Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label DAP. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label DAP. Papar semua catatan

Rara taruhan DAP di Bentong

by

 



Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketari, Young Syefura Othman, dipertaruhkan DAP untuk mempertahankan kerusi Parlimen Bentong pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perkara itu diumumkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, ketika sidang media di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur.

Loke berkata, penyenaraian Rara untuk bertanding di kerusi Parlimen adalah langkah strategik untuk memastikan masa depan DAP ke arah parti pelbagai bangsa.

Young Syefura atau lebih dikenali Rara dijangka bertembung bekas Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang diuar-uar mewakili Barisan Nasional (BN) di kerusi terbabit.

Pada PRU14, kerusi Parlimen Bentong dimenangi DAP melalui aktivis anti-Lynas, Wong Tack yang bertanding menggunakan logo PKR, menewaskan dua calon termasuk Tiong Lai selaku penyandang.

Ditanya mengenai nama Wong Tuck yang tidak disenarai, Loke berkata penyandang kerusi Parlimen Bentong itu menolak tawaran parti untuk bertanding di Cameron Highlands

"Kita mahukan langkah yang strategik untuk Bentong dan kita cadangkan beliau (Wong Tuck) bertanding di Cameron Highlands, namun beliau tidak bersetuju," katanya.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas sebab mengapa Wong Tuck tidak bersetuju dengan cadangan parti itu, sebaliknya menyerahkan kepada bekas wakil rakyat berkenaan untuk menjelaskannya.

"Saya berbincang dengannya selama tiga jam mengenai kerusi Bentong, namun keputusan akhir terletak pada tangan beliau.

"Di peringkat parti, kita perlu buat keputusan memandangkan waktu yang ada suntuk," katanya.

Dalam pada itu, DAP menerima satu lagi kerusi Parlimen di Pahang iaitu Lipis untuk meletakkan calonnya dalam PRU14, sebagai tambahan kepada tiga kerusi sedia ada iaitu Bentong, Cameron Highlands dan Raub.

Selain Rara di Bentong, Loke turut mengumumkan nama untuk baki tiga lagi kerusi Parlimen termasuk penyandang kerusi Raub, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji yang akan bertanding di Lipis.

Dua lagi nama ialah penyandang kerusi DUN Tanah Rata, Chiong Yoke Kong yang akan bertanding di Parlimen Cameron Highlands dan Chow Yu Hui yang akan mempertahankan penguasaan di Raub.

Sumber : Berita Harian

DAP mula perkenal calon Melayu

by


DAP telah mengenal pasti tiga calon Melayu utama untuk diketengahkan pada pilihan raya umum ke-13 yang dijangka diadakan pada bulan Jun ini, dalam usaha mengikis tanggapan umum mengenai parti yang didominasi oleh kaum Cina itu.

Menurut sumber tu, mereka disebut-sebut bakal bertanding di Pulau Pinang, Pahang dan Johor termasuklah anak bekas menteri Umno Zairil Khir Johari dan bekas ahli dewan undangan negeri Pulau Manis yang juga bekas ketua penerangan Umno Pekan Datuk Mohd Ariff Sabri.

Mohd Ariff juga penulis blog yang popular dengan gelaran Sakmongkol AK47 di alam maya.

"Seorang lagi calon DAP di kalangan pemimpin berbangsa Melayu yang akan diketengahkan ialah bekas Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Malaysia yang juga bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad, Hata Wahari," kata sumber itu lagi.

‘Pengesahan' awal ke atas bakal calon ini dapat dilihat menerusi pemilihan mereka oleh pemimpin pusat parti untuk ditemubual koresponden meja luar negara akhbar Berita Harian/Berita Minggu, Darwis M Said milik Singapore Press Holdings mengenai suasana politik semasa di Malaysia.

Tujuan temubual itu dikatakan bagi memberi pendedahan kepada mereka menghadapi wawancara bersama media asing selain memperkenalkan diri kepada rakyat Singapura serta Selatan tanah air selain mempromosi agenda Pakatan dalam pilihan raya akan datang.

DAP sebelum ini sering dilabelkan media arus perdana sebagai parti cauvinis Cina ekoran kebanyakan ahlinya berbangsa Cina dan tiada seorang pun wakil rakyatnya daripada kalangan pemimpin Melayu.

Selepas pilihan raya 2008, DAP dilihat agresif dalam menarik minat orang Melayu untuk menyertai parti itu terutama selepas penubuhan laman sesawang, Roketkini.com yang menggunakan bahasa Melayu sebagai perantaraan dan berjaya menarik banyak pihak untuk mengetahui perkembangan parti itu.

Mengenai calon-calon Melayu lain dalam DAP, sumber berkata, parti itu dijangka membariskan lebih banyak lagi nama yang sedang disenarai pendek untuk memastikan calon yang diletakkan bukan sahaja tidak bersifat perkauman malah berwibawa, bersih dan mampu menjayakan agenda parti.

"DAP terpaksa melakukan banyak tapisan dalam pemilihan calon-calon kali ini bagi mengelakkan unsur-unsur ketidaksetiaan anggota apabila sudah menang dan memastikan calon-calon yang bertanding benar-benar layak untuk membawa agenda perjuangan parti dan rakan sekutu politiknya," tambahnya.

Muka-muka Melayu lain yang menyertai DAP sebelum ini Senator Tunku Abdul Aziz, Aspan Alias yang kini bergiat cergas di Negeri Sembilan dan graduan jurusan undang-Undang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Fairuz Azhan Amirruddin dan Dyana Sofya Mohd. Daud, selain Zulkifli Mohd Noor telah sekian lama menjadi anggota jawatankuasa DAP Pulau Pinang.

- MALAYSIAKINI

Analisis Pilihanraya Sarawak : Cengkaman DAP Kian Kukuh, SUPP Hilang Taring

by
Meskipun Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kemenangan majoriti dua pertiga pada pilihan raya negeri Sarawak ke-10, faktor peningkatan jumlah kerusi yang dimenangi Pakatan Rakyat khususnya DAP perlu diteliti dari pelbagai aspek untuk memastikan Bumi Kenyalang terus diterajui kerajaan pada masa akan datang.

DAP menunjukkan peningkatan dari segi sokongan rakyat apabila memenangi 12 daripada 15 kerusi yang ditandingi.

Kemenangan dua kali ganda berbanding yang diperoleh lima tahun lalu itu merupakan jumlah terbesar pernah dicatat dalam sejarah parti tersebut sejak bertanding di Sarawak.

Lima daripada enam kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Pending, Kota Sentosa, Meradong, Bukit Assek dan Kidurong yang dimenangi pada pilihan raya negeri 2006 berjaya dipertahankan manakala kawasan di Dun Batu Lintang jatuh ke tangan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Namun, tujuh kawasan yang majoritinya mempunyai penduduk Cina seperti Padungan, Batu Kawah, Dudong, Pelawan, Piasau, Pujut dan Repok berjaya ditakluki dengan 134,847 undi secara keseluruhan.

Parti komponen BN, Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) menanggung kekalahan teruk apabila tewas 13 daripada 19 kerusi ditandingi - 12 kerusi jatuh ke tangan DAP dan satu kepada PKR.

Lebih mengejutkan Timbalan Ketua Menteri yang juga Presiden SUPP, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam tewas kepada calon DAP, Ling Sie Kiong di DUN Piasau, Miri dengan majoriti 1,590 undi.

SUPP juga kehilangan lima kerusi di kawasan Kuching, tiga di Sibu, dua di Miri dan masing-masing satu di Bintangor dan Bintulu.

Selain Chan, calon SUPP lain yang turut tewas adalah Datuk David Teng (Repok), Datuk Alfred Yap Chin Loi (Kota Sentosa), Tan Joo Phoi (Batu Kawah) dan Sih Hua Tong (Batu Lintang).

Percaturan parti itu mempertaruhkan muka baru, Prof Dr Sim Kui Hian masih gagal memenangi hati masyarakat Cina di Pending apabila penyandang Violet Yong dari DAP mengekalkan kedudukannya dengan memperoleh 7,595 majoriti undi.

Kejayaan besar DAP itu berkemungkinan didorong beberapa faktor seperti menurunkan calon muda yang berkaliber, bertenaga dan bijak mendekati rakyat menerusi ceramah yang dianjurkan sepanjang tempoh berkempen.

Dua calon mudanya, Christina Chiew (Batu Kawah) dan Wong King Wei (Padungan) yang baru bertanding pada pilihan raya kali ini memberi gambaran awal bahawa pengundi di Sarawak mahukan sesuatu kelainan dan pembaharuan dalam sistem politik di Sarawak.

Mungkin ada segelintir pengundi terutamanya di kawasan ramai pengundi Cina sudah bosan dengan calon sama yang dipertaruhkan sekaligus gagal menarik pengundi untuk mengundi mereka.

Malah keberkesanan ceramah dalam kempen parti itu ditambah pula dengan slogan 'Sarawak Jom Ubah' berjaya diterjemahkan penyokong dalam bentuk undi pada Sabtu di mana hampir kesemua kawasan bandar besar berjaya dikuasai.

Kempen agresif DAP dalam membangkitkan isu perkauman, tanah, rasuah dalam pentadbiran kerajaan sedia ada turut menyumbang kejayaan besar parti yang berasal dari Semenanjung itu.

Ia memberi petanda awal bahawa SUPP sudah hilang cengkamannya kerana pengundi inginkan pendekatan berbeza dan nafas baru dalam sistem kepimpinan parti itu.

Masalah kepimpinan dalam parti itu yang gagal diselesaikan turut menjejaskan peluang SUPP untuk mengekalkan penguasaan mereka di kawasan yang dahulunya kubu kuat BN.

Rakyat sudah hilang kepercayaan terhadap SUPP kerana ada beberapa janji yang disuarakan tidak ditunaikan sebagai contoh presidennya berjanji untuk mengundur diri tetapi tetap bertanding di DUN Piasau.

Justeru, kekalahan teruk itu perlu dijadikan iktibar oleh SUPP dalam usaha memperkukuhkan parti tersebut dan mengembalikan semula kepercayaan rakyat terhadap mereka demi memastikan Sarawak terus mansang (maju).

- MSTAR

DAP Umum Senarai 10 Lagi Calon Dengan Menampilkan Empat Muka Baru Pilihanraya DUN Sarawak

by
SIBU: DAP mengumumkan senarai nama 10 lagi calon parti itu yang akan bertanding di kawasan tengah dan utara pada pilihan raya negeri 16 April ini dengan menampilkan empat lagi muka baru termasuk seorang wanita.

Senarai pertama lima calon bagi kawasan selatan diumumkan di Kuching semalam yang menyaksikan tiga muka baru.

Pengumuman dibuat di sini oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pada sidang akhbar tengah hari Ahad.

Turut hadir ialah Pengerusi DAP negeri Wong Ho Leng, yang akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Assek di sini dan mengetuai cabaran negeri untuk memenangi lebih banyak kerusi berbanding dengan pilihan raya negeri 2006.

Empat muka baru berkenaan ialah Ketua Wanita DAP cawangan Sibu Alice Lau Kiong Yieng yang akan bertanding di DUN Bawang Assan, Yap Hoi Liong di DU NDudong, Ling Sie Kiong di DUN Piasau dan pengerusi DAP Limbang Leong Kwang Yew di DUN Bukit Kota.

Ling, 28, seorang peguam dipertanggungjawabkan untuk menentang calon B Niaitu Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Tan Sri Dr George Chan Hong Nam di DUN Piasau.

Penyandang Chiew Chiu Sing, ahli perniagaan dan Timbalan Pengerusi DAP negeri akan mempertahankan kerusi DUN Kidurong di Bintulu.

Sementara itu, Lau, 29, ahli farmasi yang merupakan anak pemimpin Cina terkemuka dan Presiden United Chinese Association Sibu Datuk Lau Cheng Kiong, ialah calon wanita yang kedua dipilih parti untuk bertanding pada pilihan raya negeri ke-10 ini.

Sebelum ini, parti menamakan Cristina Chiew sebagai calon untuk DUN Batu Kawah dan mengekalkan penyandang Violet Yong bagi DUN Pending.

Lim juga mengumumkan penyandang Ting Tze Fui, 29, untuk mempertahankan kerusi DUN Meradong yang dimenanginya buat pertama kali dalam pertandingan lima penjuru pada pilihan raya negeri yang lepas.

Calon-calon lain ialah setiausaha publisiti DAP negeri David Wong Kee Woan (Pelawan), pengerusi DAP cawangan Sarikei Dr Wong Hua Seh (Repok) dan penolong setiausaha DAP negeri Fong Pau Teck (Pujut), yang telah bertanding pada pilihan raya negeri dan pilihan raya Parlimen yang lepas tetapi tewas.

Pada pilihan raya negeri 2006, David Wong, 48, bertanding di DUN Bawang Assan tetapi kalah kepada penyandang Datuk Seri Wong Soon Koh daripada BN, manakala Hua Seh, 59, yang bertanding pada pilihan raya Parlimen 2006 di Sarikei, tewas dengan perbezaan 51 undi sahaja kepada calon BN Ding Kuong Hing dalam pertandingan lima penjuru.

Fong, 41, seorang ejen insurans menentang Presiden SUPP Tan Sri Dr George Chan Hong Nam di DUN Piasau pada pilihan raya negeri yang lepas tetapi tewas dengan 3,918 undi.

Semalam, Lim mengumumkan di Kuching senarai nama lima calon DAP bagi kawasan selatan.

Mereka terdiri tiga muka baru Wong King Wei (Padungan), Christina Chiew Wang See (Batu Kawah) dan Leon Jimat Donald (Simanggang) manakala Violet Yong dikekalkan di DUN Pending dan naib pengerusi DAP dan setiausaha parti negeri Chong Chieng Jen (Kota Sentosa).

Pada pilihan raya negeri 2006, DAP yang bertanding di 12 kerusi telah mencipta sejarah apabila memenangi enam kerusi, kejayaan terbesar pernah dicapai parti itu di Sarawak.

- BERNAMA

ADUN Malim Nawar Keluar DAP, Isytihar Bebas

by

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar di Perak hari ini mengisytiharkan keluar daripada DAP dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Keshvinder membuat keputusan itu kerana mendakwa kecewa dengan kepimpinan Pakatan Rakyat di negeri itu yang terlalu banyak berpolitiking sehingga mengabaikan tugas sebagai wakil rakyat.

“Bagi menjaga kepentingan rakyat dan pembangunan yang berterusan saya membuat keputusan untuk menyokong dan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Perak di bawah pimpiman Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

“Keputusan ini merupakan pengorbanan saya kepada rakyat di kawasan saya. Saya sedar saya bakal menghadapu tuduhan dan cemuhan daripada pelbagai pihak.

“Demi kepentingan dan kesejahteraan masa depan rakyat saya memilih untuk meninggalkan DAP dan Pakatan Rakyat,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau yang juga seorang peguam berkata, surat peletakkan jawatannya telah diserahkan kepada Setiausaha Agung parti, Lim Guan Eng awal pagi tadi.

“Keputusan yang saya buat ini juga mengambil pengamatan saya selama 15 bulan terhadap corak kepimpinan Menteri Besar dan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

“Saya amat menyakini corak dan cara kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) hari ini terutamanya konsep 1Malaysia yang merupakan pendekatan realiti terbaik untuk rakyat di negara ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, wakil rakyat terbabit menafikan dakwaan beliau menerima ganjaran wang tunai sejumlah RM2 juta untuk meninggalkan parti.

“Saya yakin saya bersih. Anda boleh semak akaun bank, saya tidak pernah menerima sebarang ganjaran daripada mana-mana pihak,” katanya.

Jelasnya, buat masa ini beliau akan kekal sebagai wakil rakyat Bebas dan tidak akan menyertai mana-mana parti.

“Saya tidak ada cadangan untuk menyertai mana-mana parti. Saya mahukan sokongan daripada kerajaan negeri dalam membantu memberikan peruntukan kepada saya untuk mengatasi masalah penduduk,” katanya.

Kesvinder berkata tindakan tersebut dibuat selepas beliau mengambil kira semua perkara tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

“Keputusan ini saya ambil selepas saya meneliti secara mendalam dan mengambil kira pendapat pelbagai pihak. Tindakan ini diambil tanpa tekanan.

“Saya berharap semua pihak terutama penduduk di kawasa saya dapat menerima dan menghormati keputusan ini kerana ia dibuat demi kebaikan rakyat,” ujarnya.

Keshvinder adalah Adun DAP kedua keluar parti itu selepas ADUN Jelapang, Datuk Hee Yit Foong, awal tahun lalu, yang menyaksikan kerajaan Pakatan Rakyat Perak tumbang.

Dengan keputusan itu, bilangan pembangkang di Dewan Undangan Negeri sekarang ini adalah 27 orang berbanding 28 yang dikuasai oleh BN manakala wakil Bebas pula adalah empat orang.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Keshvinder mengalahkan calon BN, Dr Chai Song Poh dengan majoriti 1,362 undi.

- MSTAR

Pertandingan tiga penjuru di Sibu

by

Pilihan raya kecil Parlimen Sibu pada Ahad depan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Robert Lau Hui Yew; calon DAP, Richard Wong Ho Leng; dan calon Bebas, Narawi Haron.

Kelayakan ketiga-tiga calon itu bertanding diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Sibu, Wong See Meng, di pusat penamaan calon di Dewan Suarah di Sibu pada jam 11.25 pagi tadi.

Hamka Kassim, 40, yang sebelum ini dilaporkan akan bertanding sebagai calon Bebas, tidak hadir bagi mengemukakan borang pencalonan.

Pagi tadi, ribuan penyokong bagi semua calon, termasuk kira-kira 5,000 dari BN, berhimpun di bandar Sibu sejak awal pagi ini, menyebabkan kesesakan trafik di jalan-jalan yang menuju ke pusat penamaan calon.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai kem Barisan Nasional (BN) bergerak dari Estate Delta, kira-kira 2 kilometer dari pusat penamaan calon itu manakala pihak DAP bergerak dari Taman Rajang, di Sibu.

Muhyiddin bersama rombongan penyokong BN tiba di dewan tersebut pada jam 8.43 pagi.

Antara pemimpin-pemimpin BN yang lain yang turut serta ialah Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud serta beberapa menteri Kabinet

Sementara itu, calon DAP, Wong Ho Leng tiba di pusat penamaan calon pada jam 8.30 pagi bersama kira-kira 700 orang penyokong dengan diketuai diketuai Setiausaha Agung Lim Guan Eng dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Hadir bersama ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Menteri Besar selangor, Tan Sri Khalid ibrahim.

Suasana di kawasan penamaan calon agak tenang tanpa sebarang insiden membabitkan penyokong BN dan DAP.

BN menamakan Robert Lau Hui Yew, 45, sebagai calonnya manakala DAP memilih ahli dewan undangan negeri Bukit Assek, Wong Ho Leng, 50, sebagai calonnya.

Selain BN dan DAP, sebelum ini ada dua lagi calon, Narawi Harun dan Hamka Kassim menyuarakan hasrat untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu.

Bagaimanapun, setakat ini, hanya calon Bebas, Narawi Harun yang telah tiba.

Cuaca di pusat pencalonan dilaporkan cerah dengan penyokong calon masing-masing berhimpun seawal pukul 7 pagi di tempat yang ditetapkan, dan anggota polis sudah sulai sibuk mengawal lalulintas.

Pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sibu diadakan berikutan kematian penyandangnya Robert Lau Hoi Chew, yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan pada 9 April lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Robert Lau mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 3,549 undi, menewaskan pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng.

Sibu mempunyai 54,695 pemilih berdaftar, yang terdiri daripada 52,158 pengundi biasa dan 2,537 undi pos, merangkumi 1,910 anggota tentera dan 627 anggota polis.

Menurut senarai pemilih yang dikemas kini sehingga 9 April lalu, pengundi dari kaum Cina adalah hampir 67 peratus daripada jumlah pengundi, diikuti Melayu/Melanau (10.5 peratus) dan Bumiputera Sarawak (22 peratus).

Sebanyak 45 pusat mengundi dengan 110 saluran akan dibuka di 39 buah sekolah, dua tadika dan masing-masing satu pusat latihan, rumah panjang, perpustakaan awam dan pusat rekreasi awam bagi proses mengundi.

Sementara itu tinjauan di Dewan Suarah mendapati polis sudah mula berkawal di persekitaran Dewan itu seawal jam 5 pagi ini, dengan akses beberapa jalan menghala kearahnya sentiasa dipantau.

- MALAYSIAKINI

Demonstrasi: Patung Guan Eng dibakar

by

Aktivis Islam dari pelbagai NGO mengadakan demonstrasi di sebuah masjid di Jalan Macalister, Georgetown sebelum dan selepas solat Jumaat hari ini kerana membantah layanan kerajaan negeri terhadap orang Melayu-Islam Pulau Pinang.

Demonstrasi selama hampir 45 minit di luar masjid yang terletak kira-kira 100 meter dari Komtar itu, adalah anjuran Sedaq - gabungan kira-kira 50 NGO Melayu-Islam.

Ia diadakan sebagai membantah dakwaan berlakunya diskriminasi dan peminggiran orang Melayu-Islam di Pulau Pinang oleh kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Sambil memakai ikat kepala sambil meluangkan 'Sedaq' dan laungan 'Hidup Melayu', mereka mengecam kerajaan negeri kerana didakwa tidak memperduli dan menghiraukan nasib orang Melayu-Islam Pulau Pinang.

Kain rentang anti-kerajaan negeri turut dibawa oleh mereka yang menyertai demonstrasi tersebut.

Enam pemimpin Sedaq, termasuk presiden Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang, Rizal Faris Mohideen dan presiden Gabungan Pelajar Melayu Semananjung (GPMS), Jais Karim (kanan), menyampai ucapan mengecam pentadbiran Guan Eng, sambil dipantau oleh pihak polis.

Demonstrasi tersebut diadakan selepas mendapat permit polis yang dikeluarkan oleh pemangku ketua polis daerah Timur Laut, Gan Kong Meng.

Bagaimanapun, para pegawai polis mahu menghenti ucapan mereka daripada diteruskan selepas didakwa "melampau hadnya".

Mereka kemudiannya berucap dalam nada yang agak lebih lembut.

Selepas solat Jumaat, kira-kira 300 orang berarak ke Komtar untuk menyerahkan memorandum bantahan kepada Guan Eng.

Mereka juga bertindak membakar patung Guan Eng di luar bangunan Komtar, dan anggota bomba kemudian memadamkannya.

Sebelum itu, kerajaan negeri telah menaikkan kain rentang yang memaparkan data bantuan yang diberi kepada golongan miskin pelbagai bangsa.

Ia menjelaskan bahawa tindakan mengusir penjaja tanpa lesen di negeri itu oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang adalah dibuat secara saksama.

- MALAYSIAKINI

Hassan Ali, Ronnie Liu sepakat isu 'Arak' selesai

by

Pesuruhjaya PAS Selangor Dato' Dr Hassan Ali bersama Exco DAP Ronnie Liu menyatakan kata sepakat isu penjualan Arak dianggap sudah selesai.

Kedua-dua mereka dilihat berjabat tangan dan berdamai secara terbuka di satu sidang media bersama di Tropicanna dekat sini petang tadi.

Dalam kenyataan kedua-dua belah pihak, mereka bersetuju bahawa penjualan arak dibenarkan bagi orang bukan Islam.

Namun ianya mesti dikawal dan tidak dibenarkan kepada orang Islam. Dalam masa yang sama, difahamkan, kedua-duanya bersetuju bahawa tidak ada permit baru akan dikeluarkan bagi tujuan penjualan minuman beralkohol itu.

Turut hadir di sidang media yang dibuat sejurus selepas Seminar Pakatan Rakyat di Tropicana, ialah Penasihat KeADILan Dato' Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung PAS Dato' Mustafa Ali beserta barisan pimpinan parti masing-masing.

Dalam sidang media itu Anwar menyatakan bahawa penubuhan Jawatankuasa Displin Pakatan Rakyat akan ditubuhkan di peringkat pusat bagi memantapkan lagi dasar dan pelan tindakan pemimpin Pakatan Rakyat.

Seminar itu juga adalah bertujuan memperkukuhkan Pakatan Rakyat sekaligus cuba menangkis pelbagai tohmahan dan serangan 'pyswar' yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) dan Umno mutakhir ini.

- HARAKAH

Azizan dakwa DAP sengaja cetus isu perkauman

by
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak menafikan dakwaan DAP Kedah, yang kononnya kerajaan negeri akan merobohkan kuil-kuil Hindu dan tokong-tokong Cina di negeri itu dan menyifatkan tindakan berkenaan sebagai sengaja ingin mencetuskan isu perkauman.

Azizan berkata kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) tidak pernah membincangkan tentang perkara merobohkan mana-mana tokong atau kuil di Kedah.

"DAP kata dia berjuang untuk semua kaum tapi kali ni nampak sengaja nak cetuskan isu perkauman sebab Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan dan majlis bandaraya pun tak pernah tau pasal perkara ini, tiba-tiba dia orang (merujuk Pengerusi DAP Kedah/Perlis Thomas Su) boleh tau," katanya ketika ditemui pemberita di Alor Star hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Thomas di Ipoh semalam yang mendakwa kerja-kerja merobohkan beberapa kuil dan tokong di kawasan Alor Star telah diluluskan oleh MBAS, lapor Bernama.

Sehubungan itu, katanya semua ahli majlis tempatan dan ketua kampung DAP Kedah meletak jawatan serta merta.

Mengenai pengumuman DAP untuk keluar daripada pakatan pembangkang di negeri itu, Azizan berkata sehingga hari ini masih belum ada wakil daripada parti itu datang bertemu dengannya untuk membincangkan perkara berkenaan.

"Saya cuma tahu DAP nak keluar pakatan daripada akhbar sahaja. Perkara ini boleh dibincangkan secara keluarga, tapi dibesar-besarkan dan ia tak wajar berlaku.

"DAP jangan ingat dia saja mewakili kaum Cina... MCA, PKR dan Gerakan pun wakil kaum Cina juga, saya tak nak bergaduh dengan Cina, apa sahaja bantuan semua dah bagi, kat DAP pun semua bantuan bagi, tak tau tak puas hati kat mana," katanya.

Lim nak jumpa MB

Rabu lalu, Su mengumumkan DAP Kedah keluar daripada pakatan pembangkang kerana tidak puas hati dengan pentadbiran PAS di negeri itu yang merobohkan
pusat penyembelihan babi yang terletak di Kampung Berjaya, di Alor Star.

Sementara itu, pemimpin kanan DAP Lim Kit Siang dilaporkan oleh Bernama sebagai bderkata, ketegangan yang timbul antara DAP Kedah dengan kepimpinan kerajaan negeri itu akan cuba diselesaikan di peringkat negeri.

Sehubungan itu, katanya, beliau sendiri akan berjumpa dengan menteri besar untuk membincangkan tentang perkara itu secepat mungkin.

"Saya akan berjumpa dengan menteri besar dan merangka (penyelesaian) untuk
mengatasi masalah ini supaya kerajaan pakatan dapat diperkukuhkan.

"Kalau tak dapat selesai di peringkat negeri, seluruh Malaysia pun akan bertanya adakah pakatan boleh jadi pilihan yang kredibel," katanya dalam sidang media di Alor Star hari ini.

Katanya, selepas berbincang dengan DAP Kedah, beliau kini lebih memahami dan mendapati bahawa DAP negeri mempunyai alasan tersendiri untuk keluar dari pakatan pembangkang di negeri itu.

"Isu penutupan tempat penyembelihan babi itu cuma salah satu sebab. Selain itu mereka juga mendakwa pandangan atau pendapat DAP di Kedah tidak diambil kira...apa saja masalah yang dihadapi seeloknya diselesaikan di peringkat negeri," katanya.

Ditanya sama ada beliau bersetuju dengan keputusan DAP Kedah untuk keluar dari Pakatan Rakyat, Lim berkata "Sama ada saya setuju atau tidak, itu perkara lain".

Katanya, apa sahaja masalah yang timbul perlu diselesaikan dengan baik kerana ia bukan hanya melibatkan DAP dan PAS tetapi sebaliknya semua parti dalam Pakatan.

- MALAYSIAKINI

DAP Kedah keluar Pakatan Rakyat

by
DAP Kedah semalam memutuskan keluar daripada Pakatan Rakyat negeri selepas tidak berpuas hati dengan cara kerajaan negeri pimpinan Pas menangani isu rakyat, khususnya bukan Melayu.

Pengerusi DAP Kedah/Perlis, Thomas Su, berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat tergempar dihadiri pemimpin DAP Kedah di pejabat parti itu di sini, selepas protes menghalang perobohan rumah pemotongan babi di Kampung Berjaya oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) gagal dan tidak mendapat perhatian sewajarnya.

Katanya, keputusan sebulat suara itu dibuat berikutan rasa tidak puas hati DAP terhadap tindakan MBAS meroboh rumah pemotongan babi itu, semalam, selain isu lain yang tidak diselesaikan walaupun sudah berlarutan sekian lama.

"Kami mengenal pasti beberapa isu yang tidak diberi perhatian oleh kerajaan negeri, antaranya isu 50 peratus kuota milikan hartanah Bumiputera dan isu meroboh kuil serta tokong di Jalan Pegawai dan Tanjung Bendahara yang dalam pengetahuan kami sudah diluluskan MBAS.

"Kemuncaknya apabila isu rumah pemotongan babi tidak dibangkitkan oleh Exco Kerajaan Negeri, Datuk Phahrolrazi Zawawi pada mesyuarat ahli majlis mesyuarat negeri hari ini (semalam) walaupun beliau bersetuju berbuat demikian.

"Berikutan itu, wakil DAP dalam kerajaan negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Darul Aman, Lee Guan Aik tidak menyertai mana-mana pihak," katanya di sini, semalam.

Kedah mempunyai 36 kerusi DUN yang mana 16 adalah milik Pas, 14 Barisan Nasional (BN), lima Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan satu DAP.

Su berkata, keputusan itu akan dimaklumkan secara rasmi kepada DAP Pusat.

"Kita serahkan kepada DAP Pusat untuk menentukannya, tetapi pendirian kami ialah DAP Kedah keluar Pakatan Rakyat negeri ini kerana tidak mendapat layanan sewajarnya terutama dalam isu membabitkan kaum minoriti yang menyukarkan perjuangan kami untuk rakyat.

"Ia juga berdasarkan kepada tindak tanduk kerajaan negeri yang tidak selari dengan polisi Pakatan Rakyat," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, menyerahkan perkara itu kepada DAP, Pas dan Pakatan Rakyat Pusat untuk menentukannya.

Katanya, DAP Kedah tidak sepatutnya memutarbelitkan isu dan mengaburi mata rakyat untuk menutup kelemahan mereka.

"Saya tidak pernah mengarahkan penangguhan sebulan keputusan merobohkan rumah pemotongan babi itu.

"Tempoh penangguhan itu diminta oleh DAP dan saya meminta mereka mencari tapak baru, tetapi selepas sebulan tidak ada apa-apa dan sekarang mereka hendak keluar... keluarlah jika DAP Kedah mengatasi DAP Pusat," katanya.

- BERITA HARIAN

DAP, PKR perlu sertai perbincangan kerajaan perpaduan - PAS

by
Pas sedia berbincang dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) mengenai kemungkinan pembentukan kerajaan perpaduan dengan syarat rakan Pakatan Rakyat yang lain, iaitu DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut dibawa menyertai rundingan itu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali, berkata memandangkan parti itu kini bersama dengan DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, perlu menerima penyertaan dua parti itu jika ingin membincangkan mengenai pembentukan kerajaan perpaduan.

"Jika Perdana Menteri tidak bersedia untuk berbincang dengan DAP dan PKR, ini bermakna Pas juga tidak bersedia untuk berbincang dengan Umno atau BN," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Kelmarin, Najib berkata, beliau percaya Pas ikhlas untuk berbincang mengenai penubuhan kerajaan perpaduan yang dicetuskan Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Malah, Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, turut menyatakan keterbukaannya dan tidak menolak sebarang kerjasama dengan Pas.

Mustafa berkata, perbincangan antara Pas dengan Umno dan BN mengenai cadangan pembentukan kerajaan perpaduan sebenarnya sudah lama berakhir dan beliau menegaskan parti itu tidak akan mengkhianati rakan dalam Pakatan Rakyat.

Beliau mendakwa, selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah mengadakan pertemuan dengan Pas bagi membincangkan kerajaan perpaduan demi kepentingan masyarakat Melayu.

Katanya, pada pertemuan itu Pas diwakili beliau sendiri, Timbalan Presiden parti, Nasharuddin Mat Isa dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, bertemu Abdullah serta bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.

"Pada pertemuan itu jika Pas bersetuju dengan cadangan kerajaan perpaduan, wakil Pas akan diberi jawatan Menteri Besar Selangor dan Menteri Besar Perak serta beberapa jawatan lain dalam kerajaan, tetapi kami menolak cadangan itu," katanya. "Selepas daripada itu tiada lagi sebarang perbincangan dengan Umno dan BN diadakan. Soal Pas dengan Umno mengenai kerajaan perpaduan tidak timbul lagi," katanya.

Namun Mustafa berkata, pintu perbincangan dengan Umno dan BN tidak tertutup dan parti itu sentiasa sedia berbincang dengan Umno dan BN jika diperlukan dalam hal yang berkaitan kepentingan negara serta rakyat.

- BERITA HARIAN

Blog Speaker DUN Perak

by

"Tolong maklumkan kepada semua ADUN PakatanRakyat Perak dan maklumkan kepada umum mengenai bolog saya yang baru" Demikian antara kandungan perbualan saya dengan Speaker DUN Perak, V. Sivakumar kelmarin.

Kini Sivakumar mempunyai blog dalam versi Bahasa Melayu untuk dikunjungi oleh semua. Sila layari : http://speakforperak.blogspot.com

Pakatan Rakyat akui sukar pilihan raya serentak

by
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengakui Pakatan Rakyat sukar untuk menang pilihan raya kecil Bukit Selambau, Bukit Gantang dan Batang Ai, kerana ketiga-tiganya diadakan serentak.

Serentak itu, beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menuduh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sengaja menetapkan tarikh tiga pilihan raya kecil itu serentak bagi memudahkan Barisan Nasional (BN) menang.

Sambil menuduh SPR menjadi alat kepada BN, beliau berkata, tarikh pilihan raya kecil Batang Ai, sepatutnya dibuat berasingan daripada Bukit Selambau dan Bukit Gantang.

"Apa boleh buat, SPR hanya alat saja. Tapi, kita akan lawan, lagipun rakyat semakin matang," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas keputusan SPR yang menetapkan penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai pada 29 Mac ini dan pengundian pada 7 April ini.

Ia bermakna pilihan raya kecil itu akan dilakukan serentak dengan pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang di Perak dan DUN Bukit Selambau di Kedah.

Pilihan raya kecil Batang Ai dibuat berikutan kematian penyandangnya, Naib Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Dublin Unting, pada 24 Februari lalu berikutan angin ahmar.

Guan Eng berkata, SPR sepatutnya berpegang kepada janji asal suruhanjaya itu untuk mengadakan pilihan raya Batang Ai secara berasingan.

Beliau mendakwa, SPR sengaja mewujudkan keadaan situasi itu bagi meletakkan Pakatan Rakyat dalam keadaan sukar kerana jentera mereka tidak sehebat jentera BN.

- BERITA HARIAN

Guan Eng mahu saman Utusan

by

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng telah menafikan laporan akbar Utusan Malaysia hari ini bahawa kerajaan negeri tersebut telah menubuhkan majlis perundingan antara agama tahun lalu.

"Semua itu satu pembohongan... kita tidak ada majlis seumpama itu," katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Katanya, beliau telah mengarahkan peguamnya supaya memfailkan saman fitnah terhadap akhbar tersebut kerana menyiarkan berita yang tidak benar.

"Dan jika mereka mempunyai sebarang bukti yang kita menubukan majlis seumpama itu, maka bawalah ke mahkamah," katanya.

Utusan Malaysia menyiarkan di muka depannya laporan bahawa kerajaan Pulau Pinang telah menghina Islam dengan penubuhan majlis perundingan antara agama.

Akhbar tersebut memetik Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Shabudin Yahaya sebagai berkata, cubaan menyamakan Islam dengan fahaman agama lain ternyata menghina Islam dan tindakan seperti itu mesti dihentikan.

Katanya, MAINPP berasa cukup tersinggung apabila ada beberapa ahli jawatankuasa (AJK) majlis tersebut terdiri daripada orang Melayu.

- MALAYSIAKINI

DAP operations centre closes down (Kuala Terengganu Election)

by

The DAP bilek gerakan (operations centre) in Kampong China, Kuala Terengganu, was ordered to close by the state government. DAP was told that the order came from the Terengganu Menteri Besar.

Soon after that a police patrol car arrived and the police officer demanded Raja Petra Kamarudin’s identity card. Raja Petra refused to hand over his identity card and demanded to know why they wanted it. The police officer replied that it was an order ‘from the top’.

Raja Petra still refused to comply and asked that the superior officer ‘from the top’ come there himself if he wanted his identity card. The police officer then went back to the patrol car to radio his superior officer.

Raja Petra followed the police officer to the patrol car and told them that he did not have his identity card with him and that they can arrest him if they wanted to. The police officers just drove off without any further action.

- mt.m2day.org

Hudud bukan dasar Pakatan Rakyat

by
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, isu pelaksanaan hukum hudud di negara ini sepatutnya tidak berbangkit kerana ia tidak termasuk dalam dasar bersama pakatan pembangkang.

Menurutnya perjanjian bersama pakatan itu cukup jelas dan jika isu tersebut ditimbulkan, ia hanyalah satu usaha Barisan Nasional (BN) untuk memecahbelahkan perpaduan pembangkang.

''Jika salah satu pihak (dalam pakatan pembangkang) tidak setuju dalam sesuatu perkara seperti hudud maka ia tidak boleh dilaksanakan... ia mesti dibincangkan lagi.

''Itulah prinsip musyawarah. Sekiranya nak dilaksanakan juga hudud dan dalam pakatan pembangkang ada mana-mana parti tidak setuju, ia tidak boleh dilaksanakan," katanya pada sidang akhbar di Markas Pas Kuala Ibai di sini hari ini.

Beliau ditanya pendirian DAP dalam soal pelaksanaan hukum hudud seperti diuar- uarkan Pas sebelum ini.

Hadir sama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan pemimpin kanan parti itu.

Sementara itu, Pengerusi DAP Karpal Singh berkata, parti itu sanggup bekerjasama dengan Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), sekiranya Pas dan PKR tidak meneruskan usaha untuk melaksanakan undang-undang hudud.

“Dalam politik telah dikatakan bahawa tiada musuh atau rakan yang kekal, tetapi prinsip yang kekal perlu dimiliki oleh setiap parti politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Karpal berkata, Pas dan PKR perlu menerima hakikat bahawa hudud tidak pernah termaktub dalam perundangan negara.

“Keamanan dan keharmonian di kalangan rakyat pelbagai anutan di negara ini tidak boleh digugat dengan percubaan mengubah Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Semalam Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penganut Kristian tidak perlu gusar sekiranya masyarakat Islam mahukan undang-undang Islam.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, hudud untuk orang Islam sahaja.

Karpal berkata, hujah tersebut tidak logik. “Apa akan terjadi sekiranya seorang Islam dan bukan Islam menghadapi tuduhan bersama. Yang Muslim memilih dibicarakan menerusi hudud sementara bukan Islam memilih undang-undang sivil. Bagaimana mahkamah akan mengatasi dilema ini,” katanya.

Katanya, Perlembagaan hanya menetapkan satu bentuk undang-undang iaitu undang-undang sivil bagi orang Islam dan bukan Islam.

– Bernama

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90