Memaparkan catatan dengan label Dunia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Dunia. Papar semua catatan

Ahad, April 14, 2024

Iran lancar serangan dron ke atas Israel



Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRG) berkata ia melancarkan ratusan dron dan peluru berpandu ke Israel lewat Sabtu, serangan yang mungkin mencetuskan pertempuran besar antara musuh ketat serantau, dengan AS berikrar untuk menyokong Israel.

Tentera Israel berkata lebih 200 dron, yang menurut sumber keselamatan Iraq, dilihat terbang di atas negara itu dari Iran, akan mengambil masa berjam-jam untuk mencapai sasaran mereka.

Media saluran 12 Israel berkata beberapa telah ditembak jatuh di Syria atau Jordan manakala agensi berita Iran memetik sumber mengatakan tenteranya turut melancarkan gelombang pertama peluru berpandu balistik terhadap Israel.

Iran berikrar membalas dendam bagi serangan Israel ke atas konsulatnya di Damsyik pada 1 April yang mengorbankan tujuh pegawai anggota IRG termasuk dua komander kanan.

Katanya, serangan itu adalah hukuman bagi 'jenayah Israel', walaupun regim Yahudi itu tidak mengesahkan mahupun menafikan bertanggungjawab ke atas serangan konsulat itu.

"Sekiranya rejim Israel membuat kesilapan lagi, tindak balas Iran akan menjadi lebih teruk," kata misi Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan memberi amaran kepada AS supaya 'jangan campur tangan' serta menganggap 'perkara itu selesai'.

Presiden AS, Joe Biden, yang memberi amaran kepada Iran supaya tidak menyerang Israel, memendekkan lawatan ke negeri asalnya, Delaware, untuk bertemu penasihat keselamatan negara di Rumah Putih, kata seorang pegawai.

Perang Gaza antara Israel dan Hamas yang kini memasuki bulan ketujuh, mencetuskan ketegangan di Asia Barat, dengan Lubnan dan Syria dan melepaskan tembakan jarak jauh ke Israel, sama seperti Yaman dan Iraq.

Syarikat keselamatan maritim Britain, Amery, dalam satu kenyataan berkata, dron juga dilaporkan dilancarkan terhadap Israel oleh kumpulan Houthi yang bersekutu dengan Iran di Yaman.

Pertempuran itu kini mengancam untuk berubah menjadi konflik terbuka langsung yang melaga-lagakan Iran dan sekutu serantaunya terhadap Israel serta penyokong utamanya, AS, dengan kuasa serantau Mesir menggesa semua pihak 'menahan diri' elakkan perang.

Pesawat pejuang A.S. dan Britain terlibat dalam menembak jatuh beberapa dron milik Israel di kawasan sempadan Iraq-Syria, lapor Channel 12. Tiga pegawai AS berkata tentera AS telah menembak jatuh pesawat dron tanpa menyatakan jumlahnya.

"Ini adalah peningkatan yang buruk dan berbahaya. Keupayaan pertahanan dan serangan kami berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi menjelang serangan berskala besar dari Iran ini," kata jurucakap tentera Israel, Laksamana Muda Daniel Hagari.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang pesawat rasminya berlepas sejurus selepas serangan bermula, mengadakan mesyuarat Kabinet perang di sebuah ibu pejabat tentera di Tel Aviv, kata pejabatnya. 

Sumber dari REUTERS

Ahad, Mac 24, 2024

Serangan lelaki bersenjata di Moscow menyebabkan 62 terbunuh


Seorang wartawan AFP melihat pegawai polis bersama anjing pengesan sedang memeriksa kenderaan yang diletakkan di sebelah bangunan itu.

Kumpulan Daesh, dalam satu kenyataan, mengakui pejuangnya menyerang 'sebuah perhimpunan besar' di pinggir Moscow dan 'berundur ke pangkalan mereka dengan selamat'.

Perkhidmatan keselamatan yang dipetik Interfax berkata, antara dua dan lima orang 'memakai seragam taktikal dan membawa senjata automatik', melepaskan tembakan ke arah pengawal di pintu masuk dan kemudian mula menembak ke arah penonton.

"Orang ramai yang berada dalam dewan itu menundukkan badan untuk melindungi diri mereka daripada tembakan selama 15 atau 20 minit," kata wartawan RIA Novosti.

Tambah beliau, pada awalnya berlaku rempuhan apabila penonton berpusu-pusu mencari jalan keluar, disusuli orang ramai yang mula merangkak keluar apabila keadaan selamat.

Kementerian perkhidmatan kecemasan melalui Telegramnya, berkata kira-kira 100 orang melarikan diri melalui ruang bawah tanah teater, manakala yang lain mencari perlindungan di atas bumbung.

Bagaimanapun, kira-kira satu pertiga daripada kompleks itu terbakar, lapor wartawan media Russia.

Tiga helikopter terbabit dalam usaha memadam kebakaran dengan melepaskan air di dewan konsert gergasi yang boleh memuatkan beberapa ribu orang itu dan sebelum ini menjadi tuan rumah kepada persembahan artis antarabangsa terkemuka.

Tragedi kali ini adalah yang terburuk di Russia sejak kumpulan pengganas menjadikan lebih 1,000 orang termasuk ratusan kanak-kanak, sebagai tebusan di Beslan pada 2004.

Seorang pegawai Amerika Syarikat (AS) yang enggan dikenali, berkata pihaknya sudah memberi amaran yang secukupnya kepada Russia supaya berwaspada terhadap serangan seumpamanya.

Katanya, Kedutaan AS pada 8 Mac lalu memberi amaran kepada Russia bahawa 'pengganas' membuat perancangan segera untuk menyerang Moscow, beberapa jam selepas pasukan keselamatan Russia menggagalkan serangan kumpulan Daesh terhadap sebuah pusat ibadat Yahudi.

Jurucakap kementerian luar Russia, Maria Zakharova berkata, ia adalah 'serangan pengganas paling berdarah'.

"Seluruh masyarakat antarabangsa mesti mengutuk jenayah keji ini," katanya di Telegram.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menyifatkan serangan itu 'mengerikan', namun menegaskan tiada tanda yang menunjukkan ia ada kaitan dengan konflik di Ukraine.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata, Kyiv 'tiada kaitan' dengan serangan itu, manakala perisikan tenteranya menyifatkan punca serangan itu sebagai 'provokasi' Russia dan mendakwa wujud peranan perkhidmatan khas Moscow di sebalik kejadian itu.

"Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa," kata Datuk Bandar Moscow, Sergei Sobyanin, yang membatalkan semua acara awam di bandar ini pada hujung minggu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah (EU), Perancis, Sepanyol dan Itali menyertai beberapa negara lain dalam mengutuk serangan itu, dengan Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni mengecam 'tindakan keganasan yang menjijikkan'.

Agensi berita TASS berkata, SOBR, pasukan polis khas dan skuad anti rusuhan OMON sudah dihantar ke Dewan Bandaraya Crocus untuk menjalankan siasatan. -

Sumber : AFP

Isnin, Oktober 23, 2023

Aaron-Wooi Yik juara Terbuka Denmark

 


Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menamatkan kemarau penantian enam tahun sejak digandingkan apabila meraih gelaran Jelajah Dunia BWF di Terbuka Denmark, sebentar tadi.

Sejak mula digandingkan bersama pada 2017, Aaron-Wooi Yik sering dikecewakan terutama di pentas final dan kejayaan ini menambah koleksi mereka selepas meraih gelaran dunia di Tokyo pada 2022.

Pada aksi final di Arena Jyske Bank, Odense, beregu ranking keempat dunia itu berjaya mengatasi lawan dari Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana dengan keputusan straight set 21-13, 21-17 dalam tempoh 33 minit .

Pertemuan itu adalah yang keempat buat kedua-dua beregu dengan sebelum ini, Aaron-Wooi Yik meraih tiga kemenangan - terbaru di pusingan kedua Terbuka Jepun, Julai lalu.

Aaron-Wooi Yik selepas ini dijadual menyertai Terbuka Perancis yang dijadual berlangsung dari 24 hingga 29 Oktober.

Bagi Wooi Yik, kejayaan sulung pada Jelajah Dunia itu amat bermakna apatah lagi mereka sudah lama digandingkan termasuk pernah menang gelaran juara dunia.

"Saat ini (kejayaan menang Terbuka Denmark) akan sentiasa saya ingati," katanya selepas perlawanan.

Sementara itu Aaron pula jelas gembira dengan kejayaan itu dan akan mengambil sedikit masa untuk meraikan kejayaan mereka sebelum kembali ke gelanggang di Terbuka Perancis.

Atas kejayaan di Terbuka Denmark yang berstatus Super 750 itu, Olahragawan 2022, Aaron-Wooi Yik membawa pulang hadiah wang tunai US$62,900 (RM299,875) dan 11,000 mata BWF.

Sumber : Berita Harian

Selasa, Oktober 10, 2023

Pejuang Palestin bedil 5,000 roket ke Israel


Beribu-ribu roket dilancarkan ke arah Israel dari Semenanjung Gaza pada waktu subuh semalam ketika pejuang Palestin menyelinap masuk ke Israel dengan sekurang-kurangnya seorang dilaporkan terbunuh.
Berbilang roket meluncur ke ruang udara dari pelbagai lokasi di seluruh wilayah Palestin itu selepas bedilan pertama berlaku pukul 6.30 pagi (waktu tempatan), lapor wartawan agensi berita AFP di Gaza.
Serangan itu berlaku susulan peningkatan keganasan selama beberapa bulan melibatkan konflik Israel-Palestin, manakala kematian di wilayah Tebing Barat yang diduduki Rejim Zionis mencecah angka yang belum pernah direkodkan selama bertahun-tahun.
Sementara itu, siren kecemasan bergema di selatan dan tengah Israel dengan tentera menggesa orang ramai berpindah ke pusat-pusat perlindungan bom.
Wartawan AFP di Baitulmuqaddis mendengar beberapa roket dipintas sistem anti peluru berpandu ‘Kubah Besi’ selain bunyi siren di seluruh bandar yang lebih kuat berbanding mana-mana konflik sejak tiga tahun lalu.
Pejuang Palestin mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan udara itu, dengan mendakwa bahawa pihaknya telah melancarkan lebih 5,000 roket. 
Akhbar The Guardian melaporkan, sebagai tindak balas kepada serangan yang mengejutkan Pasukan Pertahanan Israel (IDF), Israel telah mengisytiharkan ‘situasi  perang’.
“Sebilangan pengganas telah menyelinap masuk ke wilayah Israel dari Semenanjung Gaza,” kata IDF dalam satu kenyataan sambil menambah, penduduk di sekitar Semenanjung Gaza diarahkan untuk tinggal di rumah mereka. 
– AFP/Agensi

Ahad, Mei 21, 2023

China pintas Jepun sebagai pengeksport kereta terbesar dunia

 


China menyatakan bahawa negara berkenan muncul pengeksport kereta terbesar di dunia selepas memintas Jepun dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, lapor Perbadanan Penyiaran Britain(BBC) kelmarin.

Angka rasmi yang dikeluarkan minggu lepas menunjukkan China mengeksport sebanyak 1.07 juta kenderaan sepanjang tempoh itu, meningkat 58 peratus berbanding suku pertama pada 2022.

Eksport Jepun sepanjang tempoh sama berjumlah 954,185 kenderaan iaitu pertambahan 6 peratus daripada tahun sebelumnya.

Kedudukan nombor satu itu antaranya, dirangsang oleh permintaan besar untuk kereta elektrik dan jualan ke Russia. Pada tahun lalu, China mengatasi Jerman untuk muncul sebagai pengeksport kereta kedua terbesar di dunia.

Menurut Pentadbiran Am Kastam China, Beijing telah mengeksport 3.2 juta kenderaan pada 2022, manakala eksport Jerman mencecah 2.6 juta kereta untuk berada di tempat ketiga.

Jepun adalah peneraju dunia kenderaan pada 2022 apabila mengeksport sebanyak 3.2 juta kereta dalam tempoh 11 bulan pertama tahun tersebut, demikian menurut portal berita South China Morning Post.

Lima pengeksport utama kereta dunia pada tahun 2021 pula ialah Jerman, Jepun, Amerika Syarikat (AS), Korea Selatan dan Mexico.

Bagaimanapun, peralihan daripada bahan api fosil memacu kebangkitan industri permotoran China. Ini terbukti apabila eksport kenderaan tenaga baharu (NEV) termasuk kereta elektrik meningkat lebih 90 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Syarikat pengeluar kenderaan milik pemerintah China, SAIC Motor yang memiliki jenama MG dan BYD, adalah antara pengeksport utama NEV dari negara komunis itu.

Dalam pada itu, syarikat Tesla dari AS yang diasaskan oleh bilionair, Elon Musk mempunyai kilang pembuatan kenderaan elektrik terbesar di Shanghai. Tesla mengeksport kereta elektrik keluarannya ke serata wilayah dan negara termasuk Jepun dan Eropah.

Kilang Tesla di Shanghai itu mampu mengeluarkan sebanyak 1.25 juta kenderaan setahun, manakala syarikat tersebut merancang meningkatkan lagi kapasiti pengeluarannya.

Pada bulan lalu, Tesla mula membina kenderaan utiliti sukan, Model Y untuk dieksport ke Kanada.
Perkara itu berlaku selepas Barat melaksanakan sekatan perdagangan ke atas Moscow berikutan perang tersebut.

Pada tahun lalu, pembuat kereta China termasuk Geely, Chery dan Great Wall menyaksikan bahagian pasaran masing-masing di Russia melonjak selepas pesaing mereka termasuk Volkswagen serta Toyota menarik diri dari pasaran negara itu.

Ia berikutan sekatan Barat susulan pencerobohan Ukraine oleh Russia.

Menurut portal berita Nikkei Asia, China juga mengeksport hampir 30,000 trak yang boleh digunakan untuk tujuan ketenteraan ke Russia pada tahun ini, hampir tujuh kali ganda lebih banyak berbanding tahun sebelumnya.

China juga menyaksikan eksport kereta elektriknya ke Russia melonjak sejak permulaan perang Ukraine, Februari tahun lalu.

Selepas Russia, destinasi eksport utama China mengikut urutan ialah Mexico, Belgium dan Arab Saudi.

Syarikat Chery Automobile dibiayai oleh entiti yang dikaitkan dengan pentadbiran perbandaran di China. –

Sumber : AGENSI

Recent Posts