Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label Automotif. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Automotif. Papar semua catatan

Kereta terbang pertama di dunia dibuka untuk tempahan

by

 


Alef Model A, kereta terbang yang dibangunkan oleh syarikat penerbangan dan automotif berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Alef Aeronautics mendapat kelulusan daripada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS (FAA) baru-baru ini.

Bermula pada 2015, Alef Aeronautics ditubuh untuk membangunkan kereta terbang pertama di dunia.

Menurut laman web rasmi syarikat itu, kereta terbang Alef boleh dipandu di semua jenis permukaan jalan.

Ia boleh disesuaikan dengan lorong pemanduan standard dan mengikuti semua undang-undang trafik, sekali gus menjamin keselamatan serta keselesaan pemanduan pengguna.

"FAA secara aktif mempersiapkan dasar bagi kenderaan berlepas dan mendarat elektronik menegak (eVTOL), selain mentadbir interaksi antara eVTOL dengan infrastruktur di darat.

"Sijil Kebolehpenerbangan Khas bagaimanapun mengehadkan lokasi dan tujuan Alef dibenarkan untuk terbang," kata syarikat itu menerusi satu kenyataan.

Kenderaan inovatif itu dikendalikan sepenuhnya oleh elektrik dan menghasilkan pelepasan sifar semasa ia beroperasi.

Alef Model A juga menunjukkan keupayaan berlepas dan mendarat secara menegak, dan ia boleh memuatkan dua pengguna.

Kenderaan ini juga boleh diletakkan di ruang parkir biasa dan muat dalam garaj bersaiz standard.

Alef Model boleh terbang sejauh 177 kilometer dan selain boleh dipandu sejauh 322 kilometer.

Ia juga boleh diterbangkan ke mana-mana arah, termasuk ke depan, belakang, kanan, kiri, atas, bawah dan pada setiap sudut.

Harga kereta terbang Alef Model A bermula AS$300,000 (RM1.4 juta) dan dengan token AS$150, pratempahan kenderaan elektrik ini boleh dibuat di laman web Alef.

Sumber : Berita Harian

Tempahan Mazda CX-30 CKD dibuka

by

 


Bermaz Motor Sdn. Bhd. mengumumkan bahawa tempahan model Mazda CX-30 dengan pemasangan tempatan (CKD) kini dibuka kepada para peminatnya.

Menurut kenyataan syarikat itu, model yang dipasang di kilang di Kulim, Kedah itu menawarkan empat varian sebagai pilihan dengan harga bermula RM128,109.

Katanya, hanya enjin 2.0 liter Skyactiv-G ditawarkan dengan dipadankan  transmisi automatik Skyactiv-Drive enam kelajuan.

“Kombinasi ini mampu menghasilkan kuasa sebanyak 162 hp pada 6,000 rpm dan jumlah tork tertinggi 213 Nm,” jelasnya.

Kenyataan itu menerangkan, untuk varian asas Mazda CX-30 2023 ini ditawarkan dengan rim aloi bersaiz 16 inci manakala untuk varian lain ditawarkan dengan saiz 18 inci sebagai standard.

“Selain itu tiga varian teratas menerima ciri lampu LED dengan iluminasi yang spesifik pada bahagian hadapan dan juga belakang, sertal lampu nyalaan siang DRL jenis LED,” jelasnya. 

Sumber : Kosmo!

Ford Ranger baharu diperkenal, harga bermula RM108,888

by

 


Ford Motor Company dan rakan pengedar tempatannya, Sime Darby Auto Connexion (SDAC) melancarkan model pikap generasi baharu, Ford Ranger ke pasaran tempatan yang ditawarkan pada harga bermula RM108,888.

Model Ranger generasi baharu di Malaysia ditawarkan dengan tujuh varian berbeza, termasuk dua varian XL yang dijual pada harga atas jalan tanpa insurans bermula RM108,888, XLT (dua varian) dari RM124,888, XLT Plus (RM142,888) dan WildTrak (RM168,888).

Varian berprestasi tinggi, Ranger Raptor akan dilancarkan pada suku keempat tahun ini.

Presiden Pengedaran Pasaran bagi ASEAN dan Asia Pasifik Ford Motor Company, Yukontorn Wisadkosin, berkata Ranger sentiasa menjadi kenderaan yang selalu boleh diharapkan untuk peniaga kecil, keluarga, peminat kembara, kegunaan komersial dan banyak lagi di lebih 180 pasaran seluruh dunia.

"Dengan ciri baharu yang menawarkan lebih kebolehan dan kepelbagaian ciri, kami percaya Ranger generasi baharu akan terus membawa revolusi dalam segmen trak pikap dan mempertingkatkan lagi daya tarikannya yang sedia hebat dalam pasaran," katanya.

Pengarah Urusan Sime Darby Auto Connexion-Ford, Turse Zuhair pula berkata, corak penggunaan trak pikap yang lebih daripada sekadar untuk kerja telah berkembang di Malaysia, terutama dalam golongan berpendapatan tinggi.

"Mereka sebelumnya lebih memilih menggunakan kenderaan utiliti sukan (SUV), tetapi kini semakin cenderung terhadap Ranger, terutama WildTrak, disebabkan kebolehannya untuk tujuan kerja, teknologi terbaru dan ruang dalaman seakan kereta premium.

"Kami yakin Ranger generasi baharu akan memenuhi keperluan dan kemahuan khalayak yang lebih luas sebagai kenderaan serba boleh untuk kerja, keluarga dan riadah," katanya.

Sebagai Ranger paling pintar, penuh kepelbagaian dan banyak fungsi, model generasi baharu ini menawarkan trak pikap idaman pelanggan untuk tujuan kerja, keluarga dan riadah.

Dari aspek visual, Ranger generasi baru tampil penuh berani dan yakin, dengan reka bentuk luar tegap dan penuh tekad yang berkongsi DNA dengan rekaan trak global Ford.

Rekaannya menampilkan gril baharu, lampu depan bentuk C yang sinonim dengannya, serta garis pintu halus bersama lengkung tayar yang lebih ketara, menampilkan Ranger yang lebih kukuh.

Buat pertama kali juga, Ford Ranger menawarkan lampu depan LED matriks (bagi WildTrak dan XLT Plus) dengan lampu tinggi automatic, manakala lampu belakang pula direka secara harmoni dengan imej wajah hadapannya.

Aspek utama dalam pengalaman penghubung Ranger adalah skrin sentuh besar 10.1-inci atau 12-inci yang terbaik di tengah papan pemuka.

Ia melengkapi panel instrumen digital dan mengandungi sistem informasi, hiburan dan komunikasi SYNC 4A pengaktifan suara terbaru oleh Ford.

Ranger generasi baharu hadir dengan pilihan dua warna iaitu Sedona Orange dan Luxe Yellow untuk Wildtrak, selain warna sedia ada iaitu Arctic White, Meteor Grey, Aluminium Metallic, Lightning Blue dan Absolute Black (bergantung kepada varian).

Sumber : Berita Harian

PROTON perkenal Saga 2022

by

 


Pengeluar kereta nasional, PROTON hari ini melancarkan Proton Saga 2022 baharu, versi terkini model klasik jenama itu dalam satu acara eksklusif media.

Disediakan dalam empat varian iaitu Standard MT, Standard AT, Premium AT dan Premium S AT, Proton Saga 2022 menggunakan enjin 1.3 liter empat silinder 16-injap DOHC VVT yang terbukti dengan kuasa maksima 95 PS pada 5,750 rpm dan tork 120 Nm pada 4,000 rpm, dipadankan dengan transmisi manual lima kelajuan atau transmisi automatik empat kelajuan.

Harga atas jalan tanpa insurans bermula daripada RM34,400 hingga RM44,300 di Semenanjung Malaysia dan RM36,400 hingga RM46,300 di Sabah dan Sarawak.

Harga yang ditawarkan itu sah sehingga 30 Jun ini dengan pengecualian cukai jualan.

Ia turut menawarkan ciri yang dinaik taraf dari segi dalaman dan luaran serta penjimatan bahan api yang dipertingkatkan dengan bantuan ciri seperti penunjuk ECO Drive Assist.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdullah, berkata Proton Saga menjadi kenderaan pilihan ramai rakyat Malaysia dan pembeli di luar negara selama hampir empat dekad dan syarikat berbangga untuk meneruskan legasi itu dengan Proton Saga 2022.

"Dengan adanya kemas kini terbaharu ini, ia memperluaskan lagi warisan model terlaris PROTON untuk pemandu dari semua peringkat umur dan latar belakang.

"Dengan lebih daripada 1.9 juta unit dijual di lebih 28 pasaran seluruh dunia, kami yakin nama Saga akan terus berkembang maju untuk tahun-tahun akan datang," katanya dalam kenyataan.

Proton Saga 2022 menawarkan gaya 'supreme' dengan peningkatan ketara yang meningkatkan tahap dalam kelasnya yang pasti menarik minat pembeli kereta kali pertama yang lebih muda dan juga bagi mereka yang mencari sedan segmen-A.

Bagi menambah kesegaran pada reka bentuk Saga, ia dilengkapi dengan 'skirt' depan dan sisi baharu yang menawarkan rasa 'sporty' yang diserasikan dengan roda aloi 15-inci baharu dan lampu siang LED.

Pada bahagian dalaman, varian Premium S baharu menampilkan skema warna gelap yang sporty, tempat duduk separa kulit yang direka bentuk semula untuk sentuhan keanggunan, dan tikar permaidani tepi merah yang baharu.

Stereng pula boleh dilaraskan sudut kecenderongan dan dibaluti dengan kulit untuk keselesaan, selain kemasan merah pada suis stereng.

Ini ditambah dengan sentuhan warna merah pada gelang gabungan meter dan saluran udara, manakala sentuhan terakhir pula pada suis kawalan iklim yang direka bentuk semula dan dipasangkan dengan Penapis Kabin N95 untuk menapis zarah asap, habuk, bakteria serta bahan pencemar.

Proton Saga 2022 kini dibuka untuk tempahan atas talian dan di bilik pameran PROTON yang sah.

Ia boleh didapati dalam lima warna iaitu Snow White, Armour Silver, Jet Grey, Rosewood Maroon dan Ruby Red.

Sumber dari Berita Harian

Honda perkenal Civic generasi ke-11

by

 

Honda memperkenalkan reka bentuk baharu model Civic generasi ke-11 yang lebih matang dan eksklusif minggu lalu melalui video pratonton di saluran Youtube rasminya.

Model yang digelar sebagai Honda Civic 2022 itu menampilkan reka bentuk yang moden dan berteknologi tinggi selain rekaan dalaman yang berpusatkan manusia dan sistem keselamatan canggih.

Model tersebut pertama kali didedahkan kepada umum pada November lalu dalam versi prototaip dan rupa baharunya ternyata tidak banyak berbeza dengan versi tersebut.

Portal Overdrive memuji peningkatan tumpuan terhadap ciri minimalis dalam reka bentuk baharu tersebut.

Menurut portal tersebut, papan pemuka model itu dilihat kalis cap jari, mempunyai kawalan iklim fizikal baharu, set didik hibur 9 inci, paparan pemandu digital 10.2 inci, pengecasan tanpa wayar, tempat duduk baharu dan lohong pendingin udara yang tersorok di belakang jejaring di sepanjang papan pemuka.

Honda berkata, model terbaharu tersebut akan mengandungi ciri-ciri termasuk enjin bercas turbo 180-hp; sistem pemanduan tiga mod dengan mod sport; penanjak pedal; dan sistem bunyi Bose Premium.

Menambahkan keistimewaan model tersebut, ia turut mempunyai Apple CarPlay tanpa wayar; integrasi Android Auto; penggayaan potongan sport dan sistem maklumat titil buta dengan pengawasan lintas trafik.

Model itu turut dilengkapi teknologi Standard Honda Sensing yang dilengkapi Sistem Brek Cegah Langgar (CMBS) dan Sistem Cegah Keluar Lorong (RDM).

“Piawaian untuk semua sedan Civic, suit Honda Sensing bagi keselamatan dan teknologi bantuan pemandu direka untuk memberi amaran tentang perkara yang mungkin anda terleka ketika memandu.

“CMBS boleh menghentikan kenderaan anda dengan mengenakan tekanan brek secara automatik apabila sistem menentukan bahawa pelanggaran hadapan tidak dapat dielakkan.

“RDM boleh menentukan jika akan melintasi laluan yang dikenal pasti tanpa memberi isyarat, memberikan bantuan kemudi untuk mengembalikan anda ke laluan asal atau memberikan bantuan brek bagi mengelakkan anda terkeluar dari lorong sepenuhnya,” katanya.

Model tersebut dijangka berada di pasaran Malaysia pada tahun hadapan.

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90