Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label Filem. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Filem. Papar semua catatan

Fenomena luar biasa Avengers: Endgame

by


Bermula dengan filem Iron Man lakonan hebat Robert Downey Jr pada tahun 2008, sejak daripada itu peminat watak adiwira seluruh dunia sentiasa menunggu-nunggu filem-filem adiwira Marvel yang hebat.

Setelah menerbitkan 21 filem dalam tempoh masa 11 tahun, kini Marvel Studios sekali lagi akan menggegarkan dunia menerusi tayangan filem ke-22 dalam ‘Marvel Cinematic Universe’ (MCU) iaitu filem Avengers: Endgame.

Berbanding peminat di Amerika Syarikat (AS), peminat di Malaysia sangat bertuah kerana filem ini bakal ditayangkan dua hari lebih awal. Di AS tayangan filem ini hanya akan bermula pada 26 April ini.


Lebih menghangatkan suasana menjelang tayangan filem ini di seluruh negara pada 24 April ini, pawagam tempatan seperti GSC dan TGV bakal menayangkan filem ini seawal pukul 7 pagi. Paling mencetuskan fenomena tiket awal untuk tayangan filem ini dikatakan semuanya sudah habis dijual.

Tidak kurang hebatnya penangan filem ini apabila di negara jiran, Indonesia tiket yang dijual bukan sahaja laris bak pisang goreng panas tetapi ada beberapa pawagam di negara itu akan mula menayangkan filem ini seawal pukul 5 pagi pada hari pertama tayangannya.

Cetus fenomena
Keterujaan peminat untuk menyaksikan filem terbaharu Avengers ini bermula sejak Disember tahun lalu apabila Marvel menayangkan trailer pertama filem tersebut dengan memaparkan bagaimana kehidupan ahli Avengers yang masih hidup dalam menghentikan kejahatan Thanos.

Kemudian, sebulan sebelum tayangan filem ini di seluruh dunia, Marvel sekali lagi membuatkan peminat filem adiwira ini tidak senang duduk apabila melancarkan trailer kedua pada bulan lalu. Salah satu highlight dan menarik dalam trailer ini ialah kemunculan watak adiwira wanita MCU, Captain Marvel. Lebih mengagumkan apabila trailer ini telah mencatatkan lebih 90 juta tontonan dan lebih 200,000 komen dalam laman YouTube.

Trailer yang berdurasi selama 2 minit 26 saat ini dimulakan dengan paparan imbasan oleh watak Iron Man, Captain America, Hawkeye/Ronin, Black Widow, Thor, Ant-Man dan Hulk mengenai kehilangan orang-orang yang disayangi mereka dalam usaha membalas dendam terhadap kejahatan yang dilakukan oleh Thanos.

Boleh dikatakan filem Avengers:Endgame ini merupakan sambungan jawapan terhadap apa yang berlaku dalam filem Avengers: Infinity War yang mana hampir separuh watak adiwira hilang seperti debu.

Disebabkan faktor sambutan luar biasa, tiket-tiket yang dijual untuk tayangan awal filem ini yang baru dibuka awal minggu lalu telah habis dijual di AS dan paling mengejutkan terdapat individu yang menjual semula tiket ini dengan harga berkali-kali ganda. Menerusi laman web Ebay, harga untuk hari tayangan awal ditawarkan bermula pada harga AS$50 (RM204) hingga AS$2,500 (RM10,000)!

Selain itu menurut laman web jualan tiket di AS iaitu Fandago dan Atom, jualan minggu pertama tiket Avengers: Endgame mencecah dua kali ganda berbanding jualan tiket filem Aquaman, Star Wars: The Last Jedi, Avengers: Infinity War dan Captain Marvel jika digabungkan.

#DontSpoilTheEndgame
Namun begitu, di sebalik keghairahan untuk menjadi yang terawal menonton filem adiwira ini, terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang telah melakukan rakaman secara haram dan membocorkannya melalui media sosial.

Biar pun berjaya disekat daripada terus ditonton, kebocoran klip video ini yang muncul beberapa hari sebelum tayangan filem ini menimbulkan persoalan banyak pihak kerana dipercayai dirakam ketika sesi tayangan oleh pihak yang telah mendapat kebenaran untuk menonton visual filem ini terlebih dahulu.

Situasi tidak dijangka ini terus mendapat kecaman daripada pengarah filem ini, Joe dan Anthony Russo yang meluahkan kekecewaan mereka melalui laman sosial Twitter pada Selasa lalu.

Menerusi perkongsian di Twitter dengan tanda pagar #DontSpoilTheEndgame, pengarah dua bersaudara ini meminta supaya orang ramai tidak terus menyebarkan klip video ini.

“Kami berdua bersama mereka yang terlibat dalam menjayakan Endgame, telah bekerja keras selama tiga tahun bagi memberikan kejutan dan penutup penuh beremosi untuk infiniti saga ini. Disebabkan banyak pihak yang telah mengorbankan waktu, jiwa dan raga kepada cerita ini, kami sekali lagi memohon bantuan kepada semua pihak.

“Apabila ada yang menonton Endgame dalam minggu ini, tolong jangan ‘spoil’ (rosakkan) penantian peminat lain, seperti yang kamu tidak suka orang lain membuat kerosakan yang sama pada kamu,” kata mereka.

- UTUSAN


Filem ‘Logan’ Pengakhiran Adiwira Wolverine

by


Filem: Logan
Pengarah: James Mangold
Pelakon: Hugh Jackman, Patrick Stewart, Dafne Keen, Richard E. Grant, Boyd Holbrook dan Stephen Merchant
Genre: Drama/Aksi
Durasi: 138 minit
Pengedar: 20th Century Fox
Tarikh Tayangan: 2 Mac 2017

Logan merupakan naskhah terakhir yang menyaksikan watak adiwira, Wolverine diangkat ke layar perak.

Barangkali semuanya adalah kerana keadaan kesihatan pelakon utamanya, Hugh Jackman yang tidak mengizinkan kerana kanser kulit di samping Jackman mahu mengibarkan bendera putih untuk watak ikonik itu sementara namanya masih di puncak.

Pernah Jackman mengatakan dalam satu temu bual tidak berapa lama dulu bahawa salah satu faktor dia membuat keputusan untuk bersara daripada terus memainkan watak Wolverine kerana tidak mahu khalayak menjadi bosan tatkala usianya juga semakin meningkat.

Memang ternyata Jackman dilihat layak membawakan watak berkenaan kerana acuan Wolverine itu sememangnya sudah dibikin untuk aktor kelahiran Australia ini.

Sementelah sudah 10 kali Jackman yang juga bekas calon Oscar itu menghidupkan watak Wolverine di layar perak. Tujuh daripadanya adalah menerusi francais filem X-Men dan selebihnya untuk tiga buah filem solo Wolverine iaitu X-Men Origins: Wolverine (2009), The Wolverine (2013) dan Logan (2017).

Justeru, bagi memberikan penghormatan terakhir buat Logan dan Wolverine, filem Logan dilihat sebagai naskhah terbaik untuk berbuat demikian.

Ternyata, Mangold bersama-sama Scott Frank dan Michael Green memberikan evolusi terhadap filem ini dengan tidak mengikut acuan konvensional adaptasi komik yang sudah menjadi trend di Hollywood.

Sebaliknya, mereka mengambil pendekatan baharu dan mengubah struktur filem itu menjadi sebuah naskhah asli biarpun Logan diinspirasikan daripada novel grafik, Old Man Logan yang diterbitkan pada tahun 2008.

Sebagai pengarah, Mangold bijak menginterpretasikan cerita tersebut dan menjadikan ia lebih luhur, jujur, realistik dan sarat dengan pelbagai rasa lalu memberikan jiwa yang bukan sembarangan buat Logan.

Mungkin sebahagian besar peminat setia komik X-Men mengharapkan Logan menjadi sebuah filem adiwira tipikal. Ternyata Logan bukan seperti itu kerana filem ini dibikin dengan cara seolah-olah mahu memberi gambaran sebenar tentang kehidupan Wolverine di masa hadapan pasca dunia tidak lagi didiami oleh komuniti mutan.

Sehubungan itu, tiada watak utama X-Men dalam filem ini selain Profesor Charles Xavier (Patrick Stewart) dan Caliban (Stephen Merchant) yang hidup di dunia ketika itu kerana ada sesuatu yang menunggu  mereka di masa hadapan.

Penulis melihat Logan sebagai sebuah cerita baharu yang layak untuk dipertandingkan dalam acara anugerah yang sebelum ini memandang sebelah mata dan menutup peluang terhadap filem adaptasi komik.


Penghormatan Terbaik ‘Logan’ Untuk Pengakhiran Wolverine
Diterbitkan: Khamis, 9 Mac 2017 9:00 PM
image: http://www.mstar.com.my/~/media/upload/2015/01/30/21/19/shazryn%204.ashx?w=50&h=50Oleh: SHAZRYN MOHD FAIZAL
shazryn.faizal@gmail.com
image: http://www.mstar.com.my/~/media/upload/2017/03/09/16/26/logan_001.ashx?w=620&h=413&crop=1&/

   (Ubah saiz teks)
Filem: Logan
Pengarah: James Mangold
Pelakon: Hugh Jackman, Patrick Stewart, Dafne Keen, Richard E. Grant, Boyd Holbrook dan Stephen Merchant
Genre: Drama/Aksi
Durasi: 138 minit
Pengedar: 20th Century Fox
Tarikh Tayangan: 2 Mac 2017

SELESAI menonton filem Logan arahan James Mangold (Walk The Line, 2005) baru-baru ini, perasaan suka dan duka terbit di benak hati penulis. Dukanya hati penulis apabila Logan merupakan naskhah terakhir yang menyaksikan watak adiwira, Wolverine diangkat ke layar perak.

Barangkali semuanya adalah kerana keadaan kesihatan pelakon utamanya, Hugh Jackman yang tidak mengizinkan kerana kanser kulit di samping Jackman mahu mengibarkan bendera putih untuk watak ikonik itu sementara namanya masih di puncak.

Pernah Jackman mengatakan dalam satu temu bual tidak berapa lama dulu bahawa salah satu faktor dia membuat keputusan untuk bersara daripada terus memainkan watak Wolverine kerana tidak mahu khalayak menjadi bosan tatkala usianya juga semakin meningkat.

Memang ternyata Jackman dilihat layak membawakan watak berkenaan kerana acuan Wolverine itu sememangnya sudah dibikin untuk aktor kelahiran Australia ini.

Sementelah sudah 10 kali Jackman yang juga bekas calon Oscar itu menghidupkan watak Wolverine di layar perak. Tujuh daripadanya adalah menerusi francais filem X-Men dan selebihnya untuk tiga buah filem solo Wolverine iaitu X-Men Origins: Wolverine (2009), The Wolverine (2013) dan Logan (2017).

Justeru, bagi memberikan penghormatan terakhir buat Logan dan Wolverine, filem Logan dilihat sebagai naskhah terbaik untuk berbuat demikian.

image: http://www.mstar.com.my/hiburan/wayang/2017/03/09/longan/~/media/08413eb403334a4aaf5123142842fcd6.ashx?la=en


Watak Wolverine yang dijayakan oleh Hugh Jackman adalah yang terbaik sepanjang dia membawakan watak ikonik itu.
Ternyata, Mangold bersama-sama Scott Frank dan Michael Green memberikan evolusi terhadap filem ini dengan tidak mengikut acuan konvensional adaptasi komik yang sudah menjadi trend di Hollywood.

Sebaliknya, mereka mengambil pendekatan baharu dan mengubah struktur filem itu menjadi sebuah naskhah asli biarpun Logan diinspirasikan daripada novel grafik, Old Man Logan yang diterbitkan pada tahun 2008.

Sebagai pengarah, Mangold bijak menginterpretasikan cerita tersebut dan menjadikan ia lebih luhur, jujur, realistik dan sarat dengan pelbagai rasa lalu memberikan jiwa yang bukan sembarangan buat Logan.

Mungkin sebahagian besar peminat setia komik X-Men mengharapkan Logan menjadi sebuah filem adiwira tipikal. Ternyata Logan bukan seperti itu kerana filem ini dibikin dengan cara seolah-olah mahu memberi gambaran sebenar tentang kehidupan Wolverine di masa hadapan pasca dunia tidak lagi didiami oleh komuniti mutan.

Sehubungan itu, tiada watak utama X-Men dalam filem ini selain Profesor Charles Xavier (Patrick Stewart) dan Caliban (Stephen Merchant) yang hidup di dunia ketika itu kerana ada sesuatu yang menunggu  mereka di masa hadapan.

Penulis melihat Logan sebagai sebuah cerita baharu yang layak untuk dipertandingkan dalam acara anugerah yang sebelum ini memandang sebelah mata dan menutup peluang terhadap filem adaptasi komik.

image: http://www.mstar.com.my/hiburan/wayang/2017/03/09/longan/~/media/14f64ea83aeb48e091968ac7f47a5d40.ashx?la=en


Watak Laura Kinney (Dafne Keen) memberikan gambaran jelas bahawa Wolverine baharu akan muncul selepas ini.

Dalam erti kata lain, Logan seperti kelahiran semula francais filem X-Men seperti mana yang pernah dilakukan oleh Christopher Nolan menerusi legasi filem Batman miliknya terutama The Dark Knight (2008).

Selain jalan cerita dan lakon layar yang kukuh, Logan turut diperkuatkan dengan aspek lain terutama sinematografi dan suntingan yang memberikan nilai tambah buat kecemerlangan Logan sebagai sebuah filem cereka.

Sinematografi oleh John Mathieson telah menghidupkan lagi filem ini untuk memberikan mood dan ekspresi yang dialami oleh watak-watak terutama Wolverine yang berhadapan dengan pelbagai masalah terutama kesakitan luaran dan dalam selain faktor usianya sendiri.

Jackman sendiri telah menumpahkan emosinya semaksimum dan menyerlahkan jiwa yang mendalam untuk filem ini. Tidak dinafikan lagi, Logan adalah watak Wolverine terbaik Jackman sepanjang lebih 15 tahun dia membawakan watak berkenaan.

Apa yang menjadikan Logan bertambah menarik apabila Logan berhadapan dengan musuh baharu, X-24 yang merupakan klon dirinya sendiri yang dicipta oleh Dr. Zander Rice (Richard E. Grant).

Metaforanya watak X-24 itu apabila Logan seolah-olah melihat dirinya sendiri dan pernah menjadi ganas sedemikian rupa sewaktu mudanya. Dalam erti kata lain, Logan berperang dengan diri sendiri dan mengetahui dirinya banyak berubah disebabkan X-Men dan Profesor X pada penghujung usianya.

Perasaan duka yang menyelubungi penulis tadi mula bertukar gembira apabila melihat masa depan francais filem ini yang pastinya akan memberikan gambaran jelas bahawa sesuatu yang lebih hebat dan besar akan terhasil kelak.

Lebih-lebih lagi selepas watak Laura (Dafne Keen) yang merupakan anak Logan dan terhasil menerusi persenyawaan antara manusia dan mutan mula diperkenalkan dalam filem ini.

Di sinilah penulis melihat kreativiti karyawan Hollywood yang tahu bilakah masanya untuk menoktahkan kisah X-Men dan mula untuk memperkenalkan generasi baharu X-Men.

Apatah lagi, pada babak-babak akhir, watak-watak baharu sudah mula diperkenalkan kepada khalayak biarpun tidak secara menyeluruh dan generasi baharu ini semuanya adalah senasib dengan Laura.

Sudah pasti, babak pengakhiran filem ini secara jelas menunjukkan bahawa kisah X-Men tidak akan mati sebaliknya akan terus hidup dengan kisah yang lebih segar untuk menarik perhatian penonton terutama golongan milenial kelak.

- mSTAR

Iron Man 3 filem penuh drama, konflik dan aksi

by
 

Penggemar siri komik Marvel Iron Man pastinya menanti-nantikan kemunculan filem aksi penuh mendebarkan Iron Man 3 yang sudah mula ditayangkan sejak semalam.

Selepas menghadapi tekanan oleh kerajaan, media dan orang awam, untuk dia berkongsi teknologinya bersama tentera. Tony Stark kini kembali dengan musuh yang lebih bahaya.

Tidak seperti dua sekuel terdahulu, Iron Man 3 kini diarahkan oleh Shane Black tidak hanya mempertaruhkan teknologi dan aksi semata-mata tetapi turut menggabungkan konflik dalaman Stark kerana trauma ketika kejadian New York di serang (dalam Avengers) dan keinginan dan emosinya untuk melindungi kekasih hatinya, Pepper Potts.

Biarpun sedikit klise-kisah adiwira yang menyelamatkan cinta sejati, namun kelebihan cerita ini adalah teknologi baru yang dibawakan oleh Stark.

Malah, dalam filem ini, anda juga berpeluang melihat pelbagai jenis 'Iron Man' yang diciptakan Stark yang menjadikan hobi masa lapangnya mencipta dan membuat uji kaji mengenai besi yang melindungi dirinya itu.

Kisah penuh konflik

Perjalanan cerita Iron Man 3 ini telah digarap sebaiknya oleh Black dengan mengimbau kembali siapa Tony Stark pada 1999, seorang hartawan, kaki perempuan dan lelaki pintar yang tanpa sedar telah mewujudkan seorang musuh.

Kerana sikap sambil lewanya dalam semua perkara, Stark tidak sedar bahawa teknologi botani dari bekas kekasihnya sebenarnya mampu mengubah dunia.

Malah, kerana menghampakan seorang lelaki yang begitu meminatinya, Stark telah menyebabkan lelaki tersebut membenci dan berjanji untuk memburunya.

Sikap sambil lewanya juga turut menyebabkan Potts mula terasa hati kerana Stark melebihkan robotnya dalam segala hal, namun dalam masa yang sama, Stark mula mengenal erti cinta sebenar cuba untuk melindungi Potts dari sebarang ancaman bahaya.

Dek kerana ego juga, Stark tanpa sedar telah membahayakan dirinya dan Potts kerana mendedahkan maklumat tempat tinggalnya sehingga menjadi sasaran musuh.

Namun, selepas bertemu dengan seorang kanak-kanak pintar, Stark mula sedar untuk bersikap lebih bertanggungjawab dan mengubah dirinya secara perlahan.

Filem terakhir Downey?

Melihat lakonan Downey kali ini, watak Stark atau Iron Man sememangnya amat bersesuaian dengan lelaki berusia 48 tahun ini.

Biarpun hampir mencecah separuh abad, namun karisma, personaliti yang dimiliki oleh Downey membuatkan dia masih kelihatan tampan dan gagah dalam menjayakan watak Iron Man.

Namun, siapa sangka, Downey sudah membayangkan untuk tidak lagi membawakan watak Iron Man kerana faktor usia yang tidak lagi bersesuaian dengan watak tersebut.

Justeru, tidak hairanlah untuk siri terakhir dari Downey, dia memberikan lakonan yang cukup mantap dan diingati selepas anda meninggalkan pawagam.

Bagi mengetahui keseluruhan jalan cerita - dapatkah Stark melawan rasa traumanya? Dapatkah dia melindungi Potts dari bahaya? Berjayakah dia menumpaskan musuh yang sebenar, saksikan filem ini di pawagam.

Nasihat penulis, sebaik 'ending credit' naik melintasi skrin, jangan tinggalkan pawagam terlebih dahulu kerana ada penampilan khas yang akan bersama Stark pada penghujung cerita.

Iron Man 3

PENGARAH: Sean Black
PELAKON: Robert Downey Jr Gwyneth Paltrow, Don Cheadle, Guy Pearce, Rebecca Hall, Stephanie Szostak, James Badge Dale with Jon Favreau dan Ben Kingsley.
GENRE: Aksi/Pengembaraan
DURASI: 131 minit
KLASIFIKASI: P13
TAYANGAN: 26 April 2013
KESELURUHAN : ***** FUYOO TERBAIK!!!

- SINAR HARIAN
 

Penjelasan Lembaga Penapisan Filem (LPF) mengenai Isu Hantu Bonceng

by
Lembaga Penapisan Filem tiada masalah untuk meneliti semula filem "Hantu Bonceng" yang didakwa oleh Dewan Pemuda PAS mengandungi unsur penghinaan terhadap Islam dalam satu babak filem itu.

Pengerusinya, Datuk Raja Azhar Raja Abdul Manap berkata, pihaknya telah menonton dan meneliti filem itu sebelum ia ditayangkan kepada umum dan mendapati tiada unsur penghinaan terhadap agama.

Beliau berkata, pelbagai tafsiran boleh diberikan dalam babak ketika pelawak terkenal Zizan terjaga dari pengsan di sebuah hospital, lalu menyebut dialog "asyhadu anna Muhammadar... syaitan" .

"Kalau kita tengok dalam filem itu, sebenarnya tidak ada unsur penghinaan kerana apa yang dilafazkan Zizan, ketika melakonkan babak histeria itu, bukanlah satu ayat yang penuh.

"Sebaliknya ketika Zizan menyebut Syahadah beliau terhenti seketika sebelum menyebut perkataan syaitan selepas itu," katanya kepada Bernama.

Harakahdaily pada Selasa melaporkan, Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan menggesa filem Hantu Bonceng yang sedang ditayangkan di pawagam dihentikan segera kerana mengandungi unsur penghinaan terhadap Rasulullah.

Nasrudin mendakwa, babak tersebut ketika Zizan di atas katil wad hospital menyebut dialog "asyhadu anna Muhammadar... syaitan".

Bagaimanapun, Raja Azhar tidak menolak kemungkinan filem yang ditonton oleh pihaknya mungkin berbeza sedikit daripada apa yang kini ditayangkan di pawagam.

"Justeru kita akan meneliti sekali lagi babak yang dimaksudkan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS itu," katanya.

Filem Hantu Bonceng arahan sutradara terkenal, Ahmad Idham dengan durasi 90 minit itu ditayangkan di panggung wayang di Malaysia, Singapura dan Brunei bermula 31 Ogos lalu dan dikatakan mencipta sejarah dengan kutipan terbesar dalam musim perayaan dengan jumlah RM5 juta dalam tempoh lima hari tayangan.

- MSTAR

Astro First Wayang Di Rumah

by

Filem merupakan medium elektronik visual yang paling diminati oleh manusia sehingga hari ini. Pada awal kemunculannya, ia bukan sekadar hiburan bahkan turut menjadi alat propaganda untuk menyebarkan fahaman tertentu.

Berdasarkan sejarah, filem atau juga dikenali sebagai seni wayang diperkenalkan secara komersial oleh Lumiere bersaudara pada tahun 1895 dengan rekaan mereka yang dinamakan Cinematographe.

Bagaimanapun, evolusi penciptaan wayang gambar telah bermula dengan rekaan Panorama oleh Robert Barker pada tahun 1780-an yang berbentuk lukisan di dalam silinder.

Tidak lama selepas itu, perkembangan seni wayang menyaksikan terciptanya beberapa peralatan berkaitan seni wayang seperti Eidophusikon, Diorama, Zoetrope, Camera Obscura dan Kinetoscope.

Kemudian Lumiere bersaudara telah menyempurnakan kesemua ciptaan tersebut dengan Cinematographe sehingga wujudnya beberapa nama lain yang menjadikan teknologi seni wayang gambar sebagai satu sejarah yang sungguh hebat.

Sementara sejarah filem di Malaysia juga tidak kurang menariknya. Filem pertama kali diperkenalkan di Tanah Melayu pada tahun 1898 oleh penjajah Inggeris menerusi penayangan dokumentari yang bertajuk Diamond Anivessary Celebration of Queen Victoria.

Pada tahun 1907, pawagam pertama telah dibina di Singapura yang dikenali sebagai Alhambra Cinema.

Ia telah dibina oleh seorang lelaki berbangsa Inggeris yang bernama Willis, namun, ada pendapat lain yang mengatakan ia dibina oleh seorang lelaki Cina, Tan Cheng Kee yang juga perintis kepada industri perfileman ketika itu.

Mengenai penerbitan filem Melayu, rata-ratanya bersetuju bahawa filem Melayu pertama telah diterbitkan di Singapura pada tahun 1933 yang berjudul Laila Majnun yang dihasilkan oleh B.S. Rajhans, seorang pengarah filem dari India.

Selepas itu, era industri perfileman

di negara ini terus berkembang, terutama dengan penghasilan lebih banyak filem yang menjadi alat hiburan masyarakat pada era 1950-an dan 1960-an.

Meskipun saluran televisyen pertama mula diperkenalkan pada tahun 1963, namun, ia tidak menghalang untuk industri perfileman terus berkembang dan masyarakat masih lagi ke pawagam untuk menonton filem-filem kegemaran mereka.

Pada hari ini, sekalipun pelbagai saluran televisyen percuma dan berbayar telah diperkenalkan, orang ramai masih gemar ke pawagam untuk menonton wayang.

RM15 sebuah filem

Tentunya sebelum ini tidak pernah terlintas di fikiran masyarakat di Malaysia bahawa pada suatu hari nanti mereka akan dapat menonton filem-filem tempatan terbaru di rumah. Menariknya, filem yang akan ditonton itu adalah filem yang baru dua minggu ditayangkan di pawagam.

Bayangkan pada tahun 1990-an, penonton hanya dapat menonton filem tempatan di kaca televisyen semasa musim perayaan sahaja, itu pun selepas beberapa bulan ia ditayangkan di pawagam.

Bagaimanapun, kini segala-galanya tidak mustahil lagi apabila stesen televisyen berbayar Astro memperkenalkan sebuah lagi saluran baru iaitu Astro First.

Memulakan perkhidmatan pada 13 Januari lalu, saluran berkenaan menawarkan filem tempatan yang baru sahaja ditayangkan di pawagam.

Ketua Pegawai Operasi Astro, Henry Tan berkata, jika sebelum ini filem terbaru hanya dapat ditonton di pawagam, kini para pelanggan Astro yang berjumlah kira-kira tiga juta orang boleh menontonnya di kaca televisyen.

“Perkhidmatan ini merupakan sejarah baru dalam industri hiburan tanah air. Kini orang ramai boleh menonton filem-filem terbaru di rumah dalam keadaan selesa bersama keluarga atau rakan-rakan.

“Penonton juga tidak perlu memikirkan masalah seperti terpaksa menghadapi kesesakan lalu lintas untuk ke pawagam, bersesak-sesak beratur membeli tiket atau tidak sempat menonton filem terbaru kerana sibuk dengan jadual harian,” katanya pada majlis pelancaran saluran Astro First di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Henry, saluran Astro First juga dapat memanjangkan tempoh tayang sesebuah filem memandangkan Syarat Wajib Tayang di negara ini cuma dua minggu.

Ujarnya lagi, saluran berkenaan juga akan memberi peluang yang lebih luas kepada penonton yang tinggal di kawasan luar bandar untuk menonton filem terbaru, sekali gus memberikan sokongan kepada filem-filem tempatan.

Perkhidmatan ini juga memberi kelebihan kepada penonton kerana mereka dapat menjimatkan kos jika sesebuah filem itu ditonton secara beramai-ramai di rumah.

Menurutnya, untuk melanggan sebuah filem, pelanggan Astro hanya perlu membayar RM15 dan ia boleh ditonton dalam tempoh 48 jam selepas langganan.

“Sebagai permulaan, Astro First akan menayangkan sebanyak tiga buah filem tempatan terbaru kepada penonton iaitu Ngangkung, Aku Masih Dara dan Damping Malam,” ujarnya.

Tambah Henry, selepas ini para pelanggan Astro akan dapat menyaksikan lebih banyak filem terbaru termasuk Hikayat Merong Mahawangsa, Hantu Kak Limah Balik Rumah, Senjakala dan Kembar Siang.

Tidak Terjejas

Mengikut senarai yang dipetik daripada laman web Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), sehingga bulan Disember 2010, terdapat sebanyak 19 syarikat pawagam, 106 buah pawagam, 577 Dewan dan 119,165 kerusi di seluruh Malaysia.

Kemunculan begitu banyak pawagam di negara ini adalah seiring dengan penghasilan filem yang semakin meningkat saban tahun. Misalnya pada tahun 2003, sebanyak 16 filem sahaja yang dihasilkan setahun.

Namun, pada tahun 2010 pula jumlahnya meningkat dengan begitu ketara iaitu sebanyak 29 buah. Dijangka pada tahun ini lebih banyak filem yang akan dihasilkan.

Mengenai pengenalan saluran Astro First, sebenarnya timbul satu isu apabila dikatakan ia boleh menyebabkan orang ramai tidak lagi berminat untuk pergi ke pawagam.

Ketika diajukan soalan mengenai perkara tersebut, Henry memberitahu orang ramai akan terus menonton filem di pawagam meskipun kini muncul perkhidmatan baru itu.

Menurutnya, Astro First hanya menjadi satu alternatif kepada mereka yang terlepas menonton filem kegemaran di pawagam.

“Tidak semestinya orang ramai tidak lagi pergi ke pawagam atau memberi saingan kepada pemilik pawagam.

“Berdasarkan kajian kami, ada juga segelintir individu yang tidak mahu beratur panjang untuk membeli tiket wayang sehingga membatalkan hasrat untuk menonton sesebuah filem,” ujarnya.

Bagaimanapun, Henry turut menjelaskan bahawa pihaknya berkeyakinan bahawa minat masyarakat untuk pergi ke pawagam tidak akan terjejas kerana masih ramai lagi golongan seperti remaja yang gemar mencari hiburan di luar rumah.

- KOSMO!

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90