Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label Gempar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Gempar. Papar semua catatan

CIMB minta pelanggan berwaspada jenayah siber

by

 


CIMB menyarankan pelanggannya supaya sentiasa berwaspada dan memainkan peranan mereka dalam melindungi diri daripada jenayah siber.

Menurut bank tempatan itu, pelanggan diingatkan supaya jangan berkongsi butiran seperti OTP, nombor kad, ID Pengguna, PIN, TAC, kata laluan dengan sesiapa sahaja atau memasukkan butiran berkenaan pada mana-mana laman web selain daripada CIMB Clicks serta aplikasi perbankan mudah alih CIMB.

"Sentiasa semak semula alamat atau URL laman web secara teliti sebelum anda klik pautan berkenaan atau masukkan butiran anda.

"Semua pelanggan dinasihatkan untuk menghubungi pusat panggilan kami dengan segera di 03-62047788 sekiranya terdapat transaksi atau aktiviti yang mencurigakan. Rujuk laman cimb.com.my/sec untuk info lanjut," katanya ketika menjawab pertanyaan menerusi e-mel mengenai terdapat dakwaan kehilangan wang dalam akaun bank seorang pelanggannya.

Kelmarin seorang pakar perubatan, Dr Rafidah Abdullah mendedahkan wang berjumlah RM13,000 miliknya lesap daripada akaun bank CIMBnya.

"Sudah hampir 30 tahun dengan CIMB. Hari ini sangat sangat kecewa dengan CIMB. Langsung tiada sekuriti. Takkan lah 3 transaksi melalui CIMB click berjumlah RM13 ribu pada 2-2:30 pagi tidak ada trigger langsung? Langsung tidak ada minta TAC. Lesap dalam sekelip mata.

"This is absolutely ridiculous. Nampaknya duit TIDAK SELAMAT dengan CIMB bank. Saya dah report ke CIMB, polis dan sebagainya. Setakat ini feedback adalah kalau scammer dah keluarkan duit, duit itu tidak akan dapat dipulangkan.

Tidak apa. Saya redha," katanya di laman Facebook peribadinya

Dr Rafidah turut menafikan beliau ada memuat naik aplikasi yang pelik sehingga membolehkan datanya diceroboh daripada telefon milikya.

"Untuk pengetahuan semua, saya menggunakan iPhone dan tidak memuat naik aplikasi pelik. Mungkin ada yang dapat maklumat saya. Saya sudah buang semua aplikasi di telefon dan reset.

"Saya sudah buat laporan polis, CIMB, bank yang menerima duit saya (Hong Leong), email semua dan saya telah hantar laporan ke Bank Negara Malaysia.

"Saya sudah anggap duit itu bukan rezeki saya. Tapi apa yang saya bimbang adalah apa yang saya baca. Nampak ramai sungguh yang terkena scam/hack begini. Sedih saya dengar Mak Cik Pak Cik dan rakyat yang kehilangan pendapatan dan simpanan mereka," katanya.

Sumber : Berita Harian

Risiko telefon bimbit disambar kilat

by

 


Telefon bimbit berisiko disambar kilat jika peranti elektronik terbabit sedang dicas dengan wayar pengecas bersambung pada plag ketika berlaku ribut petir.

Pensyarah Fizik Pusat Asasi Sains Pertanian (PASP) di Universiti Putra Malaysia (UPM), Nor Azah Abdul Aziz, berkata kejadian itu boleh berlaku apabila petir menyambar kawasan berhampiran kabel pendawaian elektrik atau telefon.

Katanya, ia sekali gus boleh mengakibatkan kabel terbakar atau meletup seterusnya memberi kesan aliran cas yang berlebihan kepada rumah yang berhampiran.

"Jika terdapat plag yang masih aktif, pada ketika inilah alat-alat terbakar. Jika ada pula yang sedang menggunakan alat-alat berkenaan seperti menggunakan telefon bimbit yang sedang dicas, menggunakan telefon kabel dan alatan elektrik lain, pada ketika ini renjatan elektrik boleh berlaku.

"Berkemungkinan keadaan ini boleh mengakibatkan kematian berpunca daripada kabel elektrik atau telefon yang terbakar.

"Justeru, apabila berada di dalam rumah, orang ramai diingatkan agar tidak menggunakan alatan elektrik dan telefon bimbit yang sedang dicas ketika petir. Cabutlah plag alat elektrik dengan segera jika ada tanda petir akan berlaku," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menggunakan telefon bimbit di rumahnya di Kampung Baru Sungai Raya Luar, Lojing, Gua Musang.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, dilaporkan berkata ketika kejadian kira-kira jam 4.50 petang itu, kawasan berkenaan sedang berlaku ribut petir.

Nor Azah berkata, pada dasarnya telefon bimbit mempunyai kuasa yang rendah dan selamat digunakan, bahkan risiko untuk menjadi objek sasaran panahan petir adalah rendah.

Katanya, kebiasaannya, petir menyambar objek yang tinggi seperti pokok dan tidak menolak terdapat risiko seseorang dipanah petir ketika berada di kawasan terbuka.

"Kebanyakan kemalangan atau kematian yang berlaku disebabkan oleh petir itu sendiri. Contohnya, berada di bawah pokok yang disambar petir.

"Jika tiada objek yang lebih tinggi seperti di kawasan terbuka, petir akan menyambar objek yang lebih tinggi daripada tanah.

"Jadi, risiko dipanah petir amat besar jika seseorang melalui kawasan terbuka. Mungkin secara kebetulan berlaku panahan petir pada seseorang yang sedang menggunakan telefon bimbit yang melalui kawasan terbuka dan mengakibatkan kematian," katanya.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan segera mencari kawasan perlindungan yang tertutup seperti dalam bangunan dan kereta ketika berlaku petir.

"Elak berlindung di bawah pokok serta kawasan berhampiran aliran cas seperti tiang elektrik dan telefon," katanya.

Sumber : Berita Harian

Enam hari nenek Painah dikawal lembaga besar - ahli paranormal

by

 


"Masa jumpa nenek Painah Siwan di lopak air di kebun sawit berkenaan seperti ada satu lembaga sedang menjaga dia sebelum hilang selepas dilaungkan azan", dakwa ahli paranormal, Mohd Fitri Abdul Razak, 32.

Mohd Fitri berjaya menemui wanita warga emas itu kira-kira pada jarak 300 meter dikawasan berkenaan dan kelihatan mangsa seperti sebuah batu besar yang berada di tengah-tengah lopak.

Katanya, hati dia seperti diberikan firasat untuk datang lebih dekat bagi memastikan apa yang dilihatnya itu benar-benar batu atau wanita yang dicarinya itu.

"Selepas lembaga berkenaan hilang nenek Painah terus rebah sebelum saya dan sahabat bernama Jas berasal daripada Sabah mendapatkannya dan memberikan makan kerana kelihatannya terlalu lemah.

"Disebabkan tempat nenek itu ditemui berada di kawasan yang berpaya, saya terus mendukungnya ke kawasan lapang dan menyelimut menggunakan kain yang kami bawa," katanya.

Mohd Fitri mendakwa, sebelum itu dia dan sahabatnya sudah bermalam di kawasan yang dikatakan sebagai tempat terakhir wanita warga emas berkenaan berada.

"Pada waktu malam, kami merasakan ada sesuatu yang aneh kerana selepas hampir dua jam berjalan namun masih berada di tempat yang sama.

"Lebih mengejutkan apabila bangun pagi kami berada di atas tanah lapang sedangkan pada malamnya kawasan tempat berehat penuh dengan pokok renek dan rimbun," katanya.

Katanya, kejayaan menemukan nenek Painah adalah hasil daripada bantuan Allah apabila setiap langkah pencarian yang dilakukan diiringi dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran termasuk Ayat Kursi.

"Ianya juga hasil daripada doa yang tidak putus-putus daripada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak agar nenek Painah ditemukan," katanya.

Sumber : Berita Harian


Wanita dakwa lahirkan kembar 10 dimasukkan ke wad psikiatri

by

 

Seorang wanita warga Afrika Selatan yang mendakwa telah melahirkan kembar 10 atau decuplet dimasukkan ke hospital untuk menjalani penilaian psikiatri susulan spekulasi berita kelahiran itu palsu, lapor akhbar New York Post kelmarin.

Gosiame Thamara Sithole, 37 yang kononnya memecahkan rekod dunia selepas melahirkan bayi kembar 10 telah dimasukkan ke wad psikiatri di Hospital Tembisa, Johannesburg minggu lalu.

“Penilaian kesihatan tersebut mendapati suspek tidak pernah hamil dan tiada parut pembedahan baharu di bahagian abdomen Sithole,” kata satu sumber.

Peguam Sithole, Refiloe Mokoena berkata wanita itu mendakwa dirinya kini sedang ditahan di hospital tanpa kerelaannya.

“Dia menolak untuk dibawa ke hospital bagi menjalani penilaian psikiatri kerana berasa dirinya waras.

“Namun begitu, dia kini berada dalam tahanan hospital dan tidak dibenarkan menerima pelawat,” kata Mokoena kepada laman berita tempatan, IOL.

Teman lelaki Sithole, Teboga Tsotetsi telah beberapa kali cuba untuk melawat kekasihnya itu namun tidak dimaklumkan tentang keadaan dan lokasi kesemua 10 bayi yang didakwa dilahirkan Sithole. 

Pegawai perubatan juga berkata mereka tidak menemui sebarang rekod yang mengesahkan kelahiran decuplet di mana-mana hospital swasta atau awam. 

Sumber : Agensi

Ibu cemas bayi tertukar di hospital

by

 

Usahawan dalam talian, Siti Suriani Wahiddin atau lebih dikenali sebagai Siti Jamumall dan suaminya berdepan saat mencemaskan apabila menyedari bayi mereka yang baru dilahirkan tertukar dengan bayi lain, hari ini.

Kejadian itu dikongsikan beliau melalui satu perkongsian di Facebook (FB) Live bermula jam 7.40 malam tadi.

Siti Suriani berkata, beliau melahirkan bayi lelaki di sebuah hospital swasta di Shah Alam, awal pagi semalam dan pihak hospital membenarkan beliau serta bayinya pulang ke rumah, hari ini .

Bagaimanapun, beliau menyedari bayi itu bukan anak mereka ketika suaminya yang mahu memotong tanda nama pada kaki bayi itu mendapati ia milik wanita lain dipercayai turut melahirkan bayi di hospital sama. 

"Saya gementar dan terkejut selepas melihat tanda nama wanita lain sebagai ibu bayi itu yang diletakkan di kakinya. Saya tidak pasti bagaimana kejadian tertukar anak ini boleh berlaku.

"Pada tanda nama di kaki bayi itu, tertera nama ibunya dan waktu dilahirkan iaitu jam 3.02 petang 10 Jun (Khamis) sedangkan saya melahirkan anak pada jam 2.30 pagi semalam," katanya.

Sebaik menyedari perkara itu, Siti Suriani berkata, beliau dan suami terus menghubungi pihak hospital untuk memaklumkan perkara berkenaan.

"Jika suami tidak menyedari nama ibu pada tanda nama itu, sampai bila-bila kami menyangka dia anak kami walaupun terdetik di hati saya wajah bayi ini berbeza," katanya.

Difahamkan, Siti Suriani melahirkan bayi lelaki kira-kira jam 2.30 pagi semalam yang juga anak keduanya selepas berkahwin pada April 2019 ketika berusia 19 tahun.

Menerusi perkongsian FB Live itu, Siti Suriani yang turut dikenali sebagai Siti Pok Pek turut membuat penstriman secara 'live' perjalanan beliau bersama suami dan bapa mentuanya ke hospital untuk memulangkan semula bayi dalam jagaannya dan mengambil bayinya semula.

Sebaik sampai, suami dan bapa mentuanya bertemu pihak hospital yang kemudian mengesahkan bayi itu tertukar.

Siti Suriani yang menunggu dalam kenderaan sempat dimaklumkan oleh suaminya yang bayi mereka berada di hospital sebelum penstriman 'live' itu terhenti selepas hampir sejam 49 minit bersiaran.

Video rakaman FB Live berkenaan mendapat 1.3 juta tontonan dengan 40,000 tanda reaksi, 56,000 komen dan dikongsi 37,000 kali.

Menerusi ruangan komen, kebanyakan netizan memberi semangat kepada Siti Suriani menghadapi detik cemas itu, selain ada yang mencadangkan beliau mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak hospital kerana cuai.

Selain itu, ada juga memintanya terus berhubung dengan keluarga bayi yang tersalah diberikan kepadanya itu kerana beliau sudah menjadi ibu susuan bayi berkenaan.

Berdasarkan FB Live terbarunya malam ini, Siti Suriani memaklumkan beliau sudah menemui bayinya itu.

Sumber : Berita Harian

 

 


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90