Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label Forum. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Forum. Papar semua catatan

Kementerian Pengajian Tinggi perjelas isu pelajar dapat 5A gagal ke universiti awam

by
Kementerian Pengajian Tinggi ingin merujuk rungutan 'Ibu kecewa' dari Bukit Baru, Melaka yang disiarkan ruangan ini 21 Mei lalu bertajuk 'Ibu tunggal kecewa anak dapat 5A gagal ke universiti awam'.

Adalah dimaklumkan bahawa Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi (BPKP, JPT) kementerian sudah menyemak status permohonan ke Program Pengajian Lepasan SPM/Setaraf Sesi Akademik 2010/2011 mengenai anak pengadu, Muhammad Adli Sahhril, nombor kad pengenalan 920607-04-5291 yang dibuat melalui laman web rasmi kemasukan ke IPTA.

Rekod semakan mendapati pelajar ini hanya memohon empat pilihan program daripada lapan program yang ditetapkan. Semua empat pilihan program pengajian yang dimohon mensyaratkan melalui proses temu duga sebelum ditawarkan mengikuti program itu di IPTA. Program yang dipilih meliputi tiga di UiTM dan satu di UTM yang berasaskan seni bina.

Untuk makluman, hanya program pengajian pilihan pertama iaitu Program Sarjana Muda Sains (Seni Bina) E2300 di UiTM yang dipanggil untuk calon terbabit menghadiri temu duga. Namun (ranking) calon dalam senarai calon ditemuduga adalah rendah berdasarkan laporan panel temu duga.

Dimaklumkan proses pemilihan pelajar ke IPTA adalah berasaskan kepada prinsip meritokrasi dengan mengguna pakai 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum. Berdasarkan kepada pengiraan, markah merit calon ialah 72.87. Markah potongan (cut off point) bagi program ditemuduga adalah tinggi kerana bilangan tempat yang disediakan bagi program pengajian berkenaan, terhad.

Dikenal pasti calon juga tidak menyatakan persetujuan dalam permohonan kemasukan ke IPTA untuk menerima tawaran selain empat pilihan program pengajian yang dimohon. Justeru, BPKP JPT tidak dapat menawarkan program pengajian lain. Namun, pelajar layak mengemukakan rayuan bagi program pengajian bukan temu duga untuk pertimbangan.

Sehubungan itu, bahagian ini mengesahkan bahawa calon sudah mengemukakan rayuan melalui Aplikasi Dalam Talian (e-rayuan) untuk kemasukan ke IPTA. Dasar pemilihan rayuan adalah untuk mengisi kekosongan tempat yang berlaku selepas pendaftaran pelajar baru ke IPTA.
Semakan keputusan rayuan boleh dilakukan mulai minggu pertama Jun 2010 bagi Fasa 1 dan minggu ketiga Julai 2010 bagi Fasa 2 di laman web rasmi kemasukan ke IPTA http://upu.mohe.gov.my.

BAHAGIAN PENGURUSAN KEMASUKAN PELAJAR,
Jabatan Pengajian Tinggi,
Kementerian Pengajian Tinggi

- FORUM BERITA HARIAN

Labur dalam skim cepat kaya tidak selamat

by
Pelabur ditipu seperti dilaporkan dalam akhbar baru-baru ini amat menyedihkan. Walaupun selepas disaran berkali-kali oleh pihak berkuasa mengenai keperluan untuk mengambil langkah berjaga-jaga dalam menyertai sebarang pelaburan.

Namun masih ada segelintir masyarakat mudah terjebak dalam skim pelaburan yang akhirnya memakan diri sendiri.

Pahit jerih mengumpul rezeki, hilang sekelip mata. Persoalannya, mengapakah masyarakat mudah tertarik skim pelaburan yang ada walaupun sesetengah daripada mereka mungkin ada mengambil langkah berjaga-jaga.

Jika diteliti, laporan daripada akhbar digunakan oleh syarikat yang menawarkan skim untuk menguatkan hujah bahawa skim syarikat mereka adalah selamat dan tidak akan menyebabkan kerugian kepada bakal pelabur.

Bagi pelabur pula, melihatkan bahawa syarikat itu mendapat liputan akhbar, secara automatik akan tersemat dalam minda bahawa syarikat itu adalah sah di sisi undang-undang dan tiada permasalahan yang akan timbul kelak.

Tetapi realitinya, perkara sebaliknya yang berlaku. Contoh dapat diberikan di sini adalah skim yang ditawarkan oleh sebuah restoran yang mendapat liputan akhbar tempatan.

Keratan akhbar itu dicetak oleh wakil syarikat untuk menarik minat lebih ramai pelabur. Selepas beberapa bulan, syarikat itu disekat oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan didakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengikut Seksyen 366(3), Seksyen 15(1)(d) dan Seksyen 27(8) Akta Syarikat 1965.

Perkara kedua yang dapat dilakukan adalah pihak seperti BNM, SSM dan Suruhanjaya Sekuriti perlu sentiasa melihat laporan perniagaan akhbar tempatan dan membuat ‘cross check’ terhadap syarikat terbabit berpandukan perkara yang dilaporkan dalam akhbar terbabit.

MOHD HIDY MD DZAHIR,
Batu Pahat, Johor.

Rugi graduan menganggur

by
Setiap tahun pemilik ijazah sama ada daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) atau swasta (IPTS) akan bertambah dan pekerjaan sama ada dalam sektor kerajaan atau sektor swasta terhad.

Ratusan ribu pemegang ijazah setiap tahun itu tidak dapat menampung hanya beberapa ribu kekosongan pekerjaan yang ditawarkan dan ini menjadi lambakan penganggur berijazah begitu ketara sekali.

Cicadangkan supaya mereka yang menganggur agak lama diberikan keutamaan dalam temu duga yang dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan disyorkan juga supaya mereka berkelulusan IPTA diberikan keutamaan.

Siswazah bidang kejuruteraan juga perlu diambil perhatian kerana terlalu ramai yang mempunyai ijazah bidang ini sukar mendapatkan pekerjaan.

Jika perlu pihak agensi kerajaan dapat membantu pe nganggur berijazah ini mendapatkan pekerjaan di luar negara yang memerlukan tenaga profesional dan mahir daripada negara kita.

Negara ketiga atau negara sedang membangun memerlukan kepakaran profesional terutama sekali dalam bidang kejuruteraan dan teknikal untuk membangunkan negara mereka.

Apa salahnya mereka yang berkelulusan teknikal ini bekerja dalam bahagian pentadbiran kerana kepakaran mereka ini boleh menyumbangkan daya kreatif yang mampu membina dan memajukan pentadbiran itu sendiri.
Pengurusan universiti juga harus memainkan peranan dengan memberikan kerjasama dalam membantu mencari pekerjaan untuk pelajar yang menuntut di universiti mereka.

SYED ABDULLAH BIN SYED OSMAN JAMALULLAIL,
Ampangan, Seremban.

Bersyukurlah dapat menjadi Guru

by
Sejak kebelakangan ini, banyak sungguh rungutan daripada mereka yang bergelar guru. Ada sahaja yang tidak puas hati terhadap apa yang dinikmati sekarang.

Bermula dengan isu guru penat mengajar, guru teraniaya, guru tersiksa mengajar di kawasan pedalaman dan entah apa-apa lagi, setiap rungutan dipaparkan bagi meraih simpati kerajaan dan orang ramai.

Meneliti setiap rungutan yang dipaparkan oleh media, nampaknya guru sekarang terlalu berkira dan tidak lagi ikhlas bekerja demi agama, bangsa dan negara.

Pepatah, guru menerangi kehidupan orang lain tidak lagi sesuai dipraktikkan kerana segala apa yang dilakukan guru sekarang, mereka mahukan pembalasan sama ada gaji lebih, elaun lebih dan lain-lain.

Jika itulah rungutan guru sekarang, cuba fikirkan tentang rakan penjawat awam atau swasta lain yang sesetengahnya bergaji jauh lebih rendah, walaupun memiliki kelulusan akademik yang sama.

Kalau tak sanggup pikul tugas sebagai guru, lebih baik letak jawatan agar murid dan pelajar tidak menjadi mangsa guru yang terlalu berkira dan tidak ikhlas bekerja.

PENOREH GETAH
Jeli, Kelantan

- FORUM UTUSAN

Beginilah nasib polis menjaga keamanan...

by
Saya turut bersimpati dengan keluarga remaja berusia 15 tahun, Aminulrasyid Amzah, yang mati ditembak polis selepas tidak berhenti apabila cuba ditahan oleh polis minggu lepas.

Sebagai ibu dan anggota keluarga yang kehilangan anak/anggota keluarga, seharusnya mereka sangat bersedih atas tragedi itu dan adalah hak mereka untuk mempersoalkan tindakan polis sehingga mengorbankan anak mereka.

Walau bagaimanapun, saya juga berpendapat pihak polis yang selama ini kita semua amanahkan untuk menjaga keamanan negara tidak sepatutnya dipersalahkan sepenuhnya apabila tragedi seperti ini berlaku.

Pada saya, mereka telah mengikut prosedur yang sepatutnya sebelum tembakan dilepaskan. Apabila ia berlaku, amat malang sekali mangsa tembakan adalah seorang remaja 15 tahun.

Saya ingin memetik kata-kata seorang pegawai atasan polis yang begitu kecewa dengan masyarakat yang terlalu mudah menyalahkan pihak polis atas kejadian ini.

Bayangkan dalam situasi cemas ketika anggota polis cuba menahan dan mengejar mana-mana suspek, adakah mereka berpeluang dan mempunyai masa untuk 'bertanya' berapakah umur suspek (yang sudah terang cuba melarikan diri) sebelum tindakan lanjut boleh dilakukan?

Saya percaya kejadian sedih ini tidak akan berakhir begini sekiranya remaja dan rakannya berhenti dan menyerah diri sesudah tayar kereta mereka bocor terkena tembakan dalam usaha polis memberhentikan kereta. Benar, mereka masih muda tetapi mungkin kita lupa banyak sudah kes jenayah melibatkan remaja sekitar umur begini.

Sekiranya mangsa adalah anggota polis, siapa yang membela nasib mereka? Paling tidak pun, sudah tentu kita akan berkata; ''Oh.. itu kerja mereka dan risiko terkorban atau tercedera sudah tentu polis sudah sedia maklum.''

Beginilah nasib pihak yang menjaga keamanan dan keselamatan negara. Apabila kadar jenayah meningkat polis dituduh tidak buat kerja. Tetapi apabila pekara begini berlaku polis pula dituduh salah guna kuasa.

SHIDI
Semenyih, Selangor

- FORUM UTUSAN

Kaji semula syarat layak pemilihan guru lelaki

by
Saya ingin mengulas keluhan saudara Amin dari Setiu, Terengganu yang disiarkan ruangan ini, mengenai kegagalan anak lelakinya ditemuduga bagi kemasukan ke Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

Peratus secara rawak menunjukkan bahawa nisbah antara guru lelaki dan perempuan ternyata tidak seimbang dengan kaum hawa mendominasi lebih 50 peratus daripada jumlah guru di Malaysia. Perkara ini bukanlah sesuatu yang baru kerana sejak Penyata Razak 1956 dan Penyata Rahman Talib 1960, isu gender sudah dipertikaikan tetapi barangkali tidak ada langkah efisen yang mahu diambil pihak berwajib.

Saya tidak bermaksud mahu menyebelahi mana-mana pihak, tetapi saya percaya dengan kebejatan sosial dan masalah disiplin pelajar sekolah yang kian mencabar institusi pendidikan negara pada hari ini, pertimbangan dari aspek gender perlu diberikan sedikit perhatian.

Barangkali sudah tiba masanya pihak berwajib mempertimbangkan kuota bagi kemasukan guru lelaki ke IPGM atau mengikuti kursus pendidikan di IPTA. Perkara ini demi menyeimbangkan nisbah guru lelaki dan wanita pada masa akan datang.

Kudrat lelaki sememangnya diperlukan bagi mengawal tingkah laku pelajar yang semakin membimbangkan pada hari ini, lalu tidak ada jalan lain yang lebih baik selain menambah bilangan guru lelaki.

Untuk permulaan saya menggesa agar syarat kemasukan bagi guru lelaki dikaji semula secara telus dan adil.

Perkara ini penting, demi mewujudkan satu sistem pendidikan negara yang dinamik, holistik dan berkesan selaras dengan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 yang dicanangkan Kementerian Pelajaran.

ZULFAZLAN JUMRAH,
Universiti Putra Malaysia

- FORUM BERITA HARIAN

Kecewa anak gagal temu duga IPGM

by
Saya mewakili anak saya dan ibu bapa yang lain kecewa kerana anak lelaki kami gagal mendapat temu duga ke Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) walaupun mendapat keputusan baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 lalu.

Kami meminta Kementerian Pelajaran mengkaji semula syarat kemasukan pelajar lelaki ke IPGM bagi membolehkan lebih ramai pelajar lelaki mendapat tempat di institut itu.

Hasrat kerajaan mahu melihat keseimbangan pelajar lelaki dan perempuan di IPGM tidak akan tercapai sekiranya pelajar lelaki yang cemerlang dalam SPM, gagal mendapat temu duga.

Syarat sebenar untuk mendapat temu duga ke IPGM tidak diketahui kerana ada antara pelajar yang mendapat keputusan 5A berjaya mendapat tempat dan ada yang tidak. Jika kursus yang dipohon punca kegagalan itu, bahagian pengambilan IPGM boleh menentukan kursus apa yang mereka layak.

Apakah ada ‘kesilapan’ dalam pemilihan temu duga ke IPGM itu sehingga mereka yang agak cemerlang dalam keputusan SPM dan berminat untuk menjadi guru tercicir dalam senarai temu duga.

Tetapi jika keputusan 5A itu belum layak mendapat tempat di IPGM, pihak kementerian perlu mengkaji syarat kemasukan lelaki ke IPGM supaya lebih ramai lelaki akan berkhidmat sebagai guru.

Berita yang menyatakan hanya 20 peratus saja pelajar lelaki berbanding pelajar perempuan yang memohon memasuki IPGM menguatkan lagi persoalan mengapa pelajar lelaki yang mendapat keputusan 5A gagal mendapat tempat temu duga ke insitut itu.

Saya merayu Kementerian Pelajaran memanggil semula pelajar yang dianggap layak untuk ditemuduga kerana mereka begitu berminat untuk menjadi guru walaupun layak untuk mendapat kursus yang lebih baik di universiti tempatan.

AMIN,
Setiu, Terengganu

- FORUM BERITA HARIAN

Kecewa tak dapat duduki MTEST

by
Saya antara ribuan pemohon Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) ambilan Jun 2010 dan mahu menyatakan dukacita terhadap proses pemilihan calon bagi menduduki ujian Mtest yang akan diadakan tidak lama lagi.

Untuk pengetahuan semua, ramai antara kami tidak tersenarai bagi menduduki ujian itu sedangkan syarat yang dikemukakan pada borang permohonan sudah dipenuhi. Apabila dirujuk kepada Kementerian Pendidikan, jawapannya ialah terlalu ramai yang memohon justeru, tapisan terpaksa dibuat. Adakah kementerian sedar bahawa kami membayar RM6 dengan membeli nombor pin hanya untuk menduduki ujian itu serta ujian seterusnya. Sepatutnya pihak kementerian sudah bersedia dengan keadaan ini berdasarkan pengalaman lalu.

Mengapa tidak diletakkan saja syarat ketat supaya hanya yang benar-benar berkelayakan yang memohon jika ingin mengurangkan bilangan permohonan? Mengapa perkara ini tidak berlaku pada sesi pengambilan sebelum ini? Adakah ini caranya kementerian mahu mengaut keuntungan. Kami sedar bajet tahun ini untuk setiap kementerian agak sedikit kurang disebabkan keadaan ekonomi yang tidak mengizinkan tetapi ini bukan caranya. Ramai pemohon sudah memohon untuk kali kedua, ketiga dan ada antaranya untuk kali ketujuh. Untuk kali ini mungkin harapan mereka sedikit menggunung berdasarkan pengalaman menduduki sebelum ini tetapi alangkah sedih apabila semua persediaan telah dibuat, siang malam mengulang kaji soalan dan jawapan malangnya nama tiada dalam senarai panggilan. Betapa kecewa dan remuknya hati mereka hanya Allah yang tahu. Ke mana perginya slogan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’?

Oleh demikian, saya berharap Kementerian Pengajian Tinggi dapat membuat pertimbangan sewajarnya terhadap masalah ini. Beri mereka ini peluang sekali lagi. Semoga kita mendapat calon yang benar-benar berkelayakan yang dapat menunaikan tanggungjawab mendidik anak bangsa kita dalam mencapai kejayaan dan bukan hanya calon yang terdesak sekadar ingin berkerja dalam sektor kerajaan.

AZIZUDDIN OSMAN,
Kulim, Kedah.

- FORUM BERITA HARIAN 16 MAC 2010

Pelajar sarjana mohon PTPTN pertimbang kurang bayaran bulanan

by
Saya adalah antara ribuan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Sekalung penghargaan untuk pihak kerajaan kerana menyediakan 'bank' untuk rakyatnya demi mendapat segulung diploma atau ijazah. Ini sesuatu yang perlu diakui.

Untuk makluman, pada 15 Oktober lalu saya menerima surat daripada PTPTN menyatakan saya menangguh pembayaran PTPTN. Saya kecewa menerima surat ini disebabkan hampir setiap bulan saya membayar tanpa gagal walaupun dengan jumlah yang sedikit iaitu RM100.

Saya sudah menulis surat kepada pihak PTPTN bertarikh 26 Oktober 2009 untuk memohon pertimbangan pengurangan bayaran, namun pihak PTPTN tidak dapat mempertimbangkannya. Hal ini berikutan alasan yang saya kemukakan tidak menepati prosedur ditetapkan. Untuk makluman, saya sekarang sedang menyambung pengajian peringkat sarjana di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Di dalam surat jawapan, permohonan tidak diluluskan oleh kerana saya adalah pelajar separuh masa atau program luar kampus. Adakah ini realistik? Mana mungkin, saya perlu berhenti kerja semata-mata untuk menyambung pengajian bagi menepati syarat PTPTN.

Saya sendiri menggunakan pengeluaran Akaun 2 KWSP untuk membiayai yuran, namun tidak juga mencukupi sebaliknya perlu ditambah sendiri. Sepatutnya, menyambung pengajian tidak perlu diletakkan sebagai syarat memandangkan tidak ramai yang ingin menyambung pengajian ketika bekerja, apatah lagi untuk golongan yang sudah berumah tangga.

Saya tidak memohon untuk menangguhkan pembayaran sebaliknya hanya pengurangan. Untuk golongan ini, sudah pasti niat mereka suci murni iaitu bagi memperbaiki taraf hidup keluarga, serta menyumbang ke arah pembangunan negara.

Tiada bezanya untuk sepenuh atau separuh masa. Semuanya melalui proses dan penilaian sama. Jadi adakah syarat ini relevan dan menepati kehendak masyarakat. Pihak PTPTN sendiri sebelum ini meletakkan sesuatu polisi iaitu mesti selari dengan kehendak dan aspirasi rakyat, oleh kerana penubuhan PTPTN ini juga adalah untuk rakyat.

Mengikut matematik, jumlah keseluruhan pinjaman saya adalah sebanyak RM63,000 yakni diploma sebanyak RM15,000 dan ijazah pertama RM48,000. Mengikut jadual PTPTN termasuk caj perkhidmatan, saya perlu membayar RM450 sebulan.

Dengan gaji yang tidak seberapa saya tidak mampu membayar jumlah terkumpul serta ansuran yang bakal mencecah RM500 sebulan.

Setiap bulan, caj perkhidmatan akan terus meningkat disebabkan PTPTN mengamalkan sistem dua akaun. Sebagai contoh, saya membayar ansuran untuk peringkat diploma tetapi untuk ijazah caj perkhidmatannya akan terus naik tanpa belas ihsan.

Selepas, menerima surat balasan saya menghubungi pegawai PTPTN untuk cuba berbincang. Alangkah 'moleknya' apabila mendengar jawapan 'Encik... CEO kami sudah membuat keputusan, jadi encik mesti bayar seberapa segera yang boleh jika tidak bakal berdepan tindakan undang-undang.'

HISWADI ANUAR,
Pulau Pinang.

- FORUM BERITA HARIAN

MPS perjelas isu iklan jawatan kosong

by
Saya dengan hormatnya merujuk kepada laporan ruangan ini bertajuk 'Pemohon pertikai iklan jawatan kosong Majlis Perbandaran Seremban' bertarikh 23 November lalu.

Kekerapan pihak majlis menyiarkan iklan jawatan kosong di dalam akhbar, adalah bergantung kepada keperluan semasa dan kelulusan perjawatan oleh pihak Kementerian Kewangan.

Pihak majlis bukan sewenang-wenangnya menyiarkan jawatan kosong untuk diisi tetapi adalah berdasarkan kepada kekosongan jawatan baru dan juga surat kelulusan waran perjawatan yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan dan dikemukakan melalui Pejabat Kewangan Negeri, Negeri Sembilan kepada pihak Majlis Perbandaran Seremban.

Berhubung dengan prosedur pengambilan perjawatan melalui ujian kecergasan dan temu duga, ia adalah prosedur biasa yang dijalankan oleh pihak majlis. Pihak majlis ingin menasihatkan kepada calon-calon yang tidak berjaya agar sentiasa bersikap positif dan terbuka dalam hal ini memandangkan pihak majlis hanya memilih calon terbaik saja bagi mengisi kekosongan sesuatu jawatan.

ABD HALIM ABD LATIF
Yang Dipertua,
Majlis Perbandaran Seremban (MPS)


- BERITA HARIAN

Guru bukan sekadar mendidik - Ketua Pengarah Pelajaran

by
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada surat dalam ruangan Forum, Utusan Malaysia 3 Disember 2009 bertajuk Fokus pada mengajar murid-murid, bukan buat kerja pentadbiran: Erti sebenar guru cemerlang.

Kenyataan 'Guru-guru baru hendaklah bersedia menerima sebarang tanggungjawab yang diberikan oleh pengetua atau guru besar mereka', adalah ucapan saya semasa perasmian konvensyen guru baru, IPGM yang berjumlah lebih daripada 500 orang di Putrajaya baru-baru ini.

Pada umumnya, profesion perguruan memerlukan komitmen yang tinggi daripada semua pendidik. Ini bagi memastikan generasi pewaris negara iaitu anak didik diberikan pendidikan yang tidak berbelah bagi.

Kenyataan Akmal Fairuz dalam Forum, Utusan Malaysia pada 3 Disember 2009 tentang tugas profesional guru dan tugas pentadbiran masih boleh dipersoalkan. Sebenarnya tugas seperti menulis buku rekod mengajar, memeriksa buku latihan murid dan surat makluman kepada ibu bapa atau penjaga adalah sebahagian daripada tugas profesional guru.

Semua guru bertanggungjawab untuk mengenal pasti dan prihatin terhadap kemajuan dan kelemahan setiap anak didik mereka. Makluman ini bukan sahaja untuk pengetahuan guru bahkan untuk disampaikan kepada ibu bapa atau penjaga.

Oleh itu, tugas yang dikatakan tugas perkeranian itu sebenarnya adalah sebahagian daripada tugas guru untuk mendidik setiap individu murid bagi mencapai objektif pendidikan.

Dalam melaksanakan tugas sebagai seorang pendidik, pengajaran dan pembelajaran (P&P) tidak hanya berlaku dalam bilik darjah. Malah guru perlu mempunyai kreativiti dan inisiatif untuk melaksanakan P&P melalui aktiviti di luar bilik darjah.

Seorang guru perlu berusaha untuk membentuk kemahiran berfikir kritis dan kreatif murid-murid belajar melalui pengalaman secara terus (kontektualisme dan konstruktivisme) seperti gerak kerja luar bilik darjah, lawatan sambil belajar dan aktiviti kemasyarakatan yang bersesuaian dengan keperluan murid.

Usaha ini melibatkan pembentukan nilai-nilai murni, sahsiah, peribadi mulia serta kemahiran insaniah melalui aktiviti pasukan beruniform, kelab, sukan dan permainan serta lain-lain aktiviti luar darjah.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berhasrat untuk memperkasakan sukan dan permainan di sekolah bagi tujuan melahirkan atlet muda. Hal ini sudah tentulah memerlukan komitmen para guru sebagai orang di barisan hadapan untuk melatih dan mengenal pasti bakat murid-murid.

Oleh itu, latihan sebegini merupakan juga tugas profesional seorang guru. Ini juga selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu untuk melahirkan murid yang seimbang dari segi intelek, jasmani, emosi dan rohani.

Seorang pentadbir sekolah perlu dilantik dalam kalangan profesional (guru) kerana berasaskan kepada pengetahuan dan pengalaman, pengetua atau guru besar berupaya untuk memastikan semua dasar yang berkaitan dengan pembangunan kemanusiaan dapat dilaksanakan selain daripada urusan pentadbiran yang biasa.

Guru mempunyai kelebihan daripada aspek pengetahuan ilmu psikologi kanak-kanak atau remaja dan kepakaran dalam pedagogi.

Maka semua guru sebagai seorang profesional perlu merebut peluang menimba pengalaman dengan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti sebagai langkah menyediakan diri untuk menjadi seorang pengurus dan pentadbiran profesional kelak.

Berkaitan dengan pandangan Akmal Fairuz bahawa guru hanya memberi tumpuan kepada P&P di bilik darjah sahaja tidak begitu tepat. Pengurusan pendidikan dilaksanakan oleh orang profesional. Ini disebabkan mereka lebih arif dan berpengalaman mengenai perkara yang melibatkan pendidikan dan melahirkan modal insan.

Tidak salah guru berpengalaman dilantik sebagai pentadbir seperti menjadi Pengetua atau Guru Besar, pegawai Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) atau Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) hinggalah ke peringkat kementerian. Ini juga menjadi amalan di kebanyakan negara maju.

Adalah menjadi harapan saya, semua guru melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan amanah bagi memartabatkan profesion perguruan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan yang diberikan kepada rakyat, selaras dengan gagasan '1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.

TAN SRI ALIMUDDIN MOHD. DOM
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
Kementerian Pelajaran Malaysia.

Calon SPM boleh guna kalkulator ikut spesifikasi

by
Kementerian Pelajaran ingin merujuk kepada surat pembaca bertajuk 'Calon SPM dihalang guna kalkulator' yang disiarkan pada 24 November 2009 yang lalu.

Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dan kementerian ingin mengucapkan terima kasih dan mengambil maklum mengenai keprihatinan terhadap perkara ini.

LPM dan kementerian ingin menjelaskan bahawa setiap calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dibenarkan untuk membawa masuk ke dewan/bilik peperiksaan kalkulator saintifik yang tidak boleh diprogramkan.

Untuk makluman, syarat penggunaan kalkulator adalah seperti dalam syarat yang ada dalam buku peraturan dan panduan peperiksaan SPM 2009.

Spesifikasi am bagi kalkulator yang dibenarkan adalah seperti berikut:

# Mematuhi prinsip pengiraan operasi matematik

# Mempunyai paparan sekurang-kurangnya 8 digit dengan tambahan dengan 2 digit Eksponen

# Tidak boleh diprogramkan

# Boleh menukar unit darjah kepada unit radian dan sebaliknya

# Boleh menukar pecahan kepada perpuluhan dan sebaliknya

# Boleh menyimpan nilai sesuatu nombor (memory)

Oleh yang demikian hanya ciri-ciri yang digariskan ini saja dibenarkan. LPM tidak dapat memperincikan jenis atau jenama kalkulator yang tepat yang boleh dibawa oleh calon ke dalam dewan/bilik peperiksaan kerana terlalu banyak ciri-ciri dan jenis kalkulator yang ada di pasaran.

Bagaimanapun, kalkulator Casio fx570ES dan Casio fx570MS memenuhi spesifikasi di atas dan boleh digunakan untuk peperiksaan. Sehubungan itu, maka diputuskan bahawa calon dibenarkan membawa masuk kalkulator Casio fx570ES atau Casio fx570MS ke dewan/bilik peperiksaan bagi kertas Matematik Tambahan 1 dan 2 yang berlangsung pada Rabu, 25 November lalu.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran Malaysia.

- BERITA HARIAN

Perbetulkan frasa "Saya Yang Menurut Perintah"

by
Oleh EZZUDDIN RAZAD
Putrajaya

Saya adalah antara ribuan pekerja swasta yang beralih angin bertugas sebagai penjawat awam bagi mencurahkan khidmat bakti kepada institusi kerajaan.

Tidak dapat dinafikan, saya juga mengalami perubahan cara dan persekitaran kerja yang berbeza dari sektor swasta dan sektor awam. Namun itu adalah sesuatu yang normal bagi sesiapa sahaja yang berhijrah ke tempat kerja yang baru.

Apa yang menarik perhatian saya adalah penggunaan frasa "Saya Yang Menurut Perintah" di sektor awam. Ternyata frasa ini dipergunakan secara meluas di surat-surat rasmi mahupun apa bentuk tugas yang diarahkan.

Namun saya berpendapat frasa ini kadangkala disalah erti oleh sesetengah pihak. Mereka merasakan mereka wajib mengikut arahan tanpa usul periksa.

Saya melihat ini adalah suatu persekitaran kerja yang kurang sihat di mana jika dibiarkan boleh mewujudkan suasana kerja yang tidak kompetitif.

Bagaimanapun saya suka melihat dari sudut mengapa perkara ini boleh berlaku.

Pertama, saya berpendapat ruang perbincangan di antara pemberi arahan dan penerima arahan perlu dibuka dengan lebih telus dan berkesan.

Mahu tidak mahu ada di antara penerima arahan merasakan diri mereka tidak wajar atau tidak layak mengulas lanjut tentang arahan yang telah diberikan. Ketika inilah peranan pemberi arahan amat diperlukan.

Perdana Menteri kita, Datuk Seri Najib Tun Razak juga menyatakan "Era kerajaan mengetahui segala-galanya sudah berlalu" yang mana setiap ketua di sektor awam harus mempraktikkan komunikasi dua hala dengan pekerja mereka.

Selain daripada hanya memberi arahan, tanya pendapat mereka tentang arahan yang diberikan. Wujudkan ruang perbincangan di mana "walaupun saya ketua tidak semestinya saya sentiasa betul". Persekitaran seperti ini akan melahirkan pekerja yang lebih pro aktif dan dinamik.

Kedua, keberanian menyuarakan pendapat sering disalah ertikan sebagai degil dan melawan arahan. Penerima arahan yang sering menyuarakan pendapat dilabel sebagai tidak suka kepada majikan. Percaya atau tidak, ada pekerja yang dipulaukan kerana alasan sedemikian. Ini juga harus diubah.

Menyuarakan pendapat adalah perkara yang sangat perlu bagi melahirkan pekerja yang rajin berfikir. Mereka yang hanya mengikut arahan tanpa soal kadang kala mereka yang sudah tidak mahu berfikir kerana takut dilabel degil oleh pekerja lain.

Di sini sekali lagi peranan ketua jabatan amat diperlukan. Jangan melabel orang yang memberi pendapat itu sebagai orang yang suka melawan. Mungkin ada jalan yang lebih murah dan efektif idea yang dicetuskan oleh penerima arahan.

Secara ringkasnya, frasa ini boleh diperbetulkan dengan sebahagian besar peranannya dimainkan oleh pemberi arahan. Jangan jadikan frasa ini sebagai satu tiket untuk merasakan diri anda berkuasa untuk jawatan anda.

Walaupun nampak remeh, memperbetulkan tafsiran salah frasa ini mungkin dapat merealisasikan "1 Malaysia" dengan jayanya.

Pengalaman memang mendewasakan kita, tetapi jangan pula menganggap apa yang kita lalui itu sentiasa betul. Adakalanya kita memerlukan idea daripada mereka yang lebih muda daripada kita.

Jangan takut menghadapi kesilapan, tetapi takutlah menghadapi kesilapan yang sama berulang kali.

- FORUM UTUSAN

Surat terbuka kepada ahli politik Malaysia

by
Sebagai seorang rakyat Malaysia yang sayangkan perpaduan dan ketenteraman negara maka tergerak hati saya untuk menulis kembali dalam ruangan ini untuk meluahkan perasaan sedih dan hampanya hati saya apabila melihat perkembangan politik semasa tanah air. Senario sekarang bukan sahaja telah menyemarakkan api ke arah merosakkan perpaduan di kalangan rakyat jelata tetapi ia juga amat berpotensi untuk membuka ruang dan peluang untuk negara kita dijajah semula.

Surat terbuka ini ditujukan khas kepada semua ahli politik di Malaysia.

Nenek moyang dan ibu bapa kita telah berjuang bermati-matian untuk menuntut kemerdekaan dan mereka telah berjaya menghadiahkan kita sebuah tanah air berstatus merdeka. Demi menghargai perjuangan mereka, kita seharusnya pula berjuang bermati-matian untuk memberikan hadiah kepada anak cucu kita sebuah negara berstatus maju dan dihormati di seluruh dunia dan bukannya merosakkan keamanan dan kesejahteraan negara yang kita cintai.

Sebagai rakyat biasa, dengan rasa rendah hati ingin saya berikan amaran dan peringatan kepada semua ahli politik dan rakyat Malaysia yang menyimpan cita-cita untuk menjadi ahli politik pada masa hadapan supaya jangan berpolitik sehingga pegangan ideologi politiknya bertentangan atau melawan arus prinsip Rukun Negara. Berpolitik bertentangan dengan prinsip itu akan menjadikan kita sebuah negara yang porak-peranda dan seterusnya tidak aman dan sejahtera.

Janganlah kita berpolitik sehingga kita menumpukan seluruh tenaga dan usaha kita semata-mata untuk memenangi hati rakyat sehingga kita melunturkan kesetiaan rakyat kita kepada Raja. Janganlah kita sewenang-wenangnya memalukan negara kita di kaca mata dunia. Di manakah kesetiaan kita kepada negara jika kita sebagai ahli politik terus bermegah apabila berjaya merosakkan nama baik negara kita di persada dunia? Janganlah kita jadi seumpama Pak Kaduk, Menang Sorak Kampung Tergadai.

Janganlah kita berpolitik sehingga terarah secara sengaja atau tidak sengaja menolak Perlembagaan Negara yang telah digubal berasaskan kesepakatan semua kaum dan semua pihak di negara ini berdasarkan satu kontrak sosial.

Janganlah kita berpolitik sehingga kata-kata kita atau tingkah laku kita mewujudkan kekacauan dan melanggar undang-undang serta tidak menghormati keadilan diasaskan atas kedaulatan undang-undang di mana setiap rakyat sama tarafnya di sisi undang-undang negara.

Janganlah kita berpakat menyemarakkan api di kalangan rakyat untuk menggulingkan kerajaan sama ada dengan kekerasan atau dengan cara-cara yang tidak menurut Perlembagaan.

Akhir kata, tingkah laku sopan juga mengandungi satu darjah kesusilaan yang tinggi dalam kedua-dua kehidupan persendirian dan kehidupan bernegara. Oleh yang demikian, sebagai seorang ahli politik, seharusnya anda berpegang pada nilai yang positif dan murni ini dan tidak mengamalkan budaya kurang ajar dan biadap.

Pesanan kepada ahli politik, berpeganglah kepada peribahasa ini: 'Yang kurik itu kendi, yang merah itu saga. Yang baik itu budi, yang indah itu bahasa.'

Kita semua sebagai rakyat biasa pula, marilah kita mulakan satu gerakan menolak pemimpin atau ahli politik yang menentang prinsip Rukun Negara kerana ia akan pasti merosakkan perpaduan di kalangan kita dan merugikan anak bangsa kita pada masa hadapan. Bak kata pepatah, 'Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.'

WIRAKARNAIN SANI
Universiti Malaya

- FORUM UTUSAN

Kenapa tiada pengambilan calon KPLI sesi 2010?

by
Saya terpanggil untuk meluahkan kekecewaan melibatkan isu pengambilan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) bagi sesi 2010. Saya merupakan salah seorang daripada ribuan siswazah yang tidak berpeluang mengambil jurusan pendidikan semasa pengajian di universiti walau pun mempunyai minat yang mendalam terhadap bidang perguruan.

Selepas tamat pengajian pada Ogos 2009, saya tertunggu-tunggu iklan KPLI untuk ambilan 2010. Malangnya apabila melayari laman Kementerian Pelajaran Malaysia, terdapat pemberitahuan berikut:

“Pengambilan Calon Guru Kursus Perguruan Lepas Ijazah Sekolah Rendah (KPLI-SR) Mode Sepenuh Masa bagi ambilan Januari 2010 adalah tidak diiklankan. Pemilihan calon guru adalah berdasarkan calon simpanan yang memohon bagi KPLI-SR Ambilan Khas Jun 2009”.

Persoalan saya di sini ialah:

* Mengapa borang KPLI tidak diiklankan bagi sesi 2010 (selain ambilan khas Jun 2009)? Ini telah menidakkan hak-hak kami (siswazah lepasan 2009) untuk menceburi bidang pendidikan. Di manakah keadilannya?

* Mengapakah ambilan KPLI tahun 2010 diambil daripada calon simpanan? Setahu saya, sebelum ini tiada istilah ‘calon simpanan’ diwujudkan. Berdasarkan pengalaman calon-calon lepas (yang pernah memohon untuk KPLI), mereka perlu mengisi permohonan baru setiap tahun.

* Mengapa hanya memberi peluang kepada calon simpanan yang memohon pada ambilan khas Jun 2009 sahaja? Di manakah relevannya pemilihan mereka? Saya ingin tahu mengapakah hanya kelompok mereka sahaja dipilih bagi pengambilan 2010? Mengapa hanya berlaku pada pengambilan kali ini? Adakah ini suatu kesilapan atau pun merupakan dasar baru Kementerian Pelajaran Malaysia?

Apa pun alasan yang akan diberikan, saya merasa masih belum terlambat sekiranya Kementerian Pelajaran Malaysia memberi peluang baru kepada kami. Saya mencadangkan agar pemohonan pengambilan baru diiklankan bagi ambilan Julai 2010, agar semua siswazah yang memohon bersaing secara sihat dan adil.

Saya sangat berbesar hati sekiranya pihak atasan membuka mata dan tidak memandang remeh mengenai isu ini selaras dengan konsep 1Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

GRADUAN
Port Dickson, Negeri Sembilan

- FORUM UTUSAN MALAYSIA

Sikap punca jumlah kemalangan terus meningkat

by
Hari ke-11 Ops Sikap ke-20 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri menyaksikan 15 lagi pengguna jalan raya terbunuh, menjadikan jumlah keseluruhan angka korban sehingga semalam 192 orang. Sementara itu, 1,171 kemalangan direkodkan.

Menurut statistik yang dikeluarkan Bukit Aman daripada 15 kematian itu, 10 melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal manakala kereta mencatatkan tiga, diikuti pejalan kaki dan van masing-masing satu.

Persoalannya, mengapa kemalangan terus berlaku dan makin meningkat dari sehari ke sehari. Adakah kita tidak mampu mensasarkan kemalangan sifar atau mengurangkan jumlah kemalangan maut?

Pada pandangan saya, punca utama berlakunya kemalangan di negara kita adalah kerana sikap pemandu sendiri. Sikap pemandu yang terburu-buru dan cuai telah menyumbang kepada berlakunya kemalangan.

Kebanyakan pemandu di Malaysia bersikap mementingkan diri sendiri dan tidak memikirkan keselamatan orang lain ketika memandu. Sebagai contoh, tidak mengamalkan jarak selamat dan mengekori dengan terlalu rapat kenderaan di hadapan sehingga menyebabkan mereka gagal memberhentikan kenderaan apabila kecemasan.

Selain itu, terdapat juga segelintir pemandu yang terlampau peka dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka dan memperlahankan kenderaan di kawasan yang tidak perlu mereka perlahankan kenderaan.

Sebagai contoh, ketika memandu di lebuh raya, para pemandu mempunyai kecenderungan untuk memandu dengan perlahan di kawasan yang berlaku kemalangan untuk melihat kemalangan yang berlaku. Apabila kereta mereka diperlahankan, ini menyebabkan aliran trafik turut terjejas dan menjadi perlahan. Secara tidak langsung, perkara ini boleh juga membuatkan mereka hilang fokus dan tumpuan pada pemanduan mereka dan menyebabkan kemalangan.

Saya juga mendapati, sikap pemandu-pemandu terutamanya di lebuh raya amat mengecewakan. Ada di antara para pemandu yang menggunakan lorong kecemasan semata-mata mahu cepat dan memotong kenderaan-kenderaan lain. Walaupun pelbagai kempen telah dijalankan oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya untuk memberi kesedaran kepada para pemandu untuk tidak menggunakan lorong kecemasan, namun mereka masih berbuat demikian.

Saya menyarankan agar pihak Polis Diraja Malaysia mempergiatkan rondaan di lebuh raya dan mengeluarkan saman kepada golongan yang tidak bertanggungjawab ini.

Selain faktor kecuaian manusia, terdapat juga kemalangan yang disebabkan oleh keadaan kenderaan yang tidak selamat dan boleh menjejaskan keselamatan kenderaan dan penumpang.

Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan malang tidak berbau, namun sebagai pengguna jalan raya yang bertanggungjawab, kita mampu mengelakkan sesuatu kemalangan jika kita mematuhi semua peraturan dan undang-undang jalan raya dan mengamalkan pemanduan berhemah.

Bagi pemandu-pemandu yang beragama Islam, kita disunatkan dan amat digalakkan untuk memulakan perjalanan dengan bacaan doa menaiki kenderaan. Doa yang dipohon, jika disertakan dengan pemanduan berhemah dan sikap yang bertanggungjawab, saya yakin kita mampu untuk mengurangkan jumlah kemalangan yang semakin meningkat dari sehari ke sehari.

Kita boikot Indonesia

by
Pertikaian antara Malaysia dan Indonesia nampaknya semakin "meruncing". Jika dilihat dari segi logiknya, hanya kita orang Malaysia yang sentiasa mendengar dan memberikan laluan kepada negara jiran itu.

Mereka memberontak, membakar bendera kita, dan sekarang cuba mencari rakyat Malaysia, bagi tujuan apa, hanya Tuhan sahaja yang tahu. Jika kita rakyat Malaysia berfikir secara waras, cuba kita fikirkan semula apakah yang terjadi pada tahun 1998 sewaktu mereka menggulingkan Suharto?

Sebagai rakyat Malaysia yang terkandas di Jakarta pada tahun 1998, dan seterusnya jika tanpa bantuan kedutaan kita, mungkin saya sudah lama tidak menghirup angin keamanan negara kita Malaysia. Oleh yang demikian, saya ingin menyarankan, sekiranya rakyat Indonesia itu sendiri yang bermati-matian mahu "membunuh" jiran mereka ini, saya cadangkan agar Malaysia mencari jalan supaya negara dan rakyat kita tidak dipijak seperti mana yang mereka fikirkan kita boleh dibuat begitu.

Cadangan saya:

1. Boikot barangan import dari Indonesia untuk sementara waktu.

2. Boikot kedatangan pekerja asing dari negara itu sendiri untuk waktu yang tertentu, ataupun sampai rakyat mereka sedar, yang mereka sangat memerlukan Malaysia bagi menjana ekonomi mereka sendiri.

3. Jangan diperpanjangakan visa pekerjaan mereka selepas dua atau tiga tahun, ataupun visa mereka yang sudah tamat tempohnya dalam waktu ini.

4. Menteri Dalam Negeri/Luar Negeri harus memberikan taklimat yang betul dan menjelaskan perasaan rakyat kita sendiri terhadap sikap yang ditunjukkan oleh warga Indonesia.

Jika kita mula melakukannya, saya pasti bahawa bukan sahaja negara Indonesia itu sendiri yang merasa peritnya, namun lebih perit lagi kepada rakyat mereka sendiri yang terutamanya sangat berharap kepada kekukuhan ekonomi Malaysia sebagai sumber pendapatan mereka dan keluarga di Indonesia.

Kenapa kita mesti merasa takut dan masih berharap agar mereka sedar? Mereka ini tidak akan sedar, kerana dari pengalaman saya yang tinggal di negara itu selama enam tahun, perangai rakyat mereka yang datang dari kelas bawahan ataupun sangat miskin, sangatlah menggerunkan.

Dan perlu diingat bahawa lebih dari 85 peratus rakyat Indonesia adalah dalam lingkungan dua kelas ini. Jika warga di pulau Bali sangat membenci "orang Indonesia" mereka sendiri (ingat pada Bali 2002 dan 2005?), nah kita rakyat Malaysia, fikirkanlah sendiri akibatnya.

Jika kita sangat bangga jika dapat memboikot gergasi besar Amerika, mengapa tidak kepada Indonesia?

JULIANA ARIFF

- FORUM UTUSAN

Kenapa dipalu gendang perang?

by
Oleh GUNAWAN MAHMOOD
Ulu Tiram, Johor Bahru

Saya sungguh tidak faham terhadap tingkah laku segelintir rakyat Indonesia dan media mereka yang bertindak mengapi-apikan rakyat mereka membenci Malaysia.

Saya rasa ini benar-benar sikap yang tidak sopan dalam mewujudkan satu rantau yang aman dan harmoni. Ini bukan masanya kita mendabik dada dan menyatakan siapa yang kuat.

Perjuangan kita harus berfokus bagaimana hendak menaikkan taraf hidup rakyat senusantara ini agar menikmati kehidupan yang lebih baik, meningkatkan kualiti hidup dan mengukuhkan kedudukan ekonomi kita. Konsep memakmurkan jiran harus diterjemahkan secara ikhlas dan bersungguh-sungguh.

Elok saja tenaga yang dikerah untuk 'memerangi' Malaysia itu digunakan untuk membangunkan negara atau membantu rakyat mereka sendiri yang menghadapi musibah bencana alam.

Tenaga yang banyak itu penting bagi membangunkan infrastruktur yang rosak binasa. Usah sibuk memerangi saudara sendiri.

Mereka mesti sedar, beratus-ratus ribu rakyat Indonesia mencari nafkah di Malaysia. Mereka bertungkus-lumus bekerja siang dan malam mencari penghidupan yang lebih baik, malah mengirim pendapatan mereka untuk saudara mara mereka di Indonesia.

Tidak terfikir sama sekali mereka hendak memerangi Malaysia, tanah yang memberi rezeki kepada mereka. Jika pun negara ini hancur kerana diperangi mereka, apa lagi yang mereka dapat daripada negara ini?

Sebahagian kecil rakyat Indonesia agak emosional. Barangkali media mereka cuba mengalih perhatian daripada masalah yang mereka hadapi hari ini. Kerja mengapi-apikan rakyat tidak memberi apa-apa keuntungan kepada kedua-dua negara. Yang penting, bagaimana perut mahu diisi pada esok hari.

Bagaimana anak-anak boleh mendapat pelajaran untuk hari depan dan bagaimana rumah-rumah dapat dibuat untuk perlindungan.

Jangan diapi-apikan rakyat dengan omong kosong penuh semangat tetapi tidak membawa makna apa-apa.

Seruan memerangi Malaysia atau 'Ganyang Malaysia' bukan hal baru. Ketika Malaysia mencapai kemerdekaan dulu, seruan 'Ganyang Malaysia' sudah berkumandang. Kemerdekaan Malaysia dikatakan 'neo kolonialisme' atau penjajahan baru Imperialis British.

Lalu rakyat Indonesia diseru membantu rakyat Malaysia yang 'kebuluran' makan ubi kayu.

Komando-komando Indonesia terjun di Labis, Pontian dan beberapa tempat lain.

Rakyat Malaysia pula terpaksa mengadakan home guard bagi menjaga kampung masing-masing.

Akhirnya, mereka tertipu kerana rakyat Malaysia hidup aman tenteram dan cukup sandang pangan (makan pakai).

Sejarah tidak pernah menipu. Hari ini, seruan-seruan memerangi Malaysia kedengaran lagi.

Mujurlah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Susilo Bambang Yudhiyono pemimpin yang sabar, panjang akal dan tenang. Mereka tidak terkocoh-kocoh atau hilang sabar atas desakan pemimpin-pemimpin jalanan.

Wajar kedua-dua mereka diangkat sebagai pemimpin dua negara Nusantara yang terkenal ini.

Pemimpin tidak beromong kosong, mereka menilai daripada pelbagai sudut untuk mencari jalan membahagiakan rakyat jelata.

Soal budaya bukan soal baru dalam hubungan Malaysia-Indonesia. Memang pada peringkat awal, kita lebih banyak mengagumi budaya Indonesia kerana kita merujuk Indonesia sebagai 'Abang Besar' dalam kesusasteraan dan kebudayaan.

Kita malah mengenali budayawan dan sasterawan Indonesia awal 60-an. Kita pelajari Sutan Takdir Alisyahbana, Hamka, Sanuse Pane, Khairil Anwar, WS Rendra dan lain-lain lagi. Malah mengagumi filem-filem dan novel-novel Indonesia juga.

Tapi itu dulu! Sekarang sudah 52 tahun Malaysia merdeka. Kita punya identiti dan jati diri yang tersendiri.

Soal kebersamaan tidak dapat dielakkan kerana pergerakan budaya dalam lingkungan Nusantara ini hadir bersama pengamalnya.

Usahlah hendak memerangi Malaysia. Marilah di bulan yang mulia ini kita bantu mangsa-mangsa gempa bumi.

Malaysia sendiri selalu hadir membantu seperti peristiwa tsunami dan mala petaka yang lain. Wujudkanlah Nusantara yang stabil dan sejahtera. Salam senusantara.

Pelajar di Jakarta kongsi pengalaman

by
Oleh RIZAL ABD RAHMAN
Setiausaha Badan Perhubungan (Kelab UMNO) Negara Indonesia,
Pengerusi Kelab UMNO Jakarta.

Kita dihebohkan dengan isu hangat rakyat Malaysia menerima ancaman di Indonesia. Minggu lalu, sekumpulan rakyat Indonesia melakukan gerakan provokasi 'Sapu Orang Malaysia' di Jalan Diponegoro, Jakarta.

Dalam demonstrasi tersebut, penunjuk perasaan yang bersenjatakan buluh runcing bagi mencari rakyat Malaysia ekoran isu berbangkit berhubung tarian Pendet.

Sukacita saya berkongsi keadaan kami, pelajar-pelajar Malaysia di Jakarta.

Sebenarnya keadaan di sini tidaklah seburuk yang diberitakan oleh media. Walaupun keadaan sememangnya agak tegang, tetapi semuanya masih dalam keadaan terkawal.

Buat pengetahuan semua, sentimen 'tidak senang' kepada Malaysia (ingin saya tekankan mereka di sini tidaklah sampai kepada tahap 'anti') semakin menjadi-jadi sejak awal tahun ini berikutan beberapa isu yang timbul antara negara Malaysia-Indonesia. Antaranya dimulai dengan kes penderaan tenaga kerja Indonesia, kes sempadan blok Ambalat, Manohara, dan terbaru kes Tarian Pendet.

Walaupun pada dasarnya kes-kes tersebut tidaklah sebesar mana dan Malaysia sentiasa memberi kerjasama agar setiap kes diteliti dan dibawa ke mahkamah untuk dihakimi secara adil, tetapi isu-isu ini telah dieksploitasi secara berlebihan oleh media massa Indonesia.

Tindakan tidak bertanggungjawab dan pentingkan diri sendiri ini telah memprovokasi banyak pihak di Indonesia sehingga keadaan semakin hari semakin tegang.

Segelintir lapisan masyarakat di sini, terutama mereka dari golongan berpendidikan rendah, adalah antara yang mula 'termakan' provokasi media tersebut. Cabaran psikologi seperti pandangan sinis tidak senang dengan kehadiran pelajar-pelajar Malaysia dan kata-kata berunsur menyindir merupakan antara yang dihadapi oleh para pelajar kita di sini.

Setakat ini hubungan di kampus dan aktiviti sehari-hari pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia berjalan seperti biasa.

Bagaimanapun, kami di sini berpendapat sekiranya perkara ini tidak cepat diatasi secara bijak oleh kepimpinan dua negara, hal yang lebih serius dikhuatiri akan berlaku.

Memorandum pelajar telah pun dihantar kepada pemimpin-pemimpin atasan Malaysia melalui Kelab UMNO Jakarta yang antara lain berkisar tentang kepentingan untuk kerajaan Malaysia menggerakkan dengan lebih agresif peranan organisasi yang ditubuhkan khas bagi menjaga hubungan dua hala Malaysia-Indonesia seperti Eminent Person Group (EPG) yang turut dikepalai oleh Tun Musa Hitam.

Kami menyambut baik kenyataan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak dan barisan Menteri serta kenyataan Presiden Republik Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono yang prihatin dan turut tidak bersetuju atas apa yang berlaku dan berjanji akan memulihkan semula hubungan dua negara yang kini terguris.

Buat pengetahuan semua, beberapa langkah turut diambil oleh Kedutaan Besar Malaysia melalui Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia (JPMI) dan persatuan-persatuan pelajar serta Kelab UMNO di sini bagi memastikan keselamatan pelajar-pelajar kita terjamin. Satu organisasi khas ditubuhkan bagi memantau kegiatan semua pelajar kita di republik ini. Info-info terkini juga disampaikan dari semasa ke semasa kepada mereka.

Pelajar-pelajar turut dinasihatkan supaya tidak ke tempat umum dalam waktu terdekat. Aktiviti-aktiviti luar persatuan dan kelab pelajar Malaysia juga dinasihatkan untuk dihentikan buat sementara waktu. Notis supaya pelajar-pelajar kita untuk tidak terlibat dalam sebarang bentuk provokasi secara verbal atau melalui SMS, emel atau Facebook turut dikeluarkan oleh pihak kedutaan.

Selain itu, jaringan persahabatan antara pelajar Malaysia dan Indonesia turut diperkukuhkan melalui usaha mengadakan satu perjumpaan khas pemimpin--pemimpin pelajar dari dua negara.

Antara yang disepakati pada pertemuan tersebut adalah usaha memperkuat hubungan pelajar Malaysia dan pelajar Indonesia melalui aktiviti-aktiviti sihat yang bakal diatur secepat mungkin. Kepimpinan pelajar tempatan di sini turut prihatin dan memberi jaminan akan sentiasa berusaha memastikan pelajar-pelajar kita dilindungi sekiranya sesuatu tidak diingini berlaku.

Semoga Allah SWT memberi hidayah kepada kita semua dalam usaha menyelesaikan segala permasalahan.

Baiknya Malaysia

by
Oleh ILHAM SYAKIMA
Kedah Darul Aman

Kita dikejutkan dengan peristiwa membakar Jalur Gemilang ketika kita menyambut ulang tahun Kemerdekaan Ke-52. Kemudian diikuti beberapa siri menggertak Malaysia 'ganyang Malaysia' dan yang terbaru 'sweeping Malaysia' dengan buluh runcing. Bayangkan apa yang akan jadi sekiranya kita ikut menjadi 'bodoh' seperti mereka.

Teringat isu Ambalat beberapa bulan yang lalu di mana kebanyakan para penunjuk perasaan yang memprotes isu tersebut bersungguh-sungguh mahu bertindak terhadap Malaysia seolah- olah kesilapan Malaysia itu amat serius dan seolah-olah mereka tidak pernah menceroboh perairan Malaysia.

Barangkali kumpulan ini lupa bahawa di negara ini terdapat jutaan rakyat Indonesia yang mencari rezeki secara halal dan secara tidak halal. Bagaimana nasib mereka jika rakyat Malaysia menyambut cabaran segelintir rakyat Indonesia tersebut? Mereka lupa betapa longgar dan murah hatinya Malaysia terhadap rakyat Indonesia hinggakan soal gaji pembantu rumah dari sana pun majikan di negara ini tiada hak hendak putuskan jumlahnya melainkan harus menunggu permintaan dari pihak Indonesia.

Dan dengarnya permintaan gaji minimum tersebut mencecah RM800 melebihi gaji pekerja tempatan di kilang-kilang sedangkan semua tahu bahawa pembantu rumah dari Indonesia tidak perlu menyewa rumah, tidak payah keluarkan wang untuk makan dan minum dan tidak payah berbelanja untuk pengangkutan. Gaji yang diterima adalah gaji bersih. Sedangkan pekerja tempatan walaupun bergaji lebih kecil terpaksa berbelanja pula untuk itu semua.

Begitu baiknya Malaysia terhadap rakyat Indonesia. Kerana mereka ada di Malaysia, saban hari dan setiap minit ada sahaja lagu-lagu dari republik itu disiarkan. Setiap masa ada sahaja drama dari sana ditayangkan walaupun mutunya sangat rendah. Malah ada sebuah stesen radio swasta menyediakan satu program khas untuk lagu-lagu dari seberang itu.

Begitu baiknya Malaysia sehingga membenarkan hasil seni Tan Sri P. Ramlee 'diganyang' sehingga hilang keindahannya. Lagu Madu Tiga yang biasanya dinyanyikan oleh Biduanita Negara dinyanyikan pula oleh Ahmad Dhani dari Indonesia dan stesen radio tempatan pun tidak peduli tentang sensitiviti rakyat Malaysia, terus menyiarkan lagu tersebut pada setiap masa, meninggalkan lagu yang asal nyanyian P. Ramlee.

Begitu baik Malaysia pun hendak diganyang juga hanya kerana beberapa saat menyiarkan tarian dari Bali itu sedangkan ada rakyat Indonesia sendiri tidak kenal pun tarian tersebut.

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90