Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label Astronomi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Astronomi. Papar semua catatan

Orang ramai saksi keindahan fenomena gerhana bulan

by

 


Orang ramai di beberapa kawasan di negara ini dapat menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh yang berlaku 5.8 hari sebelum bulan berada pada kedudukan yang paling jauh dengan bumi (apogee) iaitu pada jarak 404,923 kilometer (km).

Berdasarkan perkongsian orang ramai menerusi Live Facebook (FB) Planetarium Negara malam ini, gerhana bulan itu dapat dilihat dengan jelas di beberapa kawasan di Sabah termasuk di Sepitang, Semporna, Kota Kinabalu dan Sandakan.

Turut dikongsikan netizen di media sosial, gerhana bulan itu turut dilihat dengan jelas di Kota Bharu, Kelantan; Kuala Terengganu, Terengganu serta Alor Setar, Gurun, Jitra dan Pulau Langkawi di Kedah.

Bagaimanapun, bagi kebanyakan kawasan yang dilanda hujan dan cuaca mendung termasuk sekitar Lembah Klang serta di Johor dan Negeri Sembilan, fenomena gerhana bulan itu tidak dilihat dengan jelas.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Plenatarium Negara, Mohd Zamri Shah Mastor, berkata gerhana bulan penuh mula berakhir pada jam 7.41 malam tadi.

"Bulan mula menjadi cerah semula, sedikit demi sedikit dan kita mula melihat gerhana bulan separa mulai 7.41 malam hingga 8.41 malam iaitu selepas gerhana bulan penuh," katanya dalam ulasan menerusi FB Live Planetarium Negara malam ini.

Beliau berkata, berdasarkan cerapan gerhana yang berlaku malam ini, menunjukkan persekitaran atmosfera bumi ketika ini masih baik.

"Kemerahan yang kita dapat lihat pada gerhana bulan itu adalah tanda bahawa atmosfera bumi kita sebenarnya masih baik. Jika gerhana bulan kelihatan gelap, itu menunjukkan atmosfera kita tercemar. Maka, marilah kita bersama menjaga bumi kita," katanya.

Katanya, fenomena dan keindahan gerhana bulan boleh dirakam sendiri oleh orang ramai menggunakan telefon pintar selain menggunakan teleskop untuk mendapat gambar yang lebih jelas dan terang.

Terdahulu, Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) hari ini memaklumkan, di Malaysia, fenomena gerhana bulan penuh berlaku mulai jam 4.02 petang dan berakhir pada jam 9.56 malam.

MYSA menjelaskan fenomena ini dapat dilihat secara keseluruhan di Asia, Australia, Amerika Utara dan Selatan serta sebahagian utara dan timur Eropah.

Menurutnya, gerhana bulan penuh ini adalah 'central lunar eclipse', iaitu gerhana bulan yang berlaku apabila cakera bulan melalui paksi bayang umbra bumi yang berada di tengah-tengah bayang umbra bumi.

Menurut MYSA, fenomena gerhana bulan penuh tidak dapat dilihat di Malaysia pada permulaan fasa gerhana penumbra dan separa kerana ia berlaku apabila bulan berada di bawah ufuk.

"Masyarakat di Malaysia berpeluang menyaksikan fenomena itu apabila bulan mulai terbit di ufuk timur ketika ia mula mengalami fasa gerhana penuh bagi penduduk di Sabah dan Sarawak manakala bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung, fenomena tersebut hanya mula kelihatan ketika fasa gerhana maksimum sehingga fasa gerhana penumbra berakhir pada jam 9.56 malam," katanya.

Sumber : Berita Harian

Asteroid paling bahaya disahkan tidak langgar Bumi pada 2052

by

 


Kumpulan saintis  Agensi Angkasa Eropah (ESA) menyatakan bahawa orang ramai tidak perlu bimbang berhubung ramalan sebuah asteroid berbahaya akan melanggar Bumi pada 2052 kerana perkara itu tidak akan berlaku, lapor akhbar Mirror UK.

Batu angkasa gergasi itu mendahului senarai risiko di seluruh dunia selama berbulan-bulan dan dianggap paling berpotensi melanggar Bumi pada 2 April 2052.

Pakar-pakar  pasukan asteroid ESA di Balai Cerap Selatan Eropah secara rasmi telah mengeluarkan ‘2021 QM1’ daripada senarai asteroid berisiko mereka.

Pengumuman itu dibuat selepas pemerhatian dan analisis terperinci ke atas asteroid yang hampir tidak kelihatan itu menggunakan teleskop paling sensitif di dunia.

“Kami kita boleh mengatakan dengan selamat bahawa asteroid paling berbahaya yang diketahui oleh umat manusia pada tahun lepas tidak akan melanggar Bumi sekurang-kurangnya untuk abad yang akan datang,” kata ESA dalam satu kenyataan.

Asteroid itu pertama kali ditemui pada 28 Ogos tahun lalu oleh balai cerap Mount Lemmon di Arizona, Amerika Syarikat.

Pada mulanya, ia tidak dianggap luar biasa kerana sekitar 12 asteroid baharu yang mengorbit berdekatan Bumi ditemui setiap malam.

Namun,  kajian lanjut menggunakan pemerhatian daripada teleskop di seluruh dunia mula membongkar kenyataan lebih membimbangkan.  Kajian lebih terperinci kemudian menyatakan perkara sebaliknya.

“Pemerhatian awal memberi kami lebih banyak maklumat tentang laluan asteroid ini bagi melakukan unjuran masa hadapan.

“Kami dapat melihat laluan masa depannya mengelilingi matahari dan pada tahun 2052, ia boleh mendekati Bumi secara berbahaya namun risiko itu telah berkurangan,” kata Ketua Pertahanan Planet ESA, Richard Moissl.

Sumber : Agensi

Gerhana Bulan Penuh – 8 Oktober 2014

by


Pada waktu Maghrib, Rabu 8 Oktober 2014, kita akan dapat menyaksikan fenomena Gerhana Bulan Penuh. Ini merupakan gerhana bulan kali ke-2 berlaku untuk tahun 2014.

Kali terakhir ia berlaku ialah pada 15 April 2014, tetapi ia tidak dapat dilihat dari langit Malaysia.

Untuk fenomena gerhana bulan Oktober ini nanti, terdapat 2 senario berbeza untuk masyarakat di Semenanjung, dan di Sabah & Sarawak. Namun secara umumnya kita di Malaysia akan dapat melihat Bulan terbit dalam keadaan sudah bermulanya fasa gerhana.

Semenanjung Malaysia

Bagi penduduk di Semenanjung Malaysia, anda akan terlepas fasa permulaan gerhana, dan hanya dapat melihatnya bermula dari fasa gerhana penuh hingga tamat sahaja.

Kiraan di bawah adalah untuk Kuala Lumpur pada tarikh 8 Oktober 2014.

    4:17 pm Bulan masuk bayang-bayang penumbra – Tidak kelihatan (Bulan di bawah ufuk)
    5:18 pm Bulan masuk bayang-bayang umbra (fasa gerhana separa) – Tidak kelihatan (Bulan di bawah ufuk)
    6:25 pm Fasa Gerhana Bulan Penuh bermula – Tidak kelihatan (Bulan di bawah ufuk)
    6:54 pm Puncak Fasa Gerhana Penuh – Tidak kelihatan (Bulan di bawah ufuk)
    7:24 pm Fasa Gerhana Bulan Penuh tamat (permukaan fasa separa) – Boleh dilihat
    8:34 pm Fasa Bulan keluar dari bayang-bayang umbra – Boleh dilihat
    9:33 pm Bulan keluar dari bayang-bayang penumbra keseluruhannya – Boleh dilihat

Jika anda berada di pantai timur Semenanjung, seperti di Kuantan, anda berpeluang melihat fasa gerhana ini lebih awal sikit, iaitu ketika ia sedang berada di Puncak Fasa Gerhana Penuh, iaitu jam 6:55 pm (sehinggalah tamat).

Sabah & Sarawak

Bagi penduduk di Sabah dan Sarawak, anda lebih bernasib baik kerana Bulan terbit lebih awal. Maka, ia baru sahaja nak memasuki bayang-bayang bumi ketika ini. Oleh itu anda berpeluang menyaksikan hampir keseluruhan fasa gerhana bulan dari awal hingga akhir.

Kiraan di bawah adalah untuk bandar Kota Kinabalu.

    4:17 pm Bulan masuk bayang-bayang penumbra – Tidak kelihatan (Bulan di bawah ufuk)
    5:18 pm Bulan masuk bayang-bayang umbra (fasa gerhana separa) – Tidak kelihatan (Bulan di bawah ufuk)
    6:25 pm Fasa Gerhana Bulan Penuh bermula – Boleh dilihat
    6:54 pm Puncak Fasa Gerhana Penuh – Boleh dilihat
    7:24 pm Fasa Gerhana Bulan Penuh tamat (permukaan fasa separa) – Boleh dilihat
    8:34 pm Fasa Bulan keluar dari bayang-bayang umbra – Boleh dilihat
    9:33 pm Bulan keluar dari bayang-bayang penumbra keseluruhannya – Boleh dilihat

Gerhana Bulan selepas ini

Jika anda terlepas peluang untuk menyaksikan Gerhana Bulan kali ini, jangan risau kerana pada 4 April 2015 akan berlaku sekali lagi gerhana, dan kebetulan pula keadaanya sama dengan apa yang akan berlaku 8 Oktober, iaitu Bulan sedang gerhana ketika ia terbit.

Wallahualam


Sumber : http://falakonline.net/semesta/2014/09/gerhana-bulan-penuh-8-oktober-2014/



Planetarium Negara pusat ilmu angkasa

by

Planetarium Negara pusat ilmu angkasa

Kedatangannya di Planetarium Negara, Sabtu lalu bukan yang pertama kali. Kunjungan pertamanya ketika berumur 12 tahun iaitu kira-kira tiga tahun lalu atas dasar ingin mengetahui tentang selok-belok dunia sains, terutamanya mengenai angkasa lepas.

Minatnya itu terus bercambah sehingga ke hari ini dengan mengikuti setiap perincian perkembangan sains angkasa di dalam atau luar negara. Bagi Musaddiq Azli Mubarak, 15, ruang pameran khusus untuk sains angkasa lepas itu memberikan pengajaran secara teori dan praktikal dalam bidang sains.

“Banyak boleh dipelajari di sini sebagai contoh program angkasawan negara yang melahirkan angkasawan negara pertama kita. Selain itu, terdapat juga informasi-informasi berkaitan sains angkasa yang terdapat di Planetarium Negara,” ujar pelajar Sekolah Tahfiz di Sentul, Kuala Lumpur itu ketika ditemui Infiniti di pusat tersebut baru-baru ini.

Ditemani bapanya, Azli Mubarak Tahir dan ahli keluarga lain, dia turut menzahirkan kekaguman dengan teknologi yang terdapat di Planetarium Negara.

Berukuran 11,148 meter persegi, bangunan berkubah biru itu jelas kelihatan kerana terletak di puncak bukit di Taman Tasik di Jalan Perdana, Kuala Lumpur.

Dibuka secara rasmi oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, ia memberi impak positif kepada perkembangan sains angkasa dalam kalangan masyarakat tempatan.

Sehingga kini, ia telah menarik lebih lima juta pengunjung dari dalam dan luar negara. Ia menjadi tumpuan pelancong asing sehingga menjadi lokasi utama dalam senarai lawatan mereka di Malaysia. Bagi warga tempatan, ia merupakan salah satu aktiviti riadah yang bermanfaat kepada anak-anak muda.

“Anak-anak sangat suka berada di sini kerana selain ruang pameran yang menarik, Planetarium Negara turut menyediakan aktiviti interaktif kepada pengunjung,” ujar Azli.

Kunjungan kali kedua Azli dan keluarga adalah kerana ajakan oleh anak sulungnya, Musaddiq yang menunjukkan minat dalam bidang sains angkasa.

“Sekurang-kurangnya, mereka dapat belajar sesuatu selepas berada seharian di sini,” tambahnya yang merupakan seorang jurutera di sebuah syarikat swasta.

Bagi Rozila Rafie, seorang guru di Kolej Matrikulasi Selangor, kewujudan Planetarium Negara telah meningkatkan kesedaran dan pengetahuan rakyat Malaysia mengenai isu-isu berkaitan angkasa lepas.

“Jika dibandingkan sebelum penubuhan pusat ini, ramai yang kurang jelas mengenai subjek angkasa. Malah, ramai yang kurang memberikan tumpuan kepada angkasa lepas,” ujarnya yang datang bersama sekumpulan rakan kolejnya.

Tambahnya, pusat pendidikan tersebut membuatkan minat pelajar semakin bertambah dan mula menunjukkan kecenderungan kepada bidang sains angkasa.

“Pembelajaran teori di dalam kelas dapat diselarikan dengan pameran yang terdapat di Planetarium Negara,” ujarnya.

Rozila berkata, Kolej Matrikulasi Selangor yang terletak di Banting, aktif dalam menghadiri dan menyertai program-program yang dijalankan oleh Agensi Angkasa Malaysia (Angkasa).

“Malah, penubuhan Pusat Angkasa Negara di Banting turut memberikan impak positif bukan sahaja kepada pelajar, malah ekonomi penduduk setempat juga berkembang dengan baik,” ujar Rozila.

Pusat Angkasa Negara di Banting, Selangor siap dibina pada tahun 2005 yang menempatkan Pusat Kawalan Misi (MOC) satelit RazakSAT-1.

Pada masa akan datang, ia akan menempatkan RazakSAT-2 dan Makmal Ujian Optik bagi menjalankan pengujian optikal ke atas satelit RazakSAT-1 atau sebarang komponen optikal satelit pada masa akan datang.

Sejak ditubuhkan, Planetarium Negara berjaya menganjurkan pelbagai aktiviti kesedaran kepada masyarakat, malah mengadakan jalinan kerjasama dengan beberapa negara dalam bidang sains dan teknologi angkasa.

Pada tahun 2007, Planetarium Negara dan Jepun menjalankan program-program pendidikan Eksperimen Sains Mikrograviti susulan daripada kejayaan Program Angkasawan Negara.

Antara aktiviti-aktiviti tersebut ialah Try Zero G, Space Seed, Parabolic Flight dan Pertandingan Teknologi Pelancaran Roket Asia Pasifik.

Selain itu, pusat tersebut menjadi rujukan program-program pendidikan angkasa kepada negara-negara jiran seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Bercakap mengenai senarai panjang kejayaan 20 tahun Planetarium Negara, tidak lengkap jika tidak melibatkan sejarah yang dicatatkan oleh Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor.

Menerusi program Angkasawan Negara yang diadakan pada tahun 2007, beliau menjadi rakyat Malaysia pertama berada di ruang angkasa lepas.

Mengimbas detik bersejarah itu, program bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi tersebut telah mendapat penyertaan sebanyak 11,267 orang.

Selepas melalui pelbagai cabaran fizikal dan mental, Dr. Sheikh Musza- phar akhirnya dipilih untuk menyertai misi angkasa itu. Beliau berlepas ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) menggunakan roket Soyuz TMA-11 buatan Rusia dari tapak pelancaran Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan tepat pukul 7.21 malam (9.21 malam waktu Malaysia).

Pada masa sama, beliau menjalankan kajian mengenai perkembangan penyakit barah tropika dan mikrob tempatan.

“Tidak dinafikan ia telah mengubah hidup saya kerana berada di ruang angkasa menjadi impian kepada semua orang,” ujarnya ketika dihubungi baru-baru ini.

Dia menambah, kejayaan program tersebut telah membuka minda masyarakat, khususnya kanak-kanak untuk mendalami bidang sains.

“Kejayaan program angkasawan negara telah memberi inspirasi kepada generasi muda. Jika mereka mempunyai cita-cita untuk menjadi seperti saya, kejarlah impian tersebut sehingga tercapai. Saya juga seperti mereka, maka tiada halangan untuk mencapai impian tersebut,” katanya.

Sheikh Muszaphar berkata, negara perlu memberi perhatian serius dalam bidang sains dan teknologi kerana ia memberi manfaat dalam jangka masa yang panjang.

“Seluruh dunia berlumba-lumba untuk menguasai sains dan teknologi kerana melalui bidang tersebut, sesebuah negara akan lebih maju,” jelasnya.

Melalui Planetarium Negara juga telah mewujudkan program Mikrosatelit negara TiungSAT pada September 2000. Ia dilancarkan ke ruang angkasa lepas dari Baikanor, Kazakhstan.

Satelit itu membawa tiga misi iaitu pencerapan bumi, uji kaji saintifik Cosmic-Ray Energy Disposition Experiment (CEDEX) dan juga aplikasi komunikasi. Satelit ketiga negara kini sedang dalam rangka pembinaan yang dinamakan RazakSAT-2.

Dalam usia dua dekad itu, Planetarium Negara terus kukuh sebagai pusat pengumpulan maklumat mengenai angkasa lepas.

Penubuhan Pusat Angkasa Negara di Banting dan Pusat Observatori Langkawi (ONL) di Langkawi, Kedah bakal merancakkan lagi perkembangan bidang sains angkasa dalam negara.

- KOSMO!
 

Saintis ramal asteroid langgar bumi pada 16 Mac 2880

by

Saintis ramal asteroid langgar bumi pada 16 Mac 2880

Sebuah asteroid diramal akan melanggar Bumi pada 16 Mac 2880, kata saintis. Penyelidik Agensi Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA), menyatakan, berdasarkan analisis radar di Makmal Jet Propulsion di Pasadena, California milik agensi itu, kemungkinan asteroid dikenali 1950 DA untuk merempuh bumi adalah 1 nisbah 300.

Laman web berita Mashable, melaporkan, asteroid 1950 DA kali pertama kali dikesan pada Februari 1950 dan mempunyai ukur lilit 1.1 kilometer. Ia berjaya dipantau selama 17 hari sebelum menghilang selama 50 tahun. Kali terakhir asteroid itu dilihat semula pada 31 Disember 2000 dan Mac 2001.

Kejayaan mengesan semula 1950 DA pada malam tahun baru itu berlaku 200 tahun selepas saintis berjaya kesan asteroid pertama dikenali sebagai Ceres.

“Saintis mendapati 1950 DA akan melintas pada kedudukan paling hampir dengan bumi selama 20 minit pada 16 Mac 2880 dan kemungkinan ia merempuh bumi tidak boleh dinafikan,” kata laman web itu.

- AGENSI
 


Lokasi kelihatan fenomena Hujan Meteor Perseid

by

Fenomena pancuran meteor Perseid atau hujan tahi bintang dapat disaksikan orang ramai di beberapa lokasi di seluruh negara bermula malam kelmarin hingga awal pagi semalam, 13 Ogos 2013.

Ketua Unit Penyelidikan Sains Angkasa, Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), Mhd Fairos Asillam, berkata antara kawasan di Semenanjung ialah Tanjung Bidara dan Duyong, Melaka; Teluk Kemang, Negeri Sembilan; Pantai Acheh, Pulau Pinang dan Pantai Morib, Selangor; Pasir Gudang, Pontian Kecil, Bertam, Perlis, Bandaraya Melaka, Kajang dan Kuantan.
Sarawak pula seperti Bintulu dan Sibu, manakala Sabah di sekitar Labuan.


Pemerhati hampa

Bagaimanapun, pemerhati di kawasan utara Semenanjung dan Kuala Lumpur dilaporkan hampa berikutan hujan sejak jam 1 pagi semalam.

Penolong Pegawai Sains Observatori Negara Langkawi, Karzaman Ahmad, berkata pihaknya hanya berjaya merakam empat kelibat meteor Perseid selama setengah jam bermula 1 pagi semalam.

“Balai Cerap Langkawi, Kedah mula melakukan cerapan jam 12.30 tengah malam hingga 6 pagi (semalam) dan hasilnya kurang memberangsangkan berikutan awan hujan menyelubungi kawasan utara tanah air,” katanya.
Fenomena pancuran meteor Perseid yang berlaku setiap tahun, iaitu pada Ogos, dinantikan rakyat Malaysia kerana dikatakan antara pancuran meteor yang paling menarik dan jelas dilihat dengan mata kasar.

INFO: Fenomena meteor Perseid
- Malaysia mengalami tiga pancuran meteor setahun iaitu pancuran meteor Quadrantids (Mac), Perseid (Ogos) dan Leonid (November).
- Pancuran meteor Perseid daripada buruj Perseus paling cantik dan terang.
- Kelajuan meteor Perseid boleh mencapai 200 kilometer sesaat.

- BERITA HARIAN
 

Teleskop NASA kesan bulan Neptune yang baru

by


NASA mengesahkan teleskop angkasa Hubble menemui bulan baru yang mengorbit di planet Neptune.

Bulan ini merupakan planet yang ke-14 mengelilingi planet berkenaan.

Ia juga muncul sebagai bulan paling kecil dalam sistem yang berukuran hanya 20 kilometer dan melengkapkan satu putaran di Neptune setiap 23 jam.

NASA menambah, bulan itu juga adalah 100 juta kali lebih malap berbanding bintang lain yang mampu dilihat dengan mata kasar.

- SINAR HARIAN


Gerhana matahari separa di utara Australia

by

SYDNEY, AUSTRALIA - Sejumlah peminat astronomi berkunjung ke utara Australia untuk menyaksikan fenomena gerhana matahari separa semalam.

Fenomena itu berlaku apabila bulan bergerak di antara bumi dan matahari.

Sebelum ini, gerhana penuh dapat dilihat di utara Australia pada November tahun lalu menyebabkan pemandangan menjadi gelap selama dua minit.

Bagaimanapun, gerhana matahari separa itu menyebabkan bulan hanya melindungi 97 peratus matahari.

Gerhana separa itu juga dapat dilihat di beberapa bahagian di Australia, Indonesia, New Zealand dan Pasifik Selatan.

Seorang ahli astronomi Amerika Syarikat, Jay Pasachoff sanggup datang ke Australia untuk menyaksikan fenomena gerhana matahari itu. Ia merupakan gerhana matahari kali ke-57 yang pernah dilihatnya.

Dia memandu ke sebuah bukit kecil di Outback yang terletak kira-kira 100 kilometer ke utara bandar Tennant Creek.

Pasachoff dan 100 orang lagi peminat amatur astronomi merakamkan fenomena itu dengan menggunakan kamera.

- Agensi




 

Pencarian manusia pertama ke Planet Marikh

by

Sebuah organisasi Belanda di New York, Mars One sedang mencari manusia pertama menginjakkan kaki di planet Marikh.

Dipetik The Guardian, pengasas organisasi itu, Bas Lansdorp berkata, manusia yang dihantar ke planet itu bagaimanapun, tidak akan kembali ke bumi.

“Manusia di Marikh akan mengalami penurunan ketahanan tulang dan otot sekiranya dihantar kembali ke bumi. Mereka berpotensi terdedah kepada radiasi tinggi sekali gus meningkatkan risiko kanser kerana penurunan imunisasi tubuh dan berhadapan dengan kemandulan,” katanya.

Menurutnya, calon harus memiliki kekuatan psikologi dengan akan dikirimkan dengan ubat-ubatan dan pihaknya akan mengajar cara bercucuk tanam kerana keperluan tenaga seperti matahari dan air wujud di sana.

“Empat calon akan ke sana dan misi ini akan bermula pada 2023 dengan menggunakan teknologi jentera seperti SpaceX,” katanya.

Beliau berkata, perjalanan mengambil masa lapan bulan untuk sampai ke planet itu.

Kini, seramai 10, 000 individu berusia antara 18 hingga 62 tahun disahkan mendaftar untuk mengikuti program tersebut.

- The Guardian / SINAR HARIAN

 

Gambar foto nyalaan api matahari dirakamkan NASA

by

Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) milik Amerika Syarikat semalam mendedahkan gambar nyalaan api di permukaan matahari.

Gambar itu dirakamkan pada 16 Mac 2013 lalu.

Ia menunjukkan terdapat percikan api yang terkeluar dari permukaan matahari.

- AFP


 

Tiga angkasawan ISS mendarat di Kazakhstan

by


ARKALYK - Tiga angkasawan selamat kembali ke Bumi dari Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) semalam apabila kapsul angkasa lepas Rusia yang membawa mereka mendarat di kawasan padang rumput steppe di Kazakhstan, kata pusat kawalan misi berkenaan.

"Pendaratan berlaku!," kata pusat kawalan misi di Rusia yang disiarkan oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika (NASA).

Beberapa pasukan penyelamat kemudian bergegas untuk mencari kapsul Soyuz yang membawa angkasawan NASA, Kevin Ford dan dua jurutera penerbangan Rusia, Oleg Novitskiy serta Evgeny Tarelkin.

"Semua kru itu berasa normal semasa penerbangan dan pendaratan, angin mereka juga baik," kata beberapa agensi berita Rusia yang memetik kenyataan komentator rasmi pusar kawalan misi tersebut yang dikenali sebagai Ekspedisi 34.

Ketiga-tiga angkasawan itu mendarat dalam cuaca mendung pada pukul 7.06 pagi di timur laut bandar ini semalam.

Mereka sebelum ini berada di ISS yang berharga AS$100 bilion (RM312 bilion) itu selama 144 hari sejak Oktober tahun lalu.

Kini, tinggal tiga angkawan yang mengendalikan stesen angkasa lepas tersebut yang diketuai oleh warga Kanada, Chris Hadfield.

Mereka akan berada di ISS hingga Mei depan.

- Agensi  


Meteor jadi meteorit bila sampai ke bumi, tetapi kekal sebagai tahi bintang

by
Oleh ZIN MAHMUD

Orang sekarang tidak lagi panggil batu-batu dari angkasa itu sebagai tahi bintang. Mereka memanggilnya meteor.

Seperti mana orang sekarang tidak memanggil astronomi sebagai kaji bintang.

Meteor adalah perkataan Inggeris yang telah diterima ke dalam Bahasa Malaysia. Asalnya meteor bermaksud kesan-kesan laluan meteoroid di langit yang di lihat dari bumi. Gumpalan asap dan cahaya seperti yang dilihat di sekitar pergunungan Ural di Rusia Jumaat lalu ialah meteor.

Tetapi batunya dipanggil meteoroid. Selalunya meteoroid tidak sampai ke bumi tetapi pecah dan hangus di ruang udara kerana geseran kuat yang dilaluinya.

Apabila meteoroid jatuh ke bumi, ia berubah nama menjadi meteorite dalam bahasa Inggeris, dan meteorit dalam Bahasa Malaysia.

Namun begitu, tahi bintang tidak berubah nama bila ia sampai ke bumi. Ia tetap dipanggil sebagai tahi bintang.

Ketiga-tiga perkataan meteor, meteoroid dan meteorit adalah tahi bintang.

Mengapakah ia disebut sebagai tahi bintang? Mungkin juga ia dianggap sebagai kotoran yang keluar daripada bintang.

Bintang-bintang dilihat indah dari bumi tetapi apabila serpihannya jatuh, didapati tidaklah cantik. Maka mungkin sebab itu ia dinamakan sebagai tahi bintang.

Tetapi ada satu perkataan yang lebih indah dan pernah digunakan untuk merujuk kepada tahi bintang. Perkataan itu ialah panah kelodan.

Dalam bahasa Inggeris, meteor juga disebut sebagai shooting stars atau bintang yang ditembak dan falling stars atau bintang jatuh.

Selain tahi bintang, ada juga digunakan perkataan bintang bergerak. Tetapi bintang bergerak ini bukan saja merujuk kepada tahi bintang tetapi juga bintang berekor dan asteroid.

Perkataan sekarang bagi bintang berekor ialah komet. Ia tidak jatuh ke bumi tetapi merentas sistem suria mengelilingi matahari mengikut orbitnya dan ada masanya dapat dilihat Asteroid pula merujuk kepada bongkah-bongkah batu besar yang juga mempunyai orbitnya mengelilingi matahari dalam lingkungan antaranya dengan planet Musytari.

Semalam, ada sebuah asteroid melintas dalam laluan yang hampir dengan bumi. Malah lebih hampir daripada satelit GPS. Jika asteroid ini terlalu hampir dan memasuki ruang tarikan bumi, maka ia boleh jatuh ke atasnya dan mendatangkan bencana besar.

Kalau di luar lingkungan orbit planet Musytari, maka ia dinamakan planetoid. Kalau lebih besar lagi, maka seperti bumi, batu itu dianggap sebagai planet.

Jadi jika dikira dari segi ukuran dari besar ke kecil, maka ia boleh diatur begini: planet, planetoid-asteroid dan meteoroid. Kalau lebih kecil daripada itu, seperti dalam bentuk debu-debu, maka ia disebut mikrometeoroid.

Tetapi pada zaman dahulu, selain daripada matahari dan bulan, semua benda-benda yang nampak di langit disebut sebagai bintang.

Planet juga disebut bintang. Sebab itulah planet Utarid atau Venus dalam bahasa Inggeris dipanggil oleh orang Melayu sebagai bintang Kejora. Satu-satunya bintang yang namanya ada dalam bahasa Melayu.

Nama-nama planet semuanya berasal sama ada dari bahasa Arab seperti Zuhrah, Utarid, Marikh, Zuhal dan Musytari atau pun Inggeris iaitu Uranus dan Neptune. Orang Arab pada zamannya tidak menemui planet Uranus dan Neptun.

Sanskrit

Malah perkataan Bumi pun berasal dari bahasa Sanskrit. Begitu juga dengan perkataan Suria bagi merujuk pada mata hari dan purnama bagi merujuk pada bulan adalah berasal dari bahasa Sanskrit.

Tetapi matahari, bulan dan bintang memang asalnya bahasa Melayu.

Apabila sains diperkenalkan ke dalam bahasa Melayu, barulah dibezakan antara planet dan bintang. Maka Kejora itu bukanlah bintang tetapi planet. Matahari pula adalah sebuah bintang. Sementara bulan bukan saja ada pada bumi tetapi di planet-planet lain.

Orang Melayu zaman dahulu mahir mengenal bintang kerana mereka adalah pelaut. Berada dalam perahu dan kapal di tengah-tengah malam, maka hanya bintang yang menjadi teman dan panduan.

Dengan bintanglah seseorang nakhoda dapat mengemudi kapal-kapal lautnya. Maka kerana bintang-bintanglah orang Melayu tersebar ke seluruh Nusantara, dari Kemboja hingga ke Papua. Dari Manila hingga ke Madagascar. Bukan saja orang Melayu, tetapi keseluruhan rumpun Austronesia dan Polinesia, yang menggunakan perahu serta kapal berlayar dari Taiwan hingga ke Hawaii, Fiji, Tahiti, Samoa, Polinesia dan pulau-pulau Pasifik yang lain termasuklah New Zealand.

Bintang paling disukai ialah Kejora yang muncul pada waktu pagi. Maka pada bendera Papua terdapat lambang bintang yang merujuk kepada Kejora.

Tetapi matahari, bulan dan bintang gemar dijadikan lambang pada bendera di banyak negara. Itulah besarnya pengaruh benda-benda di langit bagi manusia.

Bulan adalah penting bagi bangsa pelaut dan nelayan. Selain daripada ia menjadi punca air pasang dan surut, bulan yang mengambang akan memudahkan pelayaran pada waktu malam.

Selain menjadi pelaut dan nelayan, orang Melayu seperti bangsa-bangsa lain di dunia turut terlibat dengan pertanian.

Maka peredaran matahari yang menyebabkan perubahan musim menanam dan menuai tentu penting bagi masyarakat pertanian.

Orang zaman dahulu, sebelum adanya agama akan melihat matahari sebagai suatu benda yang memberikan kehidupan. Bukan saja ia memberikan cahaya dan haba, tetapi juga membawa kepada tumbuhnya tanam-tanaman.

Maka tidak hairanlah pada zaman purba, ada masyarakat yang menganggap matahari sebagai dewa. Dalam tradisi Hindu purba, khususnya mazhab Saura ada dewa matahari bernama Surya. Isterinya bernama dewi Cahya.

Kini kedua-dua perkataan suria dan cahaya adalah sebahagian daripada bahasa Melayu.

Apabila Islam datang ke Nusantara, bulan menjadi penting. Kerana kiraan awal bulan menjadi penentu kepada ibadah puasa dan haji. Kiraan pergerakan matahari masih juga penting untuk menentukan waktu sembahyang.

Pengetahuan mengira perjalanan matahari dan bulan ini disebut sebagai ilmu falak. Ilmu ini adalah sebahagian daripada amalan kehidupan beragama Islam.

Sementara antara ilmu yang dilarang Islam pula ialah tenung atau tilik-menilik. Dalam kategori ini ialah astrologi. Astro bermaksud bintang dan logi adalah ilmu. Tetapi astrologi menggunakan kedudukan bintang untuk menilik nasib seseorang.

Bukan saja agama Islam, sains juga menolak astrologi. Ilmu bintang yang sebenar dipanggil astronomi.

Tetapi kini ia sudah menjadi begitu luas meliputi astrofizik dan kosmologi atau kajian alam semesta.

- UTUSAN

Saintis temui serpihan tahi bintang meteor di Rusia

by

MOSCOW - Sepasukan saintis semalam mendakwa yang mereka telah menemui serpihan tahi bintang yang jatuh di Pergunungan Ural, Rusia selepas mencetuskan gelombang yang menyebabkan 1,200 orang cedera dan beribu-ribu buah rumah rosak.

Batu angkasa lepas gergasi itu meluncur di langit bandar Chelyabinsk, tengah Rusia pada Jumaat lalu dengan tenaga bersamaan 30 butir bom atom yang digugurkan ke bandar Hiroshima, Jepun pada Perang Dunia Kedua.

Tahi bintang tersebut meletup beberapa kilometer dari Bumi tetapi serpihan-serpihannya dipercayai bertaburan di serata rantau tersebut.

Sebelum ini, sekumpulan petugas yang memeriksa sebuah tasik kecil di mana serpihan-serpihan tahi bintang itu dipercayai jatuh gagal membuat sebarang penemuan.

Namun, sepasukan saintis Akademi Sains Rusia yang melakukan beberapa ujian kimia ke atas beberapa batu aneh kelmarin berkata, serpihan itu datang dari angkasa lepas.

"Kami mengesahkan bahawa beberapa partikel yang ditemui oleh pasukan ekspedisi kami berhampiran Tasik Chebarkul benar-benar memiliki komposisi meteorit," kata saintis berkenaan, Viktor Grokhovsky menurut agensi berita RIA Novsosti.

Universiti Persekutuan Ural tempat Grokhovsky bertugas turut menyiarkan gambar seorang lelaki memegang sebutir batu hitam kecil semalam.

"Meteorit ini berasal daripada kondrit kelas biasa (angkasa lepas)," kata pihak universiti berkenaan dalam satu kenyataannya.

Menurut Grokhovsky, batu itu mengandungi komposisi besi metalik selain krisalit dan sulfit.

Kandungan besi dalam batu tersebut dianggarkan sebanyak 10 peratus.

"Besar kemungkinan, batu ini akan dinamakan sebagai Meteorit Most Chebarkul," kata kenyataan.

Gelombang kuat tahi bintang itu memecahkan tingkap-tingkap hampir 5,000 bangunan dan menyebabkan 40 orang termasuk tiga kanak-kanak dirawat di hospital kelmarin kerana mengalami luka dan kecederaan lebih serius.

Sekitar 24,000 petugas kecemasan dan sukarelawan sibuk menggantikan tingkap-tingkap yang pecah pada hujung minggu lalu sebelum orang ramai mula bekerja.

Serpihan-serpihan tahi bintang tersebut yang jatuh ke Bumi turut mencetuskan minat banyak pihak.

Beberapa pengumpul serpihan angkasa lepas di Rusia telah menyiarkan iklan di internet yang menawarkan bayaran AS$10,000 (RM30,900) untuk serpihan batu tersebut.

Sumber : AFP / KOSMO!

 

Asteroid mendekati bumi pada Februari 2013

by


 Sebuah asteroid dikatakan bakal mendekati bumi pada pertengahan Februari ini.

Asteroid dianggarkan bersaiz kecil itu dikenali sebagai 2012DA14 dijangka mendekati Bumi pada 15 Februari ini.

Ahli Astronomi berpendapat asteroid itu akan berada dalam orbit bulan sekitar 38,6243 kilometer (km) dan dalam orbit satelit Geosynchronous sejauh 418,429 km.

Asteroid 2012 DA14 mendekat pada jarak 35,000 km dari bumi. Perhitungan astronomi dari orbit asteroid dapat dipercayai berdasarkan rekod kejayaan puluhan tahun ketika Neil Amstrong menjadi manusia pertama menjejakkan kaki ke bulan 20 Julai 1969.

Tetapi apa yang akan berlaku ketika 2012DA14 mendekati bumi? Jawapannya adalah ‘mungkin tidak terjadi apa-apa’.

Kebanyakan orang tidak akan melihat atau menyedarinya kerana kehadiran asteroid tersebut tidak mengubah pusingan pasang surut air laut, ia juga  tidak menyebabkan gunung berapi.

Ketika kehadiran asteroid itu, pakar astrologi akan mengukur jarak tepat kedudukan bintang dan bulan dengan teleskop mikro.

Andainya asteroid  itu bersaiz 46 meter dan memintas bumi, ia masih tidak boleh menghancurkan bumi, tetapi kejadian itu akan meninggalkan kesan seperti kawah di kawasan ia mendarat. 

Peristiwa itu pernah terjadi pada 1908 di daerah terpencil di Rusia, di mana satu ledakan asteroid telah meratakan sebuah kawasan di situ hingga membentuk sebuah kawah dan melenyapkan pokok dan haiwan yang terdapat di situ.

Mungkin sekiranya 2012 DA14 mendarat ke bumi kejadian sama dijangka berlaku. Ahli astrologi juga mengharapkan asteroid itu mendarat di laut dan bukannya di kawasan pembangunan kerana dikhuatiri binaan akan musnah sama seperti pokok dan haiwan yang lenyap
ketika kejadian di Rusia.

Ahli astronomi di Observatorio Astronomico de La Sagra di Spanyol menemui 2012 DA14 pada awal 2012. Ia menyerupai bumi dan pusingan orbitnya juga menyamai pergerakan bumi iaitu mengelilingi matahari.

Pastinya, Asteroid 2012 DA14 akan menghampiri bumi pada 15 Februari 2013. perkara ini bakal mendapat perhatian orang ramai. - Earthsky.org

Apa itu asteroid?

Asteroid ialah planet minor atau planetoid. Ia berukuran lebih kecil daripada planet, tetapi lebih besar daripada meteoroid dan selalu berada dalam orbit planet Neptunus. Asteroid berbeza dengan komet dari struktur visualnya. Komet mempunyai 'ekor' sementara asteroid hanya berbentuk seperti ketulan batu.

- SINAR HARIAN

Planet Makemake tiada atmosfera

by


Sebuah planet kecil dalam sistem suria Bima Sakti didapati tidak mengandungi atmosfera, menurut laporan jurnal Nature kelmarin.

Sekumpulan saintis menyatakan dalam artikel jurnal tersebut bahawa penemuan itu dilakukan menerusi ukuran cahaya di planet berkenaan.

Ukuran tersebut diperoleh daripada data-data yang dikumpulkan oleh beberapa teleskop besar.

Makemake merupakan antara empat planet kecil yang terdapat dalam sistem galaksi Bima Sakti.

Planet tersebut ditemui pada 2005.

Suhu di planet itu ialah -240 darjah Celsius.

- Agensi 

Gerhana matahari penuh di utara Australia

by

PALM COVE, Australia - Puluhan ribu orang berhimpun di utara Australia untuk memerhatikan fenomena gerhana matahari penuh semalam.

Mereka menyaksikan bulan melintasi matahari sekali gus menyebabkan suasana gelap berlaku di sekitar wilayah Queensland.

Bulan perlahan-lahan bergerak melindungi matahari yang menyebabkan terbentuknya fenomena lingkaran cincin.

Perjalanan gerhana matahari itu berlaku pada waktu yang singkat selepas waktu subuh.

Gerhana itu juga boleh disaksikan di Taman Negara Garig Gunak Barlu, Wilayah Utara yang terletak kira-kira 250 kilometer di timur Darwin.

Secara keseluruhan gerhana itu berlaku selama dua minit bermula pukul 6.38 pagi waktu tempatan semalam.

Kebanyakan mereka yang menyaksikan gerhana itu memakai cermin mata khas bagi melindungi mata mereka.

"Wow, serangga dan burung tidak berbunyi," kata seorang pelancong yang menyaksikan gerhana itu, Geoff Scott di laman Twitter.

Seorang lagi pelancong, Stuart Clark turut membuat kenyataan di Twitter dengan menyatakan gerhana itu amat cantik.

Para saintis kini mengkaji kesan gerhana itu terhadap kehidupan marin di Terumbu Karang Besar dan burung-burung di hutan Queensland.

Sejumlah pelancong dan saintis menyaksikan fenomena tersebut yang berlaku buat kali pertama dalam tempoh 1,300 tahun di utara negara ini.

Seramai 50,000 hingga 60,000 orang sanggup datang ke utara negara ini untuk menyaksikan fenomena itu.

Sebanyak tiga penerbangan ditempah khas bagi membawa 1,200 saintis dari Jepun ke wilayah tersebut.

Kali terakhir gerhana penuh itu berlaku ialah 11 Julai 2010 di kawasan Pasifik Selatan.

Gerhana penuh akan berlaku pada 20 Mac 2015 di Iceland, Kepulauan Faroe dan Kepulauan Svalbard di Norway.

Bagi kalangan penduduk asli Australia, bulan itu kerap dianggap sebagai lelaki manakala matahari mewakili perempuan.

"Sebahagian (penduduk asli Australia) percaya, matahari bercinta dengan lelaki tetapi ia (matahari) tidak dapat membalas perasaan cinta menyebabkan matahari mengejar bulan di langit," kata seorang pakar astronomi penduduk asli Australia, Duane Hamacher.

- Agensi
 

Angkasa Nafi Laporan Bumi Akan Bergelap Selama Tiga Hari pada 23, 24 Dan 25 Disember 2012

by

Agensi Angkasa Negara (Angkasa) pada Jumaat menafikan laporan blog dan artikel yang mendakwa bumi akan bergelap selama tiga hari mulai 23 Disember berikutan kedudukan bumi, matahari dan pusat Galaksi (Bima Sakti) akan berada pada kedudukan selari.

Di samping itu, laporan itu mendakwa, kedudukan awan-awan debu gelap atau Dark Dust Clouds berhampiran dengan Galaksi boleh menghalang penduduk dunia daripada melihat sebahagian daripada Galaksi, menurut kenyataan akhbar agensi itu yang dikeluarkan di sini, Jumaat.

Menurut kenyataan itu, berikutan senario tersebut, ada yang berpendapat bila bumi, matahari dan pusat galaksi selari (sejajaran) maka akan berlaku penumpuan daya gravity daripada bumi, matahari dan pusat galaksi sehingga boleh mengakibatkan kemusnahan alam semesta.

Selain itu mereka turut mendakwa bila bumi, matahari dan pusat galaksi selari, di mana terdapat awan-awan debu gelap berhampiran pusat galaksi maka bumi akan bergelap. Angkasa berkata semua andaian itu adalah tidak benar kerana pusat galaksi terlalu jauh dari bumi dan matahari iaitu 165 quadrillion batu, jadi kesan tarikan gravity adalah terlalu kecil.

"Awan-awan debu gelap menghalang penglihatan kita ke arah pusat Galaksi bukannya menghalang matahari daripada dilihat dari bumi," menurut agensi itu.

Malah, menurut Angkasa, terdapat juga video YouTube oleh pihak NASA yang telah disalahguna oleh pihak tertentu yang menunjukkan Pegawai Tabir NASA, Charles F.

Bolden, Jr memberi penerangan berkenaan persediaan peribadi dan keluarga sekiranya berlaku kecemasan, iaitu merujuk kejadian 911, puting beliung, gempa bumi dan sebagainya.

"Pihak-pihak tertentu telah memanipulasi video tersebut dengan artikel "Bumi Akan Bergelap Pada 23, 24 Dan 25 Disember 2012"," katanya.

- BERNAMA

 

Orang Ramai Berpeluang Lihat Fenomena Okultasi Planet Musytari 12 Ogos 2012

by
Orang ramai berpeluang menyaksikan Okultasi Planet Musytari pada Ahad ini, 12 Ogos 2012 bermula dari pukul 2.20 pagi hingga 3.20 pagi.

Menurut kenyataan Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), seluruh Malaysia akan dapat melihat planet Musytari dilindungi oleh bulan lebih kurang satu jam dengan waktu sedikit berbeza (bergantung pada lokasi).

Masyarakat di Sabah dan Sarawak bertuah kerana berpeluang menyaksikan keseluruhan proses fenomena manakala di Semenanjung dapat menyaksikan proses akhir fenomena itu sahaja.

Kata ANGKASA dalam kenyataan itu lagi, fenomena itu hanya dengan menggunakanmata kasar tanpa memerlukan sebarang peralatan khas.

Kali terakhir fenomena itu berlaku adalah pada 23 Februari 2009.

Untuk maklumat lanjut mengenai fenomena itu, sila layari Portal Pendidikan Sains Angkasa www.astronomi.angkasa.gov.my atau hubungi Planetarium Negara di talian 03-22734303/4301.

- BERNAMA

Kapal angkasa China ke bulan 2013

by

China berkata ia akan mendaratkan kapal penjelajahan di bulan buat kali pertama tahun depan, sebagai sebahagian program angkasa lepas yang termasuk rancangan jangka panjang meletakkan angkasawannya di bulan.

Ia akan dilancarkan pada separuh kedua 2013 dan cuba untuk mendarat serta menghantar balik tinjauan di permukaan bulan, lapor televisyen kelmarin.

Jika berjaya, pakar berkata ia menjadi kapal pertama mendarat di bulan sebagai sebahagian misi – bertentangan dengan melakukan pendaratan cemas terkawal – sejak dicapai program angkasa lepas Soviet pada tahun 1970-an.

- AFP

Penemuan baru pada Musytari Panas

by

SEKUMPULAN ahli astronomi menemui perkara baharu mengenai planet Musytari Panas dengan menggunakan kaedah yang sama seperti teknik rakaman cahaya bintang.

Dipanggil sebagai 'pemerhatian tiada tara', saintis dapat mengesan perubahan signifikan di atmosfera Exoplanet HD 189733b (label khas planet tersebut).

Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) dapat memerhati letupan bintang yang mengeluarkan pancaran sinar-x yang kuat. Kekuatannya cukup untuk meletupkan sebahagian atmosfera HD 189733b.

"Jarak gelombang berganda yang digunakan oleh pusat kajian Hubble Space memberikan kita pandangan yang tidak pernah berlaku mengenai interaksi antara letupan bintang aktif dan atmosfera planet gergasi," kata salah seorang penyelidik.

Exoplanet HD 189733b terletak sejauh 63 tahun kelajuan cahaya dari Bumi. Jarak yang sangat dekat itu memudahkan ia dilihat dengan menggunakan teropong.

Saiz dan persekitarannya lebih kurang sama dengan Musytari. Disebabkan ia terlalu dekat, para astronomi menjadikan ia sebagai subjek untuk kajian penyebab proses pelepasan atmosfera.

Dalam kajian sebelum ini, sebuah kumpulan pengkaji di Perancis menggunakan teleskop Hubble Space bagi mendokumen gas hidrogen yang terlepas dari atmosfera luar HD 189733b.

Penemuan itu menjadikan planet tersebut yang kedua diketahui boleh melakukan penyejatan pada waktu itu.

- KOSMO!

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90