Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label Hiburan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hiburan. Papar semua catatan

Biodata DJ Alin Negeri fm

by

 


Nama sebenar: Azlina binti Kamarudin
Nama DJ: Alin Kamarudin @ Alin Anje
Tarikh lahir: 9 Jun 
Asal: Rantau, Seremban, Negeri Sembilan
Pendidikan :  Ijazah Sarjana Muda (Perhubungan Awam) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.
Tahun berkhidmat: 2012 hingga kini
Segmen: Segar Pagi
Instagram (IG) : alin_kamarudin
 

Fenomena luar biasa Avengers: Endgame

by


Bermula dengan filem Iron Man lakonan hebat Robert Downey Jr pada tahun 2008, sejak daripada itu peminat watak adiwira seluruh dunia sentiasa menunggu-nunggu filem-filem adiwira Marvel yang hebat.

Setelah menerbitkan 21 filem dalam tempoh masa 11 tahun, kini Marvel Studios sekali lagi akan menggegarkan dunia menerusi tayangan filem ke-22 dalam ‘Marvel Cinematic Universe’ (MCU) iaitu filem Avengers: Endgame.

Berbanding peminat di Amerika Syarikat (AS), peminat di Malaysia sangat bertuah kerana filem ini bakal ditayangkan dua hari lebih awal. Di AS tayangan filem ini hanya akan bermula pada 26 April ini.


Lebih menghangatkan suasana menjelang tayangan filem ini di seluruh negara pada 24 April ini, pawagam tempatan seperti GSC dan TGV bakal menayangkan filem ini seawal pukul 7 pagi. Paling mencetuskan fenomena tiket awal untuk tayangan filem ini dikatakan semuanya sudah habis dijual.

Tidak kurang hebatnya penangan filem ini apabila di negara jiran, Indonesia tiket yang dijual bukan sahaja laris bak pisang goreng panas tetapi ada beberapa pawagam di negara itu akan mula menayangkan filem ini seawal pukul 5 pagi pada hari pertama tayangannya.

Cetus fenomena
Keterujaan peminat untuk menyaksikan filem terbaharu Avengers ini bermula sejak Disember tahun lalu apabila Marvel menayangkan trailer pertama filem tersebut dengan memaparkan bagaimana kehidupan ahli Avengers yang masih hidup dalam menghentikan kejahatan Thanos.

Kemudian, sebulan sebelum tayangan filem ini di seluruh dunia, Marvel sekali lagi membuatkan peminat filem adiwira ini tidak senang duduk apabila melancarkan trailer kedua pada bulan lalu. Salah satu highlight dan menarik dalam trailer ini ialah kemunculan watak adiwira wanita MCU, Captain Marvel. Lebih mengagumkan apabila trailer ini telah mencatatkan lebih 90 juta tontonan dan lebih 200,000 komen dalam laman YouTube.

Trailer yang berdurasi selama 2 minit 26 saat ini dimulakan dengan paparan imbasan oleh watak Iron Man, Captain America, Hawkeye/Ronin, Black Widow, Thor, Ant-Man dan Hulk mengenai kehilangan orang-orang yang disayangi mereka dalam usaha membalas dendam terhadap kejahatan yang dilakukan oleh Thanos.

Boleh dikatakan filem Avengers:Endgame ini merupakan sambungan jawapan terhadap apa yang berlaku dalam filem Avengers: Infinity War yang mana hampir separuh watak adiwira hilang seperti debu.

Disebabkan faktor sambutan luar biasa, tiket-tiket yang dijual untuk tayangan awal filem ini yang baru dibuka awal minggu lalu telah habis dijual di AS dan paling mengejutkan terdapat individu yang menjual semula tiket ini dengan harga berkali-kali ganda. Menerusi laman web Ebay, harga untuk hari tayangan awal ditawarkan bermula pada harga AS$50 (RM204) hingga AS$2,500 (RM10,000)!

Selain itu menurut laman web jualan tiket di AS iaitu Fandago dan Atom, jualan minggu pertama tiket Avengers: Endgame mencecah dua kali ganda berbanding jualan tiket filem Aquaman, Star Wars: The Last Jedi, Avengers: Infinity War dan Captain Marvel jika digabungkan.

#DontSpoilTheEndgame
Namun begitu, di sebalik keghairahan untuk menjadi yang terawal menonton filem adiwira ini, terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang telah melakukan rakaman secara haram dan membocorkannya melalui media sosial.

Biar pun berjaya disekat daripada terus ditonton, kebocoran klip video ini yang muncul beberapa hari sebelum tayangan filem ini menimbulkan persoalan banyak pihak kerana dipercayai dirakam ketika sesi tayangan oleh pihak yang telah mendapat kebenaran untuk menonton visual filem ini terlebih dahulu.

Situasi tidak dijangka ini terus mendapat kecaman daripada pengarah filem ini, Joe dan Anthony Russo yang meluahkan kekecewaan mereka melalui laman sosial Twitter pada Selasa lalu.

Menerusi perkongsian di Twitter dengan tanda pagar #DontSpoilTheEndgame, pengarah dua bersaudara ini meminta supaya orang ramai tidak terus menyebarkan klip video ini.

“Kami berdua bersama mereka yang terlibat dalam menjayakan Endgame, telah bekerja keras selama tiga tahun bagi memberikan kejutan dan penutup penuh beremosi untuk infiniti saga ini. Disebabkan banyak pihak yang telah mengorbankan waktu, jiwa dan raga kepada cerita ini, kami sekali lagi memohon bantuan kepada semua pihak.

“Apabila ada yang menonton Endgame dalam minggu ini, tolong jangan ‘spoil’ (rosakkan) penantian peminat lain, seperti yang kamu tidak suka orang lain membuat kerosakan yang sama pada kamu,” kata mereka.

- UTUSAN


12 Lagu Layak ke AJL 28 pada 26 Januari 2014

by
12 buah lagu terbaik layak ke Anugerah Juara Lagu 28 selepas berentap di pentas separuh akhir Muzik Muzik 28 yang disiarkan secara langsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, di Shah Alam, Jumaat.

Lagu-lagu yang layak ke AJL28 yang akan diadakan pada 26 Januari hadapan terdiri daripada Penglipurlara (Hazama), Takkan Terpisah (Black), Bahagiaku Deritamu (Hafiz Suip), Aku Pelat (Salam Muzik), In Love With You (Noh Salleh & Aizat Amdan), Bosan (Stacy), Kalau Aku Kaya ( Awi Rafael & Altimate), Hanya Aku (Hyper Act), Tanda Tanya (Azlan & The Typewriter), Sahabat (Najwa Latiff), Ikut Rentakku (Jaclyn Victor) dan Kau Yang Terindah (Alyah).

Separuh akhir Muzik Muzik 28 minggu ketiga ini turut menyaksikan persembahan daripada Kembali (Akim & Stacy), Anugerah Hidup (Estranged), Dwihati (Yuna &Aizat Amdan), Rumah Kita (Hujan) dan Jagalah Diri (Jaclyn Victor).

Muzik Muzik 28 minggu ketiga turut dihiburkan dengan persembahan istimewa daripada Cat Farish, Damien, DJ Fuzz, Mimie (One Nation Emcee) dan Waris.

Program ini telah bersiaran selama tiga minggu berturut-turut yang bermula 8 November dan menyaksikan persaingan 30 buah lagu terbaik sepanjang tahun 2013.

Kesemua lagu diadili oleh barisan juri profesional iaitu Azlan Abu Hassan, Aubrey Suwito, Ajai, Ad Samad, Azmeer dan Datuk Ramli MS selaku ketua juri.

- mSTAR

Abby tak takut bersuami muda

by

"Saya bukan memilih suami kerana dia lebih muda daripada saya tetapi ini adalah jodoh yang ditentukan oleh ALLAH SWT,” jelas Abby mengenai perkahwinan keduanya yang berlangsung pada 9 Julai lalu.

Menurut Abby, segala-galanya telah ditentukan oleh ALLAH SWT kerana hanya selepas dua minggu dia dan suami, Muhammad Noor Farhan Che Bakar, 24, berkenalan mereka telah sepakat untuk mendirikan rumah tangga.

“Sebelum ini ada lelaki yang sebaya dan juga lelaki yang lebih tua termasuk suami orang menyatakan hasrat untuk memperisterikan saya, tapi saya tolak dengan cara baik.

“Itu adalah pendirian saya yang tidak mahu menjadi isteri kedua atau ketiga sekali pun. Alhamdulillah kerana hubungan saya dan suami dipermudahkan,” katanya.

Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 36, turut berkongsi kebahagiaannya melayari kehidupan berumah tangga setelah lima tahun bergelar ibu tunggal.

“Alhamdulillah kehidupan saya semakin bahagia dan menenangkan setelah hampir sebulan melayari kehidupan bersama Farhan,” ujarnya.

Berkongsi penerimaan tiga anak hasil perkongsian hidup dengan aktor, Norman Hakim iaitu Mohamed Danish Hakim, 10, Marissa Dania Hakim, 8, dan Maria Danisha Hakim, 5, Abby berkata anak-anaknya itu kadangkala berasa
cemburu dengan Farhan yang dipanggil Abi.

“Lima tahun saya sendiri dan tiada lelaki yang bersama saya, jadi anak-anak sering bersama saya. Jadi bila Farhan datang ke dalam keluarga kami, mula-mula mereka cemburu juga.

“Tapi lama-kelamaan mereka sudah menerima Farhan, apatah lagi Farhan pandai mengambil hati mereka, biarpun tidak ada pengalaman menjaga anak sebelum ini. Lucunya kini, mereka suruh kami selalu berkasih sayang pula,” katanya yang tidak menolak andai dikurniakan cahaya mata selepas ini.

Akui kecewa

Ditebak dengan perjalanan karier seninya kini, Abby berkata, biarpun tidak pernah membuat pengumuman rasmi, namun dia kini terpaksa berhenti seketika daripada industri seni.

“Maaf cakap, tapi bagi saya industri seni kini tidak mengikut syariat Islam. Jadi lebih baik saya berhenti dan memberi tumpuan terhadap perniagaan dan keluarga,” jelasnya.

- SINAR HARIAN

 

Syura Juara MasterChef Selebriti Musim Kedua

by

Penyanyi Syura atau nama sebenarnya Zuraidah Badron diumumkan MasterChef Selebriti Malaysia musim kedua selepas berjaya menentang saingannya iaitu pengacara Celina Khor.

Kemenangan itu melayakkan Syura, 27, menerima wang tunai bernilai RM60,500 yang akan disumbangkan kepada badan kebajikan yang diwakilinya iaitu Breast Cancer Welfare Association of Federal Territory.

Hadiah disampaikan Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad Ramli di sini seiring dengan Majlis Tayangan Episod Kemuncak MasterChef Selebriti Malaysia yang dapat disaksikan menerusi saluran Astro Ria dan Astro Mustika HD pada malam Selasa.

“Alhamdulillah, saya tidak menyangka kemenangan ini kerana tidak menjangka yang dapat pergi sejauh ini.

"Saya banyak belajar mengenai dunia masakan dalam pertandingan ini,” katanya pada sidang media di sini sebaik selesai siaran tersebut.

Dalam pertandingan tersebut Syura tampil dengan tiga jenis sajian iaitu pembuka selera, hidangan utama dan pemanis mulut.

Kedua-dua finalis akhir itu buat pertama kali menyediakan sajian "First Class" untuk 10 orang penumpang kelas pertama pesawat A380 sambil dipantau oleh chef-chef dari Brahim's Airlines Catering.

MasterChef Selebriti Musim Kedua ini ditayangkan bermula 20 April setiap hari Sabtu hingga Selasa di saluran Astro Ria.

Program sebanyak 40 episod itu disertai 19 selebriti tanah air dengan masing-masing diuji daripada aspek kebolehan memasak, kreativiti serta ketahanan fizikal dan mental di dapur.

Barisan selebriti yang menyertai pertandingan itu ialah Micheal Ang, Sharifah Shahora, Kenchana Devi, Norish Karman, Cat Farish, Syanie Hisham, Lydiawati, Enot, Zain Saidin, Rozita Che Wan, Datuk Aznil Nawawi, Sabhi Sadhi, Sathiya, Radhi OAG, Yassin Yahya, Afiq Muiz, dan Keroz Nazri.

Juri yang terlibat ialah Chef Jo, Chef Zubir dan Chef Adu Amran.

- mSTAR

 

Iron Man 3 filem penuh drama, konflik dan aksi

by
 

Penggemar siri komik Marvel Iron Man pastinya menanti-nantikan kemunculan filem aksi penuh mendebarkan Iron Man 3 yang sudah mula ditayangkan sejak semalam.

Selepas menghadapi tekanan oleh kerajaan, media dan orang awam, untuk dia berkongsi teknologinya bersama tentera. Tony Stark kini kembali dengan musuh yang lebih bahaya.

Tidak seperti dua sekuel terdahulu, Iron Man 3 kini diarahkan oleh Shane Black tidak hanya mempertaruhkan teknologi dan aksi semata-mata tetapi turut menggabungkan konflik dalaman Stark kerana trauma ketika kejadian New York di serang (dalam Avengers) dan keinginan dan emosinya untuk melindungi kekasih hatinya, Pepper Potts.

Biarpun sedikit klise-kisah adiwira yang menyelamatkan cinta sejati, namun kelebihan cerita ini adalah teknologi baru yang dibawakan oleh Stark.

Malah, dalam filem ini, anda juga berpeluang melihat pelbagai jenis 'Iron Man' yang diciptakan Stark yang menjadikan hobi masa lapangnya mencipta dan membuat uji kaji mengenai besi yang melindungi dirinya itu.

Kisah penuh konflik

Perjalanan cerita Iron Man 3 ini telah digarap sebaiknya oleh Black dengan mengimbau kembali siapa Tony Stark pada 1999, seorang hartawan, kaki perempuan dan lelaki pintar yang tanpa sedar telah mewujudkan seorang musuh.

Kerana sikap sambil lewanya dalam semua perkara, Stark tidak sedar bahawa teknologi botani dari bekas kekasihnya sebenarnya mampu mengubah dunia.

Malah, kerana menghampakan seorang lelaki yang begitu meminatinya, Stark telah menyebabkan lelaki tersebut membenci dan berjanji untuk memburunya.

Sikap sambil lewanya juga turut menyebabkan Potts mula terasa hati kerana Stark melebihkan robotnya dalam segala hal, namun dalam masa yang sama, Stark mula mengenal erti cinta sebenar cuba untuk melindungi Potts dari sebarang ancaman bahaya.

Dek kerana ego juga, Stark tanpa sedar telah membahayakan dirinya dan Potts kerana mendedahkan maklumat tempat tinggalnya sehingga menjadi sasaran musuh.

Namun, selepas bertemu dengan seorang kanak-kanak pintar, Stark mula sedar untuk bersikap lebih bertanggungjawab dan mengubah dirinya secara perlahan.

Filem terakhir Downey?

Melihat lakonan Downey kali ini, watak Stark atau Iron Man sememangnya amat bersesuaian dengan lelaki berusia 48 tahun ini.

Biarpun hampir mencecah separuh abad, namun karisma, personaliti yang dimiliki oleh Downey membuatkan dia masih kelihatan tampan dan gagah dalam menjayakan watak Iron Man.

Namun, siapa sangka, Downey sudah membayangkan untuk tidak lagi membawakan watak Iron Man kerana faktor usia yang tidak lagi bersesuaian dengan watak tersebut.

Justeru, tidak hairanlah untuk siri terakhir dari Downey, dia memberikan lakonan yang cukup mantap dan diingati selepas anda meninggalkan pawagam.

Bagi mengetahui keseluruhan jalan cerita - dapatkah Stark melawan rasa traumanya? Dapatkah dia melindungi Potts dari bahaya? Berjayakah dia menumpaskan musuh yang sebenar, saksikan filem ini di pawagam.

Nasihat penulis, sebaik 'ending credit' naik melintasi skrin, jangan tinggalkan pawagam terlebih dahulu kerana ada penampilan khas yang akan bersama Stark pada penghujung cerita.

Iron Man 3

PENGARAH: Sean Black
PELAKON: Robert Downey Jr Gwyneth Paltrow, Don Cheadle, Guy Pearce, Rebecca Hall, Stephanie Szostak, James Badge Dale with Jon Favreau dan Ben Kingsley.
GENRE: Aksi/Pengembaraan
DURASI: 131 minit
KLASIFIKASI: P13
TAYANGAN: 26 April 2013
KESELURUHAN : ***** FUYOO TERBAIK!!!

- SINAR HARIAN
 

Kekasih hadiahkan Zizan iPhone 5

by

Sekadar berseloroh ketika memberikan ucapan pada majlis sambutan hari jadi ke-29, Zizan Razak akhirnya mendedahkan dia kini telah jatuh hati kepada seorang gadis yang baru dikenalinya.

Gadis itu, kata Zizan, bukan individu yang berada dalam industri hiburan malah personaliti gadis misteri itu telah menarik minatnya untuk berkenalan dengan lebih rapat.

“Tahun ini, usia saya sudah menjangkau 29 tahun dan saya merancang untuk berkahwin pada usia saya 30 tahun, tetapi soal jodoh kita tidak tahu.

“Individu yang berkenan di hati sudah ada tapi susah nak cakap. Untuk saya katakan dia kekasih hati, sebenarnya masih berbelah bagi lagi sebab saya takut dia tidak faham kerja saya.

“Namun, apa yang boleh saya katakan sekarang, dia bukan berada dalam industri seni, sebaliknya dia sentiasa dekat dengan saya. Susah nak sebut dia kekasih sebab belum sah lagi dia terima saya.

“Sejujurnya saya menyukai dia tapi belum terfikir ke arah selebihnya. Kami masing-masing sibuk dengan kerja dan jarang ada masa untuk berjumpa.

“Pasti, dia pun tidak tahu saya suka akan dia kerana saya tidak pernah meluahkannya,” cerita Zizan jujur yang ditemui ketika sambutan hari jadinya yang ke-29 di Restoran D’saji Felda Villa, Kuala Lumpur kelmarin.

Bagaimanapun, sempena hari jadinya itu yang jatuh pada hari Isnin, 15 April lalu, ujar Zizan, dia dihadiahkan sebuah telefon pintar iPhone 5 oleh gadis itu.

Gadis sederhana

Menghuraikan lebih lanjut ciri-ciri utama yang membuka hatinya untuk meminati gadis tersebut, ujar Zizan, gadis itu memiliki peribadi dan penampilan yang serba sederhana.

“Minat itu timbul daripada hati dan saya tertarik melihat penampilannya kerana dia seorang yang sederhana dan kalau letakkan dia di mana-mana pun dia tak kisah.

“Saya bukan seorang yang suka wanita high class atau terlalu stailo. Bagi saya, wanita yang sederhana itu menyenangkan saya,” ujarnya yang mahu mengunci mulut untuk berbicara lebih lanjut mengenai latar belakang gadis itu.

Zizan turut menjawab mengenai gosip yang pernah mengaitkannya dengan pelakon jelita, Juliana Evans dan terbaharu, Nora Danish.

“Saya tidak sedar gosip yang mengaitkan saya dengan beberapa orang dalam industri timbul sebelum ini. Saya ikhlas mengenali mereka dan apabila digosipkan, saya rasa memang pelik. Perkara itu main-main saja.

“Malah, baru-baru ini pun saya ada menghubungi Nora memandangkan saya baru tahu dia juga berasal dari Terengganu,” dedahnya.

Terkilan

Zizan dalam masa sama turut mengulas mengenai khabar angin yang mengatakan dia terkilan kerana gagal meraih gelaran Bintang Paling Popular (yang dimenangi oleh Shaheizy Sam), Anugerah Bintang Popular 2012 baru-baru ini.

“Saya terkilan bukan kerana kalah tapi sebab peminat saya yang meletakkan harapan tinggi. Walaupun kita berusaha sebanyak mana pun jika sudah bukan rezeki, pasti kemenangan bukan milik kita.

“Semua mahukan kemenangan tapi kalau tiada kualiti kerja tidak berguna juga. Sam seorang yang berbakat dan saya gembira atas kemenangannya malah saya juga salah seorang peminat dia.

Zizan bakal muncul menerusi filem Bikers Kental pada 23 Mei depan selain tiga buah filem lakonannya iaitu KL Zombi, KL Gangster 2 dan Tokan.

Menafikan dirinya akan berubah walaupun kini semakin popular dan mengecapi kejayaan sepanjang masa, Zizan menegaskan dia masih memerlukan peminat untuk kekal bertahan dalam industri.

“Setiap hari bangun tidur, saya rasa diri ini masih ‘hijau’ dan perlu belajar lebih banyak. Kalau popular tak membahagiakan orang pun belum tentu akan berjaya,” tuturnya.

- KOSMO!

 

19 Artis Dipilih Sertai MasterChef Selebriti 2

by

Pemilihan 19 peserta program pertandingan realiti MasterChef Selebriti Malaysia musim kedua dibuat berdasarkan kepada perwatakan menarik yang dimiliki mereka tanpa perlu melalui sebarang uji bakat.

Pengurus saluran Astro Ria, Raqim Ahmad Ramli berkata, pemilihan cara itu dilakukan bukan kerana ingin mewujudkan elemen drama mahupun kontroversi dalam program pertandingan realiti itu.

"Pemilihan selebriti pada kali ini lebih kepada karakter mereka di mana program MasterChef Selebriti kali ini akan tampil lebih ceria dengan perwatakan 'gila-gila' mereka.

"Tetapi sebelum ditawarkan menyertainya sudah pasti pihak kami telah bertanyakan mengenai kepakaran mereka memasak.

"Lagipun menjadi perkara biasa dalam sebuah program realiti di mana akan ada elemen-elemen drama," katanya pada sidang akhbar pelancaran MasterChef Selebriti Malaysia musim kedua di restoran The Bee, Publika, Kuala Lumpur.

Tambah Raqim, bagaimanapun, program itu masih lagi mengekalkan kualiti yang memberi fokus terhadap persembahan masakan di mana 80 peratus selebriti yang dipilih sememangnya pakar dalam masakan manakala 20 peserta lain perlu digilap bakat mereka.

Antara barisan peserta yang menyertai MasterChef Selebriti 2 ialah Sharifah Shahora, Kenchana Devi, Radhi OAG, Syanie Hisham, Aliza Abdullah (Enot), Lydiawati, Keroz Nazri, Syura, Sabhi Saddi, Michael Ang, Datuk Aznil Nawawi, Zain Saidin dan Rozita Che Wan.

Masterchef Selebriti 2 masih lagi mengekalkan konsep serupa di mana barisan selebriti akan diuji daripada aspek kebolehan memasak, kreativiti serta ketahanan mental dan fizikal di dapur.

Program ini juga akan disiarkan selama empat kali seminggu dan akan bersiaran selama 10 minggu dengan mengekalkan barisan juri iaitu Chef Jo, Chef Zubir, dan Chef Adu Amran.

"Kami percaya, para penonton akan lebih teruja melihatkan kepakaran selebriti memasak pada musim kedua ini.

"Apatah lagi, apabila melihat keletah spontan mereka ketika diberi tugasan memasak," kata Raqim.

MasterChef Selebriti 2 akan bersiaran setiap hari Sabtu hingga Selasa pukul 9 malam bermula 20 April ini menerusi saluran Astro Ria (Saluran 104).

- MSTAR
 

 

Keputusan Anugerah Bintang Paling Popular Berita Harian ABPBH 2012

by

Shaheizy Sam sekali lagi dinobat sebagai Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012 (ABPBH2012) dan membawa pulang hadiah kereta Nissan 370Z Coupe dan barang kemas Habib Jewel bernilai RM150,000.


Sam yang pernah bergelar Bintang Paling Popular ABPBH 2010 mendahului senarai pemenang ABPBH2012 iaitu;

Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012

* Bintang Paling Popular - Shaheizy Sam


* Pelakon Filem Lelaki Popular - Shaheizy Sam


* Pelakon Filem Wanita Popular - Yana Samsudin

* Pelakon TV Lelaki Popular - Aaron Aziz

* Pelakon TV Wanita Popular - Nabila Huda

* Artis Baru Lelaki Popular - Aiman Hakim

* Artis Baru Wanita Popular - Wawa Zainal.

* Penyanyi Lelaki Popular - Hafiz Suip

* Penyanyi Wanita Popular - Shila Amzah

* Artis Duo/Berkumpulan Popular - Black dan RJ

* Komedi Lelaki Popular - Zizan Razak

* Artis Komedi Wanita Popular - Didie Alias

* Pengacara TV Lelaki Popular - Datuk Aznil Nawawi

* Pengacara TV Wanita Popular - Fara Fauzana

* Penyampai Radio Lelaki Popular - Faizal Ismail

* Penyampai Radio Wanita Popular - Fara Fauzana

* Anugerah Sepanjang Hayat - Search

http://abpbh.com.my/

 Sumber : Harian Metro


Raja Lawak 7 Astro Bermula 12 April 2013

by


Seramai 11 peserta berkumpulan dan tiga peserta solo berjaya memasuki program realiti popular Astro, Raja Lawak untuk musim ketujuh.

Sebelas peserta berkumpulan yang bertanding adalah Bora, Kintan, Pahat, Gamat, Taras, Okay, Sakan, Wala, Tuah, Xtra dan Ganu serta tiga peserta solo iaitu Ali, Emy dan Boy.

Menariknya, Raja Lawak musim terbaharu itu juga buat pertama kalinya membuka penyertaan kepada warga Singapura untuk memeriahkan lagi program tersebut.

Dua peserta dari Singapura yang berjaya menyertai Raja Lawak 7 ialah kumpulan Bora dan Ali.

Ali atau nama sebenarnya Muhammad Ali Abdul Manab dilihat bakal memberi saingan hebat kepada peserta-peserta lain berikutan kepandaiannya meniru gaya ramai artis terkenal termasuk Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk Sharifah Aini.

Raja Lawak 7 bakal bersiaran pada setiap hari Jumaat, pukul 10 malam bermula 12 April ini menerusi saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Menurut Ketua Kumpulan Premium Astro, Nizam Sani, pemilihan peserta pada musim ini adalah lebih ketat kerana mereka perlu menjalani bootcamp untuk dinilai sebelum layak beraksi di gelanggang sebenar.

Jelasnya, langkah itu dilaksanakan bagi memastikan peserta yang dipilih berkualiti tinggi sekali gus ia dapat mengekalkan standard dan kandungan yang disampaikan mengikut peredaran industri semasa.

“Adalah menjadi hasrat kami untuk membuka mata orang ramai bahawa komedi merupakan satu industri yang serius dan berada di aras tinggi.

“Sempena slogan yang kami perkenalkan tahun ini iaitu Takkan Lawak Hilang Di Dunia, ia juga menggambarkan komitmen kami dalam menyampaikan kandungan program yang lebih segar dan berkualiti,” jelasnya ketika ditemui di Restoran Seri Melayu, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mengulas mengenai barisan juri untuk Raja Lawak musim terbaharu itu, kata Nizam, sesuai dengan temanya, barisan juri juga akan membariskan pelawak-pelawak legenda yang akan menjadi pengkritik.

Bagaimanapun, barisan juri hanya akan didedahkan pada minggu pembukaan program itu untuk memberikan elemen kejutan buat penonton.

“Barisan juri bukan sahaja bertindak sebagai pengkritik tetapi juga melatih para peserta untuk menjadi pelawak yang berkaliber,” ujarnya.


Masih relevan

Ditebak soalan adakah program Raja Lawak masih relevan diadakan, ulas Nizam, program realiti itu masih lagi diterbitkan berikutan ia mendapat permintaan yang tinggi daripada penonton.

Malah, Raja Lawak berjaya mencapai rating yang memberangsangkan sepanjang enam musim lalu.

“Pihak kami membuat kajian penonton tentang Raja Lawak dan mereka mahu program ini dikekalkan. Peningkatan peserta menghadiri uji bakat yang diadakan setiap tahun juga mencatat angka membanggakan selain jumlah undi yang diterima kami adalah konsisten.

“Untuk tahun ini, lima buah negeri yang kami pergi untuk sesi uji bakat mendapat sambutan hangat daripada peserta apabila hampir 400 orang menghadirkan diri di setiap lokasi,” ujarnya lagi.

Raja Lawak musim terbaharu itu masih mengekalkan format terdahulu yang mana sistem pemarkahan para peserta ditentukan sepenuhnya kepada undian penonton menerusi khidmat pesanan ringkas.

Musim terbaharu itu juga masih mengekalkan Johan dan Zizan sebagai pengacara.

Juara program Raja Lawak bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100,000, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing akan menerima RM50,000 dan RM30,000.

Berikut adalah senarai peserta Raja Lawak 7:
1. Kumpulan Bora-SIngapura
2. Kumpulan Kintan- Selangor
3. Kumpulan Pahat- Putrajaya
4. Kumpulan Gamat-Perak
5. Kumpulan Taras- Perak
6. Kumpulan Okay-Selangor
7. Kumpulan Sakan-Perlis
8. Kumpulan Tuah-Kedah
9. Kumpulan Wala-Sabah
10. Kumpulan Xtra-Kedah
11. Kumpulan Ganu-Terengganu
12. Emy-Pahang
13. Ali-Singapura
14. Boy-Sabah
 
- KOSMO!

Anda juga boleh menonton rancangan-rancangan menarik Astro secara online di www.astrogempak.com.my

 
 

 

Dazrin & Hairul Menang Fear Factor Selebriti Malaysia

by

Pelakon Dazrin Kamarudin dan Hairul Azreen berjaya dinobatkan juara musim pertama program cabaran Fear Factor Selebriti Malaysia selepas berjaya menentang saingannya iaitu Hefny dan Hafizul.

Kemenangan itu melayakkan Dazrin dan Hairul membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM200,000.

Hadiah disampaikan Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad di The Square, Publika, di sini seiring dengan Majlis Tayangan Episod Kemuncak Fear Factor Selebriti Malaysia yang turut dapat disaksikan menerusi saluran Astro Ria dan Astro Mustika HD pada malam Sabtu.

"Alhamdulillah atas kejayaan ini kerana memang kami sasarkan untuk menang.

"Tetapi tak sangka kemenangan ini benar-benar berpihak pada kami," kata Dazrin pada sidang media.

Selain Dazrin-Hairul, pasangan selebriti Hefny-Hafizul, Dafi-Zoey dan Elfira-Ajak Shiro turut bersaing pada peringkat akhir namun tersingkir pada cabaran terakhir.

Fear Factor Selebriti Malaysia yang dihoskan oleh pelakon Aaron Aziz mula menemui penonton sejak 29 Disember lalu.

Program sebanyak 13 episod itu disertai 30 artis tanah air dengan masing-masing dibahagikan kepada 15 kumpulan diuji dengan pelbagai tugasan mencabar. Program berkenaan menjalani penggambaran selama lebih tiga minggu di Cape Towin, Afrika Selatan.

Turut menyertai program ini ialah Didie Alias, Jehan Miskin, Kaka Ashraff, Farish Aziz, Azam Pitt, Gabit Saifullah, Ezlynn, Nik Michael (Masterchef 1), Mejar Dr Faiz, Celina Khor, Akim Ahmad, Arja lee dan Johan As’ari.

- MSTAR

 

Pelakon Puteri Sarah mula bertudung

by

Pelakon Puteri Sarah sedang dalam proses menyiapkan diri untuk menjadi insan yang lebih baik berbanding sebelum ini.

Puteri Sarah, 28, berkata, dia kini dalam proses percubaan memakai tudung dan berazam untuk berimej tersebut dalam tempoh terdekat.

"Tahun lepas saya banyak berlakon watak yang memakai tudung, dari situ hati saya terdetik untuk terus bertudung.

"Buat masa ini ada lagi drama-drama yang saya berlakon tidak memakai tudung, cuma kalau keluar rumah saya kini lebih selesa mengenakan selendang," katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun jelas Puteri Sarah, dia berniat untuk bertudung bukan disebabkan kecewa putus cinta dengan pelakon Ammar Alfian akhir tahun lalu.

Hubungan pasangan yang pernah mencetuskan kontroversi ini berakhir selepas lima tahun bercinta akbiat tiada keserasian.

"Saya rasa sudah sampai masanya, ayah juga banyak kali tegur agar saya bertudung dan sopan, namun bagi saya biarlah niat itu datang dari diri sendiri bukan paksaan.

"Alhamdulillah, ramai yang menyokong dengan tindakan ini, terutamanya ahli keluarga," katanya.

Namun, dia juga kesal apabila segelintir pihak yang mempersoalkan tindakannya ketika dalam tempoh percubaan ini.

"Saya belum sepenuhnya bertudung, mungkin di media sosial saya lebih selesa mengunakan imej bertudung tapi ia masih dalam tempoh saya untuk mencuba atas sebab-sebab tertentu," katanya.

Dalam pada itu, Puteri Sarah berkata, dia sering meminta pendapat cara pemakaian tudung daripada pelakon jelita Natasha Hudson (Tasha).

"Saya sering bertanya dengan Tasha tentang gaya pemakaian tudung, dia gembira saya sudah kearah itu, dia beri banyak tip untuk tampil lebih bergaya biarpun bertudung," katanya.

Selain itu juga, pelakon filem Lu Pikir La Sendiri ini juga sedang mempertimbangkan hasrat untuk berundur daripada dunia lakonan sepenuhnya.

- mSTAR


 

Astro sasar pertambahan pelanggan berbayar dan percuma NJOI

by

Astro Malaysia Holdings Bhd. (Astro) meletakkan aspirasi untuk menerokai 100 peratus pasaran isi rumah di Malaysia dengan 70 peratus daripadanya adalah pelanggan berbayar dan selebihnya percuma.

Ketika ini dianggarkan jumlah isi rumah di Malaysia adalah 6.6 juta dengan 3.2 juta daripadanya adalah pelanggan berbayar Astro. Jumlah berkenaan akan meningkat kepada 7.7 juta isi rumah dalam tempoh lima tahun lagi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Rohana Rozhan berkata, walaupun Astro sudah beroperasi lebih 17 tahun, tetapi ia masih kekal sebagai peneraju siaran televisyen berbayar di negara ini.

"Sejak dilancarkan lagi, Astro telah mampu menawarkan perkhidmatannya kepada 100 peratus penduduk di Malaysia kerana kami menggunakan sistem penyiaran satelit.

"Jadi tidak boleh ada alasan kenapa Astro tidak mampu menerokai 100 peratus pasaran isi rumah. Mereka telah dihubungkan, cuma menjadi cabaran kepada Astro bagaimana untuk menarik mereka menjadi pelanggan," katanya kepada Utusan Malaysia.

Rohana berkata, ketika ini pelanggan berbayar baharu Astro meningkat antara 300,000 hingga 350,000 setahun dan bagi pakej siaran percuma Astro, NJOI yang dilancarkan tahun lalu telah merekodkan 200,000 pelanggan.

Katanya, Astro kini mempunyai dua pakej pilihan iaitu berbayar serta percuma dan ia merupakan strategi syarikat untuk mencapai 100 peratus pasaran.

"Kelebihan kami adalah, siaran kami boleh sampai di kawasan pedalaman berbanding sistem konvensional. Jika mereka kurang berkemampuan, NJOI adalah alternatif terbaik kepada mereka.

"Dekoder NJOI hanya bernilai RM288 dan mereka boleh menikmati 40 siaran televisyen dan radio secara percuma tanpa bayaran bulanan," jelasnya.

Selain itu, Astro juga baru-baru ini melancarkan Astro On-The-Go (AOTG) untuk penonton di seluruh dunia melalui Internet dan juga melancarkan pakej B.yond IPTV, perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) yang mampu menawarkan pakej televisyen protokol Internet (IPTV) dan Internet dalam satu pakej.

- UTUSAN



Peserta Bintang Mencari Bintang TV3

by

Seramai 12 peserta bakal bersaing dalam program realiti terbaharu Bintang Mencari Bintang (BMB) terbitan TV3.

Ia disiarkan setiap Ahad, pukul 9 malam sejak Ahad lalu.

Program yang mengetengahkan bakat sketsa dan nyanyian ini membariskan enam nama besar dalam industri hiburan tanah air sebagai tenaga pengajar atau ‘sifu’ bagi membimbing peserta.

Menurut Penerbit Eksekutif BMB, Muhamad Sufian Isa, seramai sepuluh peserta berkumpulan dan dua peserta solo yang telah dipilih merupakan calon terbaik daripada lebih seribu calon yang hadir pada uji bakat.

"Kesemua peserta mempunyai keunikan dan kriteria tersendiri. Setiap dua peserta akan dibimbing oleh seorang ‘sifu'.

"Mereka akan memulakan sesi latihan dan persiapan bersama ‘sifu’ masing-masing bagi mempamerkan persembahan terbaik," katanya pada sidang media selepas majlis memperkenalkan peserta Bintang Mencari Bintang, di Hotel Empire di sini, Selasa.

Antara barisan artis yang dipilih menjadi tenaga pengajar dalam program realiti ini adalah Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik, Kumpulan Senario, Raja Azura, Sabri Yunus dan Faizal Ismail.

Program 15 episod ini turut menampilkan Adibah Noor sebagai pengacara, manakala pelakon Taiyuddin Bakar atau Tai sebagai pengacara belakang pentas.

Sementara itu, dua nama besar iaitu Fauziah Ahmad Daud dan A.R Badul sebagai juri tetap program ini.

Bagi musim pertama, format pemarkahan dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu 50 peratus daripada juri profesional, 30 peratus melalui undian khidmat pesanan ringkas (SMS) manakala 20 peratus lagi daripada juri awam.

Juara akan membawa peluang hadiah utama berupa wang tunai RM200,000.

Dalam pada itu, Faizal Ismail yang merupakan salah seorang daripada tenaga pengajar yang bertanggungjawab membimbing dua peserta berkumpulan menyifatkan tanggungjawab ini sebagai satu cabaran besar buatnya kerana terpaksa bersaing dengan artis-artis yang jauh berpengalaman dalam bidang komedi.

"Saya akui mereka jauh lebih berpengalaman dalam bidang lawak ini namun saya anggap ia sebagai satu cabaran.

"Saya yakin kemampuan peserta saya dan bakat yang mereka ada mampu menjadikan mereka sebagai bintang," katanya.

Berikut Senarai Peserta Bintang Mencari Bintang:

1. Sifu: Sabri Yunus

Kumpulan

Titan: Azizul Ammar Abu Hassan & Fazlisham Mat Hussin

Bog Too: Nor Alif Mohd Mokhtar & Mohamad Shafiq Raside

2. Sifu: Raja Azura

Kumpulan:

Kelawak: Syed Atiq Wan Long & Muhd Maaruf Zamani

Awok: Filzah Azmi & Nurul Ain Othman

3. Sifu: Afdlin Shauki

Kumpulan:

Bowl: Mohd Danial Lee & Syed Ali Mubarak

Bocik: Mohd Fadlie Mohd Nizam & Syed Umar Mokhtar

4. Sifu: Faizal Ismail

Kumpulan:

Ajo: Wan Azrul Azizan

Tapaw: Mohd Shahrizal Sulaiman & Khairul Faiz Sulaiman

5. Sifu: Harun Salim Bachik

Kumpulan:

Achey: Mohd Nasir Hamzah

Xoxo: Mohd Hazwan Azani & Hazmeer Hassan

6. Sifu: Kumpulan Senario

Kumpulan:

Gegau: Mohd Saffuan Samsuddin & Faizal Ibrahim

Tocai: Mohamad Tarmizi Mustafa & Mohd Faizal Mat Saat

Sumber : mSTAR

Hattan bakal nikah bekas isteri

by

Penyanyi Datuk Hattan memberitahu dia mungkin akan melangsungkan pernikahan dengan bekas isterinya iaitu Arianie pada Jun depan.

Menurut Hattan atau nama sebenarnya Mohd Shukri Sahabuddin, 49, dia merancang untuk mengadakan majlis itu serentak dengan perkahwinan adik lelakinya iaitu Achem.

"Adik saya akan kahwin pada Jun depan. Harap-harap kalau dapat buat sekali pun bagus juga.

"Lagi pun saya cuma buat majlis kecil-kecilan untuk keluarga dan rakan rapat sahaja," katanya.

Hattan ditemui selepas tayangan rakaman langsung konsert kumpulan rock legenda Led Zeppelin pada 2007 iaitu Celebration Day di GSC One Utama di sini, petang Rabu.

Hattan dan Arianie pernah berkahwin pada 17 Disember 1996 sebelum bercerai talak satu secara rasmi pada 10 Mac 2005 di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, di sini.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki Adam Eiman yang sekarang berusia 14 tahun.

Penyanyi dari Seri Menanti, Negeri Sembilan ini juga pernah berkahwin untuk kali kedua dengan Noorfarashikin Othman pada 11 November 2011 tetapi berpisah dua bulan kemudian.

Mengenai perancangan menikahi semula bekas isteri, Hattan berkata, perasaan sayang yang mendalam mempengaruhi keputusan berkenaan selepas bermuhasabah diri atas kesilapan lalu.

"Saya banyak bermuhasabah diri dan buang ego. Pada awalnya, Arianie berat hati (berkahwin semula) tetapi saya yakinkan dia bahawa saya sudah ubah kesilapan lepas yang garang terhadapnya.

"Setiap kali berjumpa dengan dia, saya rasa sangat bahagia dan seperti jatuh cinta. Insya-Allah saya akan putuskan keputusan ini (kahwin) selepas menunaikan umrah pada Mei depan," katanya.

Hattan berkata, anak tunggal mereka Adam Eiman bagaimanapun tidak menunjukkan sebarang reaksi teruja mengenai perkara itu.

"Adam okey sahaja bila saya kata nak berkahwin semula dengan ibunya. Dia tidak tunjuk reaksi teruja langsung," katanya dalam nada bergurau.

Dalam perkembangan lain, Hattan yang dijemput menyaksikan rakaman konsert Led Zeppelin berkata, ia mengimbau semula kenangan di mana dia dan beberapa artis Warner Music pernah mengadakan persembahan tribute untuk kumpulan itu pada 1995.

"Ketika itu saya, Amy (Search), Ramli Sarip dan Maman (Teacher's Pet) pernah terlibat dalam pertunjukan tribute untuk Led Zeppelin di Hard Rock Cafe.

"Mungkin Led Zeppelin tidak begitu dekat dengan generasi sekarang tetapi mereka seperti godfather kepada penyanyi dan peminat muzik rock lama," katanya.

Album Celebration Day yang dirakam ketika konsert “reunion” kumpulan itu pada 10 Disember 2007 di Arena O2, England kini berada di pasaran.

Ia ditawarkan dalam empat set iaitu edisi standard - 1 DVD/2 CD, edisi deluxe (2 DVD/2 CD atau 1 Disk Blu Ray/1 DVD/2 CD), edisi audio versi Blu Ray dan edisi vinyl (3 piring hitam).

Sumber : MSTAR
 

 

Azmil Mustapha ditawar jadi calon PRU13

by

Kerajaan  tidak, pembangkang pun tidak. Barisan Nasional bukan pilihan, jauh sekali memilih parti Pakatan Rakyat.

Itu pendirian yang dibuat oleh Ali Setan - gelaran yang diterima kerana watak yang dilakonkan dalam filem pecah panggung lebih 20 tahun lalu.

Si Ali Setan, atau nama sebenarnya Azmil Mustapha, insan seni yang pernah mewarnai persada perfileman negara dengan lakonan mantap serta keberkesanan aksi.

Dalam menyempurnakan apa sahaja watak yang dipertanggungjawabkan, termasuklah watak Ali dalam filem bergandingan dengan Fauziah Ahmad Daud, dia memang pakar.

Bapa kepada lima anak ini juga sebati dengan imej ranggi kerana sering mengenakan seluar jeans koyak, jaket kulit, kemeja-T lusuh, rambut diwarnakan beranika warna. Juga selesa menunggang motosikal scrambler pada zaman mudanya, satu gaya hidup lepas bebas dunia lelakinya.

Namun begitu, hidupnya kini jauh berubah. Malah, imej juga amat berbeza dengan gelaran Ali Setan yang pernah diterimanya.

Dia berhijrah meninggalkan gemerlapan dunia seni dan berjinak-jinak dengan bidang dakwah pada sekitar 1998.

Semenjak itu, dia lebih banyak menumpukan perhatian mendalami ilmu agama dengan beberapa orang tokoh agama terkenal serta aktif memberi ceramah agama di sana-sini.

Tidak terhad di Malaysia, dia juga turut memberi ceramah sehingga ke Brunei, Indonesia dan Singapura.

Sekitar Ogos 2011, bekas pelakon yang berusia 60 tahun ini dihambat kontroversi apabila isi ceramahnya di Masjid Kampung Subang, Subang disalah anggap.

Ekoran itu, beliau mula digelar 'sesumpah' politik kerana berselindung di sebalik nama pendakwah yang pentas ceramah sebagai platform menyebarkan fahaman politik.

"Tidak, saya tidak pernah menyebelahi dan tidak pernah menyertai mana-mana parti politik," demikian tegasnya dalam pertemuan dengan Mega di Selangor, baru-baru ini.

Nampak dia bertegas dalam isu itu. Tidak mahu namanya terus dikaitkan dengan cerita bukan-bukan, Azmil tidak mahu sembunyikan kebenaran.

"Jujurnya, darah politik tidak mengalir dalam jiwa saya. Saya juga membantah sekeras-kerasnya jika ada sesiapa yang cuba mengaitkan saya dengan mana-mana parti mereka ," katanya di awal perbualan ketika di cungkil penglibatannya dalam politik.

Menolak dengan baik

Azmil tidak menafikan dia pernah didekati oleh beberapa parti politik yang mahu menyunting dirinya untuk mengibarkan bendera parti mereka.

Beberapa kali ditawarkan menyertai UMNO dan Pas semenjak penghijrahannya. Azmil bagaimanapun berpegang kepada prinsipnya.

Semua tawaran dan pelawaan yang diterima ditolak dengan baik kerana dia berpandangan bidang tersebut bukanlah kepakarannya.

Beliau percaya orang lain yang lebih layak untuk menyertai dunia politik, bukan dirinya.

"Ya, selepas penghijrahan beberapa tahun lalu, saya akui memang bertubi-tubi menerima pelawaan untuk menyertai UMNO dan Pas.

"Namun begitu, pelawaan tersebut saya terpaksa tolak. Untuk aktif apatah lagi bergelar ahli politik tidak pernah ada dalam rencana hidup saya.

"Biarlah orang lain yang lebih arif dan berminat menyertainya," katanya ketika ditemui di Hotel Grand Blue Wave hujung minggu lalu.

Tidak seperti rakan artis lain yang terjun ke medan politik selepas penghijrahan mereka, tidak pernah sekelumit pun di hati Azmil untuk mengikuti jejak langkah tersebut.

"Mungkin mereka sertai parti politik kerana ada habuan... tetapi bagi saya, kalau lakukan sesuatu perkara hanyalah kerana Allah kerana Allah yang akan memberi habuan," katanya sambil mengakui tidak pernah mengundi sepanjang hidupnya.

Azmil turut mengakui, pelawaan menyertai parti politik juga ditolak kerana beliau lebih senang menggandakan usaha dengan 'mendakap selimut syurga' yang akan memberi jaminan kepada kehidupan hari esok.

"Mendalami agama adalah ketenangan saya. Sudah lama saya tinggalkan gemerlapan dunia glamor sebagai anak wayang.

"Jadi untuk apa saya dedahkan diri saya kepada kekusutan yang lain pula? Politik bukan mudah.

"Biarlah jika rakan lain mahu aktif berpolitik, mungkin mereka ada sesuatu yang mahu dicapai.

"Saya lebih selesa kedamaian hakiki melalui aktiviti-aktiviti ibadah seharian, " jelas lelaki yang memiliki seraut wajah tenang dan tidak lokek dengan senyuman.

- UTUSAN
 

Ana Dahlia serah soal jodoh pada takdir

by
Pelakon Ana Dahlia meletakkan soal jodoh kepada takdir selepas mengalami kegagalan rumah tangga dengan Chef Riz atau nama sebenarnya Mohd. Nadzri Redzuawan.

Ana atau nama sebenarnya Diyana Mastura Jaafar, 29, bagaimanapun berkata, buat masa ini dia tidak terfikir untuk mencari pengganti sebaliknya ingin memberi tumpuan kepada kerjaya lakonannya terlebih dahulu.

"Jika ada bertemu dengan sesiapa selepas ini saya anggap itu adalah ketentuan Allah dan sebagai manusia saya menerima ketentuan itu.

"Tetapi buat masa ini saya mahu beri fokus kepada kerjaya terlebih dahulu," jelasnya.

Ana dan Chef Riz yang juga anak kepada chef selebriti, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan itu berkahwin pada 11 Disember 2011 dan bercerai 11 bulan kemudian.

Dalam pada itu, Ana memberitahu, kehidupannya kini lebih tenang dan menganggap apa yang telah berlaku dalam rumah tangganya sebelum ini sebagai satu pengajaran dan mempunyai hikmah disebalik.

Sementara itu, Ana menafikan mempunyai hubungan dengan seorang lelaki apabila timbul gosip kononnya dia muncul dengan seseorang pada majlis persandingan pelakon Liyana Jasmay di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) malam Sabtu lalu.

"Mungkin lelaki yang didakwa itu adalah jurugambar yang mengiringi saya untuk sesi fotografi di luar dewan yang disangka sebagai teman lelaki saya.

"Saya hadir dengan rakan baik saya iaitu Zandra seorang atlet boling kebangsaan,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Ana kini sedang sibuk dalam penggambaran sebuah drama bersiri berjudul Kerana Lelaki Itu untuk siaran TV9 selain bakal ke lokasi Nyiur Nan Setandang di samping pelakon Ezany.

- MSTAR


Album AJL27 dilancar

by

Album Anugerah Juara Lagu ke-27 (AJL27) dilancarkan sebagai simbolik kejayaan acara berprestij yang telah pada 6 Januari 2013 lalu itu.

Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar berkata, album yang memuatkan 12 lagu finalis pada malam AJL27 tersebut adalah bukti penghargaan TV3 kepada semua pihak yang menyokong pertandingan berkenaan.

"Respons penonton yang meminta ulang siaran AJL27 membuktikan acara itu mencipta fenomena tersendiri.

"Album ini dikeluarkan sebagai tanda penghargaan kami kepada semua pihak terlibat dalam mencatatkan kejayaan AJL27," katanya.

Izham ditemui pada majlis pelancaran album itu dan penyampaian cek kepada para pemenang AJL27 di Sri Pentas, Bandar Utama di Petaling Jaya.

Album yang julung kali dikeluarkan selepas 27 kali penerbitan AJL memuatkan 12 lagu finalis yang bertanding.

Dalam pada itu, Ketua Pengurusan Bakat, syarikat rakaman Monkey Bone iaitu Jacynta Au-Yong berkata, album itu juga akan menjadi profil kerja kepada para artis dan komposer terlibat sebagai sumber rujukan pada masa depan.

"Kualiti vokal dan persembahan kesemua peserta pada acara itu tidak memerlukan kami melakukan suntingan dan kemasan yang banyak untuk album ini.

"Satu kerugian jika persembahan yang berkualiti itu tidak diterbitkan dalam bentuk album yang boleh dijadikan rujukan serta profil kerja kepada artis dan komposer yang bertanding," katanya.

Album yang mengambil masa selama dua minggu untuk disiapkan itu bakal dipasarkan bermula minggu ini.

Selain format fizikal, album berharga RM29.90 ini juga boleh dibeli secara muat turun digital tidak lama lagi.

AJL27 memartabatkan lagu Terukir Di Bintang ciptaan dan nyanyian Yuna sebagai juara.

Dalam AJL27 lalu lagu Terukir Di Bintang ciptaan dan lirik oleh Yuna diumumkan sebagai juara lagu sehingga membolehkannya membawa pulang wang tunai RM35,000.

Naib juara dimenangi lagu Idola ciptaan Audi Mok, lirik oleh Azlan. Mereka menerima RM15,00 manakala tempat ketiga menjadi milik lagu Ku Akui ciptaan Ajai nyanyian Hafiz yang turut menggondol hadiah trofi dan wang tunai sebanyak RM12,000.

Hafiz turut membawa pulang trofi vokal terbaik dengan menerima trofi dan wang tunai RM10,000.

Penyanyi Black dan RJ pula berkongsi kemenangan menerusi persembahan terbaik menerusi lagu Teman Pengganti. Mereka menerima trofi dan wang tunai berjumlah RM10,000.

- MSTAR
 

Yus Jambu guna wang kemenangan MLM 2012 untuk kahwin

by

Pelawak Yussry Edoo atau Yus merancang untuk membelanjakan sebahagian wang kemenangan dalam program Maharaja Lawak Mega 2012 (MLM 2012) yang berlangsung pada malam Jumaat lalu untuk persiapan majlis perkahwinannya.

Yus, 36, berkata, dia berhasrat untuk melangsungkan perkahwinan bersama wanita pilihannya selewat-lewatnya pada penghujung tahun ini.

"Setakat ini saya tiada mempunyai sebarang perancangan untuk membelanjakan wang kemenangan sebanyak RM125,000 itu tetapi sebahagiannya akan digunakan untuk persiapan perkahwinan saya," jelasnya kepada mStar Online.

Yus bagaimanapun enggan mendedahkan identiti wanita yang berjaya menambat hatinya itu dan memberitahu mereka telah berkenalan selama beberapa tahun.

Pada pertandingan akhir itu, Jambu yang turut dianggotai oleh Zamatul Amri Zakaria atau Tauke, 36, dinobatkan sebagai naib juara MLM 2012 dan mereka berjaya berkongsi wang tunai sebanyak RM250,000 dan sebuah trofi.

Manakala kumpulan Jozan (Johan dan Zizan) muncul juara Jozan dan melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM500,000 dan trofi.

Sementara itu, kumpulan Shiro (Shahrol dan Ajak) mendapat tempat ketiga dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM150,000 berserta trofi.

Dalam pada itu, Tauke berkata, mereka juga merancang untuk mengadakan majlis kesyukuran bersama penyokong dan Kelab Sahabat Tauke bagi menghargai sokongan semua peminat sepanjang pertandingan itu.

Kata Tauke, majlis berkenaan berkemungkinan akan diadakan di Perlis namun masih belum menetapkan tarikh sebenar kenduri tersebut.

"Seminggu dua ini kami mahu bercuti terlebih dahulu untuk merehatkan minda dan selepas itu baru kami merancang untuk majlis berkenaan.

"Yus akan bercuti di Perlis manakala saya akan menghabiskan masa untuk memancing," ujarnya.

Mengulas mengenai kemenangan pada MLM 2012, Tauke berkata, mereka berpuas hati dengan kedudukan naib juara yang disandang mereka dan menganggap ia sebagai rezeki dari Tuhan.

Tambah Tauke, antara faktor lain kemenangan mereka mungkin disebabkan persembahan mereka pada musim ini konsisten sejak minggu pertama.

"Berbanding musim lalu, persembahan kami kurang menyengat namun mengambil pengalaman untuk memperbaiki untuk pertandingan tahun ini.

"Alhamdulillahlah semua lawak yang ditonjolkan berjaya menambat hati peminat dan juri," jelasnya.

Tambahnya lagi, mereka akan meneruskan perjuangan Jambu sebagai kumpulan selagi diterima peminat.

- MSTAR
 

Johan & Zizan (Jozan) Juara Maharaja Lawak Mega 2012 Berkongsi RM500,000

by

JOHOR BAHRU: Selepas sembilan minggu bertanding, gelaran juara Maharaja Lawak Mega 2012 (MLM 2012) menjadi milik kumpulan Jozan yang dianggotai Johan dan Zizan apabila mereka diumumkan juara dalam acara yang berlangsung di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Baru (MBJB), di sini malam Jumaat.

Kemenangan Jozan melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM500,000 dan trofi sumbangan Astro.

Dalam pada itu, Johan yang sebelum ini tidak dapat menyertai pertandingan berkenaan sejak dua minggu lalu akibat kecederaan ligamen membuat kejutan apabila muncul pada persembahan pusingan pertama.

Kemunculan Johan telah menggamatkan stadium yang dihadiri oleh hampir 5,000 penonton.

Gelaran naib juara pula dimenangi oleh kumpulan Jambu yang disertai oleh Yus dan Tauke. Mereka berkongsi hadiah wang tunai sebanyak RM250,000 berserta sebuah trofi.

Sementara itu kumpulan Shiro (Shahrol & Ajak) mendapat tempat ketiga dan mereka menerima hadiah berupa wang tunai RM150,000 berserta sebuah trofi.

Bagaimanapun Boboi (Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik & Nabil) yang pernah bergelar naib juara MLM 2011 sebelum ini terpaksa akur dengan kedudukan di tangga keempat.

Mereka mendapat wang tunai sebanyak RM50,000 berserta trofi.

Manakala kumpulan tunggal dari Indonesia iaitu Saywho (Eko, Bocil & Vicha) berada di tempat kelima. Mereka mendapat hadiah iaitu wang tunai RM15,000 berserta trofi.

Kesemua peserta peringkat akhir dikehendaki membuat dua persembahan bertemakan konsep bebas dan komedi muzikal.

Para peserta telah diadili dengan sistem pemarkahan yang masing-masing mewakili 70 peratus daripada juri tetap dan selebihnya undian penonton di rumah.

Empat juri tetap yang mengadili peserta pada MLM2012 akhir itu terdiri daripada Awie, Wulan Guritno, Najib Ali dan Lisa Surihani.

Ia dihoskan oleh Datuk AC Mizal.

Sementara itu mengulas kemenangan mereka, Jozan berkata, ia adalah rezeki buat mereka berdua dan tidak pernah meletakkan harapan untuk menang.

Bagaimanapun ia adakan berkat sokongan para peminat yang sentiasa menjadi pendorong untuk mereka memberikan persembahan mantap pada setiap minggu.

"Tanpa peminat yang tidak jemu memberikan sokongan kejayaan ini tidak akan bererti dan kemenangan ini adalah untuk mereka semua," jelasnya ketika ditemui selepas acara itu.

Hadiah-hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh bersama Pengurus Saluran Premium Astro, Nizam Sani dan Pengurus Saluran Astro Warna, Bob Azrai.

Pertandingan Maharaja Lawak Mega 2012 bersiaran secara langsung menerusi saluran Mustika HD (134) dan Astro Warna (132).

- MSTAR

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90