Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label Astronomi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Astronomi. Papar semua catatan

Anak Bulan Syawal 2024

by


Bila tarikh Aidilfitri ?

Peta kenampakan anak Bulan ( Hilal ) Syawal 1445 Hijrah pada 9 April 2024 berpandukan kriteria Neo MABIMS, Yallop dan Odeh.

Kebanyakan kawasan berpeluang menyaksikan anak Bulan ketika Matahari terbenam pada hari tersebut ( 9 April 2024 ) sekurang-kurangnya dengan menggunakan alat bantu optik.

Ijtimak Bulan-Matahari atau ketika Bulan memasuki fasa Bulan baru ( New Moon ) berlaku pada jam 02:21 AM, 9 April 2024 ( waktu Malaysia ). Kedudukan Bulan ketika memasuki fasa Bulan baru adalah di atas benua Amerika utara yang akan mengalami gerhana Matahari penuh ketika itu.

1) Negara yang mula berpuasa pada Isnin , 11 Mac 2024 seperti Arab Saudi contohnya, akan melaksanakan cerapan anak Bulan pada 8 April 2024 atau bersamaan 29 Ramadan 1445 H. Berpandukan data hisab atau kiraan keadaan Bulan pada hari tersebut, Bulan akan terbenam terlebih dahulu berbanding Matahari di kebanyakan kawasan.Mustahil anak Bulan akan kelihatan ketika cerapan dilaksanakan. Kebarangkalian tinggi mereka akan menggenapkan Ramadan menjadi 30 hari pada 9 April 2024 dan Aidilfitri jatuh 10 April 2024.

2) Negara yang mula berpuasa pada Selasa, 12 Mac 2024 pula seperti Malaysia contohnya, akan melaksanakan cerapan anak Bulan pada 9 April 2024 atau bersamaan 29 Ramadan 1445 H.
Anak Bulan pada 9 April itu berpotensi kelihatan di kebanyakan kawasan sekurang-kurangnya dengan menggunakan alat bantu optik. Jika anak Bulan kelihatan, Ramadan hanya 29 hari dan Aidilfitri jatuh pada 10 April.

3) Walaubagaimanapun, perlu difahami disini ; Bagi menentukan masuknya awal bulan baru di dalam kalendar hijrah, Malaysia menggunakan kaedah Rukyah (cerapan) dan Hisab (kiraan) berpandukan syarat kriteria Imkanur Rukyah Neo MABIMS seperti berikut :-

Ketika Matahari terbenam, altitud Bulan tidak kurang dari 3 darjah dan jarak lengkung ( elongasi ) antara Bulan-Matahari tidak kurang dari 6.4 darjah.

* Jika anak Bulan kelihatan pada 29 haribulan hijrah ; kita akan memasuki bulan baru hijrah.
* Jika anak Bulan tidak kelihatan tetapi keadaan Bulan telah memenuhi syarat kriteria Imkanur Rukyah yang digunakan ;
Kita akan memasuki bulan baru.
* Jika anak Bulan tidak kelihatan dan keadaan Bulan tidak memenuhi syarat Imkanur Rukyah, sesuatu bulan hijrah itu akan digenapkan menjadi 30 hari.

Jika seseorang mendakwa melihat anak Bulan, ia perlu melaporkan kepada pihak berautoriti bagi menetusahkan sama ada apa yang didakwa itu betul - betul anak Bulan atau sebaliknya melalui bukti bergambar, kesaksian dan sebagainya. Keputusan rasmi akan diumumkan penyimpan mohor besar Raja - Raja melalui sidang media bagi bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijjah.

4) Berpandukan data Bulan ketika cerapan 9 April 2024, jika mengambil kira titik rujukan paling barat Malaysia iaitu di Pulau Perak, Kedah :-

Altitud Bulan sekitar 7 darjah manakala jarak lengkung antara Bulan-Matahari sekitar 9 darjah. Ia telah melepasi syarat kriteria Imkanur Rukyah yang digunakan Malaysia. Maka, kelihatan ataupun tidak anak Bulan pada 9 April 2024 itu, Malaysia akan menyambut Aidilfitri pada 10 April 2024.

* Tertakluk pengumuman rasmi penyimpan mohor besar Raja - raja pada malam 9 April 2024.

5) Adakah negara atau pihak yang akan menyambut Aidilfitri pada 11 April 2024 ? Ya ada jika ia hanya menggunakan kaedah cerapan semata. Jika 9 April 2024 atau bersamaan 29 Ramadan 1445 H itu anak Bulan tidak kelihatan, mereka akan menggenapkan Ramadan menjadi 30 hari pada 10 April 2024 dan Aidilfitri jatuh pada 11 April 2024.


Dikongsikan oleh Muhammad Shafiq di dalam Group Astronomi & Sains

Orang ramai saksi keindahan fenomena gerhana bulan

by

 


Orang ramai di beberapa kawasan di negara ini dapat menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh yang berlaku 5.8 hari sebelum bulan berada pada kedudukan yang paling jauh dengan bumi (apogee) iaitu pada jarak 404,923 kilometer (km).

Berdasarkan perkongsian orang ramai menerusi Live Facebook (FB) Planetarium Negara malam ini, gerhana bulan itu dapat dilihat dengan jelas di beberapa kawasan di Sabah termasuk di Sepitang, Semporna, Kota Kinabalu dan Sandakan.

Turut dikongsikan netizen di media sosial, gerhana bulan itu turut dilihat dengan jelas di Kota Bharu, Kelantan; Kuala Terengganu, Terengganu serta Alor Setar, Gurun, Jitra dan Pulau Langkawi di Kedah.

Bagaimanapun, bagi kebanyakan kawasan yang dilanda hujan dan cuaca mendung termasuk sekitar Lembah Klang serta di Johor dan Negeri Sembilan, fenomena gerhana bulan itu tidak dilihat dengan jelas.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Plenatarium Negara, Mohd Zamri Shah Mastor, berkata gerhana bulan penuh mula berakhir pada jam 7.41 malam tadi.

"Bulan mula menjadi cerah semula, sedikit demi sedikit dan kita mula melihat gerhana bulan separa mulai 7.41 malam hingga 8.41 malam iaitu selepas gerhana bulan penuh," katanya dalam ulasan menerusi FB Live Planetarium Negara malam ini.

Beliau berkata, berdasarkan cerapan gerhana yang berlaku malam ini, menunjukkan persekitaran atmosfera bumi ketika ini masih baik.

"Kemerahan yang kita dapat lihat pada gerhana bulan itu adalah tanda bahawa atmosfera bumi kita sebenarnya masih baik. Jika gerhana bulan kelihatan gelap, itu menunjukkan atmosfera kita tercemar. Maka, marilah kita bersama menjaga bumi kita," katanya.

Katanya, fenomena dan keindahan gerhana bulan boleh dirakam sendiri oleh orang ramai menggunakan telefon pintar selain menggunakan teleskop untuk mendapat gambar yang lebih jelas dan terang.

Terdahulu, Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) hari ini memaklumkan, di Malaysia, fenomena gerhana bulan penuh berlaku mulai jam 4.02 petang dan berakhir pada jam 9.56 malam.

MYSA menjelaskan fenomena ini dapat dilihat secara keseluruhan di Asia, Australia, Amerika Utara dan Selatan serta sebahagian utara dan timur Eropah.

Menurutnya, gerhana bulan penuh ini adalah 'central lunar eclipse', iaitu gerhana bulan yang berlaku apabila cakera bulan melalui paksi bayang umbra bumi yang berada di tengah-tengah bayang umbra bumi.

Menurut MYSA, fenomena gerhana bulan penuh tidak dapat dilihat di Malaysia pada permulaan fasa gerhana penumbra dan separa kerana ia berlaku apabila bulan berada di bawah ufuk.

"Masyarakat di Malaysia berpeluang menyaksikan fenomena itu apabila bulan mulai terbit di ufuk timur ketika ia mula mengalami fasa gerhana penuh bagi penduduk di Sabah dan Sarawak manakala bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung, fenomena tersebut hanya mula kelihatan ketika fasa gerhana maksimum sehingga fasa gerhana penumbra berakhir pada jam 9.56 malam," katanya.

Sumber : Berita Harian

Asteroid paling bahaya disahkan tidak langgar Bumi pada 2052

by

 


Kumpulan saintis  Agensi Angkasa Eropah (ESA) menyatakan bahawa orang ramai tidak perlu bimbang berhubung ramalan sebuah asteroid berbahaya akan melanggar Bumi pada 2052 kerana perkara itu tidak akan berlaku, lapor akhbar Mirror UK.

Batu angkasa gergasi itu mendahului senarai risiko di seluruh dunia selama berbulan-bulan dan dianggap paling berpotensi melanggar Bumi pada 2 April 2052.

Pakar-pakar  pasukan asteroid ESA di Balai Cerap Selatan Eropah secara rasmi telah mengeluarkan ‘2021 QM1’ daripada senarai asteroid berisiko mereka.

Pengumuman itu dibuat selepas pemerhatian dan analisis terperinci ke atas asteroid yang hampir tidak kelihatan itu menggunakan teleskop paling sensitif di dunia.

“Kami kita boleh mengatakan dengan selamat bahawa asteroid paling berbahaya yang diketahui oleh umat manusia pada tahun lepas tidak akan melanggar Bumi sekurang-kurangnya untuk abad yang akan datang,” kata ESA dalam satu kenyataan.

Asteroid itu pertama kali ditemui pada 28 Ogos tahun lalu oleh balai cerap Mount Lemmon di Arizona, Amerika Syarikat.

Pada mulanya, ia tidak dianggap luar biasa kerana sekitar 12 asteroid baharu yang mengorbit berdekatan Bumi ditemui setiap malam.

Namun,  kajian lanjut menggunakan pemerhatian daripada teleskop di seluruh dunia mula membongkar kenyataan lebih membimbangkan.  Kajian lebih terperinci kemudian menyatakan perkara sebaliknya.

“Pemerhatian awal memberi kami lebih banyak maklumat tentang laluan asteroid ini bagi melakukan unjuran masa hadapan.

“Kami dapat melihat laluan masa depannya mengelilingi matahari dan pada tahun 2052, ia boleh mendekati Bumi secara berbahaya namun risiko itu telah berkurangan,” kata Ketua Pertahanan Planet ESA, Richard Moissl.

Sumber : Agensi

Gerhana Bulan Penuh – 8 Oktober 2014

by


Pada waktu Maghrib, Rabu 8 Oktober 2014, kita akan dapat menyaksikan fenomena Gerhana Bulan Penuh. Ini merupakan gerhana bulan kali ke-2 berlaku untuk tahun 2014.

Kali terakhir ia berlaku ialah pada 15 April 2014, tetapi ia tidak dapat dilihat dari langit Malaysia.

Untuk fenomena gerhana bulan Oktober ini nanti, terdapat 2 senario berbeza untuk masyarakat di Semenanjung, dan di Sabah & Sarawak. Namun secara umumnya kita di Malaysia akan dapat melihat Bulan terbit dalam keadaan sudah bermulanya fasa gerhana.

Semenanjung Malaysia

Bagi penduduk di Semenanjung Malaysia, anda akan terlepas fasa permulaan gerhana, dan hanya dapat melihatnya bermula dari fasa gerhana penuh hingga tamat sahaja.

Kiraan di bawah adalah untuk Kuala Lumpur pada tarikh 8 Oktober 2014.

    4:17 pm Bulan masuk bayang-bayang penumbra – Tidak kelihatan (Bulan di bawah ufuk)
    5:18 pm Bulan masuk bayang-bayang umbra (fasa gerhana separa) – Tidak kelihatan (Bulan di bawah ufuk)
    6:25 pm Fasa Gerhana Bulan Penuh bermula – Tidak kelihatan (Bulan di bawah ufuk)
    6:54 pm Puncak Fasa Gerhana Penuh – Tidak kelihatan (Bulan di bawah ufuk)
    7:24 pm Fasa Gerhana Bulan Penuh tamat (permukaan fasa separa) – Boleh dilihat
    8:34 pm Fasa Bulan keluar dari bayang-bayang umbra – Boleh dilihat
    9:33 pm Bulan keluar dari bayang-bayang penumbra keseluruhannya – Boleh dilihat

Jika anda berada di pantai timur Semenanjung, seperti di Kuantan, anda berpeluang melihat fasa gerhana ini lebih awal sikit, iaitu ketika ia sedang berada di Puncak Fasa Gerhana Penuh, iaitu jam 6:55 pm (sehinggalah tamat).

Sabah & Sarawak

Bagi penduduk di Sabah dan Sarawak, anda lebih bernasib baik kerana Bulan terbit lebih awal. Maka, ia baru sahaja nak memasuki bayang-bayang bumi ketika ini. Oleh itu anda berpeluang menyaksikan hampir keseluruhan fasa gerhana bulan dari awal hingga akhir.

Kiraan di bawah adalah untuk bandar Kota Kinabalu.

    4:17 pm Bulan masuk bayang-bayang penumbra – Tidak kelihatan (Bulan di bawah ufuk)
    5:18 pm Bulan masuk bayang-bayang umbra (fasa gerhana separa) – Tidak kelihatan (Bulan di bawah ufuk)
    6:25 pm Fasa Gerhana Bulan Penuh bermula – Boleh dilihat
    6:54 pm Puncak Fasa Gerhana Penuh – Boleh dilihat
    7:24 pm Fasa Gerhana Bulan Penuh tamat (permukaan fasa separa) – Boleh dilihat
    8:34 pm Fasa Bulan keluar dari bayang-bayang umbra – Boleh dilihat
    9:33 pm Bulan keluar dari bayang-bayang penumbra keseluruhannya – Boleh dilihat

Gerhana Bulan selepas ini

Jika anda terlepas peluang untuk menyaksikan Gerhana Bulan kali ini, jangan risau kerana pada 4 April 2015 akan berlaku sekali lagi gerhana, dan kebetulan pula keadaanya sama dengan apa yang akan berlaku 8 Oktober, iaitu Bulan sedang gerhana ketika ia terbit.

Wallahualam


Sumber : http://falakonline.net/semesta/2014/09/gerhana-bulan-penuh-8-oktober-2014/



Planetarium Negara pusat ilmu angkasa

by

Planetarium Negara pusat ilmu angkasa

Kedatangannya di Planetarium Negara, Sabtu lalu bukan yang pertama kali. Kunjungan pertamanya ketika berumur 12 tahun iaitu kira-kira tiga tahun lalu atas dasar ingin mengetahui tentang selok-belok dunia sains, terutamanya mengenai angkasa lepas.

Minatnya itu terus bercambah sehingga ke hari ini dengan mengikuti setiap perincian perkembangan sains angkasa di dalam atau luar negara. Bagi Musaddiq Azli Mubarak, 15, ruang pameran khusus untuk sains angkasa lepas itu memberikan pengajaran secara teori dan praktikal dalam bidang sains.

“Banyak boleh dipelajari di sini sebagai contoh program angkasawan negara yang melahirkan angkasawan negara pertama kita. Selain itu, terdapat juga informasi-informasi berkaitan sains angkasa yang terdapat di Planetarium Negara,” ujar pelajar Sekolah Tahfiz di Sentul, Kuala Lumpur itu ketika ditemui Infiniti di pusat tersebut baru-baru ini.

Ditemani bapanya, Azli Mubarak Tahir dan ahli keluarga lain, dia turut menzahirkan kekaguman dengan teknologi yang terdapat di Planetarium Negara.

Berukuran 11,148 meter persegi, bangunan berkubah biru itu jelas kelihatan kerana terletak di puncak bukit di Taman Tasik di Jalan Perdana, Kuala Lumpur.

Dibuka secara rasmi oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, ia memberi impak positif kepada perkembangan sains angkasa dalam kalangan masyarakat tempatan.

Sehingga kini, ia telah menarik lebih lima juta pengunjung dari dalam dan luar negara. Ia menjadi tumpuan pelancong asing sehingga menjadi lokasi utama dalam senarai lawatan mereka di Malaysia. Bagi warga tempatan, ia merupakan salah satu aktiviti riadah yang bermanfaat kepada anak-anak muda.

“Anak-anak sangat suka berada di sini kerana selain ruang pameran yang menarik, Planetarium Negara turut menyediakan aktiviti interaktif kepada pengunjung,” ujar Azli.

Kunjungan kali kedua Azli dan keluarga adalah kerana ajakan oleh anak sulungnya, Musaddiq yang menunjukkan minat dalam bidang sains angkasa.

“Sekurang-kurangnya, mereka dapat belajar sesuatu selepas berada seharian di sini,” tambahnya yang merupakan seorang jurutera di sebuah syarikat swasta.

Bagi Rozila Rafie, seorang guru di Kolej Matrikulasi Selangor, kewujudan Planetarium Negara telah meningkatkan kesedaran dan pengetahuan rakyat Malaysia mengenai isu-isu berkaitan angkasa lepas.

“Jika dibandingkan sebelum penubuhan pusat ini, ramai yang kurang jelas mengenai subjek angkasa. Malah, ramai yang kurang memberikan tumpuan kepada angkasa lepas,” ujarnya yang datang bersama sekumpulan rakan kolejnya.

Tambahnya, pusat pendidikan tersebut membuatkan minat pelajar semakin bertambah dan mula menunjukkan kecenderungan kepada bidang sains angkasa.

“Pembelajaran teori di dalam kelas dapat diselarikan dengan pameran yang terdapat di Planetarium Negara,” ujarnya.

Rozila berkata, Kolej Matrikulasi Selangor yang terletak di Banting, aktif dalam menghadiri dan menyertai program-program yang dijalankan oleh Agensi Angkasa Malaysia (Angkasa).

“Malah, penubuhan Pusat Angkasa Negara di Banting turut memberikan impak positif bukan sahaja kepada pelajar, malah ekonomi penduduk setempat juga berkembang dengan baik,” ujar Rozila.

Pusat Angkasa Negara di Banting, Selangor siap dibina pada tahun 2005 yang menempatkan Pusat Kawalan Misi (MOC) satelit RazakSAT-1.

Pada masa akan datang, ia akan menempatkan RazakSAT-2 dan Makmal Ujian Optik bagi menjalankan pengujian optikal ke atas satelit RazakSAT-1 atau sebarang komponen optikal satelit pada masa akan datang.

Sejak ditubuhkan, Planetarium Negara berjaya menganjurkan pelbagai aktiviti kesedaran kepada masyarakat, malah mengadakan jalinan kerjasama dengan beberapa negara dalam bidang sains dan teknologi angkasa.

Pada tahun 2007, Planetarium Negara dan Jepun menjalankan program-program pendidikan Eksperimen Sains Mikrograviti susulan daripada kejayaan Program Angkasawan Negara.

Antara aktiviti-aktiviti tersebut ialah Try Zero G, Space Seed, Parabolic Flight dan Pertandingan Teknologi Pelancaran Roket Asia Pasifik.

Selain itu, pusat tersebut menjadi rujukan program-program pendidikan angkasa kepada negara-negara jiran seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Bercakap mengenai senarai panjang kejayaan 20 tahun Planetarium Negara, tidak lengkap jika tidak melibatkan sejarah yang dicatatkan oleh Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor.

Menerusi program Angkasawan Negara yang diadakan pada tahun 2007, beliau menjadi rakyat Malaysia pertama berada di ruang angkasa lepas.

Mengimbas detik bersejarah itu, program bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi tersebut telah mendapat penyertaan sebanyak 11,267 orang.

Selepas melalui pelbagai cabaran fizikal dan mental, Dr. Sheikh Musza- phar akhirnya dipilih untuk menyertai misi angkasa itu. Beliau berlepas ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) menggunakan roket Soyuz TMA-11 buatan Rusia dari tapak pelancaran Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan tepat pukul 7.21 malam (9.21 malam waktu Malaysia).

Pada masa sama, beliau menjalankan kajian mengenai perkembangan penyakit barah tropika dan mikrob tempatan.

“Tidak dinafikan ia telah mengubah hidup saya kerana berada di ruang angkasa menjadi impian kepada semua orang,” ujarnya ketika dihubungi baru-baru ini.

Dia menambah, kejayaan program tersebut telah membuka minda masyarakat, khususnya kanak-kanak untuk mendalami bidang sains.

“Kejayaan program angkasawan negara telah memberi inspirasi kepada generasi muda. Jika mereka mempunyai cita-cita untuk menjadi seperti saya, kejarlah impian tersebut sehingga tercapai. Saya juga seperti mereka, maka tiada halangan untuk mencapai impian tersebut,” katanya.

Sheikh Muszaphar berkata, negara perlu memberi perhatian serius dalam bidang sains dan teknologi kerana ia memberi manfaat dalam jangka masa yang panjang.

“Seluruh dunia berlumba-lumba untuk menguasai sains dan teknologi kerana melalui bidang tersebut, sesebuah negara akan lebih maju,” jelasnya.

Melalui Planetarium Negara juga telah mewujudkan program Mikrosatelit negara TiungSAT pada September 2000. Ia dilancarkan ke ruang angkasa lepas dari Baikanor, Kazakhstan.

Satelit itu membawa tiga misi iaitu pencerapan bumi, uji kaji saintifik Cosmic-Ray Energy Disposition Experiment (CEDEX) dan juga aplikasi komunikasi. Satelit ketiga negara kini sedang dalam rangka pembinaan yang dinamakan RazakSAT-2.

Dalam usia dua dekad itu, Planetarium Negara terus kukuh sebagai pusat pengumpulan maklumat mengenai angkasa lepas.

Penubuhan Pusat Angkasa Negara di Banting dan Pusat Observatori Langkawi (ONL) di Langkawi, Kedah bakal merancakkan lagi perkembangan bidang sains angkasa dalam negara.

- KOSMO!
 


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90