Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label Artis. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Artis. Papar semua catatan

Jaafar Onn meninggal dunia

by

Pelakon, pelawak dan pengacara veteran, Jaafar Onn, 73, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultan Idris Shah Serdang, di sini, kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

Berita pemergian Jaafar atau nama sebenarnya, Jaafar Onn Awang disahkan oleh anak angkatnya, Mohamad Hanif Hashim.

Hanif berkata, urusan proses pengurusan jenazah dan pengebumian masih dalam perbincangan bersama keluarga arwah.

Sebelum itu, Hanif memberitahu, Jaafar ditahan di wad Hospital Sultan Idris Shah Serdang sejak kelmarin akibat berlaku pendarahan semasa membuang air besar.

Berikutan itu, Jaafar berkata, dia perlu menjalani beberapa prosedur rawatan di hospital untuk mengetahui lebih lanjut mengenai keadaan kesihatannya yang merosot, sejak tahun lalu.

Jaafar dilahirkan di Muar, Johor pada 19 Oktober 1951, anak bongsu daripada tiga beradik.

Nama Jaafar mula dikenali selepas secara tidak sengaja diundang dalam program masakan, Dunia Wanita terbitan RTM pada 1973.

Menerusi program dihoskan Allahyarham Tan Sri Zaleha Ismail, Jaafar yang pandai memasak sejak di bangku sekolah mula dikenali ramai dan sering diundang dalam pelbagai program.

Selain masakan, Jaafar juga handal menjahit baju walaupun hanya mengikuti kelas jahitan di kampung.

Kerjaya Jaafar dalam dunia lakon dan nyanyian bermula selepas Datuk Rosnani Jamil melamarnya berlakon dalam telefilem Lagenda Lela Manja. seterusnya memperoleh banyak peluang membintangi drama dan filem.

Sumber : Berita Harian

Awie kini bebas kanser buah pinggang

by

 


Penyanyi rock legenda, Datuk Awie mendedahkan disahkan menghidap kanser buah pinggang empat tahun lalu, namun bersyukur penyakitnya berjaya dikesan awal.

Pendedahan itu dibuat vokalis kumpulan Wings itu menerusi segmen Pagi On Point di stesen radio Kool 101 bersama Haiza dan Muaz.

Awie berkata, hanya keluarga dan rakan terdekat mengetahui penyakit dihadapi kerana tidak gemar berkongsi soal peribadi dengan khalayak.

"Buah pinggang saya bermasalah apabila doktor mendapati ada tumor dan mengesahkan ia adalah kanser.

"Tapi, Alhamdulillah dikesan awal dan doktor berjaya buang tumor berkenaan. Masa nak beritahu saya, doktor macam tergagap-gagap dan sangat mencurigakan.

"Ketika itu, saya rasa seperti darah naik ke muka dan mungkin masa saya sudah nak habis," kongsi Awie menerusi temubual berdurasi lebih 30 minit itu.

Awie atau Ahmad Azhar Othman, 56, berkata, doktor menyarankan agar membuang buah pinggangnya, tetapi dia menolak kerana ingin meminta pandangan kedua.

"Saya termenung lama dan minta doktor beri saya peluang untuk fikirkan ikhtiar lain. Doktor mengesyorkan saya bertemu seorang doktor pakar di sebuah hospital.

"Selepas berjumpa doktor berkenaan, ujian imbasan menunjukkan memang 95 peratus kanser. Akhirnya, saya setuju buat pembedahan buang tumor bila puas dipujuk isteri, itu pun selepas empat bulan dapat rawatan.

"Doktor terpaksa tebuk tiga lubang dan masukkan kamera kerana tumor ini susah nak nampak sebab pada bahagian dalam. Akhirnya tumor bersaiz 2.7 sentimeter berjaya dikeluarkan," katanya.

Menurut Awie lagi, dia hanya dimasukkan ke sebuah pusat perubatan swasta selama tiga hari berikutan kes COVID-19 sedang serius ketika itu.

Katanya, kos membuang tumor sangat tinggi, tetapi dia sedia jalani pembedahan demi keselamatan.

Ketika proses pemulihan, penyanyi lagu Tragedi Oktober itu berkata, dia sekali lagi diuji apabila dirinya bersama isteri dan anak kecil dijangkiti COVID-19.

"Saya tak boleh ambil ubat sebarangan kerana masalah buah pinggang, jadi doktor terpaksa berikan saya steroid.

"Akibatnya muka jadi bengkak dan saya bersama isteri dan anak terpaksa berkurung dalam bilik selama sembilan hari.

"Saya mengalami kesukaran bernafas di mana nafas jadi pendek. Doktor turut menemukan tompok putih yang penuh di tekak di mana ia boleh menjadi kanser," katanya yang kesihatannya kini semakin baik selepas melakukan pelbagai cara perubatan moden dan alternatif.

Sumber : Berita Harian


Suhaimi Saad meninggal dunia

by

 



Bekas ahli kumpulan nasyid, In-Team, Mohd Suhaimi Mohd Saad, 43, meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, kira-kira jam 7.42 malam tadi akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Berita pemergian Suhaimi disahkan penerbit dan penyanyi ketuhanan, Hafiz Hamidun.

Hafiz dimaklumkan mengenai pemergian Allahyarham Mohd Suhaimi oleh wakil Persatuan Munshid Malaysia yang berada di hospital menziarahi arwah.

"Saya difahamkan keadaan kesihatan Suhaimi semakin merosot sejak semalam. Petang tadi doktor mencabut alat bantuan pernafasan kerana tidak mahu dia menanggung kesakitan.

"Badannya tidak mampu menerima apa-apa ubat atau air. Organ dalaman juga sudah rosak dan tidak boleh proses apa-apa lagi.

"Saya difahamkan arwah berhasrat meninggal dunia pada hari Khamis atau Jumaat tetapi Allah lebih menyayanginya," katanya kepada BH Online.

Hafiz berkata, dia masih belum dimaklumkan mengenai urusan pengebumian arwah dan berjanji berkongsi mengenainya sebaik mendapat tahu.

Hafiz mengenali Suhaimi pada 2002 ketika sama-sama bernaung di bawah label Hijazz Record.

Hafiz pernah menerbitkan album solo Allahyarham Mohd Suhaimi berjudul Maksud Hidup pada 2016.

Allahyarham Mohd Suhaimi dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) HSI sejak enam hari lalu selepas mengalami batuk berpanjangan dan cirit birit.

Mohd Suhaimi bernikah dengan Ina Naim pada 12 Ogos 2007.

Mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ehmad Hadie Elfardie, 15, Salman Elkhoyri, 13, Phyrosh Elfadwah, 11, dan Nur Layla Elghufrony, 9.

Sumber : Berita Harian


Badrul Muhayat nikah kali ketiga dengan graduan Universiti Liverpool

by

 


Aktor Badrul Muhayat memilih tarikh hari lahir, semalam untuk disatukan dengan wanita pilihannya, Norhayati Zulkapli.

Badrul atau nama sebenarnya, Badrul Muhayat Ahmad Jailani yang menyambut ulang tahun ke-55, semalam bagaimanapun enggan mendedahkan secara terperinci mengenai perkenalan dengan isterinya.

Malah, bintang yang diperkenalkan menerusi filem Riang Tirana pada 1990 itu juga enggan mendedahkan usia isterinya yang juga bekas graduan Universiti Liverpool, England.

"Saya tidak memuat naik sebarang gambar dalam media sosial, namun tidak sangka berita ini boleh tersebar.

"Saya tidak berniat merahsiakan majlis pernikahan kerana merancang mahu mengadakan majlis resepsi pada Jun atau Julai depan.

"Insya-Allah saya akan memperkenalkan isteri kepada semua pada hari berkenaan. Jadi, jika hendak tahu lebih lanjut bagaimana bibit pertemuan dan tempoh perkenalan, semuanya boleh diajukan pada majlis resepsi nanti.

"Saya akan menjemput rakan-rakan media ke majlis resepsi nanti," katanya 

Aktor kelahiran Johor Bahru, Johor itu berkata, mulanya merancang bernikah pada Julai depan, tetapi disebabkan ingin mengejar waktu dan membuat keputusan mempercepatkan majlis, semalam.

"Saya sebenarnya mengejar masa. Sebelum ini, sibuk dengan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kemudian anak-anak sudah mula bersekolah.

"Jadi, masa terlalu cepat dan suntuk, disebabkan itu kami buat keputusan tidak mahu menangguh majlis pernikahan.

"Saya memilih tarikh lahir untuk diijabkabulkan sebagai satu simbolik. Ini kerana saya tidak tahu ajal dan maut di tangan Allah pada usia sekarang," katanya.

Badrul pernah dua kali mendirikan rumah tangga, namun gagal mempertahankannya.

Dikurniakan dua cahaya mata berusia 14 dan 16 tahun yang kini menetap bersama bekas isteri di Ipoh, Perak.

Sumber : Berita Harian

Safawi Rasid sah bergelar suami Syifa Melvin

by

 


Dengan sekali lafaz, pemain bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid selamat bernikah dengan wanita pilihan yang juga pempengaruh popular, Syifa Melvin sekitar pukul 8.46 malam tadi.

Pasangan itu dinikahkan oleh Ustaz Khairil Nizam sambil disaksikan oleh bapa Syifa sendiri iaitu Amirol Melvin Abdullah.

Safawi atau nama sebenarnya, Muhammad Safawi Rasid, 27, menyerahkan mas kahwin sebentuk cincin berlian kepada Syifa, 28, manakala wang hantaran tidak didedahkan.

Pada majlis pernikahan berkonsep dalam taman tersebut, pasangan mempelai menggayakan persalinan pengantin sedondon berona nude.

Majlis yang dihadiri kira-kita 300 orang tetamu terdiri daripada keluarga dan kenalan rapat tersebut berlangsung di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.

Antara rakan selebriti yang turut hadir ialah Syatilla Melvin, Shaheizy Sam, Uyaina Arshad, Nabila Razali, Riena Diana dan Raja Syahiran.

Semalam, Syifa mengharapkan orang ramai tidak terlalu menguar-uarkan tentang majlis pernikahannya dengan Safawi dan hanya mengharapkan doa yang baik-baik.

“Tak payahlah dihebohkan lagi tentang hal ini (perkahwinan dengan Safawi). Saya minta sangat-sangat,” katanya.

Pemilik nama lengkap, Nur Syifa Athirah Amirol Melvin itu juga masih dengan pendirian tidak mahu mengiyakan mahupun menidakkan perihal terbabit namun mengharapkan doa yang baik-baik daripada orang ramai.

“Kalau betul dah sampai waktunya nanti, anda semua akan tahu. Saya cuma mohon doa yang baik-baik daripada semua agar perhubungan ini mendapat reda Allah SWT,” katanya lagi.

Sebelum itu, majlis perkahwinan yang dikhabarkan sudah dihidu lebih awal oleh penyokong JDT apabila Safawi dikejutkan dengan nyanyian lagu Selamat Pengantin Baru di Stadium Sultan Ibrahim, Johor Bahru, baru-baru ini.

Bayangan perkahwinan pasangan itu diperkuatkan lagi dengan penularan kad undangan perkahwinan bertarikh 3 Disember 2022 milik Syifa dan Safawi yang diterima Kosmo! menerusi aplikasi WhatsApp. 

Sumber : KOSMO! 


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90