di situ. Ataupun ada masalah-masalah lain. Macam kekalahan Kulim Bandar Baru, saya tidak percaya itu berlaku tanpa proses yang curang. Kerana sambutan yang kempen itu luar biasa.

SINAR HARIAN ONLINE: Apakah strategi PR itu sendiri silap apabila tak beri tumpuan pada kerusi-kerusi yang dimenangi?
ANWAR: Tidak juga. Kita menang kerusi-kerusi dengan baik. Fuziah, Azmin, Surendran. Cuma, apabila calon-calon dulu yang lompat dan tidak menjalankan tanggungjawab. Prestasi kawasan cukup lemah. Sedangkan sebab dia lompat itu sebab saya bagi isyarat bahawa kamu tidak boleh mempertahankan rekod dan prestasi kawasan itu lemah. Itu kadang-kadang ada menjejaskan. Tapi kalau kehadiran Saifuddin di Kulim, itu lain. Sebab saya tahu, Kulim itu kejiranan saya. Saya tidak fikir boleh kalah.

SINAR HARIAN ONLINE: Di sebalik serangan berterusan oleh musuh selama ini, adakah Datuk Seri mahu memberi mesej kepada penyerang-penyerang supaya berhenti semua itu?
ANWAR: Kita bagi mesej ini, hanya pada orang yang (tidak) tahu batas akhlak dan politik yang sivil. Jadi saya tidak peduli... tengok badan-badan yang Tibai lah, apa... mereka diupah untuk mencerca. Kadang-kadang kerana begitu lucah dan kotornya, dia tahu pimpinan Umno tak sanggup buat begitu, sebab itu akan buat orang tak suka. Dia upah. Saya selalu sebut.

Saya kata, saya boleh pilih nak buat begitu kerana saya pernah pimpin negara ini. Banyak maklumat sampai pada saya. Tapi saya tak sanggup aibkan orang kerana ia melibatkan orang lain. Itu tidak menjamin mereka menghentikan. Dalam ucapan saya sebut, peralihan kuasa ini juga peralihan nilai etika, sistem akhlak. Maknanya, kita tak boleh apabila ada kuasa ia sebagai sijil atau kesempatan untuk menyerang orang tanpa pertimbangan.

- SINAR HARIAN

 

Anwar Kekal Di Parlimen Permatang Pauh

by

BUKIT MERTAJAM: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Keputusan itu sekali gus menamatkan spekulasi bahawa dia merancang untuk bertanding di Perak baru-baru ini.

Beliau berkata, dia ingin bersama pengundi dan penyokong setianya di kawasan tersebut.

Katanya, beliau terhutang budi dengan penduduk di Permatang Pauh yang sentiasa menyokongnya walaupun dia tidak lagi bersama parti memerintah dan kerajaan.

"Isteri saya (Datuk Seri Dr Wan) Azizah (Wan Ismail) pada awalnya tidak bersetuju apabila saya memberitahunya bahawa saya sedang mempertimbangkan untuk bertanding di kerusi Parlimen Tambun di Perak.

"Beliau berkata rakyat di Permatang Pauh adalah penyokong setia yang sentiasa berdiri dibelakangnya dan PKR selama ini," katanya pada ceramah di Taman Seri Pauh, Permatang Pauh di sini, Jumaat.

Terdahulu, ketika sesi bertemu penduduk di Kubang Semang, Anwar berkata beliau memerlukan masa untuk membuat keputusan mengenai kerusi yang akan ditandingi iaitu sama ada akan mempertahankan kerusi Permatang Pauh atau berubah angin ke Perak.

Beliau berkata, Pakatan Rakyat memenangi tiga kerusi Parlimen Parit Buntar, Bagan Serai dan Gopeng di Perak pada pilihan raya umum 2008.

Menurut beliau, keputusan untuk mempertimbangkan Perak adalah sebagai strategi politik untuk meningkatkan sokongan Pakatan Rakyat di negeri itu.

Ketua Srikandi PKR, Siti Aishah Shaik Ismail akan bertanding di kerusi Tambun, kata Anwar.

Anwar merupakan Ahli Parlimen Permatang Pauh sejak 1982 apabila beliau menyertai Umno.

Isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengambil alih kerusi tersebut pada pilihan raya umum 1999 apabila beliau dipenjarakan atas tuduhan liwat dan rasuah.

Anwar memenangi semula kerusi Permatang Pauh menerusi pilihan raya kecil pada Ogos 2008 selepas kerusi tersebut dikosongkan oleh Wan Azizah.

- MSTAR

 

PRU13: Anwar ramal Pakatan Rakyat menang majoriti minimum 10 kerusi

by
Pakatan Rakyat akan memenangi pilihan raya umum (PRU) akan datang dengan majoriti lebih daripada 10 kerusi parlimen dan menguasai sekurang-kurangnya enam daripada 13 negeri, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada hari pertama berkuasa, kerajaan Pakatan Rakyat akan meliberalisasikan lesen akhbar, kata Anwar dalam satu temubual di Kuala Lumpur hari ini.

Dasar utama dalam tempoh 100 hari pertama akan termasuk pendidikan, pembasmian rasuah dan perolehan kerajaan. Tiada hukuman yang akan diambil terhadap pemimpin-pemimpin terdahulu, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, yang memecat beliau pada tahun 1998, katanya.

"Saya tidak mahu dianggap terlalu yakin, tetapi saya percaya,
melihat pada trend sekarang, akan dapat majoriti yang selesa," kata ahli politik yang berusia 65 tahun itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mesti membubarkan Parlimen pada 28 April untuk mengadakan PRU dalam tempoh 60 hari.

Anwar mahu menewaskan kerajaan yang beliau pernah berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kewangan, dan yang telah mentadbir Malaysia selama 55 tahun.

Mahathir, yang berkhidmat sebagai perdana menteri selama 22 tahun sebelum bersara pada tahun 2003, mengambil alih jawatan menteri kewangan selepas memecat Anwar semasa krisis kewangan Asia.

Perdana menteri selepas itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kini Najib, turut memegang portfolio tersebut. Anwar berkata beliau akan menyerahkan tugas itu kepada orang lain jika beliau menjadi perdana menteri.

"Setelah berpengalaman selama lapan tahun sebagai menteri kewangan, saya tahu ia sangat sukar," kata Anwar.

"Anda tidak boleh mempunyai perdana menteri yang juga menjadi menteri kewangan. Anda tidak akan ada masa apabila anda mempunyai masalah forex, berurusan dengan Suruhanjaya Sekuriti. "

Pakatan belum memutuskan siapa yang akan menjadi menteri kewangan serta jawatan Kabinet yang lain, katanya.

Persaingan dalam PRU13 kali ini 'sangat sengit', kata Ibrahim Suffian, seorang penganalisis politik di Merdeka Center for Opinion Research.

"Ini adalah masa yang terkuat untuk pembangkang dalam sejarah," katanya melalui telefon.

Sumber : MALAYSIAKINI




Anwar Nafi Beri Isyarat Hasut Penyokong Rempuh Polis

by
Ketua Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin menafikan bahawa beliau bertukar isyarat dengan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamed Azmin Ali untuk menghasut penyokong Bersih 3.0 supaya merempuh halangan polis di sekitar Dataran Merdeka, Sabtu lalu.

Anwar berkata, isyarat tangan yang ditunjukkan ke arah ahli Parlimen Gombak itu adalah bermaksud untuk berbincang dengan polis.

Azmin kemudiannya memberitahu, beliau mengangkat ibu jarinya kepada Anwar sebagai isyarat bahawa dia telah berbincang dengan polis untuk membenarkan penyokong memasuki Dataran Merdeka.

Menurutnya, beliau melihat Anwar memberi isyarat kepadanya untuk berunding dengan polis dan beliau membalas isyarat tersebut untuk menyatakan bahawa beliau telah berunding.

"Saya bertemu dengan polis di hadapan halangan polis. Saya telah memberi isyarat kepada Anwar bahawa saya telah berbincang polis dan bukannya menghasut penyokong untuk merempuh masuk ke Dataran Merdeka.

"Namun, seorang anggota polis memberitahu saya bahawa dia belum mendapat sebarang arahan. Selepas itu, saya arahkan semua penyokong supaya duduk dan bertenang," katanya pada sidang media di Petaling Jaya.

Azmin turut menyifatkan dakwaan tersebut sebagai satu propaganda yang sengaja dicetuskan Umno untuk menutupi keganasan dilakukan pihak polis.

"Saya tidak mengeluarkan arahan 'masuk, masuk Dataran Merdeka' kepada penyokong sebelum halangan polis dirempuh. Itu tidak benar," katanya.

Beliau juga menafikan bahawa memberikan isyarat kepada seorang lelaki India berkemeja-T berwarna kuning yang didakwa sebagai ahli PKR, Negeri Sembilan supaya mengalihkan besi penghadang dan meluru ke Dataran Merdeka, diikuti penyokong lain.

"Saya tidak berkomunikasi dengan lelaki tersebut. Saya tidak ingat dengan siapa saya bercakap tetapi segala isyarat adalah berkaitan rundingan dengan polis," katanya.

Sementara itu, Anwar berkata pihaknya akan melakukan siasatan sekiranya lelaki tersebut adalah ahli PKR dan bertindak melampaui keputusan parti.

Malah, terdahulu, katanya, beliau mengarahkan semua penyokong supaya bergerak ke kanan iaitu ke arah Jalan Tuanku Abdul Rahman.

"Saya merayu kepada penyokong supaya bergerak ke kanan, bukan ke kiri iaitu Dataran Merdeka tetapi mereka enggan dan bertindak sebaliknya," katanya.

Pada masa sama, beliau turut mempertahankan tindakan penyokong yang merempuh masuk ke Dataran Merdeka kerana menganggap ia bukanlah satu jenayah besar.

Pada Isnin, satu video yang dimuat turun di laman sosial You Tube merakamkan Anwar menunjukkan isyarat ke Dataran Merdeka dan kemudiannya membuat isyarat baru dengan kedua-dua tangan kepada Azmin.

- MSTAR

Datuk Seri Anwar Ibrahim dilepas dan dibebaskan dari tuduhan liwat

by

KUALA LUMPUR, 9 JANUARI 2012: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah yang hanya mengambil masa kurang tiga minit untuk membacakan penghakimannya berkata, beliau mendapati tiada bukti kukuh untuk menyokong keterangan Mohd Saiful, 27.

“Selepas meneliti keterangan saksi dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah tidak dapat memastikan 100 peratus bahawa integriti sampel DNA yang diambil daripada Mohd Saiful, tidak terusik.

“Disebabkan itu, adalah tidak selamat untuk bergantung semata-mata kepada keterangan DNA, selain tiada keterangan lain untuk menyokong keterangan saksi pendakwa pertama (Mohd Saiful),” katanya yang mula membaca penghakiman pada jam 9.20 pagi.

Mohamad Zabidin berkata, dalam kes jenayah seksual, mahkamah keberatan untuk mensabitkan tertuduh dengan hanya bergantung kepada keterangan Mohd Saiful.

“Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan supaya tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan itu,” katanya.
Anwar, 65, yang memakai kemeja biru dan seluar hitam kelihatan tersenyum sebaik hakim selesai membacakan keputusan dalam mahkamah yang penuh sesak. Beliau kemudian keluar kandang tertuduh dan dikerumuni anggota keluarga, pemimpin parti pembangkang dan penyokongnya.

Pihak pendakwaan yang diketuai Peguam Cara Negara II, Datuk Mohamed Yusuf Zainal Abiden, yang ditemui selepas keputusan itu, berkata pihaknya belum memutuskan sama ada akan membuat rayuan terhadap keputusan berkenaan, bagaimanapun mereka mempunyai masa 14 hari untuk berbuat demikian.

Sebelum itu, Anwar, yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta jam 8.30 pagi dan memasuki mahkamah kira-kira 15 minit kemudian bersama isteri, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan semua anaknya termasuk Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah. Ribuan penyokongnya turut berhimpun di luar mahkamah untuk mengetahui keputusan itu.

Anwar dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan meliwat Mohd Saiful di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara di sini, antara jam 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Beliau yang mengaku tidak bersalah, didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabitan kesalahan.

Perbicaraan kes liwat itu yang mendapat tumpuan meluas media dan orang ramai, bermula pada 3 Februari 2010 dengan pihak pendakwaan memanggil 27 saksi dan empat saksi menyangkal, manakala lapan saksi pembelaan dipanggil termasuk Anwar yang memberikan keterangan daripada kandang tertuduh.

Keputusan semalam, amat dinantikan selepas hampir dua tahun setengah perbicaraan kes liwat itu berjalan selepas tertangguh lebih 60 kali akibat pelbagai permohonan sampingan dan rayuan dibuat pasukan peguam Anwar, termasuk ke Mahkamah Rayuan dan Persekutuan.

Ini adalah tuduhan liwat kedua dihadapi Anwar. Beliau pernah dituduh meliwat pemandunya, Azizan Abu Bakar, pada 1998.

Bagi tuduhan berkenaan, Anwar disabitkan bersalah dan dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi, bagaimanapun selepas rayuan Mahkamah Persekutuan menolak sabitan dan mengetepikan hukuman penjara serta membebaskan Anwar.

Turut hadir mengikuti prosiding semalam, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Sasterawan Negara, A Samad Said dan bekas Menteri Penerangan dan Pelancongan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

- BERITA HARIAN

Resolusi 100 hari, Nik Aziz pertahan Anwar

by
Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata resolusi 100 hari yang dikemukakan pembangkang pada konvensyen mereka lepas hanya akan dilaksanakan setelah pakatan pembangkang mengambil alih pentadbiran negara.

"Kita akan laksanakan bila pakatan dapat memerintah negara...tunggulah dulu...jangan nak jadi gangster," katanya kepada pemberita selepas majlis perkahwinan perdana anjuran kerajaan negeri melibatkan 101 pasangan baru di Pusat Tarbiyah PAS Kelantan (PUTIK) di Kota Bharu hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yassin semalam yang mencabar Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya melaksanakan kenaikan gaji bagi pegawai-pegawai awam di negeri-negeri yang ditadbir oleh pakatan pembangkang dahulu sekiranya pembangkang benar-benar prihatin dengan nasib penjawat awam.

Sehubungan itu, menteri besar Kelantan itu meminta kerajaan BN menunggu sehingga pakatan pembangkang menerajui negara untuk melaksanakan resolusi itu.

Resolusi itu mengandungi sembilan perkara termasuk pengurusan negara, ekonomi dan pendidikan yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari jika pakatan pembangkang menang pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Antaranya mengarahkan Khazanah Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyempurnakan pengambilan alih aset lebuh raya oleh kerajaan dengan tujuan menghapuskan tol, merombak struktur subsidi bagi mengurangkan subsidi kepada swasta dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat, menaikkan imbuhan perguruan RM500 sebulan dan melupuskan Felda Plantations bagi membuka ladang yang diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda.

Nik Abdul Aziz berkata apa yang penting dalam mentadbir negara ialah memerintah untuk rakyat dan menjamin kesejahteraan mereka.

Beliau juga berkata PAS akan melaksanakan pentadbiran Islam mengikut acuannya seperti yang ditetapkan di dalam Islam.

Mengenai perkahwinan, beliau menasihatkan pihak keluarga wanita mengenakan hantaran atau mas kahwin yang rendah serta berpatutan kepada pihak lelaki dan bukan membebankan mereka.

"Saya kahwin dulu hantaran RM100 sahaja untuk isteri saya. Malahan siapa nak kahwin anak saya, saya minta RM1,000 saja," katanya.

Beliau berkata perkahwinan penting bagi mengelakkan gejala sosial buang anak dan zina di dalam masyarakat.

- Bernama

Pendapatan RM4,000 jika Pakatan kuasai Putrajaya

by

Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sasaran Pakatan Rakyat adalah supaya setiap isu rumah menikmati pendapatan RM4,000 dalam tempoh lima tahun apabila gabungan pembangkang mengambil-alih pentadbiran kerajaan pusat.

"Cadangan polisi ini akan dikemukakan ke majlis pimpinan Pakatan untuk perbincangan lanjut,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya.

Katanya, walaupun pertumbuhan negara pada kadar 8.9 peratus pada suku kedua yang diumumkan semalam boleh dibanggakan, namun hakikatnya, masih terdapat 2.4 juta keluarga atau 40 peratus daripada mereka yang berpendapatan kurang RM2,300 sebulan.

Menurutnya lagi empat juta keluarga akan terus berdepan dengan kenaikan kos sara hidup melainkan mereka berusaha meningkatkan pendapatan dengan kadar segera.

Cadangan RM4,000 itu diputuskan berdasarkan kajian yang dijalankan mengenai kadar sewa dan kos taraf hidup. Ia anggap tahap yang selesa bagi kebanyakan isi rumah.

Selain itu menurut Anwar, PKR akan mencadangkan kepada rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat untuk melaksanakan beberapa pendekatan yang berupaya untuk melonjakkan kadar upah di negara ini demi mencapai kadar minimum pendapatan isi rumah tersebut.

Di antara dasar tersebut ialah iltizam untuk memerangi ketirisan serta rasuah, melakukan reform terhadap sistem kehakiman serta institusi awam lainnya di samping mengembalikan kredibiliti, ketelusan dan pertanggungjawaban untuk menarik pelaburan asing secara langsung (FDI).

Peningkatan gaji di Indonesia lebih tinggi

Ketelusan dan penambah-baikan dalam kerajaan itu juga, katanya akan menyaksikan pengaliran pelaburan modal asing (FDI) secara terus ke negara ini. Ia akan menjadi tulang belakang bagi memacu ekonomi negara.

Katanya, semua cadangan itu akan dibincangkan pada mesyuarat Pakatan dalam tempoh dua minggu lagi.

"Saya tidak mahu memperlekehkan kepentingan FDI, kerana kekuatan Malaysia bergantung kepada FDI. Tetapi apa yang kami katakan ialah jika urus tadbir dipermantapkan, tidak ada sebab bagi pelabur meninggalkan Malaysia,” katanya.

Ahli parlimen Permatang Pauh itu juga berkata pertumbuhan 8.9 peratus pada suku kedua itu dicapai selepas krisis kewangan yang menyaksikan ekonomi menguncup pada kadar 1.7 peratus tahun lalu.

"Antara idea peningkatan dramatik dalam pelaburan swasta dan realiti, peningkatan itu hanya satu bayangan,” katanya.

Menurut Anwar, negara lain di rantau ini seperti Singapura akan juga jauh mengatasi pertumbuhan 8.9 peratus yang dicapai oleh Malaysia.

"Dalam pada itu, pertumbuhan Indonesia pula dijangka kukuh melebihi enam peratus pada 2010, berterusan pertumbuhan 4.6 peratus pada 2009 ketika ekonomi Malaysia dalam kemelesetan,” katanya.

Anwar juga berkata peningkatan pendapatan di Malaysia adalah jauh ketinggalan berbanding Indonesia di mana purata gaji naik 10 peratus antara 2007 dan 2009.

Sebagai perbandingan, purata gaji di Malaysia hanya meningkat 2.6 peratus sepanjang sedekad yang lalu dengan hampir 34 peratus tenaga kerja berpendapatan kurang RM700 sebulan, katanya.

"Telah menjadi modus operandi kerajaan persekutuan bagi mengemukakan angka yang besar dan berselindung di sebalik pelbagai andaian dan premis yang akhirnya didapati salah.

Menurut ketua pembangkang itu, kerajaan BN tidak boleh lagi menabur janji serta membentangkan perancangan yang tidak mampu dicapai dan tidak memberi manfaat kepada rakyat.

"30 peratus pegangan ekuiti yang dijanjikan Umno masih gagal dipenuhi dan ternyata memberi kesan yang nyata kepada keluarga Melayu yang sentiasa bergelut dengan upah rendah serta kos sara hidup.

"Namun demikian dasar itu sering diuar-uarkan sebagai anugerah Umno kepada rakyat," katanya lagi.

- MALAYSIAKINI

Penasihat PKR mahu wujud 3 Timbalan Perdana Menteri

by
Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, mendedahkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim merancang untuk mewujudkan tiga jawatan Timbalan Perdana Menteri jika rancangan 16 September berjaya direalisasikan.

Zahrain keluar daripada PKR selepas hilang kepercayaan terhadap Ketua Pembangkang itu, berkata jawatan Timbalan Perdana Menteri itu akan disandang wakil Pas, DAP serta pemimpin dari Sabah atau Sarawak.

“Anwar bercadang mewujudkan tiga jawatan Timbalan Perdana Menteri jika rancangan 16 September menjadi realiti. Beliau sanggup melakukan apa saja demi mencapai cita-cita menjadi Perdana Menteri tanpa memikirkan sama ada ia boleh dibuat atau tidak.

“Sekarang, beliau janji hendak lantik seorang pemimpin Cina untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri II pula kerana sedar sokongan orang Melayu terhadapnya semakin terhakis. Beliau hanya mahu sokongan daripada orang Cina,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Anwar, dalam wawancara dengan sebuah akhbar berbahasa Cina, berjanji mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri II yang dilantik dari kalangan pemimpin DAP jika pakatan pembangkang menang Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
Ketua Pembangkang itu mendakwa dirinya dipilih sebagai calon Perdana Menteri.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Zainal Abidin Osman, menganggap janji dibuat Anwar melantik pemimpin DAP menjadi Timbalan Perdana Menteri II tidak mengejutkan.
“Anwar terlalu teruja supaya agenda peribadinya untuk menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang dan sanggup menyatakan apa saja janji asalkan misinya berjaya.

“Saya tidak terkejut kalau selepas ini beliau berjanji untuk wujudkan lima jawatan Timbalan Perdana Menteri. Saya yakin ini tidak akan terjadi,” katanya selepas majlis Umno Juara Rakyat Peringkat Nibong Tebal di Sungai Acheh, semalam.

Zainal Abidin berkata, formula dilaksanakan Barisan Nasional (BN) kini sudah memadai dengan pemimpin Cina diberikan jawatan penting dalam Kabinet bagi memberi peluang kepada mereka untuk berkhidmat.

“Ia berjalan dengan baik dan selaras dengan konsep 1Malaysia digagaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak,”katanya.

- BERITA MINGGU

Pembangkang Akan Lebih Berhati-Hati Dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak - Anwar

by

Pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembangkang akan lebih berhati-hati bagi menghadapi pilihan raya negeri Sarawak walaupun telah memenangi pilihan raya kecil kawasan Parlimen Sibu semalam.

Anwar, yang menyifatkan kemenangan di Sibu sebagai satu perkara yang 'manis' berkata pembangkang termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersikap optimistik tetapi masih berhati-hati untuk menunjukkan prestasi yang lebih baik dalam pilihan raya negeri berikutan ramai daripada wakil rakyat PKR meninggalkan parti.

"Kami optimistik sekarang tapi kami perlu realistik. Saya telah bercakap dengan (Setiausaha Agung DAP) Lim Guan Eng dan (veteran parti ) Lim Kit Siang mengenai perkembangan yang berlaku, tapi ia masih terlalu awal untuk menyatakannya (peluang dalam pilihan raya negeri Sarawak)," katanya kepada pemberita selepas menerima delegasi 11 ahli perniagaan dari Indonesia kepada Pusat Pelaburan Negeri Selangor di i-City dekat sini.

Semalam, calon DAP Wong Ho Leng memenangi pilihan raya kecil kawasan Parlimen Sibu dengan majoriti 398 undi. Wong memperoleh 18,845 undi mengatasi calon Barisan Nasional (BN) Robert Lau Hui Yew yang mendapat 18,447 undi dan calon Bebas Narawi Haron yang menerima 232 undi.

Penasihat PKR itu juga berhati-hati semasa menjawab soalan sama ada beliau menjangka kemenangan dalam pilihan raya kecil Sibu itu.

"Saya fikir BN, PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu) dan (Parti Rakyat Bersatu Sarawak) SUPP tidak menjangka (keputusan pilihan raya)," katanya.

Katanya pembangkang sentiasa berdepan dengan tugas berat untuk memenangi mana-mana pilihan raya kecil sejak 1955.

Sementara itu, sambil mengakui bahawa tindakan Anggota Parlimen Wangsa Maju Wee Choo Keong untuk keluar dari PKR baru-baru ini memberi kesan terhadap parti itu, Anwar berkata beliau tidak terkejut dengan keputusan itu kerana ia telah dijangka sejak tiga bulan lalu.

Mengenai laporan bahawa beliau akan dihadapkan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen pada 8 Jun ini berhubung dakwaannya konsep 1Malaysia diilhamkan Apco Worldwide, perunding Amerika Syarikat yang sama di belakang kempen One Israel, Anwar berkata beliau berjumpa dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi menjadualkan semula tarikh itu kerana beliau sepatutnya berbahas mengenai Rancangan Malaysia Ke-10 pada tarikh itu.

Mengenai pertemuannya dengan delegasi Indonesia itu, Anwar yang juga Penasihat Ekonomi Negeri Selangor berkata delegasi itu berminat untuk menjalin usahasama dengan kerajaan negeri Selangor bagi membuka kedai pakaian dan melabur dalam industri hijau, makanan dan pengangkutan.

- BERNAMA

Bukan Islam boleh guna Allah - Anwar Ibrahim

by
Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini terus mempertahankan sokongannya terhadap penggunaan kalimah Allah di kalangan bukan Islam.

Pendirian Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu ditulisnya sendiri dalam ruangan pendapat di The Wall Street Journal bertajuk “Orang Islam Tiada Monopoli dalam Penggunaan Kalimah Allah.”

Anwar berkata, hanya segelintir umat Islam di seluruh dunia menyokong dakwaan bahawa mereka berhak memonopoli penggunaan kalimah Allah.

Katanya, ini kerana kalimah berkenaan telah diperakui wujud dalam kamus bahasa Arab kuno sebelum ketibaan Islam lagi.

Sebelum ini, Anwar juga pernah dikecam apabila menuduh Islam menindas kaum minoriti penganut agama Hindu, Buddha, Kristian dan Yahudi ketika menghadiri satu persidangan di Australia, Disember lalu.

Dalam artikel yang disiarkan hari ini, beliau berkata, beberapa bahasa semantik yang mempunyai pertalian dengan bahasa Arab turut menggunakan kalimah Allah ketika merujuk kepada tuhan seperti Elaha dalam bahasa Aramaic dan Elohim dalam bahasa Ibrani.

“Manuskrip sejarah membuktikan bahawa orang Islam, Kristian dan Yahudi yang menggunakan bahasa Arab secara kolektif telah menyembah tuhan pencipta serta pentadbir alam semesta yang dipanggil Allah lebih 1,400 tahun lalu.

“Sejarah Islam di Asia Tenggara pula telah dikenali dengan tradisi kemajmukan yang merangkumi semua, manakala hubungan persahabatan antara orang Islam dan bukan Islam telah menjadi satu norma sejak beberapa generasi.

“Sehubungan itu cendekiawan Islam di luar negara melihat isu penggunaan kalimah Allah di Malaysia sebagai tidak masuk akal dan tidak dapat menduga ia mencetuskan bantahan dan kemarahan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar membuat dakwaan bahawa kelemahan Malaysia dalam menangani isu membabitkan agama dan perbezaan kaum bukannya sesuatu yang luar biasa.

Katanya, layanan buruk kepada kumpulan minoriti di negara Islam selalunya lebih teruk daripada perbuatan serupa yang dikecam umat Islam di negara Barat.

“Kita telah melihat bagaimana orang Islam di seluruh dunia membantah undang-undang mendiskriminasi mereka yang diluluskan di negara Barat yang sepatutnya lebih liberal dan progresif.

“Sebagaimana Perancis serta Jerman dalam isu pemakaian burqa dan Switzerland dengan isu menara masjid, begitulah juga Malaysia yang seringkali gagal menyediakan suasana selamat dan terjamin terhadap masyarakat minoriti,” katanya.

Sementara itu, Anwar mendakwa ketegangan dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di negara ini dicetuskan oleh beberapa pemimpin politik yang semberono, media arus perdana dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai kaitan dengan ahli dan pemimpin UMNO.

- UTUSAN

Dasar bersama Pakatan Rakyat sasar Putrajaya

by

Pakatan Rakyat mempertingkatkan usahanya untuk menguasai Putrajaya dengan mengumumkan dasar bersama Pakatan yang menjanjikan pembaharuan segera dan kesaksamaan.

Sebagai respons kepada musuh politiknya, Barisan Nasional, dasar bersama itu berjanji untuk mengurangkan dasar-dasar yang berasaskan kaum dan menggubal akta hubungan kaum dan akta peluang saksama serta dasar-dasar lain yang berasaskan merit seperti pemberian biasiswa kerajaan.

Ia turut menjanjikan layanan istimewa kepada Sabah dan Sarawak - di mana pengaruh Pakatan tidak kuat - dengan menjanjikan akses kepada royalti minyak serta berjanji untuk menyelesaikan masalah-masalah yang sudah lama berlanjutan.

Pakatan juga berjanji untuk menubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyelesaikan isu-isu membabitkan isu pendatang haram, yang didakwanya tidak diberi perhatian oleh kerajaan pusat.


Sokongan kuat dari dua negeri Malaysia Timur itu amat penting dalam usaha Pakatan untuk menguasai Putrajaya dalam pilihanraya umum kerana satu perempat jumlah kerusi parlimen adalah dari sana.

Pakatan juga berjanji untuk menangani isu-isu agama yang selama ini telah menimbulkan pergeseran antara parti Islam PAS dan parti sekular DAP.

Di samping itu, Pakatan juga berjanji untuk mewujudkan satu mekanisme yang komprehensif untuk menangani kes-kes di mana berlaku bertindihan antara undang-undang sivil dan Syariah.

Untuk tujuan itu, sebuah suruhanjaya diraja akan ditubuhkan untuk mengkaji secara mendalam isu-isu yang berkaitan dengannya.

Agihan ekonomi negeri

Di peringkat institusi pula, Pakatan berjanji untuk memastikan kebebasan dan ketelusan sepenuhnya Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman bagi memulihkan keyakinan rakyat terhasdap sistem kehakiman.


Pembaharuan lain yang dijanjikan termasuk menjadikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Petronas dan institusi-institusi kerajaan yang lain dipertanggungjawabkan terus kepada Parlimen.

Ini termasuk mendapatkan kelulusan Parlimen bagi pelantikan jawatan penting kerajaan seperti ketua polis negara, peguam negara, pesuruhjaya SPRM dan ketua audit negara.

Mengenai ekonomi, Pakatan bercadang mendesentralisasikan pengurusan ekonomi negara bagi meningkatkan kecekapan, produktiviti dan taburan pembangunan yang seimbang.

Cadangan ini termasuk pengagihan kuasa pentadbiran dan ekonomi dan pelaksanaan kerja-kerja infrastruktur kepada kerajaan negeri.Dasar Pakatan Rakyat itu merangkumi empat perkara, iaitu demokrasi telus dan tulen; memacu ekonomi berprestasi tinggi, mampan dan adil; keadilan sosial dan pembangunan insan; dan hubungan persekutuan-negeri dan dasr luar negara.

- MALAYSIAKINI

Anwar beri kata dua kepada ahli PKR

by
Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi kata dua kepada pemimpin dan anggota PKR sama ada setia atau keluar daripada parti jika tidak mahu mengikut dasar yang ditetapkan.

"Semua anggota parti mestilah menyokong agenda perubahan, bekerja untuk Pakatan Rakyat atau terpaksa disingkirkan daripada parti," katanya.

Anwar yang juga ketua umum PKR menegaskan demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen PKR Pulau Pinang malam tadi.

Katanya, ramai pemimpin PKR yang mahu tindakan tegas dikenakan terhadap anggota yang tidak dapat mengikut dasar parti.

"Beri komitmen kepada parti atau tinggalkan parti dan sertai Umno," katanya.

Anwar yang juga ketua pembangkang berkata ketua cabang dan wakil rakyat PKR hendaklah sentiasa mematuhi dasar-dasar parti.

Katanya, mereka tidak boleh beranggapan bahawa mereka akan terus menjadi pemimpin dan wakil rakyat untuk selama-lamanya.

Sebaliknya, kata beliau, mereka mesti berkhidmat kepada rakyat dan mematuhi dasar dan prinsip-pembaharuan parti.

Anwar berkata, walaupun sesetengah kritikan terhadap pemimpin dan wakil rakyat parti ti boleh diterima, tetapi menegaskan bahawa beliau tidak akan berkompromi dengan mereka yang enggan mematuhidasar-dasar yang ditetapkan oleh parti.

- MALAYSIAKINI

Anwar dakwa Umno guna Radzhi tarik ADUN PKR lain

by
Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Umno cuba menggunakan ADUN Lunas Mohd Radzhi Salleh - yang keluar PKR hari ini - untuk menarik beberapa ADUN PKR yang lain, menyeberang menyertai Umno.

"Percubaan Umno ialah buat tuduhan kepada ADUN Lunas, dan kemudian menggunakan beliau untuk mempengaruhi yang lain. Kita ada rekod, beberapa ADUN, dua tiga bulan lalu, mereka mengadu kepada saya, mereka cuba dipujuk oleh ADUN Lunas supaya berpindah kepada Umno dengan bayaran yang tinggi," katanya.

Anwar berkata demikian dalam satu sidang akhbar selepas selesai memberi tazkirah di satu majlis berbuka puasa bersama penduduk di Surau Said, Jalan Kampung Paya malam ini.

Menurut Anwar yang juga ketua pembangkang, Mohd Radzhi juga mempunyai beberapa masalah antaranya masalah displin, masalah kewangan dan hal-hal peribadi sehingga menerima teguran daripada Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) beberapa bulan lalu, membangkitkan perkara ini untuk disiasat. Saya tidak tahu dalam keadaan sekarang, SPRM kata tak ada kes setelah beliau keluar parti.

"Ini digunakan untuk beliau terus berunding. Kita ada maklumat beberapa bulan lalu, beliau mengadakan rundingan dengan Mahadzir Khalid (bekas menteri besar Kedah). Maka sebab itu saya bangkit di Parlimen tentang usaha untuk membeli wakil-wakil rakyat dan tidak dijawab oleh menteri," katanya.

Sehubungan itu, kata Anwar, majlis pimpinan negeri telah mengambil pendirian tegas dengan memberi amaran keras kepada Mohd Radzhi pada bulan lalu.

"Minggu lalu, majlis pimpinan negeri menggantung cabang Padang Serai termasuk ADUN Lunas kerana kes-kes yang berkaitan. Ini latar belakangnya.

"Sebab itu, YB Ahmad Kassim (pengerusi majlis pimpinan negeri) berkata sebaik-sebaiknya beliau meletakkan jawatan," kata Anwar.

Pagi tadi, Mohd Radzhi Salleh mengumumkan keluar PKR dalam satu sidang media mengejut di sebuah hotel di Kuala Lumpur dan menyatakan sokongan kepada kepemimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau, yang juga exco pelancongan Kedah, dilaporkan mengisytiharkan sebagai ADUN bebas tetapi tidak akan melepaskan portfolio ahli majlis mesyuarat kerajaan.

Bagaimanapun Anwar berkata menteri besar Kedah akan menghadap Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah esok untuk memaklumkan permintaan PKR supaya ADUN Lunas, Mohd Radzhi Salleh, yang mengisytiharkan dirinya wakil bebas, digugurkan daripada jawatan exco.

Diminta mengulas pandangan bekas menteri di jabatan perdana menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang mahukan Radzhi meletakkan jawatan sebagai ADUN Lunas, Anwar berkata:

"Ya, itu yang kita minta sebab kes dia ini berlainan. Kes dia melibatkan kes displin, kes SPRM dan kes peribadi. Ini masalah yang berkait dengannya, kalau begitu rumit, bagaimana nak jadi wakil," kata Anwar.

- MALAYSIAKINI

Anwar dakwa BN akan main kotor di Manek Urai

by
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin bahawa PAS akan mengekalkan kerusi DUN Manek Urai dalam pilihanraya kecil 14 Julai ini walaupun BN didakwanya aktif menjalankan kempen memburukkan Pakatan Rakyat.

Anwar yang juga ketua Pakatan berkata, BN mencemarkan nama baik Menteri Besar yang juga Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat untuk menarik sokongan pengundi.

Katanya, kempen memburuk-burukkan nama baik Nik Aziz tidak sepatutnya berlaku dan Anwar menjangka perbuatan tersebut akan bertambah sepanjang kempen pilihanraya kecil itu nanti.

Perbuatan tersebut, tegas ahli parlimen Permatang Pauh itu, menunjukkan bahawa BN merasa terancam dengan kehadiran Nik Aziz.

Semalam BN menamakan ketua Pemuda Umno Kuala Krai, Tuan Aziz Tuan Man, 39a, sebagai calonnya dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai.

Anwar bercakap kepada pemberita di Putrajaya di mana kes rayuannya terhadap keputusan memindahkan kes liwatnya, dijadual didengar pagi ini. Bagaimanapun, kes itu ditangguhkan hingga esok.

Anwar merayu terhadap keputusan untuk memindahkan kesnya dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi. Perkara itu akan didengar di MahkamahTinggi pada 8 Julai depan.

- MALAYSIAKINI

UMNO kecundang, pimpinan PAS lebih pintar - Anwar

by
"Umno kecundang lagi. Kali ini mereka tumbang dalam isu kerajaan perpaduan."

Menurut Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim, strategi yang cuba dipasang oleh Umno tidak menjadi sebaliknya mereka kecundang.

"Umno kecundang lagi dalam isu kerajaan perpaduan. Strategi mereka untuk meretakkan hubungan Pakatan Rakyat berkecai,"jelasnya dalam satu catatan di blog peribadinya.

Menurutnya, sambutan pimpinan Pakatan Rakyat dan rakyat terhadap kenyataan bersama amat positif sekali.

"Alhamdulillah, sambutan pimpinan Pakatan Rakyat dan rakyat terhadap kenyataan bersama amat positif sekali. Saya berulangkali menegaskan bahawa permasalahan yang sengaja digembar-gemburkan di media Umno dapat dileraikan seandainya pimpinan bersama menanganinya secara bijak,"ulasnya.

Tambahnya, pimpinan PAS ternyata lebih pintar dan pastinya berpaut kepada prinsip perjuangan seperti, 'istiqamah' yang disebut oleh Tuan Guru Nik Aziz dan memperkukuh institusi kenegaraan seperti "membanteras rasuah, memperbaiki badan kehakiman serta Suruhanjaya Pilihan Raya yang bebas dan adil" yang diucapkan oleh Tuan Guru Abdul Hadi.

Selain itu, beliau turut menghargai peranan yang dimainkan oleh pimpinan tertinggi DAP seperti Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan pimpinan KeADILan, Dr Syed Husin Ali,Azmin Ali dan Saifuddin Nasution dalam isu kerajaan perpaduan.

"Kocakan kecil ini malah lebih mematangkan dan memantapkan Pakatan Rakyat,"tegasnya.

- HARAKAHDAILY

Anwar minta pemimpin UMNO bersikap jujur

by
Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan UMNO perlu bersikap jujur sekiranya mahu berbaik semula dengan Pas bagi menjayakan matlamat kerajaan perpaduan.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, UMNO tidak seharusnya bersikap hipokrit dalam isu kerajaan perpaduan antara Pas dan Barisan Nasional.

Beliau berkata, UMNO perlu bersedia untuk mengakui kesalahan mereka yang lalu, termasuk penindasan terhadap Kerajaan Kelantan juga Menteri Besar negeri berkenaan, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

“Oleh kerana mahu dimaafkan barulah sekarang nak mengaku pernah buat kesalahan dahulu di Pas Kelantan dan kemudian mereka buat semula di Perak, kemudian tahun depan minta maaf pula di Perak lepas itu nak ambil pula Selangor.

“Jika mahu dimaafkan kita perlu jujur terlebih dulu dan sikap itu perlu ditunjukkan bersungguh-sungguh,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Wacana Pendidikan Rakyat (Wadila) di sini, semalam.

Anwar berkata, UMNO tidak boleh terus memanipulasi isu ini untuk menutup kesalahan.

“Bila kita bercakap perihal Pas memaafkan, saya sudah pasti Pas akan memaafkan kesalahan UMNO yang terdahulu, tetapi anda tidak boleh memanipulasi kesalahan dan keadilan secara berterusan.

“Saya tiada masalah kalau mereka jujur, sudah lama memaafkan mereka walaupun mereka terus berbuat demikian,” katanya.

- SINAR HARIAN

Saiful jawab Anwar: 'Di mahkamah Allah dibicarakan juga'

by


Jika ditakdirkan tuduhan liwat terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim digugurkan, Mohd Saiful Bukhari Azlan reda menerimanya.

Bagaimanapun, bekas pembantunya mengingatkan penasihat PKR bahawa beliau mungkin boleh lepas di mahkamah dunia, tetapi "di Mahsyar (mahkamah Allah) pasti akan dibicarakan juga".

Mohd Saiful menegaskan demikian dalam blognya sebagai mengulas permohonan Anwar untuk mengetepikan tuduhan tersebut.

Anwar dituduh meliwat Mohd Saiful di sebuah kondominium di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.01 petang dan 4.30 petang 26 Jun lepas.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

Beliau kini bebas dengan bon peribadi RM20,000.

Perbicaraan kes itu akan didengar mulai 1 Julai ini.

Mohd Saiful menulis dalam blognya lagi: "Tidak terkata.. Jika ditakdirkan kes ini digugurkan di mahkamah dunia, tidak mengapa, saya reda.

"Kerana kelak semasa di Mahsyar (mahkamah Allah) pasti akan dibicarakan juga.

"Sebagai hamba Allah yang kerdil, saya hanya mampu berusaha, berdoa dan berserah sepenuhnya kepada Allah SWT sahaja, kerana Dialah yang Maha Adil lagi Maha Berkuasa," tulisnya.

Mohd Saiful mengakhiri catatannya dengan menulis "yang hak pasti berdiri, yang batil pasti jatuh."

- MALAYSIAKINI

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90